ZULHEIMY MAAMOR

Tuesday, 2 May 2023

PERANG JAMAL: SEJARAH & KRONOLOGI

POSTED BY: ROZZA ZAINAL > PERISTIWA N' SEJARAH

Artikel ini akan membincangkan Perang Jamal, perang saudara pertama dalam Islam yang terhasil daripada fitnah golongan munafik pada zaman pemerintahan Ali bin Abu Talib.
Bilakah Perang Jamal Berlaku?
Perang Jamal berlaku tahun 36 Hijrah. Peperangan ini melibatkan pasukan kaum muslimin di bawah Sayyidatina Aisyah, isteri Rasulullah SAW menentang kaum muslimin di bawah Khalifah Ali bin Abu Talib, khalifah keempat umat Islam dan menantu Rasulullah SAW. Peperangan ini terjadi di Basrah akibat fitnah golongan munafik yang membunuh dan menyokong pembunuhan Khalifah Uthman bin Affan.
Sebab Berlakunya Perang Jamal
Khulafa’ al-Rasyidin yang ketiga iaitu Uthman bin Affan telah dibunuh oleh golongan Khawarij. Berikutan pembunuhan tersebut, sesetengah golongan kaum muslimin terutamanya golongan Bani Umayyah (keluarga Khalifah Uthman) menuntut qisas dengan mengenakan hukuman bunuh kepada pembunuh Khalifah Uthman. Namun, Ali bin Abu Talib yang baru sahaja dilantik sebagai khalifah berpandangan bahawa hukuman tersebut tidak wajar dilaksanakan dahulu kerana kestabilan negara yang kucar-kacir dengan fitnah perlu dikembalikan dengan mustahak. Tambahan pula, pembunuh-pembunuh Uthman telah berbai’ah kepada Khalifah Ali. Hukuman tersebut pada pandangan beliau, perlu dilakukan setelah beliau menguasai pemimpin-pemimpin Khawarij yang memiliki kekuatan dan pengikut yang ramai.
Pembentukan Pasukan Sayyidatina Aisyah
Pandangan Khalifah Ali ditentang oleh golongan Bani Umayyah, Sayyidatina Aisyah di Mekah dan Muawiyah bin Abu Sufyan di Syam. Thalhah bin Ubaidillah dan Zubair bin Awwam bersama ramai golongan Bani Umayyah meminta izin dari Khalifah Ali untuk mengerjakan haji ke Mekah. Di Mekah, mereka bertemu dengan Sayyidatina Aisyah untuk membincangkan peperangan bagi menuntut bela kewafatan Uthman. Ya’la bin Umayyah, pemerintah Yaman pada zaman kekhalifahan Uthman juga datang membawa 600 ekor unta dan 600 dirham. Pemerintah Basrah semasa zaman pemerintahan Uthman bernama Abdullah bin Amir turut serta dalam perjumpaan tersebut.
Perbincangan membawa kata sepakat untuk pergi ke Basrah bagi mencari pembunuh Uthman. Segala persiapan perang disediakan oleh Ya’la bin Umayyah. Diriwayatkan bahawa golongan yang menyertai peperangan tersebut mencecah seramai 3000 orang. Sayyidatina Aisyah dibawa oleh unta bernama ‘Askar yang dibeli oleh Ya’la bin Umayyah. Apabila tiba di Basrah, pemerintahnya Uthman bin Hunaif cuba menghalang kemaaraan tentera Sayyidatina Aisyah kerana tidak ingin berlaku peperangan antara kaum muslimin. Namun, terdapat penduduk Basrah yang menyertai pasukan Sayyidatina Aisyah menyebabkan pasukan beliau bertambah ramai.
Perang Jamal Shughra (Kecil)
Berlaku peperangan di antara pasukan Uthman bin Hunaif dengan pasukan Sayyidatina Aisyah. Apabila kedua-dua pihak mengalami kecederaan, mereka memutuskan untuk berdamai. Namun, beberapa orang yang terlibat dalam pembunuhan Uthman dari pasukan Uthman bin Hunaif keluar dari pasukan dan menyerang pasukan Sayyidatina Aisyah. Pasukan tersebut terdiri dari 300 orang dan diketuai oleh Hukaim bin Jabalah. Diriwayatkan bahawa Hukaim tewas dalam pertempuran tersebut bersama 70 orang pembunuh dan penyokong pembunuhan Uthman. Peperangan ini dikenali sebagai Perang Jamal Shughra dan berlaku pada 5 Rabi’ul Akhir tahun 36 Hijrah.
Persiapan Perang Khalifah Ali Bin Abu Talib
Mendengar khabar tentang peperangan tersebut, Khalifah Ali keluar dari Madinah menuju ke Basrah bersama 900 pasukan. Apabila sampai di Ar-Rabadzah, berlaku pertambahan pasukan dari kaum Ansar dan suku Thayyi. Kemudian, Khalifah Ali turut meminta bantuan penduduk Kufah untuk menyertai beliau. Hasilnya, pasukan Khalifah Ali bertambah sehingga 12 000 orang. Mereka berkumpul di antara Dzi Qar dan Basrah.
Rundingan Antara Kedua-Dua Pasukan
Khalifah Ali telah mengutus al-Qa’da’ bin Amir untuk mengadakan rundingan dengan Sayyidatina Aisyah, Thalhah dan Zubair. Al-Qa’da’ menyampaikan pemikiran Khalifah Ali yang menyatakan bahawa peperangan untuk menuntut bela kematian Uthman menimbulkan lebih banyak mudarat dan kerosakan daripada maslahat. Hal ini kerana, pembunuhan ke atas mereka akan menyebabkan pengikutnya berperang menuntut bela, lantas berlaku perpecahan kepada umat Islam. Adalah lebih baik hukuman pembunuhan tersebut ditunda sehingga pengikut-pengikut mereka berpaling kepada Khalifah Ali. Mendengar ucapan tersebut, Sayyidatina Aisyah dan pasukannya bersetuju untuk berdamai dan diterima dengan senang hati oleh Khalifah Ali.
Perang Jamal Tercetus
Pasukan Khalifah Ali bergerak ke Basrah menemui pasukan Sayyidatina Aisyah. Kedua-dua pasukan menemui jalan perdamaian. Namun, sesetengah pembunuh dan penyokong pembunuhan Uthman dari pasukan Khalifah Ali bimbang akan keselamatan mereka dengan perdamaian tersebut. Justeru, pada keesokan harinya, lebih kurang 2000 orang dari kalangan penduduk Kufah (golongan Syiah Saba’iyyah) telah menyerang pasukan Sayyidatina Aisyah sebelum terbit fajar. Pasukan Sayyidatina Aisyah yang mengira bahawa Khalifah Ali telah melanggar perjanjian damai di antara mereka mula menyerang. Khalifah Ali tidak mempunyai pilihan selain berperang untuk mempertahankan diri.
Pertempuran antara kedua-dua pasukan menyebabkan ramai kaum muslimin yang terkorban. Apabila melihat keadaan tersebut, Khalifah Ali berasa sangat sedih. Diriwayatkan bahawa apabila melihat kepala-kepala berjatuhan dalam peperangan, Khalifah Ali memeluk anaknya, Sayyidina Hasan dan berkata “Innalillah, wahai Hasan! Kebaikan apa yang diharapkan setelah hari ini? Dalam perang Jamal juga, Zubair yang memutuskan untuk meninggalkan medan perang kerana tidak ingin memerangi Khalifah Ali telah dibunuh oleh seorang lelaki bernama Amr bin Jurmuz, ketika sedang berehat tidur di satu oasis bernama As-Siba’. Thalhah juga terbunuh apabila terkena panah yang tidak bertuan.
Sementara itu, Sayyidatina Aisyah yang menunggangi unta memerintahkan pasukannya untuk mengejar pembunuh Uthman. Pasukan Kufah menghujani Sayyidatina Aisyah dengan panah-panah, manakala tentera Basrah di sekitarnya cuba melindungi beliau. Pemegang tali kekang unta Sayyidatina Aisyah bernama Umairah bin Yatsribi juga tewas terbunuh apabila mempertahankan tali kekang unta tersebut. Atas arahan Khalifah Ali, seorang lelaki memotong kaki unta tersebut dan membunuhnya agar Sayyidatina Aisyah tidak terkena hujanan panah penduduk Kufah. Maka dengan itu, Sayyidatina Aisyah dikeluarkan dari medan perang. Tidak lama selepas itu, peperangan pun berakhir dengan kemenangan diperoleh oleh pasukan Khalifah Ali.
Khalifah Ali memerintahkan pasukannya untuk tidak mengejar pasukan lawan yang melarikan diri, tidak membunuh orang yang terluka serta tidak menceroboh rumah-rumah. Kemudian, beliau mengarahkan Muhammad bin Abu Bakar dan Ammar bin Yasir untuk mendirikan khemah buat Sayyidatina Aisyah. Pada malam hari, Sayyidatina Aisyah memasuki Basrah dengan ditemani oleh suadara lelakinya Muhammad bin Abu Bakar dan singgah di rumah Abdullah bin Khalaf al-Khuza’i.
Peristiwa Selepas Perang Jamal
Perang Jamal menyebabkan ramai kaum muslimin yang terkorban. Diriwayatkan bahawa 10 000 kaum muslimin, 5000 dari pasukan Khalifah Ali dan 5000 dari pasukan Sayyidatina Aisyah telah terbunuh dalam peperangan tersebut. Semua korban yang gugur telah disolatkan oleh Khalifah Ali. Kemudian, beliau mengumpulkan barang-barang yang dirampas dari pasukan lawan di Masjid Basrah dan menyuruh pasukan Basrah mengambil barang mereka kembali. Kemudian, Khalifah Ali turut membahagikan harta dari Baitul Mal kepada penduduk Basrah. Golongan Saba’iyyah dari kalangan penduduk Kufah menzahirkan ketidaksenangan mereka atas keputusan tersebut.
Penduduk Basrah memberi bai’ah kepada Khalifah Ali pada 14 Jamadil Akhir tahun 36 Hijrah. Kemudian, beliau melantik Abdullah bin Abbas sebagai pemerintah Basrah dan Ziyad bin Abihi sebagai penjaga Baitul Mal. Kemudian, Khalifah Ali mendatangi Sayyidatina Aisyah di rumah Abdullah dan mereka menemui jalan perdamaian. Khalifah Ali mempersiapkan segala keperluan Sayyidatina Aisyah dan pengikutnya untuk pulang ke Mekah, serta mengerahkan Muhammad bin Abu Bakar untuk menyertai perjalanan tersebut.
Dalil Yang Berkaitan Dengan Perang Jamal
Terdapat sebuah hadith yang dikemukakan oleh pemerintah Kufah, Abu Musa al-Asy’ari ketika Khalifah Ali meminta beliau memujuk penduduk Kufah untuk menyertai pasukannya. Pada mulanya, Abu Musa menghalang penduduk Kufah untuk menyertai pasukan Khalifah Ali. Beliau menyatakan bahawa berdiam diri merupakan jalan terbaik untuk menghadapi fitnah. Hal ini didasarkan kepada hadith Rasulullah SAW yang berbunyi:
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏ “‏ سَتَكُونُ فِتَنٌ الْقَاعِدُ فِيهَا خَيْرٌ مِنَ الْقَائِمِ، وَالْقَائِمُ خَيْرٌ مِنَ الْمَاشِي، وَالْمَاشِي فِيهَا خَيْرٌ مِنَ السَّاعِي، مَنْ تَشَرَّفَ لَهَا تَسْتَشْرِفْهُ، فَمَنْ وَجَدَ مَلْجَأً أَوْ مَعَاذًا فَلْيَعُذْ بِهِ ‏”‏‏.‏
Maksudnya: Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhkan akan terjadi fitnah, orang yang duduk (dalam fitnah tersebut) lebih baik daripada orang yang berdiri, orang yang berdiri lebih baik dari orang yang berjalan, dan orang yang berjalan lebih baik daripada orang yang berlari. Sesiapa yang mendedahkan dirinya kepada fitnah ini, akan membinasakannya. Maka sesiapa yang boleh mencari tempat perlindungan darinya, hendaklah berlindung di dalamnya”.(Hadith Riwayat Bukhari)
Adapun Perang Jamal berlaku disebabkan oleh fitnah golongan-golongan munafik yang terdiri daripada pihak Khawarij dan Syiah Saba’iyyah dalam usaha memecah-belahkan umat Islam. Justeru, adalah tidak wajar umat Islam mengikuti sifat mereka dengan mengkafirkan atau mengagungkan mana-mana pasukan yang terlibat dalam peperangan tersebut. Sikap hati-hati perlu diambil oleh umat Islam agar tidak terjebak dengan ideologi dan pengaruh golongan yang dibenci oleh Allah SWT.
Rujukan
1. Al-Hafizh Ibnu Katsir. 2002. Perjalanan hidup empat Khalifah Rasul yang agung. Jakarta: Darul Haq.
2. Sunnah.com. Sahih al-Bukhari: Afflictions and the End of the World.
Sumber artikel : AkuMuslim

Copy and paste:
2/5/2023 > 11 Syawal 1444H: 11.05 am


No comments:

Post a Comment