ZULHEIMY MAAMOR

Sunday, 10 September 2023

Perang Salib 1511 : Gagalnya Portugis mengkristiankan Tanah Melayu

Posted by Rozza Zainal > PERISTIWA N' SEJARAH

Jalur sejarah mencoretkan kononnya apa yang berlaku pada tahun 1511 itu merupakan kekalahan orang-orang Melayu kepada tentera salib Portugis. Bila difahami dengan kefahaman yang benar, yang jatuh ke tangan Portugis itu hanyalah Kota Melaka bukannya keseluruhan empayar Melaka.
Hakikatnya misi tentera salib Portugis untuk mengaut kekayaan Tanah Melayu dan menghapuskan Islam di Nusantara ini gagal. Ya, Portugis sebenarnya telah gagal mengkristiankan Tanah Melayu. Mereka bina gereja di Bukit Melaka hasil runtuhan Masjid Agung Melaka, namun mereka gagal menghapuskan Islam di Nusantara seperti yang mereka idamkan persis di Andalusia.
Sultan Mahmud walaupun berundur tidak bermakna menyerah kalah, beberapa misi serangan dilancarkan baik secara terbuka mahupun secara gerila. Portugis terpaksa membina kubu Kota A Famosa untuk bertahan dan hampir sahaja tentera Salib itu semua mati kebulur apabila bekalan makanan disekat oleh pejuang-pejuang Melayu. Derita tentera salib Portugis bertambah parah apabila seruan jihad ke atas mereka tak sekadar disahut pejuang Melaka bahkan sehingga ke Pulau Jawa di bawah Kesultanan Demak menghantar armada perang membantu pejuang Melayu Melaka dan ini diikuti kerajaan-kerajaan Islam lainnya di Nusantara.
Portugis tidak mampu memperluaskan jajahan takluknya diluar Kota Melaka. Mereka dibantai semahunya oleh orang-orang Melayu bahkan Kota A Famosa hampir sahaja ditawan oleh pejuang-pejuang Melayu Kesultanan Johor. Disitu sahaja matlamat "glory" Portugis tidak kesampaian.
Portugis tidak mampu memunggah kekayaan milik orang Melayu untuk dilapah di negara asalnya. Di ceritakan sebuah kapal besar milik Portugis dengan muatan perbendaharaan istana Melaka tenggelam di perairan Acheh. Pelabuhan Melaka yang dikuasai Portugis juga tidak segah dizaman Kesultanan Melayu Melaka apabila para pedagang lebih bertumpu ke pelabuhan Acheh dan Johor sebagai alternatif. Ditambah dengan kemarahan Dinasti Ming yang menganggap Kesultanan Melaka sebagai sekutu naungannya menazakkan terus pelabuhan Melaka di bawah Portugis.
Kesimpulannya, melihatlah apa yang terjadi pada tahun 1511 itu biarlah dengan mata teropong yang luas dan neraca yang jelas. Tak terbayangkan jika Sultan Mahmud dan orang-orang Melayu sekadar menyerah tengkuk tak melawan, mungkin bumi Tanah Melayu ini senasib Islam di Sepanyol (Andalusia) yang dihapuskan secara total tak tersisa. Disitulah gagalnya Portugis memurtadkan leluhur Tanah Melayu ini dan menjarah hasil kekayaannya.
Copy and paste:
10/9/2023 > 25 Safar 1445H: 9.13 pm

No comments:

Post a Comment