ZULHEIMY MAAMOR

Tuesday, 2 May 2023

KENALI KEHEBATAN SALAHUDDIN AL-AYUBI, PEMBEBAS BAITULMAQDIS

APRIL 15, 2022 8:00 am
Oleh ABDULLAH HUSSAINI
Orang ramai memberikan telinga. Hingar bertukar sepi, dan tatkala setiap wajah pemimpin negara, perwakilan Kristian, uskup, paderi dan bangsawan menjadi bersungguh, Pope Urban II meneruskan ucapannya.Tanggal 27 November 1095 barangkali detik terpenting yang mengubah dunia. Kedatangan perwakilan Empayar Byzantin dari Konstantinopel yang mengadukan ancaman Muslim Saljuk telah membuatkan dunia Eropah yang berpecah-
belah, bersatu atas nama agama.
Lewat ucapannya, Pope Urban II meyakinkan dunia Kristian Eropah yang bertelagah ketika itu untuk membebaskan Tanah Suci daripada orang gasar. Dia menokok-tambah cerita betapa penganut Kristian ditindas, dibunuh dan disembelih hingga menaikkan kemarahan pendengarnya. Sambil bertujuan mengukuhkan wibawa selaku Pope yang baharu, Pope Urban II merebut peluang di depan mata, memayungi Kristian Eropah untuk menawan semula Baitul Maqdis.Barangsiapa yang ikut berperang maka segala dosa terhapus dan dijamin syurga, katanya lagi.Demikianlah bagaimana ungkapan Deus vult!(Dengan izin Tuhan) menggoncang kan dunia.
Sejarawan John Man yang menulis biografi Salahuddin al-Ayubi (2020, IBDE) mencatatkan betapa kacaunya Timur Tengah ketika tentera Salib berarak ke Tanah Suci.Pemimpin-pemimpin kerajaan Islam yang sedia berpecah antara mazhab dan ketidaktentuan politik pada mulanya menganggap tentera Salib sebagai pemabuk dan ancaman sementara.
Namun akhirnya pada tahun 1186, penguasaan orang Frank berpangkal di Laut Hitam telah menganjak hingga ke hujung Aqabah. Mulut pemimpin Islam itu terkatup apabila Baitul Maqdis ditawan. Ini bertambah buruk apabila pentadbiran Kristian membuat beberapa percaturan pentadbiran yang melicinkan urusan antara mereka dan penduduk tempatan. Sayugia dunia Islam mula meratapi kehilangan Tanah Suci dan ternanti-nanti pembebasnya. Dari mana Salahuddin muncul?
LAHIR DI TIKRIT
Seperti selalu, tidak banyak yang diketahui perihal zaman kanak-kanak Salahuddin. Tetapi apa yang pasti dia lahir di Tikrit dan tidak lama kemudian ayahnya membawa dia berpindah ke Baalbek (Lubnan) sebelum ke Damsyik. Sejak kecil dia lebih berminat dengan pelajaran agama berbanding ketenteraan. Dalam buku Salahuddin al-Ayubi: Raja Penakluk tulisan John Man yang diterjemah Jabbar Salleh dan diterbitkan oleh Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE), dicatatkan bahawa ketika Salahuddin lahir, kegemilangan kerajaan Bani Abbasiah yang berpusat di Baghdad telah merosot sementara kerajaan Syiah Fatimiah di Mesir adalah kuasa politik yang sedang meningkat naik. Perbalahan suku, kemewahan, tentera Salib dan kemunculan Turki Saljuk merupakan sebab-musabab kemerosotan Abbasiah.
Tambah John Man lagi, keunggulan Salahuddin mungkin dibentuk zaman kanak-kanaknya yang tidak dicatatkan sejarah. Ayahnya seorang pemimpin tentera dan kemudian menjadi gabenor kota. Kepemimpinan ayahnya yang tidak kurang
hebat
barangkali diamati oleh Salahuddin. Diaduk dengan kekacauan zamannya, “Salahuddin barangkali membesar menjadi berdaya tahan.”
Tidak dilupakan, teladan daripada bapa saudaranya, Shirkuh, juga seorang panglima tentera yang tegas dan cekap tetapi turut mempunyai kebijakan pemimpin seperti murah hati dan bertolak-ansur. Ketika remaja, Salahuddin berkhidmat dengan seorang lagi panglima iaitu Nur al-Din yang turut berpewatakan seperti Shirkuh. Daripada mereka, ia membentuk gaya kepemimpinan Salahuddin hingga dihormati musuh dan lawan, dikenang sehingga kini.
Salahuddin juga berpegang pada janji dan bertolak ansur.Inilah satu lagi ciri kepemimpinan yang ada pada Salahuddin. Dia menunaikan janji membebaskan isteri Balian. Salahuddin tidak sewenang-wenang mungkir janji untuk mencapai keinginannya. Dia tidak tergesa-gesa menakluk Baitulmaqdis, sebaliknya mencatur rencana tersusun sebelum menggerakkan angkatannya. Kesemua ciri ini membuatkan pengikut dan tentera yakin kepadanya. Sungguhpun begitu, dia juga pernah mengalami kekalahan. Contohnya dalam Pertempuran Montsigord, dia dikalahkan Raja Baldwin yang ketika itu sudah menderita penyakit kusta. Ia kekalahan yang dianggap sebagai penguat semangat untuk kembali dengan kemenangan besar.
KHIDMAT DI BAWAH PANGLIMA BIJAK
Jika Pope Urban II memulakan Perang Suci, seorang lagi lelaki dari Chatillon tidak lama kemudian muncul memainkan peranan penting.Lelaki itu adalah Reynauld de Chatillon. Dia ganas, dahagakan darah, bercita-cita tinggi dan
hebat
bertempur. Inilah antiwira yang meruapkan darah Salahuddin. Keunggulan kepemimpinan Salahuddin terletak pada satu gaya yang digelarkan sebagai pendekatan ‘lunak dan keras’. Pengalaman berkhidmat di bawah panglima-panglima yang bijak dan kerajaan berbeza telah menumbuhkan pendekatan ini dalam diri Salahuddin sehingga berjaya menjadi pemimpin tentera pada usia yang cukup muda. Kebiasaannya Salahuddin pintar menyelesaikan masalah, berundur apabila perlu, berunding jika menguntungkan, tetapi Reynauld adalah lelaki yang benar-benar meruapkan amarahnya.
Tidak salah jika dikatakan, perjuangan untuk membebaskan Tanah Suci juga mempunyai kepentingan sisi peribadi Salahuddin iaitu Reynauld. Lelaki gasar ini tidak saja membantai orang Islam, tetapi juga orang Kristian dan Yahudi. Merampas harta paderi, menyeksa orang biasa dan sentiasa mengintai peluang merebut kuasa—Reynauld adalah satu punca besar kejatuhan kerajaan Kristian di Baitulmaqdis. Dia dipancung Salahuddin setelah tentera Salib kalah. Lelaki angkuh itu menerima balasan setimpal perbuatannya. Begitulah Salahuddin, dalam lunak ada kerasnya.
Salahuddin ialah seorang pemimpin dan kesatria. Dia mencapai kegemilangan bukan semata-mata kerana kewarakan atau kehendak Allah tetapi seperti tulis John Man,“Dia mencapai keabsahan pemerintahan dengan merangka rancangan di sebalik tabir, menangkap orang yang bersubahat terhadap nya, memecat pengawal-pengawal istana dan askar-askar bermasalah.Salahuddin telah menghapuskan ancaman di sekelilingnya secara sekaligus tanpa menimbulkan tentangan kumpulan terbanyak.”
SUMBER:SelangorKini
SALAHUDDIN AL-AYUBI:RAJA PENAKLUK TERBITAN IBDE

Copy and paste:
2.5.2023 > 11 Syawal 1444H: 11.13 am

No comments:

Post a Comment