ZULHEIMY MAAMOR

Friday, 1 April 2022

Berpuluh Tahun Tinggalkan Solat!! Inilah Satu-satunya Jalan Yang Perlu Anda Lakukan


Soalan:

Assalamualaikum ustaz..saya ada soalan obh kawan saya..dia ni sudah lama tdk menunaikan sembahyang sejak org tuanya meninggal dalam 20thn lebih hnya sembahyng sekali sekala dan baru2 ini pintu hatinya terbuka utk solat dan bertaubat dan pada masa yg sama dia masih ragu2 mengenai adakah solat dan taubatnya akan di terima sekian tq.

Jawapan:

Waalaikumussalam wbt.

Insya-Allah, Allah tidak pernah mungkir janji. Allah berjanji akan menerima taubat, maka kitalah yang perlu melakukan tugas kita untuk bertaubat daripada segala dosa.

Katakanlah wahai hambaku yang telah melampau batas ke atas diri mereka sendiri. Janganlah kalian berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni kesemua dosa. (Az-Zumar : 53).

Anas bin Malik radiallahu ‘anhu berkata: Aku mendengar Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Allah berkata: Wahai anak Adam. Selagi mana engkau berdoa dan mengharapan kepada Ku, nescaya Aku ampuni apa sahaja yang engkau lakukan, Aku tidak kisah. Wahai anak Adam. Jika dosa mu melangit tinggi, kemudia engkau memohon keampunan Ku, Aku akan ampuni diri mu, Aku tidak kisah. Wahai anak Adam, seandainya engkau datang kepada ku dengan dosa seluas bumi, dan engkau bertemu dengan Aku dalam keadaan engkau tidak mensyirikkan Aku dengan sesuatu apa pun, nescaya Aku akan datang kepada mu dengan seluas keampunan.

[Sunan at-Tirmizi, Kitab ad-Daawat, hadis no: 3491, hasan gharib]

Abu Hurairah radiallahu ‘anhu berkata: Aku mendengar Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Sesungguhnya seorang hamba melakukan dosa lalu dia berkata: Ya tuhan, aku telah berdosa. Ampuni diri ku. Lalu Allah menjawab: Adakah hamba ku tahu bahawa dia mempunyai Tuhan yang akan mengampuni dan menghukum dosanya? Aku telah mengampuni hamba ku.

Kemudian berlalulah masa sehingga orang itu melakukan dosa lagi. Lalu dia berdoa: Tuhan ku, aku telah berdosa. Ampunilah dosa ini. Lalu Allah berkata: Adakah hamba ku mengetahui bahawa dia memiliki Tuhan yang mengampuni dosa dan menghukum dosa itu? Aku telah mengampuni hamba ku.

Kemudian berlalulah masa sehingga orang itu melakukan dosa lagi. Lalu dia berdoa: Tuhan ku, aku telah berdosa. Ampunilah dosa ini. Lalu Allah berkata: Adakah hamba ku mengetahui bahawa dia memiliki Tuhan yang mengampuni dosa dan menghukum dosa itu? Aku telah mengampuni hamba ku. sebanyak tiga kali. Maka biarlah dia lakukan apa yang dia kehendaki. [Sahih al-Bukhari, Kitab at-Tauhid, hadis no: 6976]

Apa yang rakan saudara perlu lakukan ialah:
  • Berazam benar-benar untuk bertaubat.
  • Berusaha bersungguh-sungguh mendirikan solat.
  • Mencari teman dan suasana yang akan memotivasi untuk mendirikan solat.
  • Jauhkan daripada duduk bersama rakan-rakan yang akan menghasut untuk meringankan solat.
  • Mula mencari ilmu agar solat yang didirikan dapat dihayati.
Sesungguhnya solat bukan sekadar satu kewajipan bahkan ia akan menjadi penyebab lebih banyak dosa terhapus. Jabir bin Abdullah radiallahu anhu berkata, Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bersabda:

Solat lima waktu itu umpama sungai yang mengalir di hadapan pintu salah seorang daripada kalian. Dia mandi dengan airnya setiap hari sebanyak lima kali.

[Sahih Muslim, Kitab al-Masajid wa Mawadi’i as-Solat, hadis no: 1078]

‘Amru bin ‘Abasah radiallahu ‘anhu dalam sebuah hadis yang panjang berkaitan pengislamannya menyebutkan:

Aku pun berkata: Wahai Nabi Allah. Ceritakan kepada aku tentang wudhu. Baginda menjawab: Tidaklah seseorang itu pergi kepada air wudhu lalu dia lalu berkumur-kumur, memasukkan air ke dalam hidung dan mengeluarkannya melainkan gugur dosa wajahnya, gugur dosa mulutnya, gugur dosa hidungnya. Kemudian apabila dia membasuh wajahnya sebagaimana yang Allah arahkan, gugurlah dosa wajahnya daripada hujung janggutnya bersama-sama air wudhu itu. Apabila dia membasuh kedua tangannya hingga kedua siku, gugurlah dosa kedua-dua tangannya daripada hujung jarinya bersama air wudhu itu. Seandainya dia mendirikan solat, memuji Allah dengan pujian yang layak untukNya, dan mengosongkan hatinya untuk Allah, dosa-dosanya akan meninggalkannya sebagaimana hari ibunya melahirkan dia.

[Sahih Muslim, Kitab Solat Al-Musafirin wa Qasriha, hadis no: 1967]

Tuan pula hendaklah berusaha untuk sentiasa memotivasi rakan tuan untuk mendirikan solat. Ajaklah dia solat berjemaah bersama. Semoga kita semua mendapat hidayah daripada Allah.


Copy and paste: 1/4/2022 > 29 Syaaban 1443H: 2.26 pm

No comments:

Post a Comment