ZULHEIMY MAAMOR

Monday, 25 December 2023

Tanah Misteri Di Gunung Padang

Oleh Cik Srikandi

Bila Srikandi membaca kertas kerja Natawidjaja et al., berkaitan pembentangan terbaru kajian Gunung Padang, ia memang teknikal dan menarik untuk dibaca. Bukanlah kaleng-kaleng kajian mereka. Tetapi mengapa ahli arkeologi dan akademik seluruh dunia seakan bersepakat mengkritik analisis dan dakwaan penyelidik Gunung Padang tersebut?
Sebagai info, mereka mendakwa Gunung Padang adalah sebuah piramid yang lebih tua dari yang ada di Mesir malah lebih tua dari tapak Göbeklitepe; dipertarikhkan 27,000 tahun!
Selepas meneliti kritikan ahli arkeologi antarabangsa itu, Srikandi tertanya-tanya, mengapa mereka (ahli akademik antarabangsa) begitu menyanggah pentarikhan karbon (antara poin utama kritikan) yang dibuat di Gunung Padang, tetapi ahli akademik seluruh dunia umumnya tidak mengkritik langsung pentarikhan di Sungai Batu terutamanya angka 788 SM yang bagi sesetengah orang 'tidak boleh diterima?'.
(Selain isu pentarikhan karbon, isu lain yang dikritik juga apabila kajian di Gunung Padang itu 'ditahkik' oleh Graham Hancock, seorang penulis British yang terkenal mempromosikan teori pseudo-saintifik berkaitan tamadun purba dan 'tamadun yang hilang')
Okay, kesimpulan yang boleh dibuat, secara asasnya; nak buat pentarikhan karbon - kaedah pengambilan sampel di Sungai Batu adalah betul manakala pengambilan sampel di Gunung Padang adalah salah dan tidak boleh diterima.
Sampel Gunung Padang adalah tanah organik dan sampel Sungai Batu adalah arang.
Menurut Bill Farley, seorang ahli arkeologi dari Amerika: apabila seseorang pengkaji membuat pentarikhan menggunakan C14 (isotop radioaktif karbon dengan nukleus atom yang mengandungi 6 proton dan 8 neutron), ia sebenarnya berkaitan dengan beberapa bahan organik daripada tapak tersebut. Itu perbezaan yang penting. Bagaimana jika sampel itu berkaitan dengan bahan yang jelas bukan artifak? Itu tidak mengapa kata Farley, asalkan jelas dalam konteks berkaitan dengan artifak.
Sebagai contoh, beliau menjelaskan: Sisa-sisa hangus di dapur pemanggang. Bolehkah anda yakin bahawa semua bahan itu adalah sebahagian daripada hidangan yang dimasak? Tidak semestinya, tetapi jika ia tertutup dalam dapur pemanggang, ia mungkin telah dibakar dalam api itu dan dengan itu ianya berkaitan dengan aktiviti manusia membina kaedah api yang terkawal.
Dalam kes pengambilan sampel dari tanah oleh pengkaji Gunung Padang, dia kata, ianya tidak boleh diterima sebab sampel itu adalah dari tanah organik yang tiada kaitan langsung dengan apa-apa artifak. Jadi percubaan nak klaim pentarikhan itu berkaitan dengan apa-apa artifak (contoh, serpihan tembikar dll) di situ adalah bertentangan sama sekali.
Dalam kes Sungai Batu, arang yang dijadikan sampel itu adalah salah satu bahan untuk proses peleburan besi. Ia dipindah dan digunakan oleh manusia, bukannya alam semulajadi. Jadi usia aktiviti peleburan besi itu boleh dikaitkan dengan usia relau atau tempat peleburan besi di situ.
Sebab itu pentarikhan karbon yang dibuat oleh Prof. Mokhtar dan pasukannya dihormati pengkaji seluruh dunia sebab secara asasnya sampel yang diambil adalah tepat dan relevan.
Buat pengetahuan tambahan juga, asalnya kajian Gunung Padang ini susah nak ditemui apa-apa pentarikhan karbon. Hanya dakwaan saja. Bila yang terbaru ni mereka buat pentarikhan karbon, rupanya diambil dari sampel tanah organik. Bila pentarikhan ini ditolak, usia tapak megalit ni masih dalam lingkungan abad ke-6 Masehi hingga abad ke-8 Masehi (Harry Truman Simanjuntak).
Maka tapak Gunung Padang itu bagi masyarakat arkeologi dunia, ia masih lagi sebagai tapak megalit atau struktur prasejarah bukannya tamadun ataupun piramid seperti yang didakwa. Apapun, ekskavasi perlu terus dijalankan oleh penyelidik sana. Mungkin ada 'misteri nusantara' yang menanti untuk dibongkar...
~Srikandi
Eternity in History
Copy and paste:
25 Disember 2023 > 12 Jamadilakhir 1445H: 11.29 am

No comments:

Post a Comment