ZULHEIMY MAAMOR

Thursday, 6 October 2022

TRAGEDI PENDAM BUNGKANG, KANOWIT 1970

Posted by : Salvador Bador > Sejahtera Malaysiaku, Suatu Masa Dahulu
23 Januari 2021

SARAWAK Border Scouts pada asalnya ditubuhkan pada tahun 1964 bagi membantu askar-askar Komanwel di dalam menangani Konfrantasi Indonesia-Malaysia yang berakhir pada tahun 1966. Namun begitu kepakaran anak watan Sarawak yang cemerlang di dalam bertugas di kawasan sempadan seterusnya dilanjutkan bagi menghadapi ancaman komunis yang berleluasa selepas itu.
Tatkala Kerajaan Malaysia menubuhkan Rejang Area Security Command (RASCOM) yang mana ianya berada di kawasan “hitam” iaitu yang mempunyai banyak ancaman komunis di Sarawak seperti Sibu, Kanowit, Sarikei dan lain-lain maka keringat para Sarawak Border Scouts dituntut untuk menjadi salah satu kekuatan pasukan beruniform RASCOM dibawah Unit Cawangan Khas.
Di dalam banyak cerita perjuangan Sarawak Border Scouts ada terselit satu kisah penuh tragis yang berlaku ke atas sekumpulan anggota Border Scouts yang sedang melakukan tugasan harian mereka di Kanowit pada tahun 1970. Tanggal 27 Ogos 1970 itu, 16 anggota border scouts menaiki bot panjang untuk tugasan meronda iaitu satu tugas rutin yang biasa mereka lakukan bagi mengawal keselamatan penduduk yang mendiami kawasan di sepanjang Sungai Ngemah, Kanowit.
Di sepanjang perjalanan itu kesemua mereka telah siaga dengan senjata masing-masing kerana biar ianya tugasan rutin namun nyawa mereka bagai telor di hujung tanduk. Oleh kerana masih lagi berada di dalam darurat komunis maka komunis boleh sahaja berada di mana-mana lantas menyerang mereka tanpa mampu dikesan. Maka begitulah yang terjadi pada hari itu apabila ketika mereka menghampiri satu kawasan yang dikenali sebagai Pendam Bungkang di Sungai Ngemah secara tiba-tiba hujan peluru bertali arus dari tebingan sungai menghujani bot panjang yang mereka naiki.
Terkesima dengan serangan hendap itu kesemua 16 anggota Border scouts cuba bertahan dengan berlindung di sebalik bot panjang mereka. Namun begitu apakan daya walau mereka cuba membalas serangan dengan segala kudrat yang ada tetap mereka menjadi sasaran yang cukup mudah. Pada masa itu Kalabet Nyampun yang memegang senjata Brent merupakan anggota pertama yang terkena peluru komunis iaitu di bahagian pinggangnya. Tembakan daripada komunis itu juga menyebabkan beliau terpelanting jatuh ke dalam sungai.
Melihat rakan-rakannya sedang menjadi sasaran, Sylvester Dussin Chaong nekad untuk terjun ke dalam sungai yang beraliran deras namun masih sempat menyambar senapang patah dengan lapan peluru yang berada disebelahnya sebelum menerjunkan diri. Sylvester terpaksa menggunakan segala kepakaran yang ada sebagai anak kampung yang sudah biasa dengan penghidupan di sungai untuk mengapungkan diri tanpa mampu dikesan oleh musuh. Beliau sengaja tidak melepaskan apa-apa tembakan pada masa itu kerana bekalan peluru senapangnya teramat kurang.
Lain pula ceritanya dengan Kalabet yang terpelanting jatuh ke dalam sungai apabila beliau tersangkut pada satu bahagian sungai yang berbatu. Dalam kecederaan di pinggang itulah beliau cuba berpapah pada batu-batu yang ada untuk survival diri. Dari kejauhan beliau menyaksikan sendiri bagaimana satu persatu rakan seperjuangannya gugur ditembak oleh komunis umpama 12 orang anggota border scouts itu sebagai target ketika latihan papan sasar. Ada yang terkulai layu di atas bot panjang dan tidak kurang yang jatuh ke dalam sungai tanpa nyawa.
Suasana hingar bingar di Pendam Bungkang dek kerana bunyi peluru dilepaskan akhirnya senyap seketika. Komunis yang bersembunyi di sebalik tebing di sungai Ngemah sudah tidak melepaskan tembakan lagi. Pada ketika itulah Sylvester yang masih lagi berada di dalam air memerhati gerak geri komunis di tebing sungai. Beliau tiada pilihan hanya mampu menunggu sehingga komunis berada di sungai untuk memeriksa hasil kejayaan lantas beliau akan menyerang dari dalam air namun sangkaan beliau itu meleset sama sekali kerana komunis terus beredar pergi dari kawasan serangan.
Inilah satu peristiwa hitam yang menghiasi ceritera kisah perjuangan Sarawak Border Scouts yang dikenali sebagai Tragedi Pendam Bungkang, Sungai Ngemah, Kanowit pada tanggal 12 Ogos 1970. Hanya empat orang yang terselamat manakala 12 lagi gugur sebagai bunga bangsa mempertahankan Sarawak ibu pertiwi daripada komunis durjana.
12 anggota Sarawak Border Scouts yang gugur itu adalah:
1. Koperal Numbu Anak Kelen
2. Koperal Lat Anak Gangga
3. BS Pantau Anak Baro
4. BS Kanchin Anak Ligan
5. BS Gelau Anak Sumor
6. BS Emba Anak Garing
7. BS Senang Anak Bajai
8. BS Skudan Anak Dampa
9. BS Jantom Anak Jalong
10. BS Jantom Anak Narok
11. BS Brain Anak Balit
12. BS Luyoh Anak Jauh
Bagi mengenang jasa dan kepahlawanan kesemua mereka yang terlibat di dalam peristiwa hitam 27 Ogos 1970 telah didirikan sebuah tugu peringatan yang dikenali sebagai Tugu Pahlawan Kanowit di Dataran Kubu Emma pada tahun 2016. Di tugu yang satu-satunya itulah nama 12 orang Sarawak Border Scouts dicatatkan bersama-sama dengan lima nama anggota Renjer yang terkorban di Song dan seorang anggota perisikan dari Cawangan Khas Kanowit yang terkorban ketika menjalankan tugasan di Lukut.
Usah kita pernah melupakan perjuangan anak bangsa kita mempertahankan ibu pertiwi yang kita cintai bergelar Sarawak Bumi Kenyalang.
-HB-
Rujukan:
1.Berita Harian, 10 November 2016 oleh Harun Yahya - Tragedi Pendam Bungkang Dikenang Dengan Tugu Pahlawan Kanowit
2.Utusan Borneo, 30 Oktober 2016 - Tugu Pahlawan Kenang Jasa Pejuang Di Pendam Bungkang
3.Pendam Bungkang
4.ESSCOM - Belajar Daripada Pengalaman Sarawak
5.Sarawak Border Scouts - Borneo Oracle

Copy and paste :
6 Oktober 2022 > 9 Rabiulawal 1444H: 2.02 pm

No comments:

Post a Comment