ZULHEIMY MAAMOR

Friday, 9 September 2022

Sumbangan Yin Qing dan Zheng He Terhadap Hubungan Melaka-China


Tidak dapat dinafikan bahawa dua orang utusan Maharaja Ming, Yin Qing (尹庆) dan Zheng He(郑和)telah meletakkan batu asas terhadap hubungan Melaka-China dan terdirinya kerajaan Melaka ketika itu.
Ianya bermula di tahun 1402 ketika Maharaja Ming yang ke 3, Maharaja Yongle menaiki takhta lalu menghantar ramai utusan keluar negara bagi memberitahu pertabalannya dan meminta negara-negara asing untuk menghantar utusan ke istana di Nanjing.
Negara-negara yang dilawati oleh utusan China ini hanyalah negara-negara yang pernah mempunyai hubungan dengan negara China sahaja.
Sehubungan dengan itu ramailah utusan dari negara-negara lain yang telah datang ke China termasuklah dari Calicut. Ia adalah sebuah negara di barat laut India yang merupakan pusat dagangan timur-barat yang terkenal ketika itu. Daripada utusan dan pedagang-pedagang Calicut ini barulah China mengetahui terdapatnya nama MELAKA.
Setahun kemudiannya iaitu di bulan Oktober tahun 1403, China menghantar seorang utusan bernama Yin Qing ke Melaka. Sebenarnya terdapat 3 utusan yang bertolak dari Nanjing pada masa yang sama untuk ke Melaka, Sumatera dan Calicut. Inilah kali pertama Melaka tercatat dalam senarai utusan yang dihantar oleh China.
Dalam catatan China menulis, “其地无王,亦不称国,服属暹罗,岁输金四十两为赋” tempat itu tiada beraja juga tidak sebuah negara tetapi naungan Siam, setiap tahun membayar ufti 40 tahil emas.
Ketika Yin Qing sampai di Melaka adalah sekitar 10 tahun setelah Parameswara membuka Melaka. Namun Parameswara menyatakan yang Melaka dalam ketakutan yang amat sangat kerana cengkaman Siam terhadap Melaka yang memaksa Melaka membayar ufti sebanyak 40 tahil emas setiap tahun.
Di awal tahun 1405 sekali lagi Yin Qing singgah di Melaka dalam pelayaran balik dari India. Dalam pertemuannya dengan Parameswara, Yin Qing memohon Melaka untuk menghantar utusan menghadap Maharaja China. Awalnya Parameswara agak gentar untuk mengikut kehendak Yin Qing kerana takutkan ancaman Siam. Namun akhirnya bersetuju untuk menghantar utusan ke China.
Catatan China menyebut, 癸卯 (1405年10月3日),苏门答剌国酋长宰奴里阿必丁、满剌加国酋长拜里迷苏剌、古里国酋长沙米的俱遣使随奉使中官尹庆朝贡。诏俱封为国王,给与印诰,并赐彩币、表衣。
[nota: dalam teks tulisan Cina menyebut perkataan 酋长 qiu zhang yang bermakna ketua puak yang mana Parameswara ketika itu hanyalah sebagai ketua puak sama seperti dalam istilah di Asia Barat ialah qabilah. Selain itu istilah “negara” ketika itu adalah merupakan suatu wilayah yang dikuasai, ia bukan merujuk kepada sistem negara modern].
Pada tarikh 3hb Oktober, 1405 ketua puak negara Sumatera - Zainal Abidin, ketua puak negara Melaka – Parameswara, ketua puak Calicut – Sami kesemuanya telah mengikut arahan Yin Qing menghantar utusan ke istana. Dianugerahkan sebagai raja, diberi cop mohor, dihadiahkan wang syiling dan persalinan pakaian.
Maka dengan itu rasmilah pada bulan Oktober tahun 1405 Melaka menjadi sebuah kerajaan yang sah diiktiraf dan di bawah naungan China. Pada akhir tahun tersebut dengan titah Maharaja China, Zheng He memulakan ekspedisi ke barat yang pertama dengan diiringi oleh Yin Qing ke Melaka.
Para utusan dari Melaka, Sumatera dan Calicut telah ikut bersama untuk kembali ke nagara masing-masing. Di istana Melaka dilakukan istiadat penganugerahan diraja kepada Parameswara. Dengan itu Parameswara sah menjadi sultan Melaka yang pertama.
Zheng He @ Laksamana Zheng He adalah berugama Islam yang keturunannya berasal dari Yunnan, barat daya China. Dikatakan mempunyai pertalian darah pahlawan dari Asia tengah semasa Dinasti Yuan @ Dinasti Monggol.
Parameswara memahami bahawa kedudukannya adalah bergantung kepada perlindungan China dan kekuatan armada Zheng He daripada serangan Siam. Bagaimana pun Siam masih mengancam untuk menyerang Melaka dalam tahun 1407 dan 1409.
Dalam ekspedisi Zheng He yang ke 3 dalam tahun 1409 beliau telah ke Siam dan menetapkan sempadan bagi Melaka dan Siam. Zheng He juga telah singgah di Melaka.
Dalam ekspedisi Zheng He yang ke 4 di tahun 1412 beliau juga telah singgah di Melaka. Selain itu dalam ekspedisi ini adalah kali pertama armada Zheng He telah sampai ke Semenanjung Tanah Arab. Mengikut setengah catatan mengatakan Zheng He mengambil peluang untuk ke Mekah (wallah hualam).
Parameswara meninggal dunia di tahun 1414 dan digantikan oleh anakandanya, Sultan Iskandar Shah. Tidak lama kemudian Sultan Iskandar Shah bersama isterinya serta anak-anaknya dan yang lain-lain berjumlah 540 orang telah berangkat ke Nanjing untuk menghadap Maharaja Yongle.
Dalam konteks ini kita tidak tahu apakah tujuan Sultan Iskandar Shah seolah-olah mahu mencari tempat selamat dengan berlindung di China dengan membawa sebegitu ramai rombongan daripada ancaman Siam ketika peralihan kuasa.
Tidak terdapat catatan China tentang tarikh bilakah rombongan ini kembali ke Melaka. Namun demikian diyakini mereka mengikuti ekspedisi Zheng He yang ke 5 di tahun 1416 yang singgah di Melaka buat kali terakhirnya.
Jika benar, bermakna selama dua tahun selepas kemangkatan Parameswara, Melaka ditadbir oleh pegawai istana yang biasanya ialah Bendahara.
Dalam tahun 1419 Zheng He dan angkatan armadanya sampai ke Siam dan menyampaikan warkah daripada Maharaja Yongle kepada raja Siam yang baru. Ia berbunyi begini:
此者满剌加国王亦思罕答儿沙嗣立,能继及父之志,躬率妻、子诣阙朝贡......况满剌加国王己内属,则为朝廷之臣。彼如有过,当申理于朝廷,不务出此而辄加兵,是不有朝廷矣。
Baginda Sultan Melaka Iskandar Shah adalah pewaris yang meneruskan legasi ayahandanya telah membawa isteri dan anak-anaknya menghadap ke istana…………lagipun kerajaan Melaka telah menjadi naungan (China) maka ia adalah menteri istana. Jika berlaku kesilapan maka haruslah diadili di istana. Tidak sepatutnya melakukan dengan penggunaan tentera, ia semacam tidak wujudnya istana.
Amaran keras China terhadap Siam telah menyebabkan Siam tidak lagi berani untuk mengancam Melaka. Ini kerana China menganggap Siam dan Melaka adalah sama-rata dan memperakui keagongan kerajaan (istana) China.
Dalam catatan China terdapat 4 kali raja-raja Melaka yang melawat ke China. Parameswara 拜里迷苏剌 (1411), Iskandar Shah 亦思罕答儿沙 (1414 & 1419), Seri Maharaja 西里麻哈剌加 @ Sultan Muhammad Shah (1424).
Berdasarkan tarikh-tarikh ini Sultan Iskandar Shah telah melawat China pada tahun yang sama kemangkatan ayahandanya Parameswara di tahun 1414 dengan membawa rombongan seramai 540 orang ke China. Baginda sekali lagi ke China di tahun 1419 yang berakhir dengan amaran keras China kepada Siam.
Selepas tamat 7 kali ekspedisi Zheng He dari tahun 1405 ke tahun 1433 tiada lagi armada China yang mengunjungi Melaka dan tiada lagi raja-raja Melaka yang melawat China.
Melaka sudah tidak memerlukan lagi perlindungan China untuk mengekang ancaman Siam tetapi sebaliknya telah meluaskan lagi empayernya.
Zheng He meninggal dunia akibat sakit ketika dalam ekspedisi ke 7 dan yang terakhirnya di Calicut, barat laut India dalam tahun 1433 dalam usia 62 tahun. Tidak ada catatan tentang bagaimana jenazah Zheng He diuruskan.
Sebagai pelayar, selalunya disemadikan di laut. Dikatakan yang dibawa balik ke China hanyalah sedikit rambut dan bengkung untuk dipersembahkan kepada Maharaja China sebagai bukti.
Sumbangan Yin Qing dan Zheng He dalam meletakkan batu asas dan perkembangan hubungan Melaka-China amatlah besar.

Copy and paste:
9/9/2022 > 13 Safar 1444H: 8.42 pm