ZULHEIMY MAAMOR

Saturday, 20 August 2022

SYEIKH MUHAMMAD ARSYAD AL-BANJARI AHLUL BAIT DI TANAH MELAYU


Oleh WAN MOHD. SHAGIR ABDULLAH
NAMA lengkap Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah bin Abdur Rahman al-Banjari bin Saiyid Abu Bakar bin Saiyid Abdullah al-'Aidrus bin Saiyid Abu Bakar as-Sakran bin Saiyid Abdur Rahman as-Saqaf bin Saiyid Muhammad Maula ad-Dawilah al-'Aidrus, dan seterusnya sampai kepada Saidina Ali bin Abi Thalib dan Saidatina Fatimah bin Nabi Muhammad s.a.w. Riwayat kedatangan datuk nenek Syeikh Muhammad Arsyad ke dunia Melayu terjadi pertikaian pendapat. Ada riwayat mengatakan bahawa yang pertama datang ialah Saiyid Abdullah bin Saiyid Abu Bakar as-Sakran.
Beliau telah datang ke Filipina, dan berhasil mendirikan Kerajaan Mindano. Menurut H.M Syafie bahawa ayah Abdullah bernama Saiyid Abu Bakar (bererti datuk kepada Syeikh Muhammad Arsyad) adalah Sultan Mindano.
Abdullah pula pernah sebagai pemimpin peperangan melawan Portugis, kemudian ikut melawan Belanda lalu melarikan diri bersama isterinya ke Lok Gabang (Martapura).
Dalam riwayat yang kurang jelas, apakah Saiyid Abu Bakar as-Sakran atau pun Saiyid Abu Bakar bin Saiyid `Abdullah al-'Aidrus, dikatakan berasal dari Palembang pindah ke Johor, selanjutnya ke Brunei Darussalam, Sabah dan Kepulauan Sulu.
Yang terjadi pertikaian pendapat pula nama ayah Abdullah, selain dikatakan Abdullah bin Abdur Rahman dan Abdullah bin Saiyid Abu Bakar, ada lagi riwayat yang menyebut bahawa Abdullah itu adalah anak Kerta Suta. Kerta Suta anak Muslihuddin. Muslihuddin anak Muhammad Aminuddin.
PENDIDIKAN
Muhammad Arsyad al-Banjari lahir pada malam Khamis, pukul 3.00 (waktu sahur), 15 Safar 1122 H/17 Mac 1710 M, wafat pada 6 Syawal 1227 H/3 Oktober 1812 M. Pendidikannya ketika kecil tidak begitu jelas, tetapi pendidikannya dilanjutkan ke Mekah dan Madinah. Sangat popular bahawa beliau belajar di Mekah sekitar 30 tahun dan di Madinah sekitar lima tahun. Sahabatnya yang paling penting yang banyak disebut oleh hampir semua penulis ialah Syeikh `Abdus Shamad al-Falimbani, Syeikh Abdur Rahman al-Mashri al-Batawi dan Syeikh Abdul Wahhab Bugis, yang terakhir ini menjadi menantu beliau. Gurunya pula yang banyak disebut ialah Syeikh Muhammad bin Sulaiman al-Kurdi, Syeikh `Athaullah dan Syeikh Muhammad bin Abdul Karim as-Sammani al-Madani. Selama belajar di Mekah Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari tinggal di sebuah rumah yang dibeli oleh Sultan Banjar. Rumah tersebut terletak di kampung Samiyah yang disebut juga dengan Barhat Banjar. Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari dan kawan-kawannya selain belajar kepada ulama-ulama bangsa Arab, juga belajar kepada ulama-ulama yang berasal dari dunia Melayu. Di antara guru mereka yang berasal dari dunia Melayu ialah: Syeikh Abdur Rahman bin Abdul Mubin Pauh Bok al-Fathani, Syeikh Muhammad Zain bin Faqih Jalaluddin Aceh dan Syeikh Muhammad `Aqib bin Hasanuddin al-Falimbani, dan barangkali ramai lagi.
Hampir semua ilmu keislaman yang telah dipelajari di Mekah dan Madinah mempunyai sanad atau silsilah yang musalsal mulai daripada beliau hingga ke atasnya. Hal ini cukup jelas seperti yang ditulis oleh Syeikh Yasin Padang dalam beberapa buah karya beliau. Lama masa belajar di Mekah dan Madinah, dalam jumlah pelajaran dan jenis kitab yang banyak dipelajari, ditambah lagi belajar kepada ulama yang benar-benar ahli di bidangnya masing-masing, di tempat sumber agama Islam itu sendiri, serta diperoleh daripada ulama-ulama yang warak, maka tidaklah diragui bahawa Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari akhirnya menjadi seorang ulama besar tanah Jawi atau dunia Melayu. Kewarakannya diakui oleh ulama-ulama yang datang kemudian daripada beliau kerana banyak bukti-buktinya. Selain bukti berupa karya-karyanya, juga dapat diambil kira tentang jasa-jasanya mencelikkan mata terutama rakyat Banjar atau seluruh dunia Melayu melalui karangannya yang paling terkenal Sabil al-Muhtadin. Selain itu ternyata keturunan beliau sangat ramai yang menjadi ulama. Ini sebagai bukti bahawa Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari telah berhasil membasmi kejahilan selain untuk dirinya peribadi, untuk keturunannya, keluarga besar Banjar, bahkan juga pengaruhnya dirasakan di seluruh dunia Melayu. Hal ini dikeranakan memang hampir tidak ada ulama dunia Melayu yang tidak kenal dengan karyanya Sabil al-Muhtadin yang tersebut itu.
SAHABAT-SAHABAT
Walaupun nama-nama sahabatnya yang banyak disebut oleh beberapa orang pengarang, namun untuk melengkapi maklumat ini, di bawah ini saya salin kembali senarai nama sahabatnya yang telah diketahui.

Mereka ialah:
1. Syeikh `Abdus Shamad al-Falimbani.
2. Syeikh `Abdur Rahman al-Mashri al-Batawi, iaitu datuk kepada Saiyid `Utsman Mufti Betawi yang terkenal.
3. Syeikh `Abdul Wahhab Sadenreng Daeng Bunga Wardiyah berasal dari Bugis, yang kemudian menjadi menantu kepada Syeikh Muhammad Arsyad bin `Abdullah al Banjari.
4. Syeikh Ahmad Razzah orang Mesir.
5. Syeikh Muhammad Nafis bin Idris al-Banjari, pengarang kitab ad-Durr an-Nafis. 6. Syeikh Mahmud bin Kinan al-Falimbani.
7. Syeikh Muhammad `Asyiquddin bin Shafiyuddin al-Falimbani.
8. Syeikh Muhammad Shalih bin `Umar as-Samarani (Semarang) yang digelar dengan Imam Ghazali Shaghir (Imam Ghazali Kecil).
9. Syeikh `Utsman bin Hasan ad-Dimyati.
10. Syeikh `Abdur Rahman bin `Abdullah bin Ahmad at-Tarmasi
11. Syeikh Haji Zainuddin bin `Abdur Rahim bin `Abdul Lathif bin Muhammad Hasyim bin `Abdul Mannan bin Ahmad bin `Abdur Rauf al-Fathani.
12. Kiyai Musa Surabaya dan ramai lagi.
PENULISAN
Tradisi kebanyakan ulama, ketika mereka belajar dan mengajar di Mekah, sekali gus menulis kitab di Mekah juga. Lain halnya dengan Syeikh Muhammad Arsyad bin `Abdullah al-Banjari, walaupun dipercayai bahawa beliau juga pernah mengajar di Mekah, namun karya yang dihasilkannya ditulis di Banjar sendiri. Lagi pula nampaknya beliau lebih mencurahkan khidmat derma baktinya di tempat kelahirannya sendiri yang seolah-olah tanggungjawab rakyat Banjar terbeban di bahunya. Ketika mulai pulang ke Banjar, sememangnya beliau sangat sibuk mengajar dan menyusun segala macam bidang yang bersangkut-paut dengan dakwah, pendidikan dan pentadbiran Islam. Walaupun begitu beliau masih sempat menghasilkan beberapa buah karangan. Karangannya yang sempat dicatat adalah seperti berikut di bawah ini:
1. Tuhfah ar-Raghibin fi Bayani Haqiqah Iman al-Mu'minin wa ma Yufsiduhu Riddah ar-Murtaddin, diselesaikan tahun 1188 H/1774 M
2. Luqtah al-'Ajlan fi al-Haidhi wa al-Istihadhah wa an-Nifas an-Nis-yan, diselesaikan tahun 1192 H/1778 M.
3. Sabil al-Muhtadin li at-Tafaqquhi fi Amri ad-Din, diseselesaikan pada hari Ahad, 27 Rabiulakhir 1195 H/1780 M
4. Risalah Qaul al-Mukhtashar, diselesaikan pada hari Khamis 22 Rabiulawal 1196 H/1781 M.
5. Kitab Bab an-Nikah.
6. Bidayah al-Mubtadi wa `Umdah al-Auladi
7. Kanzu al-Ma'rifah
8. Ushul ad-Din
9. Kitab al-Faraid
10. Hasyiyah Fat-h al-Wahhab
11. Mushhaf al-Quran al-Karim
12. Fat-h ar-Rahman
13. Arkanu Ta'lim as-Shibyan
14. Bulugh al-Maram
15. Fi Bayani Qadha' wa al-Qadar wa al-Waba'
16. Tuhfah al-Ahbab
17. Khuthbah Muthlaqah Pakai Makna. Kitab ini dikumpulkan semula oleh keturunannya, Abdur Rahman Shiddiq al-Banjari. Dicetak oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, Singapura, tanpa dinyatakan tarikh cetak.

Copy and paste:
20 Ogos 2022 : 22 Muharam 1444H: 7.45 am

No comments:

Post a Comment