ZULHEIMY MAAMOR

Monday, 11 July 2022

4 Tahap Manusia Ketika Ditimpa Musibah. Nauzubillah

SUMBER : ISLAM ITU INDAH

Setiap manusia tidak lari dari ditimpa ujian dan musibah kerana itulah fitrah manusia yang akan sentiasa diuji sehingga hari akhir kehidupan mereka di muka bumi ini.

Dengan ujian itulah yang akan membuatkan seseorang manusia itu belajar mengenai erti kehidupan. Bagaimana untuk menjalani kehidupan dengan lebih baik dan apa pengajaran di sebalik perkara yang berlaku.

Namun, hikmah itu kebiasaannya akan diperoleh apabila seseorang itu telah selesai mengharunginya. Semasa dalam proses diuji, rata-rata cenderung untuk mempunyai pelbagai emosi yang berselerak kerana bukan senang untuk mengharunginya.

Dalam beberapa perbahasan ulama juga ada menyebut mengenai beberapa tingkatan manusia yang mengharungi ujian, iaitu;

#1 – Marah Dengan Ujian

Marah terhadap ujian dan menganggap bahawa ia adalah sesuatu yang tidak adil. Ada yang cenderung untuk marah hanya di dalam hati dan tidak melibatkan orang lain.

Manakala, ada juga yang cenderung untuk marah secara lisan dengan menghamburkan kata-kata bagi kepuasan dirinya.

Hati-hati dengan fasa ini kerana ia cenderung boleh menyebabkan seseroang itu marah kepada tuhannya dan takdir yang ditetapkan Allah, bimbang jika ia boleh menyebabkan akidah terpesong.

 وَمِنَ النَّاسِ مَن يَعْبُدُ اللَّـهَ عَلَىٰ حَرْفٍ ۖ فَإِنْ أَصَابَهُ خَيْرٌ اطْمَأَنَّ بِهِ ۖ وَإِنْ أَصَابَتْهُ فِتْنَةٌ انقَلَبَ عَلَىٰ وَجْهِهِ خَسِرَ الدُّنْيَا وَالْآخِرَةَ ۚ ذَٰلِكَ هُوَ الْخُسْرَانُ الْمُبِينُ

Mafhum: “Dan ada di antara manusia yang menyembah Allah dengan sikap dan pendirian yang tidak tetap, iaitu kalau ia beroleh kebaikan, senanglah hatinya dengan keadaan itu, dan kalau pula ia ditimpa fitnah kesusahan, berbaliklah ia semula (kepada kekufuran). (Dengan sikapnya itu) rugilah ia akan dunia dan akhirat, itulah kerugian yang terang nyata.” (Surah Al-Hajj, 22:11)

#2 – Sabar Dengan Ujian

Bukan mudah untuk bersabar, namun percayalah bahawa kesabaran itu boleh mengajar manusia untuk lebih kuat dan taat kepada Allah.

Sabar itu datangnya dari hati kemudian ia akan membawa kepada perbuatan yang baik dan positif.

Jadi, untuk menggapai sabar itu, seseorang perlu mencapai hati yang bersih seperti memulakan dengan melazimi zikir dan istighfar.

Mafhum: “Dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati), sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.” (Surah Al-Anfal, 8:46)

#3 – Reda

Reda dengan ujian ialah seseorang tu tidak merasa berat dengan apa yang Allah timpakan kepadanya sebaliknya dia akan menjalaninya dengan keadaan yang penuh positif.

Maksud: “Apabila Allah cinta kepada suatu kaum, mereka diuji. Barangsiapa reda menerima ujian itu, Allah reda pula kepadanya. Dan barangsiapa yang marah (tidak reda), maka Allah akan murka kepadanya.” (HR Tirmizi, disahihkan oleh Syeikh Al-Arnouth)

#4 – Syukur

Tingkatan yang paling susah namun tidak mustahil untuk mencapainya, iaitu bersyukur dengan ujian.

Seseorang itu yakin dan percaya bahawa ujian yang diberikan Allah adalah untuk mendekatkan dirinya kepada Allah dan mengajarkannya menjadi lebih kuat.

Dan dengan ujian itulah Allah akan mengampuni dosa-dosanya kerana berdasarkan beberapa hadis nabi yang menyebut bahawa Allah menimpakan sesuatu ke atas manusia adalah untuk membersihkan dirinya daripada dosa.

ما مِن مُصِيبَةٍ تُصِيبُ المُسْلِمَ إلَّا كَفَّرَ اللَّهُ بها عنْه، حتَّى الشَّوْكَةِ يُشاكُها

Maksud: “Tidaklah musibah itu menimpa seseorang muslim kecuali dengan Allah akan memberikan keampunan di atas dosa-dosanya.” (HR Bukhari, no. 5640)

Kesimpulan

Jadi, cuba untuk periksa kembali di mana anda apabila ditimpa ujian. Walaupun bukan mudah untuk mencapai tahap syukur apabila ditimpa ujian, namun suatu hari nanti pasti kita berada pada tahap itu jika perlahan-lahan kita belajar menerima dan bersabar dengan setiap perkara yang berlaku.

Wallahu a’alam

Copy and paste: 11 Julai 2022 > 11 Zulhijjah 1443H: 8.58 am

No comments:

Post a Comment