ZULHEIMY MAAMOR

Wednesday, 29 June 2022

MASIH TERINGAT, MAKANAN SARAWAK YANG UNIK DAN ISTIMEWA

OLEH USTAZAH ASMA' HARUN

SubhanAllah, sepanjang kembara ilmu di Sarawak, kami banyak diperkenalkan dengan makanan tradisional, sedikit sebanyak dapat belajar tentang identiti orang Sarawak yang sangat unik.

1. Kuih Bongkol
Kuih bongkol sebenarnya antara menu wajib ketika bulan puasa, selalunya dimakan waktu 'sungkei' iaitu berbuka puasa atau moreh. Kalau di semenanjung mungkin kita selalu cari kurma atau murtabak, tetapi di Sarawak kuih bongkol adalah pelengkap iftar.
Kuih ini diperbuat daripada santan beras, gula apong, kemudian diadun dan dibungkus dalam daun pisang sebelum dikukus. Kuih istimewa ini rasanya lemak manis hampir sama seperti tepung pelita, sangat sedap. SubhanAllah.

2. Kek Lapis
Kek ini mempunyai identiti sendiri dengan pelbagai corak dan warna. Kebiasaannya ia dihidang pada hari perayaan dan menjadi buah tangan utama untuk orang semenanjung yang melancong ke Sarawak.


3. Mee Kolok
Mee kolok ataupun mee 'rangkai' dalam bahasa iban bermaksud kering, menariknya mee ini dihidang bersama kicap dan sup atau secara kering, terpulang kepada cita rasa orang yang makan.
Istimewa mee ini kerana ia sangat popular di Sarawak, malah mempunyai keunikan rasa yang tersendiri. Jenis mee yang digunakan ialah mee gulung, tekstur meenya lebih kenyal berbanding mee wantan.


4. Laksa Sarawak
Jujurnya bila saya lihat laksa Sarawak nampak seperti bihun yang dimasukkan dalam kuah laksa, namun inilah yang menjadikan ia unik berbanding jenis laksa lain.
Kebiasaan laksa di semenanjung dihidangkan bersama sayuran dan telur rebus, tapi laksa Sarawak diletakkan udang. Rasanya masam2 pedas kerana antara bahan yang digunakan ialah perahan limau, air asam jawa dan sambal.


5. Buah Dabai
Buah dabai ini hanya boleh didapatkan di kepulauan Borneo saja, rupanya macam anggur hitam cuma bezanya dari segi rasa seperti avokado tetapi tawar, manakala kulitnya sedikit kelat.
Saya dimaklumkan buah ini sangat berkhasiat sehingga popular dengan gelaran ‘Zaitun Sarawak’, subhanAllah. Orang sini ada ajarkan cara makannya iaitu rendamkan dalam air suam/panas sehingga lembut, kemudian baru makan.
Disebabkan kulitnya rasa kelat, ada yang makan buah ini dengan garam, gula dan kicap, bahkan menariknya buah ini turut dimasak bersama nasi goreng yang disebut sebagai ‘nasi goreng dabai’.


6. ‘Manuk Pansuh
‘Manuk Pansuh’ (Bahasa Iban) bermaksud ayam yang dimasak dalam buluh. Hidangan ini merupakan makanan istimewa tradisi orang Iban dan kebiasaannya dihidangkan pada Hari Gawai.
Penyediaannya seperti membuat lemang. Selalunya ayam tua diguna kerana dikatakan lebih sedap. Ayam, beberapa bahan dan air akan dimasukkan dalam buluh, kemudian muncungnya ditutup dengan pucuk ubi sebelum dibakar menggunakan bara api sehingga masak.
Rasanya seperti sup ayam, masin2 manis namun ditambah dengan bau yang harum dan menyelerakan. InsyaAllah boleh cuba nanti.


7. Kelupis
Kali pertama tengok luaran kuih ini mungkin kita akan nampak seperti lepat pisang, lepat nyior atau pulut panggang, namun inilah yang disebut sebagai kelupis, beras pulut yang dikukus dan boleh dimakan dengan kuah kacang, kari atau rendang. Rasanya sama seperti lemang yang kita makan pada Hari Raya.
Pembuatan kelupis mudah saja di mana bahan utamanya ialah beras pulut dan santan yang dibungkus menggunakan daun nyirik atau irik, daun khas untuk membungkus kelupis supaya lebih tahan lama dan tidak basi berbanding menggunakan daun pisang.

Allahu Akbar.
Setiap sajian mempunyai keistimewaan tersendiri dan buatkan saya terfikir, sungguh kreatif orang kita dalam menyediakan pelbagai jenis makanan. Benarlah firman Allah SWT:
يٰٓاَيُّهَا النَّاسُ اِنَّا خَلَقْنٰكُمْ مِّنْ ذَكَرٍ وَّاُنْثٰى وَجَعَلْنٰكُمْ شُعُوْبًا وَّقَبَاۤىِٕلَ لِتَعَارَفُوْا ۚ اِنَّ اَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللّٰهِ اَتْقٰىكُمْ ۗاِنَّ اللّٰهَ عَلِيْمٌ خَبِيْرٌ
Maksudnya: “Wahai manusia! Sungguh, Kami telah menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan, kemudian Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal. Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa. Sungguh, Allah Maha Mengetahui lagi Maha Teliti.”
(Surah al-Hujurat 49: 13)
Sebenarnya banyak lagi makanan Sarawak yang ada. Perkongsian ini dibuat kerana masih teringat
❤️
, semoga ada kesempatan lagi datang ke Sarawak untuk menikmati lebih banyak makanan menarik di sini, insyaAllah.
🤲🌹
Asma’ binti Harun

Copy and paste: 29 June 2022 > 29 Zulkaedah 1443H: 8.53 am

No comments:

Post a Comment