ZULHEIMY MAAMOR

Friday, 9 September 2022

SENJATA DIPLOMATIK MELAKA

27 April 2020
Setelah Raja Melaka Parameswara menerima tawaran Laksamana Yin Qing untuk mempersembahkan ufti persahabatan kepada Maharaja China Yongle pada 28 Oktober 1403, sekali lagi rombongan Armada Khazanah tiba di perairan Melaka membawa hadiah pengiktirafan pada 3 Oktober 1405, bersamaan dengan 11 haribulan 9, tahun ke-3 Yongle (永乐三年九月癸卯).
Demikianlah rekod rasmi Dinasti Ming iaitu Ming Shilu 明实录 mencatatkan peristiwa bersejarah ini:
"苏门答剌国酋长宰奴里阿必丁满剌加国酋长拜里迷苏剌古里国酋长沙米的俱遣使随奉使中官尹庆朝贡诏俱封为国王给与印诰并赐彩币袭衣"
( Para duta yang diutuskan oleh Zainal Abidin, pemerintah Samudera-Pasai; Parameswara, pemerintah Melaka; dan Shamidi, pemerintah Calicut; kesemuanya mengikuti Duta Diraja Yin Qing ke balairung Istana untuk mempersembahkan ufti. Titah diraja diperkenankan bahawa pemerintah-pemerintah ini diiktiraf sebagai raja-raja negara masing-masing. Maka, cap mohor, kain sutera berwarna warni dan jubah dianugerahkan kepada mereka.)
Dalam sistem kerajaan yang sah, cap mohor merupakan alat penting sebagai 'tandatangan' kerajaan untuk mengesahkan sesuatu perintah. Maka, penganugerahan cap mohor kepada Parameswara secara simboliknya bermakna Maharaja Yongle mengurniakan 'kelayakan' kepada baginda sebagai Raja Melaka yang sah di mata kuasa besar dunia. Pengiktirafan ini bukanlah bermakna Melaka tunduk kepada China dalam soal kedaulatan negara, tetapi ia adalah 'kad keahlian' yang berupaya melindungi Melaka daripada serangan negara-negara jiran seperti Siam. Dengan perlindungan ini, Melaka mempunyai masa untuk memajukan perdagangannya.
Penulis juga percaya bahawa cap mohor ini bukanlah sebahagian daripada alat kebesaran diraja Melaka, namun ia merupakan senjata daulat dalam medan hubungan antarabangsa pada masa itu.
Tidak hairanlah mengapa Siam berasa tergugat sehingga menahan duta Melaka lalu merampas cap mohornya. Lantas Melaka mengutuskan seorang lagi duta untuk mengadukan insiden ini kepada China. Dalam catatan Ming Shilu yang sama bertarikh 20 November 1407, Maharaja Yongle menegur tindakan mementingkan diri sendiri ini dan bertegas agar Siam menjunjung titah baginda dengan memulangkan cap mohor tersebut.
Bagaimanakah rupabentuk cap mohor Melaka?
Setakat ini masih belum dijumpai lagi sebarang cebisan peninggalan ini, melainkan teks rekod Dinasti Ming yang menyebutnya. Sungguhpun demikian, kita masih boleh mengetahuinya secara kasar berdasarkan kajian dengan membandingkan cap mohor negara lain yang pernah mengirim ufti kepada China seperti Ryukyu, Annam (Vietnam), Jepun, dan Joseon (Korea). Antara ciri-ciri persamaan termasuklah:
1) berbingkai segi empat sama yang tebal.
2) huruf karakter Cina kuno gaya Zhuan 篆 dengan 'lipatan-sembilan' (九叠文), sejenis gaya tulisan cap mohor kerajaan yang popular pada zaman Dinasti Tang, Song, dan Ming. Lipatannya sungguh berbelit belit dan memerlukan mata yang terlatih untuk membacanya.
3) Cara pembacaan daripada atas ke bawah, bermula daripada baris kanan ke kiri.
4) Biasanya tertera perkataan berikut:
• nama negara
• 'Guo Wang' 国王 (Raja Negara)
• 'Zhi Yin' 之印 (punya cap mohor)
Terdapat 3 jenis istilah cap mohor yang setiap satunya hanya boleh digunakan oleh individu tertentu:
• 玺 Xi - khas kepada Maharaja dan kerabatnya
• 宝 Bao - khas kepada Maharaja dan kerabatnya
• 印 Yin - boleh digunakan oleh selain Maharaja seperti Raja, menteri, pegawai kerajaan, dan rakyat jelata.
Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) pernah memiliki sebuah replika cap mohor Melaka yang diperbuat daripada jed tiruan dan kini dipamerkan di Muzium Sejarah dan Ethnografi, Melaka. Cara pergunaannya pernah ditayangkan dalam sebuah dokumentari Zheng He ( https://youtu.be/VLasBZsYQQs , lihat minit 26:33). Malah, ia turut menghiasi setem Malaysia tahun 2005 bersempena dengan Ulang Tahun ke-600 Hubungan Malaysia & China. Namun demikian, replika ini terdapat kesilapan pada susunan perkataannya.
Oleh sebab itu, pembetulan terhadapnya telahpun penulis laksanakan seperti yang dapat dilihat dalam gambarajah ini. Sesungguhnya segala kebaikan datang daripada Allah, dan segala kekurangan datang daripada diri saya. Dan Allah Maha Mengetahui jua segala peristiwa sejarah.
[Nota]
• Pemerintah Samudera-Pasai dalam catatan ini merujuk kepada Sultan Zainal Abidin Malik az-Zahir.
[Rujukan]
•《明实录,大明太宗文皇帝实录,卷四十六》
Ming Shilu, Taizong: juan 46.2a-b
• Southeast Asia in the Ming Shi-lu http://epress.nus.edu.sg/msl/place/melaka

Copy and paste:
9 September 2022 > 13 Safar 1444H: 8.36 pm