ZULHEIMY MAAMOR

Tuesday, 15 February 2022

Jika Hari Anda Dilanda Kegelapan, Malam Anda Penuh Musibah Dan Sahabat Dekat Berpaling, Maka Hendaklah Anda Solat.

 

in IBADAHSEMASATAZKIRAH > ISLAM ITU INDAH

Marilah Kita Mengerjakan Solat

Firman Allah S.W.T. di dalam surah Al-Baqarah, ayat 153 :

Wahai orang yang beriman, mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat.

Ketika Rasulullah ditimpa kesedihan, maka dia akan segera menunaikan solat. Pernah baginda bersabda kepada Bilal : “Wahai Bilal, tenteramkan [hati] kita dengan solat!”

Pada kali yang lain dia bersabda : “Ketenanganku ada pada solat.”

Jika hati terasa sempit, masalah yang dihadapi terasa sangat rumit dan tipu muslihat sangat banyak, maka bersegeralah datang ke masjid dan solatlah.

Jika hari-hari anda dilanda kegelapan, malam-malam anda penuh musibah dan sahabat dekat anda berpaling, maka hendaklah anda solat.

Dalam berbagai urusan yang sangat penting, Rasulullah selalu melapangkan hatinya dengan melakukan solat, misalnya, pada ketika perang Badar, Ahzab (Khandaq) dan kesempatan-kesempatan yang lain. Diriwayatkan dari Al-Hafizh Ibnu Hajar, penulis Fathul Bari, bahawa suatu hari dia pergi ke sebuah benteng di Mesir, di pertengahan jalan, dia dikepung oleh sekumpulan perompak. Seketika itu juga dia berdiri untuk melakukan solat, kemudian Allah pun memberikan jalan keluar kepadanya.

Ibnu ‘Asakir dan Ibnu Qayyim Al-Jauziyah menceritakan bahawa seorang hamba soleh telah dihadang oleh seorang perompak di sebuah jalanan di Syam. Perompak itu berusaha untuk membunuhnya. Hamba soleh tersebut meminta diberi kesempatan untuk mengerjakan solat. Di saat itu dia teringat firman allah yang berbunyi :

Atau siapakah yang mempernankan (doa) orang yang sedang dalam kesulitan apabila dia berdoa kepadaNya…
(An-Naml : 62)

Dia membacanya tiga kali. Maka turunlah malaikat dari langit membawa pedang dan dengan pedang itu dia membunuh perompak tersebut. Malaikat itu berkata : “Aku adalah utusan Zat Yang Memperkenankan doa orang yang dalam kesulitan.”

Pada ayat-ayat yang lain Allah Ta’ala berfirman :

Dan perintahkan kepada keluargamu untuk mendirikan solat dan bersabrlah mengerjakannya…
(Taha : 132)

Sesungguhnya solat itu mencegah dari (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar…
(Al-‘Ankabut : 45)

…sesungguhnya solat itu adalah kewajipan yang telah ditentukan waktunya atas orang yang beriman.
(An-Nisa’ : 103)

Di antara perkara-perkara yang mampu menciptakan kelapangan di dalam dada dan menghilangkan keresahan dan kegelisahan adalah mengucapkan selawat kepada Rasulullah.

…wahai  orang yang beriman, berselawatlah kalian kepada Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya. 
(Al-Ahzab : 56)

Sebuah riwayat sahih dari At-Tirmizi menyebutkan bahawa Ubay bin Ka’ab pernah bertanya : “Wahai Rasulullah, berapa banyak saya harus mengucapkan selawat untukmu?” Rasulullah menjawab : “Sesukamu!” Ka’ab bertanya lagi: “Apakah seperempat?” Rasulullah menjawab: “Terpulanglah padamu. Dan jika engkau tambahkan lagi, maka itu adalah lebih baik.” Ubay bertanya lagi: “Dua pertiga?” Rasulullah menjawab: “Terserah kepada engkaulah. Dan jika engkau tambahkan lagi, maka itu adalah lebih baik.” Ubay bertanya: “Apakah selawatku untukmu seluruhnya?” Rasulullah menjawab: “Kerana itu dosamu akan diampunkan dan semua keinginanmu (baik yang berkaitan dengan dunia mahupun akhirat) akan dipenuhi.

Terdapat dua dalil yang menguatkan bahawa perasaan sedih dan dukacita itu boleh hilang hanya dengan mengucapkan selawat dan salam kepada Rasulullah.

Yang pertama : Barang siapa yang berselawat kepadaku sekali, maka allah akan berselawat (memberikan rahmat) kepadanya sepuluh kali,

Kedua : Perbanyaklah berselawat kepadaku pada malam dan siang hari Jumaat, kerana (pada waktu tersebut) selawat kalian diperlihatkan kepadaku.” Para sahabat bertanya: “Bagaimana selawat itu akan diperlihatkan kepadamu, sementara (jasad) engkau telah hancur (dimakan tanah)?” Rasulullah menjawab: “Sesungguhnya Allah mengharamkan kepada bumi (tanah) untuk memakana jasad para Nabi.

Orang yang mengikuti Nabi s.A.W. dan berjalan di atas petunjuk yang diturunkan kepadanya, akan memiliki anugerah berupa ketenangan jiwa, ketinggian darjat dan kehormatan dirinya.

Ibnu Taimiyah berkata : “Selawat yang paling sempurna untuk Rasulullah adalah selawat Ibrahimiyyah :

Ya Allah, limpahkan rahmatMu atas Muhammad dan
keluarganya sebagaimana Engkau telah melimpahkannya
atas Ibrahim dan keluarganya. Ya Allah, berikanlah 
berkatMu atas Muhammad dan keluarganya sebagaimana
Engkau telah melimpahkannya atas Ibrahim dan
keluarganya. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji dan
Terhormat.

Seorang penyair mengatakan :

Kami melupakan semua yang berharga
dalam naungan kasihmu.
Hari ini dikaulah yang paling berharga
yang kami miliki.
Kami tidak berharga apa-apa
dibanding dengan besarnya kecintaanmu.
Cukuplah perkara ini menjadi kemuliaan bagi kami

Sumber : Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan

Copy and paste: 15/2/2022 > 13 Rejab 1443H: 11.59 am





No comments:

Post a Comment