ZULHEIMY MAAMOR

Monday, 11 December 2023

Pandangan Ulama-Ulama hadis berkaitan bani Qantura'

Dr Mohd Khafidz Soroni
Ada satu pendapat menarik mengatakan bangsa Melayu berasal daripada keturunan (Bani) Qantura' yang dikatakan isteri ketiga Nabi Ibrahim AS. Bagaimanapun, penulis tidaklah bertujuan untuk membahaskan pendapat berkenaan kerana kajian ilmiah yang dijalankan belum sempat diteliti secara mencukupi. Sebaliknya, penulis sekadar ingin mengemukakan pandangan yang disebut oleh ulama hadis dalam kitab-kitab syarah berkaitan hadis Bani Qantura'.
Dalam kitab Perjanjian Lama, nama Qantura' disebut sebagai Keturah atau Qaturah. Dikatakan, Nabi Ibrahim AS mengahwininya selepas kewafatan Sarah dan melahirkan enam orang anak, iaitu Zimran, Yokshan, Medan, Midian, Ishbak dan Shuah. Juga dinyatakan, Nabi Ibrahim telah memberikan mereka hadiah dan menghantar mereka ke sebelah Timur.
Imam at-Tabari dalam kitab Tarikhnya meriwayatkan daripada Ibn Ishaq, bahawa Yokshan melahirkan bangsa Barbar, Zimran melahirkan bangsa Mazamir yang tidak berfikir dan Midian melahirkan bangsa Madyan, kaum Nabi Syuaib AS. at-Tabari juga meriwayatkan daripada 'Urwah bahawa keturunan Yokshan tinggal di Makkah, manakala Medan dan Midian tinggal di Madyan. Kesemua mereka diperintahkan ke pelbagai negeri yang jauh dan asing. Ada juga antara mereka yang tinggal di Khurasan.
Nama Qantura' muncul dalam beberapa riwayat, antara yang masyhur hadis Abu Bakrah RA katanya: Rasulullah SAW bersabda: "Sekumpulan daripada umatku akan sampai ke satu tempat yang dinamakan Basrah, di sisi satu sungai yang dipanggil Dijlah. Di atasnya terdapat jambatan dan penduduknya akan bertambah ramai. Ia akan menjadi negeri golongan muhajirin atau kaum muslimin. Apabila tiba akhir zaman, datanglah Bani Qantura' yang berwajah bundar dan bermata sepet sehingga mereka sampai ke tebing sungai tersebut. Maka, para penduduknya berpecah kepada tiga kelompok. Satu kelompok mengambil ekor lembu atau unta lantas menuju ke pedalaman (yakni terus sibuk bertani), lalu mereka binasa. Satu kelompok pula mengambil kesempatan untuk kepentingan diri mereka, lalu mereka kufur. Manakala satu kelompok lagi meninggalkan keluarga dan zuriat mereka di belakang mereka dan mereka pun berperang. Mereka itu adalah para syuhada.'"
Dalam riwayat al-Tayalisi: "Mereka yang terbunuh adalah para syuhada' dan Allah SWT akan memberi kemenangan kepada mereka yang masih tinggal." (Riwayat al-Tayalisi, Ahmad, Abu Dawud dan Ibn Hibban. Hadis hasan)
Ramai ulama hadis menafsirkan, maksud Bani Qantura' itu ialah bangsa Turk. Ini dinukilkan oleh Imam al-Baihaqi dalam kitab al-Ba'thu wa an-Nusyur daripada Imam al-Khattabi. Katanya, Qantura' ialah nama seorang hamba perempuan Nabi Ibrahim AS yang melahirkan beberapa orang anak, dan bangsa Turk itu datang daripada keturunan mereka. Demikian juga menurut Imam al-Muzhiri al-Hanafi dalam al-Mafatih fi Syarh al-Masabih, Imam Ibn al-Malak al-Hanafi dalam Syarh Masabih al-Sunnah, dan lain-lain. Imam Ibn al-Athir dalam kitab al-Nihayah dan Imam Ibn Raslan dalam Syarh Sunan Abi Dawud menambah, datang daripada keturunan mereka bangsa Turk dan juga bangsa Cina. Bagaimanapun, belum dapat dipastikan daripada anak Qantura' yang mana munculnya mereka ini.
Dalam hadis tadi, ciri Bani Qantura' disebutkan dengan jelas iaitu berwajah bundar dan bermata sepet. Ini bertepatan dengan beberapa hadis lain yang juga menyebut ciri yang sama. Antaranya, daripada Abu Hurairah RA katanya, Rasulullah SAW bersabda: "Kiamat tidak akan terjadi sehingga kamu sekalian memerangi bangsa Turk, bermata sepet, berwajah kemerahan, berhidung pesek, seakan-akan wajah mereka itu perisai yang bundar." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Berdasarkan pandangan ramai ulama seperti Imam an-Nawawi, Imam Badruddin al-'Ayni, Mulla 'Ali al-Qari dan lain-lain, hadis ini termasuk hadis yang telah ‎berlalu zamannya. Iaitu merujuk kepada kejatuhan kota Baghdad di tangan tentera Tatar atau bangsa Monggol pada bulan Safar tahun 656H.
Kata Imam an-Nawawi dalam Syarah Sahih Muslim: "Semuanya ini adalah mukjizat bagi Rasulullah SAW kerana telah didapati peperangan dengan bangsa Turk ini berserta semua sifat-sifat mereka yang telah disebutkan oleh baginda SAW. Maka, telah didapati mereka dengan semua sifat-sifat ini pada zaman kita. Kaum muslimin telah memerangi mereka beberapa kali dan juga sedang memerangi mereka sekarang ini."
Kata Imam Badruddin al-'Ayni dalam 'Umdat al-Qari: "Telah berlaku sebahagian itu mengikut apa yang dikhabarkan oleh Rasulullah SAW pada tahun 617H. Sewaktu munculnya tentera Turk yang amat besar bilangannya, lalu mereka membunuh penduduk Transoxiana dan semua negeri wilayah Khurasan. Tiada yang terselamat daripada mereka kecuali sesiapa yang bersembunyi di dalam lubang-lubang tanah dan gua-gua."
Mohd Herman Roslan MHR

Copy and paste:
11/12/2023 > 27 Jamadilawal 1445H: 7.57 am

No comments:

Post a Comment