ZULHEIMY MAAMOR

Monday, 4 September 2023

KISAH KOPERAL JAMAL BERSAMA ANAK BERUANG BERNAMA BUJANG

SUMBER : FB POLIS DIRAJA MALAYSIA > 28 JUNE 2020


Terima kasih diucapkan kepada Saudara Tun Kamalul Zaman atas perkongsian kisah menarik arwah bapanya, Koperal Abdul Jamal yang pernah berkhidmat sebagai anggota Pasukan Polis Hutan (PPH), suatu ketika dahulu.
Menurut Saudara Tun, bapanya telah diarahkan bertugas di satu kawasan hutan di negeri Sarawak bagi menjaga sempadan negara daripada dicerobohi Tentera Nasional Indonesia (TNI) semasa berlakunya Konfrontasi Malaysia-Indonesia, sekitar awal tahun 1960-an.
Satu hari, ketika beliau dan rakan-rakan platun sedang melakukan rondaan rutin di kawasan hutan tersebut, mereka terserempak dengan bangkai seekor beruang matahari betina yang dipercayai ditembak oleh anggota TNI.
Tembakan daripada pihak musuh itu jelas, berdasarkan sejumlah kelongsong peluru dari senapang rifle yang bertaburan berhampiran bangkai haiwan tersebut.
Selepas memastikan keadaan sekitar selamat, Koperal Jamal dan rakan-rakan terus mendekati bangkai haiwan berkenaan dan menemui seekor anak beruang yang masih kecil, sedang menyusu ibunya tanpa menyedari ia tidak lagi bernyawa.
Atas rasa simpati dan yakin anak beruang itu tidak akan dapat hidup lama jika dibiarkan bersendirian, Koperal Jamal mengambil keputusan untuk menjaganya. Beliau mengosongkan beg senjata yang dipikul dan meletakkan anak beruang itu dengan penuh berhati-hati sebelum membawanya pulang ke markas.
Dengan bekalan makanan mencukupi di markas, anak beruang yang diberi nama Bujang itu dijaga dengan penuh kasih sayang oleh Koperal Jamal dan rakan-rakannya. Ia turut merasakan Koperal Jamal sebagai ibu kandung dan sentiasa berada di sisi beliau.
Selama tiga tahun dalam jagaan, Bujang telah diberikan campuran susu tepung, air, madu dan gula yang menjadi kegemarannya sehingga ia membesar dengan sihat. Bujang turut dianggap sebagai maskot PPH oleh para pegawai dan anggota di situ.
Selepas tamatnya Konfrontasi Malaysia-Indonesia, Koperal Jamal dan rakan-rakan sepasukan diarah untuk kembali semula ke pangkalan di Ulu Kinta, Perak.
Koperal Jamal telah bercadang untuk membawa pulang 'anak angkat'nya itu bersama namun malangnya, undang-undang negeri tidak membenarkan mana-mana hidupan liar dibawa keluar dari hutan tersebut.
Bujang seakan-akan terpinga apabila melihat Koperal Jamal dan rakan-rakan sibuk membuka khemah serta mengemas peralatan ke dalam trak polis yang telah sedia menanti.
Kerana sayangnya kepada Bujang, Koperal Jamal sempat membersih, memberus bulu dan memberikan makanan dan minuman buat kali terakhir kepada Bujang.
Setiap pegawai dan anggota di situ turut memeluk Bujang dengan hati yang sebak sebelum mereka menaiki trak untuk keluar dari hutan tersebut.
Seakan memahami dirinya akan ditinggalkan, Bujang merintih apabila dipeluk oleh Koperal Jamal yang nyata turut menangisi saat perpisahan itu.
Semasa trak mula bergerak perlahan-lahan meninggalkan lokasi, Bujang telah mengejar buat beberapa ketika sambil merintih.
Mungkin kerana kepenatan, Bujang berhenti mengejar dan hanya mampu melihat trak itu berlalu pergi. Pandangan mata terakhir yang sayu oleh Bujang begitu merobek hati Koperal Jamal.
Kisah Koperal Jamal dan Bujang akhirnya terhenti di situ dan sehingga ke akhir hayatnya, Koperal Jamal sentiasa terkenang akan haiwan tersebut yang merupakan sumber kekuatan serta inspirasi buat dirinya.
Walaupun ramai pegawai dan anggota polis yang terkorban dalam mempertahankan keamanan dan kedaulatan negara ketika itu, namun siapa sangka, antara perkara mulia yang mereka lakukan adalah mengasuh dan membesarkan seekor anak beruang yang kehilangan ibunya.
Al-Fatihah dan salam takziah buat wira-wira negara yang telah pergi meninggalkan kita. Sesungguhnya jasa dan pengorbanan mereka tidak mampu diganti dengan apa juapun yang ada di dunia ini.
Foto: Gambar kenangan Koperal Jamal bersama Konstabel G.Lee ketika memberi minuman kepada Bujang.
Copy and paste:
4/9/2023 > 18 Safar 1445H:> 11.35 am

No comments:

Post a Comment