ZULHEIMY MAAMOR

Sunday, 17 December 2023

FAHAMI IMAM AL-MAHDI MENERUSI ALIM ULAMA, BUKAN MERUJUK SUMBER TELAHAN

Oleh Dr. Yusry Affandy

1. Tulisan di bawah kurang tepat berdasarkan disipilin ilmu yang sahih. Ia lebih kepada sangkaan. Mendukacitakan, menjurus buruk sangka kepada kebanyakan golongan ilmu seperti asatizah dan alim ulama.
2. Mempercayai kemunculan Imam al-Mahdi sabit dengan petunjuk hadith. Tetapi jangan sampai terheret kepada sumber tidak muktabar. Terlalu cemas hingga ada di kalangan umat Islam yang menjalar menjadi golongan Syiah. Syiah melampau dalam isu Imam al-Mahdi. Mereka menobatkan tokoh mereka sebagai penyelamat sebenar dan meletakkan wajib percaya dalam kerangka fahaman mereka walaupun daripada sumber yang diragui.
Dalam fahaman Ahli Sunnah wal Jamaah, kita perlu mempercayai kemunculan Imam al-Mahdi kerana diterangkan Rasulullah SAW. Bukan kerana info FB atau cerita pendek Youtube. Namun awas, percaya tidaklah menghalalkan fahaman yang bukan-bukan untuk diada-adakan dan disebar.
Banyak orang percaya kepada peristiwa akhir zaman dengan telahan yang tidak muktabar. Dalam isu Imam al-Mahdi, hasil daripada pengaruh pihak tertentu, zaman-berzaman menyaksikan ramai yang telah mengaku menjadi Imam al-Mahdi. Ramai manusia menjadi pendokong perjuangan yang sia-sia. Ini akibat eksploitasi maklumat dan pelancaran pengaruh.
3. Kemunculan Imam al-Mahdi hendaklah difahami berdasarkan hadith yang sahih. Tidak boleh membuat andaian atau cerita akhir zaman tanpa berdalilkan teks agama yang asal. Takwilan hadith perlu atas syarah ulama hadith di kalangan Ahli Sunnah wal Jamaah. Selamatnya ialah mengamati hadith. Sememangnya Imam al-Mahdi akan keluar kelak dan seluruh orang beriman akan mengikutinya dengan asas al-Quran dan al-Sunnah.
Tidak akan timbul, orang Islam tidak mahu mengikutinya kelak apabila ada ilmu dan beramal soleh. Mereka itulah orang-orang yang lazim mengikuti ilmu para ulama dan jamaah (solidariti dan perjuangan ummah) kaum Muslimin yang tidak celaru identiti, pegangan syariah dan sudah tentu ‘aqidah. Rasulullah SAW ketika ditanya Huzaifah al-Yaman berkenaan cara menyelamatkan diri daripada fitnah akhir zaman, baginda bersabda:
تَلْزَمُ جَمَاعَةَ الْمُسْلِمِينَ وَإِمَامَهُم
Maksudnya: Beriltizamlah dengan jamaah Islam dan pemimpin mereka.
[Hadis Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim]
4. Allah menyatakan kelebihan ahli ilmu dengan firman-Nya:
شَهِدَ اللَّـهُ أَنَّهُ لَا إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ وَالْمَلَائِكَةُ وَأُولُو الْعِلْمِ قَائِمًا بِالْقِسْطِ ۚ لَا إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِييمُ
Maksudnya: “Allah menerangkan (kepada sekalian makhlukNya dengan dalil-dalil dan bukti), bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) dengan keadilan, dan malaikat-malaikat serta orang-orang yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga yang demikian); tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”
(Surah Ali Imran: 18)
Alim ulamalah yang amat kenal Imam al-Mahdi berdasarkan nas agama. Tiba-tiba mereka dijadikan kelompok kambing hitam agar tidak dapat dipercayai tentang rujukan dan keyakinan terhadap kemunculan Imam al-Mahdi.
Awasi celaan atau usaha memburukkan ahli agama biarpun mungkin setengah orang berbeza fahaman mazhab, aliran pemikiran atau pendirian politik. Kritikan hendaklah khusus dalam sesuatu isu apabila melihat kalangan ahli agama yang tersalah langkah. Jangan dibakar semua jasa dan maruah ahli ilmu. Hindarilah daripada memutuskan golongan asatizah, tuan-tuan guru, mufti, kiyai dan sebagainya rata-ratanya ‘pak lebai’ yang tidak berguna, terompah pemerintah dan pelbagai tuduhan nista lain.
Fokus terhadap sesuatu isu. Boleh mengkritik secara ilmu yang sahih jika merasakan di pihak yang benar. Sememangnya ada asatizah, ahli ilmu, ulama yang tunduk dengan dunia. Namun kemuliaan ahli ilmu bukan bahan mainan. Mana-mana manusia termasuk ulama ada melakukan kesilapan dan dosa. Tidaklah wajar merangkumkan ahli ilmu sebagai majoriti manusia yang tidak terpakai di akhir zaman.
5. Ulama su' adalah ilmuan jahat yang menyembunyi ilmu, tidak beramal dan menyokong kejahatan. Dalam pada itu ulama haq ialah mereka yang berilmu, beramal dan mengisafi kebenaran. Mereka akan sentiasa ada biarpun berjawatan di pihak pemerintah yang bertanggungjawab mengendali maslahat manusia. Tidak luput terus golongan ulama haq. Rasulullah SAW bersabda:
يَرِثُ هَذَا الْعِلْمَ مِنْ كُلِّ خَلَفٍ عُدُولُهُ , يَنْفُونَ عَنْهُ تَأْوِيلَ الْجَاهِلِينَ , وَانْتِحَالَ الْمُبْطِلِينَ , وَتَحْرِيفَ الْغَالِينَ
Maksudnya: “Akan membawa ilmu (agama) ini dari setiap generasi orang-orang yang adil (terpercaya) dari mereka, mereka akan membersihkan ilmu agama daripada at-tahriif (menyelewengkan kebenaran/merubah kebenaran dengan kebatilan) daripada goloongan yang melampaui batas, penipuan golongan yang ingin merosakkan agama (syariat Islam) dan pentakwilan golongan yang jahil.”
(Riwayat al-Baihaqi, no.20911)
6. Jika tidak diikut ulama itu, apakah hendak ikut ahli nujum, pakar kimia, ahli silat, juruterbang dan lain-lain? Mereka ini contoh ahli bidang yang hebat. Ada juga bergelar 'ahli hal langit', tetapi tertolak kerana terlibat kerja memandai-mandai urusan agama seperti ahli nujum. Tidak boleh kelebihan mereka mengatasi para ulama. Ulama itu pewaris para Nabi. Dari mereka diambil segala riwayat peristiwa akhir zaman, asalkan yang muktabar & mereka terbukti soleh dan warak.
7. Meskipun akhir zaman tercetus banyak fitnah, namun golongan ulama, insan soleh & solehah di kalangan umat Islam akan sentiasa wujud. Mereka terus berjuang menceritakan perkara yang benar & menyanggah perkara tidak benar. Banyak hadith yang mensifatkan golongan yang setia dengan Islam di akhir zaman.
Justeru, jangan bimbang kebenaran masih dapat dipegang hasil ilmu-ilmu agama yang diwarisi golongan tadi. Hadith daripada Thauban R.A bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda:
لَا تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي قَائِمَةً بِأَمْرِ اللَّهِ لَا يَضُرُّهُمْ مَنْ خَذَلَهُممْ أَوْ خَالَفَهُمْ حَتَّى يَأْتِيَ أَمْرُ اللَّهِ وَهُمْ ظَاهِرُوننَ عَلَى النَّاسِ
Maksudnya: “Akan sentiasa ada golongan daripada kalangan umatku yang berdiri dengan perintah Allah (Islam), tidak berupaya memudaratkan mereka daripada pihak yang memerangi mereka atau yang mengatasi mereka sehinggalah datang keputusan Allah dan mereka akan sentiasa berada di kalangan manusia (sehingga datang hari kiamat).
(Riwayat Muslim)
8. Tidaklah sampai ikut ulama dan pemimpin terus jadi sesat. Melainkan ikut orang-orang yang bercakap ikut hawa nafsu dan pemimpin yang ternyata zalim. Ada manusia yang mahu mengikuti mereka kerana mahukan dunia & ingin langgar hukum yang dianggap payah. Itulah golongan yang akan mengingkari Imam al-Mahdi kelak.
9. Dalam memahami bab tanda-tanda Kiamat dan perkara akhir zaman, tidak wajar disuburkan dengan sentimen semata-mata. Ada yang mahu berlawan kuasa kejahatan, anti Barat & cemas terhadap Dajjal dengan semangat semata-mata tanpa belajar dan beramal dengan agama. Ia perlu belajar dengan tenang Aqidah, Fiqh dan Tasawwuf. Baru benar kalam dan tindakan serta tenang hidup.
10. Tugas terpenting kita sekarang ialah beramal soleh. Kemunculan Imam al-Mahdi dipercayai dengan ilmu yang jelas. Fitnah akhir zaman tidak akan menggugat peribadi muslim dan muslimah sejati.
Biar kesemua itu mendatang, tetapi kita tetap berpegang dengan al-Quran & al-Sunnah. Jangan kita memandai urusan agama termasuk suka membuat telahan. Telahan boleh menjadi sangkaan yang berdosa.
Bahaya mahu bercakap apa sahaja untuk mewakili Imam al-Mahdi, sedangkan hal-hal itu Nabi SAW tinggalkan secara umum. Tiba-tiba ada pihak yang mengkhususkan dan membuat keputusan contohnya bilakan masa keluar Imam al-Mahdi, siapa sebenarnya Imam al-Mahdi sekarang, tarikh kematiannya, atau senarai pendokongnya. Peringatan daripada Rasulullah SAW:
من ادّعى ما ليس له فليس منّا
Maksudnya: “Sesiapa yang mendakwa sesuatu yang bukan haknya, bukanlah ia dari ummatku.”
(Hadith Riwayat Muslim)
11. Moga Allah memelihara diri kita semua daripada mengabaikan keterangan agama dan membuat usaha yang tidak menguntungkan umat di celah-celah akhir zaman. Jadilah golongan yang masih setia dengan Islam dengan sumber al-Quran dan al-Sunnah.
In sha Allah ulama muktabar masih ramai. Asatizah pun ramai lagi yang masih soleh, beramal dengan agama. Mengikuti mereka lebih selamat daripada berkiblatkan akal fikiran sendiri dan percaya terus kepada identiti yang samar.
- Dr. Muhammad Yusry Affandy Yusuff -

Copy and paste:
17 Disember 2023 > 4 Jamadilakhir 1445H: 11.35 am

No comments:

Post a Comment