ZULHEIMY MAAMOR

Tuesday, 1 August 2023

Teladani Kisah Abu Dzar Agar Kita Waspada Memilih Calon Pemimpin

SUMBER: ISLAM ITU INDAH

Islam sangat mengambil peduli berhubung kepemimpinan dan aspek memilih pemimpin. Pemilihan seorang pemimpin tidak boleh dilakukan secara ‘tangkap muat’ atau mengikut selera tanpa meneliti ilmunya, latar belakang pendidikan, keadaan fizikal dan mental.

Bahkan memilih pemimpin yang tepat adalah antara aspek penting dalam kehidupan beragama dan bermasyarakat. Pemimpin memiliki peranan besar menentukan arah tuju yang akan mempengaruhi kesejahteraan umat.

Dalam Islam, hukum memilih pemimpin adalah wajib berdasarkan syarat tertentu. Hal bersandarkan kepada nas al-Quran bermaksud: “Dan urusan mereka (umat Islam) adalah dengan musyawarah di antara mereka.” (Surah as-Syura, ayat 38)

Berdasarkan aspek ini, umat Islam boleh mengambil iktibar daripada kisah sahabat Nabi SAW, iaitu Abdu Dzar RA. Dalam satu riwayat hadis, Abu Dzar meminta jawatan daripada Nabi SAW, namun Baginda tidak memberikan jawatan diminta.

Sabda Nabi SAW terhadap Abu Dzar bermaksud: “Engkau adalah insan lemah. Sesungguhnya ia (kepemimpinan) adalah amanah. Sesungguhnya ia pada hari kiamat adalah penyesalan, melainkan jika insan mengambilnya dengan haknya dan menunaikannya dengan sebaiknya”.

Riwayat hadis ini tidak bertujuan merendahkan kedudukan Abu Dzar. Riwayat hadis ini menunjukkan kejujuran Nabi SAW dan sikap integriti Baginda sangat tinggi sehingga sanggup tidak melantik insan tidak layak untuk mengisi jawatan, walaupun insan itu adalah sahabat baik Nabi sendiri.

Riwayat hadis ini menunjukkan kepemimpinan perlu kepada dua sifat utama, iaitu kekuatan dan amanah serta berintegriti. Contohnya, kuat dalam sudut intelek, watak dan membuat keputusan. Kuat juga merujuk kepada tidak gopoh membuat keputusan.

Amanah serta integriti pula menggambarkan sikap jujur, tidak rasuah, tidak berdusta dan tidak membuat janji palsu. Insan kuat tetapi tidak ada integriti tidak layak diangkat menjadi pemimpin. Insan berintegriti, tetapi lemah juga tidak layak dipilih sebagai pemimpin, apatah lagi insan tiada kekuatan dan tiada integriti.

Politik dan kenegaraan adalah perkara besar diambil perhatian dalam Islam. Parti politik adalah platform untuk melahirkan pemimpin mempunyai pengaruh besar dalam masyarakat dan alatnya adalah menerusi pemilihan parti serta pilihan raya.

Ahli politik adalah sebahagian daripada pihak bertanggungjawab dalam urusan pentadbiran negara sama ada pada pihak kerajaan atau pembangkang. Perkara besar ini memerlukan insan kuat, bukan lemah.

Antara watak lemah ialah tidak fokus kepada perkara utama. Contohnya, seorang pemimpin banyak menghabiskan masa menyindir, mengejek atau mengungkit sejarah pihak lawan.

Dalam perdebatan, ada masanya perkataan tidak wajar diucapkan kepada pihak lawan. Contohnya, perkataan bodoh dan degil. Ada yang mengejek fizikal lawan atau disebut body shaming. Perkara kecil diperbesarkan sehingga menghabiskan masa. Ini semua merugikan negara dan rakyat.

Antara watak lemah pemimpin ialah fanatik kepada parti tanpa berpihak kepada kebenaran. Maka ada pihak sanggup mempertahankan ahli parti dan pemimpin, walaupun jelas kesilapan dilakukan. Watak ini tidak menjadikan kebenaran sebagai asas. Ini merugikan negara dan rakyat.

Termasuk pemimpin berperwatakan lemah ialah mengangkat ahli sendiri, walaupun tiada kelayakan. Ada yang dilantik mengisi sesuatu jawatan besar walaupun tidak mempunyai ilmu dalam bidang berkaitan.

Faktor usia letihkan insan

Insan sudah tua dan uzur juga boleh dikategori sebagai pemimpin lemah. Relatifnya umur 70 tahun adalah satu tahap umur sudah tua. Hanya segelintir sahaja masih sihat walaupun berusia 70 tahun namun faktor usia tetap meletihkan insan.

Pada usia ini, tahap kesihatan badan sudah merosot, fikiran tidak stabil dan mungkin lemah fizikal serta mental. Dalam riwayat hadis dinyatakan panjang umur umat Nabi Muhammad SAW antara 60 tahun hingga 70 tahun.

Ini bermaksud kebanyakan manusia memasuki usia tua apabila mencapai umur 70 tahun. Ia juga pemberitahuan bahawa ajal makin dekat dengan individu terbabit.

Jika keadaan kesihatan seorang pemimpin tidak mengizinkan ditambah pula dengan faktor usia terlalu tua, maka negara dan rakyat akan kerugian jika pemimpin dipilih dalam kalangan orang sakit dan terlalu tua. Sebaliknya, kita individu berusia antara 35 hingga 70 tahun antara kriteria perlu menjadi keutamaan untuk dilantik sebagai pemimpin.

Selain itu, watak lemah dalam kepemimpinan negara ialah tiadanya keseimbangan antara pelbagai aspek. Contohnya, ada pemimpin rajin beribadat seperti mendirikan solat sunat dan berpuasa, tetapi tidak mengambil berat isu kebajikan rakyat.

“Tidak ada kewajipan taat dalam rangka bermaksiat (kepada Allah). Ketaatan hanyalah dalam perkara makruf (bukan maksiat)”. (HR Bukhari)

Ada pula pemimpin cuba menjaga keharmonian kaum sehingga melanggar asas agama Islam. Ada pemimpin berkarisma untuk berdakwah, tetapi tidak mengambil berat isu ketelusan pentadbiran. Ada pemimpin mudah berjanji tanpa mengambil kira aspek Perlembagaan dan undang-undang.

Tidak dinafikan, Malaysia kekurangan pemimpin muda berkaliber dan beragama untuk memimpin negara. Negara juga kekurangan pemimpin muda mahir dalam hubungan antarabangsa.

Lebih malang lagi jika kita kekurangan pemimpin muda yang mampu mengutamakan Islam dalam pentadbiran seperti dalam isu agama, ekonomi, politik dan sosial.

Pilihan Raya Negeri (PRN) bakal berlangsung tidak lama lagi, semoga setiap parti memilih calon benar berwibawa untuk dinaikkan sebagai pemimpin utama negara kita.

Carilah calon tegas seperti Saidina Umar al-Khattab, calon telus dan berintegriti seperti Khalifah Umar Abd al-Aziz atau calon bijak berpolitik seperti Muawiyah.

Paling penting, ambil pengajaran daripada keputusan Nabi SAW tidak melantik sahabatnya, Abu Dzar sebagai pemimpin demi kebaikan rakyat dan negara.

Copy and paste: 1 Ogos 2023 > 14 Muharram 1445H: 10.43 am


No comments:

Post a Comment