ZULHEIMY MAAMOR

Wednesday, 20 December 2023

GOLONGAN MUNAFIQ BERADA DI MANA-MANA DAN SEPANJANG ZAMAN

OLEH : TG HJ ABDUL HADI AWANG

Surah al-Fatihah menjadi surah permulaan al-Quran yang terkandung dalamnya doa di hadapan Allah memohon petunjuk ke arah jalan yang betul pada setiap rakaat solat, kemudian disusuli dengan Surah al-Baqarah. Pada pendahuluan Surah al-Baqarah, Allah membahagikan manusia kepada tiga golongan; iaitu beriman, kafir dan munafiq.
Ayat-ayat yang ditujukan kepada golongan munafiq dijelaskan sifat-sifatnya dalam ayat yang banyak dan paling panjang. Seterusnya, diikuti pula huraian mengenai sifat-sifat atau ciri-ciri golongan munafiq dalam surah-surah yang lain, supaya orang-orang yang beriman menjaga diri mereka daripada terjerumus ke dalam ciri-ciri golongan tersebut.
Golongan munafiq itu berada di mana sahaja dan pada bila-bila masa. Allah SWT berfirman:
﴿وَمِمَّنۡ حَوۡلَكُم مِّنَ ٱلۡأَعۡرَابِ مُنَٰفِقُونَۖ وَمِنۡ أَهۡلِ ٱلۡمَدِينَةِ مَرَدُواْ عَلَى ٱلنِّفَاقِ لَا تَعۡلَمُهُمۡۖ نَحۡنُ نَعۡلَمُهُمۡۚ سَنُعَذِّبُهُم مَّرَّتَيۡنِ ثُمَّ يُرَدُّونَ إِلَىٰ عَذَابٍ عَظِيمٖ ١٠١﴾
“Antara orang-orang Arab Badwi yang di sekelilingmu itu ada orang-orang munafiq dan (demikian juga) sebahagian daripada penduduk Madinah; mereka keterlaluan dalam kemunafiqannya. Kamu (Muhammad) tidak mengetahui mereka, (tetapi) Kamilah (Allah) yang mengetahui mereka. Nanti mereka akan Kami seksa dua kali ganda, kemudian mereka akan dikembalikan kepada azab yang besar.”
[Surah al-Tawbah: 101]
Generasi awal umat Islam ialah generasi terbaik dan terpilih. Hal ini dijelaskan oleh sabda Rasulullah SAW:
خَيْرُ ‌النَّاسِ ‌قَرْنِي، ‌ثُمَّ ‌الَّذِينَ ‌يَلُونَهُمْ، ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ، ثُمَّ يَجِيءُ أَقْوَامٌ تَسْبِقُ شَهَادَةُ أَحَدِهِمْ يَمِينَهُ، وَيَمِينُهُ شَهَادَتَهُ.
“Sebaik-baik manusia adalah mereka yang hidup pada abadku, kemudian pada abad berikutnya, kemudian pada abad berikutnya. Kemudiannya, muncul golongan saksi yang bohong dan sumpah dusta.”
[Al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-Syahadat, No. 2652, dan Muslim, Sahih Muslim, Kitab Fada’il al-Sahabah, No. 2533, daripada ‘Abdullah bin Mas‘ud. Lafaz bagi al-Bukhari]
Al-Quran ialah kitab mukjizat ilmu yang berkekalan menjadi petunjuk kepada semua manusia, khusus mereka yang beriman dan bertaqwa, sepanjang zaman dan di mana-mana sahaja. Rasulullah SAW pula ialah pentafsir kepada al-Quran yang telah menerima wahyu kepadanya secara langsung. Adapun para sahabat RA pula merupakan generasi awal yang menerima secara langsung daripada Rasulullah SAW yang menjadi teladan dalam beramal.
Sekiranya pada zaman generasi terbaik dan di tempat yang mulia pun terdapat kalangan munafiq, sementelah di tempat yang lain di seluruh dunia dan sepanjang zaman pasti akan ada golongan munafiq.
Al-Quran bukanlah buku sejarah dan laporan media yang terikat dengan masa tertentu sahaja, walaupun ada kaitan dengan sejarah silam dan sebab-sebab yang khusus. Namun, ia tetap menjadi hidayah (petunjuk) yang kekal kepada manusia, hanya kalangan mereka yang beriman dan bertaqwa sahaja dapat memahaminya. Adapun golongan yang buta al-Quran tidak mampu memahami hakikat tersebut, bahkan ada yang menolaknya kerana jahil atau takabbur.
Semua label beriman, Islam, munafiq, kafir, zalim, fasiq dan lain-lain disebutkan dalam al-Quran dan hadis kerana keberadaannya dalam masyarakat manusia supaya masing-masing dapat menjaga diri.
Para sahabat generasi awal amatlah berwaspada dengan menjaga iman masing-masing, berwaspada takut dijangkiti dengan sifat-sifat munafiq.
‘Umar RA yang mengetahui bahawa Huzaifah RA merupakan orang yang diberikan maklumat oleh Rasulullah SAW mengenai senarai beberapa orang munafiq di Madinah, pernah bertanyakan Huzaifah adakah dirinya juga termasuk dalam senarai tersebut. Beliau sekali-kali tidak menanyakan hal orang lain. Apabila dilaksanakan sembahyang jenazah, ‘Umar RA akan melihat dahulu sama ada Huzaifah RA menyembahyangkan jenazahnya atau tidak.
Abu Zar RA apabila dimurkai Rasulullah SAW dan dilabelkan bahawa terdapat sifat jahiliah pada dirinya kerana telah menghina seorang sahabat yang lain, maka Abu Zar RA terus meminta maaf dan bertaubat. Beliau sekali-kali tidak marah dan tidak membawa tuduhan itu ke mahkamah.
Allah SWT sangat murka terhadap golongan munafiq, tetapi masih membuka pintu taubat kepada mereka.
Banyak ayat al-Quran dan hadis menyebut berkenaan sifat-sifat munafiq supaya setiap orang yang beriman berwaspada, pada masa yang sama memberi peluang kepada kalangan yang benar-benar munafiq agar bertaubat dan insaf.
Nifaq ialah sifat yang halus masuk ke dalam hati manusia yang merasakan dirinya sangat bijak, kerana boleh berada dengan semua pihak, sama ada kalangan Islam atau kalangan yang menentang Islam, demi kepentingan dirinya tanpa peduli terhadap agamanya.
Firman Allah SWT:
﴿وَإِذَا قِيلَ لَهُمۡ ءَامِنُواْ كَمَآ ءَامَنَ ٱلنَّاسُ قَالُوٓاْ أَنُؤۡمِنُ كَمَآ ءَامَنَ ٱلسُّفَهَآءُۗ أَلَآ إِنَّهُمۡ هُمُ ٱلسُّفَهَآءُ وَلَٰكِن لَّا يَعۡلَمُونَ ١٣ وَإِذَا لَقُواْ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ قَالُوٓاْ ءَامَنَّا وَإِذَا خَلَوۡاْ إِلَىٰ شَيَٰطِينِهِمۡ قَالُوٓاْ إِنَّا مَعَكُمۡ إِنَّمَا نَحۡنُ مُسۡتَهۡزِءُونَ ١٤ ٱللَّهُ يَسۡتَهۡزِئُ بِهِمۡ وَيَمُدُّهُمۡ فِي طُغۡيَٰنِهِمۡ يَعۡمَهُونَ ١٥ أُوْلَـٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ ٱشۡتَرَوُاْ ٱلضَّلَٰلَةَ بِٱلۡهُدَىٰ فَمَا رَبِحَت تِّجَٰرَتُهُمۡ وَمَا كَانُواْ مُهۡتَدِينَ ١٦﴾
“Apabila dikatakan kepada mereka, ‘Berimanlah kamu sebagaimana orang-orang lain telah beriman’. Mereka menjawab, ‘patutkah kami beriman sebagaimana orang-orang yang bodoh itu telah beriman?’ Ingatlah, sesungguhnya merekalah orang-orang yang bodoh; tetapi mereka tidak tahu. (13) Dan apabila mereka berjumpa dengan orang-orang yang beriman, mereka mengatakan, ‘Kami telah beriman’. Dan apabila mereka kembali kepada syaitan-syaitan mereka, mereka mengatakan, ‘Sesungguhnya, kami sependirian dengan kamu, kami hanyalah berolok-olok’. (14) Allah akan (membalas) olok-olokan mereka dan membiarkan mereka terumbang-ambing dalam kesesatan mereka. (15) Mereka itulah orang yang membeli kesesatan dengan petunjuk, maka tidaklah beruntung perniagaan mereka dan tidaklah mereka mendapat petunjuk. (16)” [Surah al-Baqarah: 13-16]
Mereka menganggap dirinya bijaksana dan pandai mengambil kesempatan. Adapun orang yang tidak sepertinya pula dianggap bodoh.
Antara sifat mereka ialah menghina orang miskin yang berderma kerana Allah, sebagaimana yang dinyatakan melalui firman-Nya:
﴿ٱلَّذِينَ يَلۡمِزُونَ ٱلۡمُطَّوِّعِينَ مِنَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ فِي ٱلصَّدَقَٰتِ وَٱلَّذِينَ لَا يَجِدُونَ إِلَّا جُهۡدَهُمۡ فَيَسۡخَرُونَ مِنۡهُمۡ سَخِرَ ٱللَّهُ مِنۡهُمۡ وَلَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمٌ ٧٩﴾
“(Orang-orang munafiq itu) iaitu orang-orang yang mencela orang-orang Mukmin yang memberi sedekah dengan sukarela dan (mencela) orang-orang yang tidak memperoleh (untuk disedekahkan) selain sekadar kesanggupannya, maka orang-orang munafiq itu menghina mereka. Allah akan membalas penghinaan mereka itu, dan untuk mereka azab yang pedih.” [Surah al-Tawbah: 79]
Selain itu, antara sifatnya juga mencari kemenangan dunia dengan berwala’ kepada kalangan bukan Islam yang bermusuh terhadap Islam. Firman Allah SWT:
﴿بَشِّرِ ٱلۡمُنَٰفِقِينَ بِأَنَّ لَهُمۡ عَذَابًا أَلِيمًا ١٣٨ ٱلَّذِينَ يَتَّخِذُونَ ٱلۡكَٰفِرِينَ أَوۡلِيَآءَ مِن دُونِ ٱلۡمُؤۡمِنِينَۚ أَيَبۡتَغُونَ عِندَهُمُ ٱلۡعِزَّةَ فَإِنَّ ٱلۡعِزَّةَ لِلَّهِ جَمِيعٗا ١٣٩ وَقَدۡ نَزَّلَ عَلَيۡكُمۡ فِي ٱلۡكِتَٰبِ أَنۡ إِذَا سَمِعۡتُمۡ ءَايَٰتِ ٱللَّهِ يُكۡفَرُ بِهَا وَيُسۡتَهۡزَأُ بِهَا فَلَا تَقۡعُدُواْ مَعَهُمۡ حَتَّىٰ يَخُوضُواْ فِي حَدِيثٍ غَيۡرِهِۦٓ إِنَّكُمۡ إِذٗا مِّثۡلُهُمۡۗ إِنَّ ٱللَّهَ جَامِعُ ٱلۡمُنَٰفِقِينَ وَٱلۡكَٰفِرِينَ فِي جَهَنَّمَ جَمِيعًا ١٤٠﴾
“Khabarkanlah kepada orang-orang munafiq bahawa mereka akan mendapat seksaan yang pedih. (138) (Iaitu) orang-orang yang mengambil orang-orang kafir (musuh Islam) menjadi wali (teman-teman penolong mencari kemenangan) dengan meninggalkan orang-orang Mukmin. Apakah mereka mencari kekuatan di sisi orang kafir itu? Maka, sesungguhnya semua kekuatan kepunyaan Allah. (139) Dan sungguh Allah telah menurunkan kekuatan kepada kamu di dalam al-Quran; iaitu apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah diingkari dan diperolok-olokkan (oleh orang-orang kafir), maka janganlah kamu duduk berserta mereka sehingga mereka memasuki pembicaraan yang lain. Kerana sesungguhnya (kalau kamu berbuat demikian), tentulah kamu serupa dengan mereka. Sesungguhnya, Allah akan mengumpulkan semua orang-orang munafiq dan orang-orang kafir di dalam neraka Jahannam. (140)” [Surah al-Nisa’: 138-140]
Firman Allah SWT:
﴿۞وَإِذَا رَأَيۡتَهُمۡ تُعۡجِبُكَ أَجۡسَامُهُمۡۖ وَإِن يَقُولُواْ تَسۡمَعۡ لِقَوۡلِهِمۡۖ كَأَنَّهُمۡ خُشُبٞ مُّسَنَّدَةٞۖ يَحۡسَبُونَ كُلَّ صَيۡحَةٍ عَلَيۡهِمۡۚ هُمُ ٱلۡعَدُوُّ فَٱحۡذَرۡهُمۡۚ قَٰتَلَهُمُ ٱللَّهُۖ أَنَّىٰ يُؤۡفَكُونَ ٤﴾
“Dan apabila kamu melihat mereka, tubuh-tubuh mereka menjadikan kamu kagum. Dan apabila mereka berkata-kata, kamu mendengarkan perkataan mereka. Mereka adalah seakan-akan kayu yang tersandar. Mereka mengira bahawa tiap-tiap teriakan yang keras ditujukan kepada mereka. Mereka itulah musuh (yang sebenarnya), maka waspadalah terhadap mereka; semoga Allah membinasakan mereka. Bagaimanakah mereka sampai dipalingkan (daripada kebenaran)?” [Surah al-Munafiqun: 4]
Rasulullah SAW bersabda:
‌أَرْبَعٌ ‌مَنْ ‌كُنَّ ‌فِيهِ ‌كَانَ ‌مُنَافِقًا ‌خَالِصًا، وَمَنْ كَانَتْ فِيهِ خَصْلَةٌ مِنْهُنَّ كَانَتْ فِيهِ خَصْلَةٌ مِنَ النِّفَاقِ، حَتَّى يَدَعَهَا: إِذَا اؤْتُمِنَ خَانَ، وَإِذَا حَدَّثَ كَذَبَ، وَإِذَا عَاهَدَ غَدَرَ، وَإِذَا خَاصَمَ فَجَرَ.
“Empat perkara; apabila ada pada seseorang itu maka dia ialah seorang munafiq; dan sesiapa yang ada pada dirinya salah satu daripadanya, maka ada sifat munafiq pada dirinya sehingga dia meninggalkannya. (Empat sifat itu) apabila diberikan amanah, dia khianat; apabila bercakap, dia bohong; apabila berjanji, tidak ditunaikan; dan apabila berbahas, dia keras dengan kejahatannya (bukan mencari kebenaran).”
[Al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-Iman, No. 34 dan Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Iman, No. 58, daripada ‘Abdullah bin ‘Amru. Lafaz bagi al-Bukhari]
Allah SWT tetap memberi peluang taubat kepada mereka yang munafiq, lalu mereka tidak diambil tindakan oleh Rasulullah SAW. Firman Allah SWT:
﴿إِنَّ ٱلۡمُنَٰفِقِينَ فِي ٱلدَّرۡكِ ٱلۡأَسۡفَلِ مِنَ ٱلنَّارِ وَلَن تَجِدَ لَهُمۡ نَصِيرًا ١٤٥ إِلَّا ٱلَّذِينَ تَابُواْ وَأَصۡلَحُواْ وَٱعۡتَصَمُواْ بِٱللَّهِ وَأَخۡلَصُواْ دِينَهُمۡ لِلَّهِ فَأُوْلَـٰٓئِكَ مَعَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَۖ وَسَوۡفَ يُؤۡتِ ٱللَّهُ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ أَجۡرًا عَظِيمٗا ١٤٦ مَّا يَفۡعَلُ ٱللَّهُ بِعَذَابِكُمۡ إِن شَكَرۡتُمۡ وَءَامَنتُمۡۚ وَكَانَ ٱللَّهُ شَاكِرًا عَلِيمٗا ١٤٧﴾
“Sesungguhnya, orang-orang munafiq itu (ditempatkan) pada tingkatan yang paling bawah dari (lapisan-lapisan dalam) neraka. Dan kamu sekali-kali tidak akan mendapat seorang penolong pun bagi mereka. (145) Kecuali orang-orang yang bertaubat dan mengadakan perbaikan; dan mereka pula berpegang teguh pada (agama) Allah dan tulus ikhlas (mengerjakan) agama mereka kerana Allah. Maka, mereka itu adalah bersama-sama orang yang beriman dan kelak Allah akan memberikan kepada orang-orang yang beriman pahala yang besar. (146) Mengapa Allah akan menyeksamu, jika kamu bersyukur dan beriman? Dan Allah adalah Maha Mensyukuri, lagi Maha Mengetahui. (147)” [Surah al-Nisa’: 145-147]
Sepatutnya setiap orang melakukan muhasabah ke atas dirinya, bimbang jika ada pada dirinya sifat-sifat munafiq yang merosakkan iman dan amalannya. Janganlah jadi seperti orang yang menyembunyikan penyakit kurap dan gatal dalam bajunya, apabila disebutkan perkataan gatal lalu mereka menggaru.
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 29 Jumada al-Ula 1445 / 13 Disember 2023
[Bil: 105 / 2023]
Copy and paste:
20 Disember 2023 > 7 Jamadilakhr 1445H: 12.19 am

No comments:

Post a Comment