ZULHEIMY MAAMOR

Friday, 1 April 2022

Ganjaran Buat Pencinta Al-Quran – Bacalah Walau Ramadan Telah Berlalu


Melihat orang membaca Al-Quran di mana-mana pada bulan Ramadan bukanlah pemandangan yang pelik – sewaktu menunggu bas, sewaktu rehat tengah hari, malah ketika dalam keadaan sempit dan penuh dengan orang di dalam tren, ada yang mengambil peluang membuka Al-Quran dan membacanya.

Ramadan selain bulan untuk berpuasa, sememangnya dikenali dengan julukan ‘bulan Al-Quran’. Diharapkan walaupun Ramadan telah berlalu, amalan ini masih diteruskan kerana ganjaran buat orang yang suka membaca Al-Quran sungguh besar dan banyak diceritakan dalam hadis.

Allah Akan Menunjukkan Jalan Buat Mereka Yang Mahukan Kebaikan

Jika ada yang bertanya, bagaimana untuk jadi baik – maka jawapan yang paling mudah adalah ‘mula lakukan apa sahaja kebaikan’. Yang dicari bukanlah kesempurnaan pada cubaan yang pertama tetapi azam dan usaha yang berterusan.

Orang-orang baik dan soleh yang kita lihat, mereka juga bukan orang yang sempurna dalam ibadah tetapi mereka adalah orang yang setia dengan kebaikan yang dilakukan.

Perhatikan bagaimana Allah memberi semangat kepada orang yang mahu berubah kebaikan dalam ayat ini:

“Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya. (Surah Al-Ankabut 29:69)

Pimpinan atau panduan Allah dalam ayat ini boleh terjadi dalam pelbagai bentuk – contohnya masa yang terasa lapang, menerima rezeki yang tidak disangka malah Allah juga berkuasa membuka hati kita supaya mudah melakukan kebaikan.

Kita pasti pernah mendengar orang berkata;

“Eh rasa macam makin suka nak buat baik”

Sama juga dalam hal membaca Al-Quran. Jika anda sudah bertahun lamanya meninggalkan Al-Quran, maka mulalah dengan membuka kembali Al-Quran. Jika anda sudah tidak tahu bagaimana untuk membaca, maka mulakanlah dengan membaca sekadar maksud ayatnya dahulu. Sematkan di dalam hati dan minta kepada Allah agar dipermudahkan usaha untuk mendekati Al-Quran semula.

Jika mampu membaca sedikit tetapi tidak lancar, usahakanlah pula untuk mencari guru mengaji yang mampu mengajar tajwid dengan betul.

Bagi mereka yang sudah lancar membaca, maka sematkan azam untuk terus mempertingkatkan kemahiran dalam bacaan contohnya menghafal atau mempelajari tafsirnya pula.

Usah risau, kebaikan ada pada kedua-dua keadaan (sama ada membaca Al-Quran dengan lancar atau tidak). Seperti hadis yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah R.anha:

عَنْ عَائِشَةَ رضى الله عنها قَالَتْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- « الْمَاهِرُ بِالْقُرْآنِ مَعَ السَّفَرَةِ الْكِرَامِ الْبَرَرَةِ وَالَّذِى يَقْرَأُ الْقُرْآنَ وَيَتَتَعْتَعُ فِيهِ وَهُوَ عَلَيْهِ شَاقٌّ لَهُ أَجْرَانِ »

“Aisyah R.anha meriwayatkan bahwa Rasulullah SAW bersabda: “Seorang yang lancar membaca Al Quran akan bersama para malaikat yang mulia dan sentiasa selalu taat kepada Allah, adapun yang membaca Al Quran dan terbata-bata (tersekat-sekat) di dalamnya dan sulit atasnya bacaan tersebut maka baginya dua pahala”
(HR. Muslim)

Percayalah, bahawa Allah akan mengotakan janjiNya bahawa orang yang bersungguh-sungguh mahu mendekati agama ini, akan dipandu dan dimudahkan jalan ke arah kebaikan.

Tanda Mencintai Allah Dan Rasul Adalah Mencintai Al-Quran

أنْ عَبْدِ اللهِ بن مسعود رضى الله عنه ، أنه قَالَ: ” مَنْ أَحَبَّ أَنْ يَعْلَمَ أَنَّهُ يُحِبُّ اللهَ وَرَسُولَهُ فَلْيَنْظُرْ، فَإِنْ كَانَ يُحِبُّ الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يُحِبُّ اللهَ وَرَسُولَهُ

“Abdullah bin Mas’ud ra berkata: “Siapa yang ingin mengetahui bahawa dia mencintai Allah dan RasulNya, maka perhatikanlah jika dia mencintai Al-Quran maka sesungguhnya dia mencintai Allah dan rasulNya.” (Atsar sahih diriwayatkan di dalam kitab Syu’ab Al Iman, karya Al Baihaqi).

Jika kita menyukai seseorang, maka kita pasti ingin mendengar apa yang diucapkan dan ditulis nya. Maka salah satu tanda orang yang mencintai Allah, dia selalu ingin membaca apa yang disampaikan oleh Allah dalam Al-Quran, malah mereka mengikut apa yang disuruh dan apa yang ditegah.

Membaca Al-Quran Akan Melembutkan Hati Dan Mendatangkan Ketenangan

وقال وهيب رحمه الله: “نظرنا في هذه الأحاديث والمواعظ فلم نجد شيئًا أرق للقلوب ولا أشد استجلابًا للحزن من قراءة القرآن وتفهمه وتدبره

“Berkata Wuhaib rahimahullah: “Kami telah memperhatikan di dalam hadis-hadis dan nasihat ini, maka kami tidak mendapati ada sesuatu yang paling melembutkan hati dan mendatangkan kesedihan dibandingkan bacaan Al Quran, memahami dan mentadabburinya”.

Mengapa tidak kita mendapat ketenangan kerana ayat-ayat yang dibaca bukanlah kata-kata biasa manusia yang hidup di atas dunia, tetapi kata-kata daripada Tuhan Yang Maha Kuasa, yang turun daripada tempat tinggi nun di atas sana.

Ada orang mengumpamakan Al-Quran seperti surat cinta daripada Pencipta, yang akan dibuka dan dibaca berkali-kali. Setiap kali anda membukanya, membaca sekalipun ayat yang sama, namun perasaan yang dirasai dan faedah yang diperoleh sentiasa berbeza, sesuai dengan keadaan dan keperluan hati. Itulah keistimewaan Al-Quran.

Sumber: tzkrh.com

Copy and Paste: 1/4/2022 > 29 Syaaban 1443H: 2.31 pm

No comments:

Post a Comment