ZULHEIMY MAAMOR

Saturday, 20 August 2022

AKHIRNYA TELAH BERMULA KEMBALI, MAKA KONSERT DEMI KONSERT LUAR NEGARA AKAN MULA MASUK!

OLEH: USTAZAH ASMA' HARUN

Astaghfirullah, semalam berlangsung satu konsert penyanyi luar negara yang harganya sangat mahal tetapi begitu mendapat sambutan di Negara Islam Malaysia. Rasa terlalu sedih, bila budaya berhibur di konsert begini masih subur di tanah air sendiri walaupun akarnya ibarat racun yang membunuh jiwa masyarakat kita.
Ada yang sanggup beratur dari pagi, berjemur tengah panas dan bersesak-sesak hanya untuk menyaksikan persembahan artis kesayangan. Yang lebih merisaukan, ada kelibat anak Melayu Islam kita lengkap bertudung turut hadir dalam acara ini.
“KAMI DATANG NAK DENGAR KONSERT SAJA, TAKKAN ITU PUN TAK BOLEH?”
Iya, memang dengar lagu dan berhibur itu boleh hilangkan stress. Tapi sedar atau tidak, dengan hadir ke konsert sebegini, mungkin akan ada yang tertinggal solat semata-mata untuk beratur dapatkan tempat, belum dikira lagi keadaan sesak padatnya bercampur lelaki dan perempuan tanpa batas.
Sahabat semua,
Kita tahu, selagi adanya permintaan untuk adakan konsert, selagi itulah akan ada pihak yang anjurkan pesta maksiat begini. Selepas ini, muncul konsert-konsert lain pula, atas nama hiburan itu suatu keperluan.
Kita boleh lihat senarai konsert yang sudah siap diatur hingga hujung tahun. Bahkan setiap bulan akan ada 2-3 acara maksiat. Ini bukan doa atau sangka buruk, tetapi jika budaya ini tidak dicegah, maka lama-kelamaan ia pasti menjadi sebuah normalisasi yang membarah. Nauzubillah.

Ingatlah pesan baginda Nabi Muhammad SAW, daripada Abu Hurairah r.a., beliau berkata:
سَمَعِْتُ رَسُوْلَ اللّٰهِ صَلَّى اللّٰهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُوْلُ: سَيُصِيْبُ أُمَّتِي دَاءُ اْلأُمَمِ فَقَالُوْا: يَا رَسُوْلَ اللّٰهِ وَمَا دَاءُ اْلأُمَمِ قَالَ : اَلْأَشَرُ وَاْلبَطَرُ وَالتَّكَاثُرُ وَالتَّنَاجُشُ فِي الدُّنْيَا وَالتَّبَاغُضُ وَالتَّحَاسُدُ حَتَّى يَكُوْنَ اْلبَغْىُ
Maksudnya: “Aku pernah mendengar RasuIullah SAW bersabda, “Umatku akan ditimpa penyakit-penyakit yang pernah menimpa umat-umat dahulu.” Sahabat bertanya, “Apakah penyakit-penyakit umat terdahulu itu?” Nabi SAW menjawab, “Penyakit-penyakit itu ialah (1) terlalu banyak berseronok, (2) terlalu mewah, (3) menghimpunkan harta sebanyak mungkin, (4) tipu-menipu dalam merebut harta benda dunia, (5) saling memarahi, (6) hasut-menghasut sehingga jadi zalim-menzalim.”
(HR Hakim)
PIHAK PENGANJUR BERTAMBAH KAYA DAN TAMAK, GENERASI MUDA PULA SEMAKIN ROSAK
Jika dibiarkan berterusan begini maka suburlah budaya hedonisme. Kesannya akan lahir generasi hamba hiburan, maka bertambah kaya pihak penganjur yang tamak dan generasi muda kita semakin rosak.
Allahu Akbar, kita tahu tiket dah pun habis terjual. Normalisasi sengaja buat maksiat lepas tu taubat telah menjadi tipu daya yang sangat berjaya oleh hawa nafsu dan syaitan. Istilah terlambat bila berlaku sesuatu yang mudharat akan cuba dicantikkan juga dengan ayat “adalah hikmah disebalik semua ni”
, walaupun hakikatnya musibah itu sendiri dicari bukan diberi.
SEMOGA PENULISAN DARI HATI INI SAMPAI KE HATI
Penulisan ini dibuat dengan tujuan agar masyarakat kita dapat dijauhkan daripada mengimarahkan program yang menjejaskan iman mereka bahkan mungkin menjemput bala, na’uzubillah. Saya mungkin tiada kuasa seperti mereka yang meluluskan program ini, tapi itu tak bermakna kita hanya perlu diam dan bersilang tangan.
Daripada Abu Sa’id al-Khudri r.a., Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَراً فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ أَضْعَفُ اْلإِيْمَانِ
Maksudnya: "Siapa yang melihat kemungkaran maka ubahlah dengan tangannya, jika tidak mampu maka ubahlah dengan lisannya, jika tidak mampu maka (tolaklah) dengan hatinya dan hal tersebut adalah selemah-lemah iman."
(HR Muslim, hadis sahih)
Semoga Allah SWT sentiasa membimbing kita untuk mengamalkan Islam sebagai cara hidup yang sebenarnya. Mudah-mudahan juga, setiap usaha untuk mempertahankan syariat Islam dinilai oleh Allah SWT walaupun kecil dan diganjarkan dengan syurga Firdaus.
Sahabat, mari kita bersama amalkan doa ini agar sentiasa ditetapkan di atas jalan agama dan dijauhkan daripada sebarang kemaksiatan.

اللَّهُمَّ مُصَرِّفَ الْقُلُوبِ صَرِّفْ قُلُوبَنَا عَلَى طَاعَتِكَ
Maksudnya: “Ya Allah, Zat yang membolak-balikkan hati, palingkanlah hati kami kepada ketaatan beribadah kepada-Mu.”
(HR Muslim, hadis sahih)
Semoga bermanfaat buat semua.
Asma' binti Harun & Tim Penyelidikan

Copy and paste:
20 Ogos 2022 : 22 Muharam 1444H: 6.30 pm

No comments:

Post a Comment