ZULHEIMY MAAMOR

Monday, 11 July 2022

TERGAMAK HINA AGAMA SENDIRI ATAS NAMA KOMEDI

OLEH: USTAZAH ASMA' HARUN

Sungguh menyedihkan, saat umat Islam sedang dalam musim Haji, memperbanyak ibadah, melakukan persiapan korban, tiba-tiba tular sebuah video seorang wanita yang tidak segan silu mengaku menghafaz 15 juzuk al-Quran, lalu menanggalkan tudung dan mendedahkan auratnya di pentas “Stand-Up Comedy”.
Allahu Akbar, apakah yang sedang berlaku kepada anak-anak muda Islam kita hari ini? Adakah agama ISLAM itu SEKADAR PADA NAMA sahaja, namun jauh sekali untuk diamalkan dalam kehidupan?

Ini satu musibah ummah yang PARAH. Atas nama lawak dan jenaka, perbuatan begitu sanggup dilakukan. Ia BUKAN LAGI SOAL MAKSIAT PERIBADI YANG HARUS DIDIAMKAN TETAPI BOLEH DIKIRA SEBAGAI JENAYAH kerana berbangga mempersendakan agama Islam di khalayak umum.
Menurut Akta 559 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 seksyen 7 telah menyatakan bagi kesalahan menghina, atau menyebabkan dipandang hina agama Islam, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya.
LARANGAN MEMPERSENDAKAN AGAMA
Firman Allah SWT:
وَذَرِ الَّذِينَ اتَّخَذُوا دِينَهُمْ لَعِبًا وَلَهْوًا وَغَرَّتْهُمُ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا
Maksudnya: “Dan jauhkanlah diri dari orang-orang yang menjadikan agama mereka sebagai permainan dan hiburan, dan mereka pula telah diperdayakan oleh kehidupan dunia.”
(Surah Al-An’am: 70)
Firman-Nya lagi:
الَّذِينَ اتَّخَذُوا دِينَهُمْ لَهْوًا وَلَعِبًا وَغَرَّتْهُمُ الْحَيَاةُ الدُّنْياَ
Maksudnya: “(Orang kafir itu ialah) orang-orang yang menjadikan perkara agama mereka sebagai hiburan yang melalaikan dan permainan, dan orang-orang yang telah terpedaya dengan kehidupan dunia (segala kemewahannya dan kelazatannya).”
(Surah Al-A’raf : 51)
Tafsiran ayat-ayat di atas jelas menunjukkan larangan untuk mempermainkan agama dan membuat apa jua jenis jenaka yang mempunyai kaitan dengan ajaran Islam.
JARUM LIBERALISME YANG HALUS
Sahabat semua, bayangkanlah betapa tenatnya dunia hari ini. Tanpa rasa segan dan malu, perbuatan sebegini begitu mudah berlaku.
Bagaikan jarum halus yang menyelinap ke dalam saraf, pemikiran liberal ini masuk secara perlahan-lahan. Kononnya sekadar lawak dan bahan komedi, lalu perbuatan menghina agama dihalalkan.
Mungkin baginya, agama itu mengongkong kebebasan manusia, lalu dimulakan pengenalan dirinya dengan dibesarkan dalam keluarga yang kuat berpegang pada ajaran agama. Sungguh, bila orang yang kurang faham melihat, pasti akan timbul sangka buruk pada orang yang menerapkan ajaran Islam dalam keluarga.
Apabila berita ini mula diperkatakan tadi, terus saya teringat kepada anak-anak di rumah. Dalam dunia akhir zaman seperti ini, akidah dan keimanan dalam diri akan menjadi benteng terkuat. Godaan demi godaan akan sentiasa hadir, namun bagi yang lemah akan tertewas.
IBU AYAH, marilah kita sama-sama ambil tanggungjawab ini untuk benar-benar mendidik zuriat keturunan dengan Islam. Jati diri dan pegangan hidup Islam ialah sesuatu yang hampir hilang. Berdoalah dan minta kepada-Nya agar seluruh keturunan kita dijauhi daripada terjerumus kepada kemungkaran.

Bersyukurlah kita hari ini apabila ramai yang memberi nasihat dan teguran. Sungguh, peranan AMAR MAKRUF NAHI MUNGKAR ini terletak di bahu kita semua, ketahuilah bahawa bala bukan sahaja diturunkan kepada golongan yang melakukan kemungkaran, bahkan semua sekali tanpa pengecualian. Nauzubillah.
Firman Allah SWT:
وَٱتَّقُواْ فِتۡنَةٗ لَّا تُصِيبَنَّ ٱلَّذِينَ ظَلَمُواْ مِنكُمۡ خَآصَّةٗۖ وَٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ
Maksudnya: “Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksaNya.”
(Surah al-Anfal: 25)
DUHAI ANAK-ANAK MUDA YANG DIKASIHI,
Tulisan ini lahir daripada hati yang tulus sayang kepada kalian. Sebagai seorang yang beragama Islam, kehidupan kita di atas bumi Allah ini bukan semata-mata bersandarkan kepada pendapat peribadi, tetapi setiap perkara ada garis panduannya menurut al-Quran dan hadis Nabi Muhammad SAW.
Ambillah agama ISLAM ini sebagai cara hidup, dan bukan hanya pada nama kalian yang indah. Berjuanglah habis-habisan melawan kehendak nafsu yang memperdaya, agar kita tidak tercicir akhirat lalu ditipu kehidupan dunia. Sungguh, keseronokan di dunia ini tiada apa-apa makna jika kita meninggalkan agama.
DOA SUPAYA DITETAPKAN HIDAYAH
رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِنْ لَدُنْكَ رَحْمَةً إِنَّكَ أَنْتَ الْوَهَّابُ
Maksudnya: “Ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami rahmat di sisi Engkau; kerana sesungguhnya Engkaulah Maha Pemberi.”
( Surah Ali-Imran : 8 )
Semoga dengan kita memohon bersungguh-sungguh supaya diberi hidayah, Allah SWT menyelamatkan kita daripada terjatuh ke lembah dosa maksiat yang hitam dan melemaskan.

Semoga bermanfaat buat semua.
SILAKAN SHARE, KITA BERKONGSI KEBAIKAN DAN GANJARAN PAHALA.
Asma' binti Harun & Tim Penyelidikan

Copy and paste: 11 Julai 2022 > 11 Zulhijjah 1443H: 9.05 am

No comments:

Post a Comment