ZULHEIMY MAAMOR

Wednesday, 5 January 2022

Penutur Austronesia Dan Cara Penyebarannya: Pendekatan Arkeologi, Genetik Dan Linguistik

Zuliskandar Ramli & Zaharah Sulaiman
Jurnal Arkeologi Malaysia
Disember 2017, Vol. 30, No. 2, hlm. 59-74
ISSN 0128-0732  e-ISSN 2590-4302
Diterbitkan oleh Ikatan Ahli Arkeologi Malaysia

Abstrak

Penyebaran penutur Austronesia di Asia Tenggara dan kepulauan Pasifik serta Madagascar menjadi polemik berterusan sehingga ke hari ini. Pelbagai hipotesis dan teori yang telah dikemukakan oleh sarjana melalui pendekatan linguistik, arkeologi, antropologi dan genetik dalam membahaskan isu ini. Makalah ini cuba melihat kembali teori besar yang telah dikemukakan oleh para sarjana pelbagai bidang ini dalam merekonstruksi kronologi dan cara penyebaran penutur Austronesia. 
Istilah Austronesia ini mula dipopularkan sejak akhir abad ke-19 lagi dan kajian berkenaan dengan penutur Austronesia ini telah dipelopori oleh Otto Dempwolff diikuti oleh Hendrok Kern pada tahun 1886 dan Wilhem Schmidt pada awal  abad  ke-20.  Robert  Blust  pada  tahun  1970-an  telah  memperkembangkan kajian berkenaan penutur Austronesi ini dan beliau juga telah membangunkan model yang dinamakan “Model of History of the Austronesian Language Family”. Antara teori besar yang dikemukakan dan berkait dengan penutur Austronesia ini adalah teori yang dikemukakan oleh Peter Bellwood iaitu teori ‘Out of Taiwan’ dan Out   of   Yunnan’   yang   menggunakan   pendekatan   linguistik   dan  arkeologi terutamanya yang berkait rapat dengan masyarakat yang mengamalkan pertanian dan  penternakan.  
Teori  ‘Out  of  Island  Origin’  yang  telah  dikemukakan  oleh William Solheim dengan menggunakan data arkeologi sepenuhnya terutamanya penyebaran artifak  tembikar  tanah  menganggap bahawa  induk  bahasa Austronesia ini adalah di kawasan pesisir selatan Vietnam. Manakala pendekatan terkini yang menggunakan analisis genetik terutamanya mitokondria DNA telah digunakan oleh Stephen Oppenheimer dan beliau telah mengemukakan teori ‘Oot of Sundaland’. Kesimpulannya, walaupun teori “Out of Sundaland’ ini telah menolak teori yang dikemukakan oleh Peter Bellwood iaitu teori ‘Out of Taiwan, perdebatan berkenaan dengan penyebaran penutur Bahasa Austronesia ini dilihat tidak akan selesai dan polemik ini dijangka akan terus berterusan tanpa penghujungnya. Walau bagaimanapun, ahli arkeologi tempatan telah lama menolak teori ‘Out of Taiwan’ dan ‘Out of Yunnan’ dengan hujah bahawa masyarakat Neolitik itu berevolusi secara setempat dan evolusi sosio-budaya dan teknologi berkait rapat dengan persekitaran yang diduduki oleh masyarakat tersebut.

PENGENALAN

Pergerakan  manusia serta  perbincangan  berkenaan  asal-usul  sesuatu  bangsa  selama  ini  banyak diperdebatkan dengan menggunakan pendekatan atau disiplin linguistik, antropologi dan juga arkeologi. Sejak kebelakangan ini, pendekatan secara lebih saintifik telah digunakan terutama kepada mereka yang terlibat dalam bidang genetik manusia telah memberi sinar baru dalam memahami isu asal-usul manusia dan pergerakannya. Pendekatan dalam pelbagai bidang ini akan digunakan untuk membincangkan  isu  penutur  Austronesia  yang  merupakan  keluarga  bahasa  terbesar  di  Asia Tenggara.

Pendekatan yang digunakan oleh Edward Sapir sejak awal tahun 1920-an berkenaan dengan perkembangan dan pergerakan bahasa secara kronologi boleh ditelusuri daripada kawasan yang mempunyai varieti linguistik yang paling terbesar. Secara teorinya, ahli linguistik telah menerima pendekatan  yang  digunakan  oleh  Edward  Sapir  untuk  menentukan  asal-usul  dan  pergerakan manusia walaupun ada juga pihak yang tidak bersetuju dengan pendekatan tersebut dengan hujah bahawa bahasa itu mempunyai hubungan atau perkaitan yang jauh disebabkan oleh kepelbagaian bahasa itu sendiri (Peiros, 1998). Sapir (1884-1939) seorang ahli linguistik amat terpengaruh dengan pendekatan yang digunakan oleh Frank Boas seorang ahli antropologi yang berhujah berkenaan bahawa primitif adalah sama atau setaraf dengan bahasa bertamadun. Boas yang banyak mengkaji tentang budaya masyarakat Asli Amerika, membahaskan bahawa kajian berkenaan bahasa adalah penting kepada disiplin antropologi budaya kerana bahasa, budaya dan masyarakat adalah berkait rapat antara satu sama lain (Sapir 1968; Boas 1966). Istilah Austronesia ini telah dipopularkan sejak akhir abad ke-19 lagi dan kajian berkenaan dengan penutur Austronesia ini telah dipelopori oleh Zuliskandar Ramli & Zaharah SulaimanOtto Dempwolff diikuti oleh Hendrik Kern pada tahun 1886 dan Wilhem Schmidt pada awal abad ke-20. Robert Blust pada tahun 1970-an telah memperkembangkan kajian berkenaan penutur Asutronesi ini dan beliau juga telah membangunkan model yang dinamakan “Model of History of the Austronesian Language Family’.

Pendekatan linguistik ini telah digunakan oleh ahli arkeologi bernama Peter Bellwood dalam merekonstruksi  penghijrahan  penutur  Austranesia  di  Asia  Tenggara  dan  dihujahkan  bersama dengan data arkeologi terutamanya tapak-tapak yang mempunyai bukti wujudnya pertanian dan dalam konteks ini adalah data berkenaan dengan penggunaan tembikar tanah (Bellwood 2005). Berbeza dengan pendekatan Heine-Geldern yang menggunakan artifak kapak atau beliung batu bergilap untuk menunjukkan wujudnya migrasi penutur Austranesia dari tanah besar Indo-China ke Indonesia. Heine-Geldern yang juga terpengaruh dengan teori yang dikemukakan oleh Schmidt’s mengemukakan teori yang penghijrahan berlaku sekitar 2500-1500BC dengan penutur Austronesia membawa budaya Neolitik ke Indonesia dan migrasi kedua berlaku pada 500 BC dengan membawa kebudayaan logam (Heine-Geldern 1945). Ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa kedua- dua ahli arkeologi ini terpengaruh dengan model yang dibina oleh ahli linguistik iaitu Schmidt’s dan Robert Blust’s.

William Solheim seorang ahli arkeologi telah menggunakan pendekatan arkeologi sepenuhnya dalam melihat penyebaran masyarakat di Asia Tenggara. Beliau dilihat menggunakan data artifak tembikar tanah yang bertaburan di Tapak Neolitik di Asia Tenggara. Beliau mengutarakan teori (Island Origin) yang juga dikenali sebagai Nusantqo Maritime Trading and Communication West Africa and Madagascar Network (MNTCN) (Solheim 2000).

Stephen Oppenheimer, seorang ahli antropologi mempunyai pandangan yang tersendiri berkenaan dengan penyebaran manusia di Asia Tenggara. Beliau menggunakan pendekatan genetik dengan menganalisis mitokondria DNA masyarakat asal di Asia Tenggara dan Pasifik dan analisis tersebut mempunyai tarikh yang dipertarikhkan berdasarkan bidang genetik (Oppenheimer 1999). Teori yang dikemukakan oleh Oppenheimer ini dinamakan “Out of Sundaland” dan teori ini mendapat perhatian ahli arkeologi yang mengkaji bidang prasejarah di Asia Tenggara.

PERSPEKTIF LINGUISTIK

Sejak abad ke-16 Masihi lagi, pelayar dan pengembara telah mula mengumpulkan senarai kosa kata bahasa Austronesia daripada kawasan atau tempat yang pernah mereka singgah. Antonio Pigafetta, seorang pengembara berbangsa Itali adalah orang yang mula mengumpulkan kosa kata bahasa Austronesia ini. Beliau adalah antara anak kapal yang mengikuti ekspedisi Magellan pada tahun 1519-1522.  

Hadrian Reland adalah sarjana Belanda yang pertama pada tahun 1706 mengandaikan wujud  persamaan  antara  Bahasa  Melayu  dari  kawasan  Madagascar  ke  Jawa,  Borneo,  Malaku sehingga ke timur (Fox 2004:1). 

William Von Humboldt pula telah memperkembangkan istilah “Malayo-Polynesian” untuk menunjukkan persamaan bahawa Malayan ke Polinesia walaupun istilah tersebut telah digunakan oleh Frank Bopp sebelumnya sebagai istilah dalam kumpulan linguistik (Fox 2004:3).

Kebanyakan  sarjana  pada  abad  ke-19  telah  mengemukakan  teori  berkenaan  hubungan bahawa dengan pergerakan atau penghijrahan bangsa, maka ada yang tidak mengiktiraf sebahagian daripada bahasa New Guinea dari sebahagian besar bahasa Malanesia berada dalam kumpulan yang sama dengan bahasa Austronesia. Pada tahun 1884, Hendrik Kern telah berjaya menunjukkan bahawa Nutor (motor) di bahagian paling barat Irian berada dalam kumpulan bahasa Malayu- Polinesia. Kern dikatakan telah menggunakan kaedah yang lebih sistematik dalam mengkaji bahasa Austronesia dengan pendekatan asas berdasarkan kaedah perbandingan (Fox 2004).

Dengan menggunakan istilah flora dan fauna, Hedrik Kern pada tahun 1889 cuba untuk menentukan di mana asal usul penutur Austronesia ini, sama ada di kawasan tropika atau tidak jauh daripada kawasan tropika ini. Dalam usaha untuk melihat perkaitan bahawa dengan menggunakan perkataan asal “beras”, kognitif. Kern menyimpulkan bahawa “tanah asal” penutur Austronesia ini adalah di Tanah Besar Asia atau berdekatan dengannya. Pendapat ketiga, Kern ialah ‘tanah asal’ penutur Austronesia ini berdekatan dengan laut berdasarkan perkataan lama yang (kognitif) merujuk kepada fauna di kawasan lautan dan juga kehebatan penutur Austronesia atau Melayu ini dalam pelayaran (Blust 1984-1985:48).

Penutur Austronesia amat biasa dengan pelbagai tumbuhan yang amat terkait dengan mereka yang mana antaranya ialah tebu, kelapa, buluh, timun, rotan, pisang, keladi, taro (semacam keladi), daun pandan dan akar-akar kayu yang beracun. Menurut Kern lagi, penutur Austronesia pada awalnya tinggal di kawasan persisiran pantai kerana beberapa kognitif amat berkait dengan laut dan kawasa persisiran pantai. Mereka juga telah menjaya menjinakkan binatang sebagai binatang peliharaan dan penternakan seperti anjing, babi, burung serta menanam padi. Penutur Austronesia ini dikatakan mendiami kawasan persisiran pantai di Tanah Besar Asia dan tradisi ini hilang apabila datangnya kebudayaan logam dan bertindak berhijrah ke kawasan lebih timur (Blust 1976).

Pada tahun 1906, Wilham Schmidt memperkenalkan istilah Austronesia dan Austroasiatic dalam mengemukakan hipotesis bahawa dua keluarga bahasa ini berkemungkinan berada dalam kumpulan yang lebih besar iaitu keluarga bahasa ‘Austric’. Diandaikan bahawa migrasi penutur Austronesia pada awalnya, mereka telah menemui penutur bahasa Austronesia ini (Fox 2004:6). 

Pendekatan asas dalam kajian perbandingan tentang istilah untuk flora dan fauna serta aktiviti maritim  dan  pelayaran,  Robert  Blust  (1984-1985:54),  percaya  bahawa  ‘tanah  asal’  penutur Austronesia ini adalah di Taiwan atau bersebelahan dengan Tanah Besar China dan bukannya Vietnam atau Kemboja, New Guinea, Bismarck Archipelago atau Indonesia (Blust 1984-1985:54; Bellwood 1981:72).

Mengikut sesetengah sajana terutamanya Peter Bellwood menghujahkan bahawa kawasan yang terawal didiami oleh penutur Austronesia ialah di Taiwan antara 4500-4000BC. Jika Taiwan ialah ‘tanah asal’ penutur Austronesia, maka rantau terbesar kedua yang akan didiami oleh penutur Austronesia ini adalah Filipina, antara 3500BC-3000BC (Blust 1984-1985:55; Bellwood 1981:72). Penempatan di Filipina dipercayai dihubungkan melalui pelayaran terus menyeberangi Terusan Bushi dan Selat Luzon, melalui Botel Tobago, Batanes dan Pulau Babuyan. Dari selatan Filipina, penutur Austronesia dikatakan berpecah dan ini berlaku antara tahun 3000-2500BC. Satu kumpulan atau cabang bergerak ke Barat Malayu-Polinesia, melalui Borneo dan sekumpulan lagi bergerak ke kawasan timur Malayu-Polinesia, melalui utara Maluku yang mana sesetengah menetap di Sulawesi.

Proto Malayu-Polinesia Barat barangkali dipertuturkan di utara Maluku yang merupakan kawasan penutur Barat Malayu-Polinesia ketika ini.

Asmah Haji Omar yang merupakan sarjana tersohor dalam bidang sastera dan linguistik di Malaysia turut menyatakan tentang teori pergerakan bahasa Austronesia dengan mengambil teori beberapa  sarjana  dunia.  Beliau  mengambil  teori  yang  dikemukakan  oleh  linguis  Belanda  iaitu Hendrik Kern pada tahun 1889 yang menyatakan bahawa lokasi bahasa Proto-Austronesia terletak di daratan China, di satu tempat yang dikenali sebagai Yunan. Di situ juga dikatakan terdapat tanah asal orang Austronesia. Teori Kern ini berdasarkan bukti linguistik dan juga bukti budaya. R. Blust dan K.A. Adelaar berpendapat bahawa kedatangan bahasa Melayu ke Semenanjung Tanah Melayu adalah melalui Barat Daya Borneo. Teori ini dibuat berdasarkan bukti linguistik yang menunjukkan bahawa kawasan berkenaan memperlihatkan ciri-ciri bahasa induk. Penurunan bahasa Proto- Austronesia menjadi bahasa turunan berlaku beransur-ansur dalam jangka waktu ribuan tahun. (Blust 1984-1985; Adelaar 2004).

Penurunan dengan cara ini menghasilkan keluarga, dan dari keluarga muncul subkeluarga atau kelompok. Subkelompok Malayik mewakili bahasa-bahasa yang memperlihatkan banyak persamaan dengan bahasa Melayu daripada pelbagai aspek seperti perbendaharaan kata, sistem bunyi, dan sistem nahu. Dalam subkelompok ini antara lain terdapat bahasa Melayu, Iban, Selakau, Minangkabau dan Serawai. Perkembangan bahasa Melayu ini dari aspek penurunan menyaksikan munculnya teori tentang tanah asal bahasa Melayu. Teori pertama menyatakan bahawa bahasa Melayu berpusat di Palembang sebagai tanah asalnya, berpencar dari Sumatera Selatan ke Riau, ke Singapura, masuk ke utara Semenanjung Tanah Melayu dan ke barat dengan memasuki semula Sumatera dan seterusnya ke Minangkabau. Teori kedua pula menyatakan bahawa Semenanjung Tanah Melayu ialah pusat bahasa Melayu sekaligus tanah asal bahasa Melayu. Teori ini disokong oleh faktor linguistik dan faktor budaya yang menunjukkan peradaban tinggi penutur bahasa Melayu di Semenanjung Tanah Melayu. Teori ketiga pula menyatakan bahawa tanah asal dan pusat perkembangan bahasa Melayu adalah di barat daya Borneo, khususnya di Sambas. Teori ini berdasarkan pada faktor linguistik dan kewujudan fonem-fonem daripada bahasa proto yang masih terdapat dalam bahasa Melayu.

Pada abad ke-7, pengembara China yang singgah di Sumatera dalam perjalanan ke India untuk menuntut ilmu agama Buddha menyatakan bahawa di pulau-pulau dalam wilayah nusantara tersebut telah wujud bahasa K’un-lun yang dikatakan bahasa Melayu sebagai bahasa perantara. Hal ini bermakna penyebaran bahasa Melayu ke kepulauan nusantara berlaku lebih awal. Dari sini kawasan  penyebaran  bahasa  Melayu  kemudiannya  dilihat  sebagai  kawasan  tradisional  dengan kawasan bukan tradisional, kawasan teras dengan kawasan bukan teras. Kawasan tradisional ialah Kepulauan Melayu, Semenanjung Tanah Melayu, Thailand Selatan dan Khmer yang zaman- berzaman menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa perantara, dan mempunyai komuniti asal bahasa Melayu. Kawasan inilah sebenarnya alam atau dunia Melayu. Sementara kawasan bukan tradisional ialah kawasan yang ditempati oleh penutur bahasa Melayu oleh penghijrahan mereka dari kawasan tradisional atau dunia Melayu tadi.

PERSPEKTIF KAJIAN ARKEOLOGI

Tipologi dan motif hiasan tembikar tanah serta taburan jumpaan tembikar tanah di Asia Tenggara telah digunakan oleh ahli arkeologi untuk berhujah tentang pergerakan manusia atau penghijrahan kelompok manusia tertentu. Antara ahli arkeologi yang banyak berhujah menggunakan pendekatan ini ialah W.G. Solheim II dan Peter Bellwood. Peter Bellwood pula mengaitkan masyarakat yang menghasilkan tembikar tanah ini dengan masyarakat petani yang juga menjalankan aktiviti penternakan.

Menurut Solheim (1959:1), pengedaran secara meluas tembikar tanah Sa Huynh dan Kalanay dari tapak sekitar kepulauan Asia Tenggara bukannya kesan daripada aktiviti perdagangan tetapi hasil daripada penghijrahan penutur Austronesia serta berlaku perkahwinan campur. Seterusnya Solheim berhujah bahawa artifak tembikar tanah mempunyai asal-usul dan telah dikaitkan pada awal lagi dengan penyebaran penutur Austronesia di Asia Tenggara dan Pasifik Barat (Solheim 1964a; Solheim1964b). Bellwood juga ada menunjukkan bahawa tradisi pembuatan tembika tanah adalah dimiliki  oleh  penutur  Austronesia  walaupun  tarikh  yang  dibincangkan  oleh  Bellwood  selepas 1500 BC dan setelah penyebaran penutur Austronesia di rantau ini (Bellwood 1984-1985).

Penyebaran  penutur  Austronesia  berlaku  dengan  pesat  adalah  disebabkan  dua  faktor penting iaitu perkembangan dan evolusi teknologi perkapalan dan pelayar serta yang keduanya ialah perkembangan teknologi pertanian. Antara pencapaian penutur Austronesia dalam aktiviti pertanian termasuklah penanaman padi dan sekoi serta penternakan dan penjinakan binatang liar antaranya babi, anjing dan ayam. penutur Austronesia juga dikaitkan dengan penciptaan awal teknik berputar (terutama dalam teknologi pembuatan tembikar tanah) dan kain daripada kulit kayu untuk dijadikan pakaian. Pada peringkat awal, perluasan teknologi tembikar tanah ini berkait rapat dengan tembikar berwarna merah (red slipped) dengan kaedah cap berbentuk bulatan (Bellwood 2004). Kedatangan penutur Austronesia ke rantau kepulauan Asia Tenggara tidak menyebabkan konflik dengan penduduk asal dan kemudiannya kawasan yang amat subur untuk pertanian kemudiannya menjadi penempatan tetap penutur Austronesia (Bellwood 1981).

Dengan penyebaran masyarakat petani ke kebanyakan kawasan di rantau ini telah membawa bersama bahasa yang digunapakai. Induk bahasa atau keluarga bahasa telah dikaitkan oleh Peter Bellwood dengan penciptaan aktiviti pertanian. Maka dengan itu, beliau mencadangkan hipotesis bahawa perkembangan aktiviti pertanian di China dan di tanah tinggi New Guinea dan tempat di mana kepelbagaian keluarga bahasa berasal dan ini memungkin tempat asalnya penutur Austronesia dan  aktiviti  pertanian  (Bellwood  1981).  Dengan  pemahaman  lain,  keluarga  bahasa  itu  berasal daripada rantau di mana pertanian dimulakan.

Data arkeologi dari Taiwan dan utara Filipina telah menyokong hujah bahawa laluan penghijrahan berlaku dari Taiwan ke Filipina merupakan yang terawal dengan membawa bersama artifak-artifak  budaya  yang  boleh  dikaitkan  juga  dengan  bukti  linguistik  dan  dikaitkan  dengan penutur Austronesia. Ini termasuklah penanaman padi dan sekoi, penjinakan anjing, kandungan unsur yang spesifik dalam tembikar tanah dan untuk penggunaan jed Taiwan, Tipologi alat sepusar (spindle whorls) yang spesifik, kepelbagaian alat batu contohnya beliung batu bergilap, batu pabel yang bertakuk (pemberat pukat) dan alat batu daripada batuan slate. Elemen terpilih berpindah ke Indonesia dan Oceania termasuk kemungkinan penggunaan nephrite dalam masyarakat Mauri New Zealand serta penggunaan tembikar tanah merah dan bercap yang lebih kualiti di kawasan tapak- tapak Neolitik yang tersebar di Timur Kepulauan Asia Tenggara dan Occania (Bellwood 2006).

Secara  amnya,  Peter  Bellwood  melalui  ‘Teori  Out  of  Taiwan’  menganggap  bahawa masyarakat yang mendiami Asia Tenggara, Kepulauan di Pasifik dan Kepulauan di Lautan Hindi adalah berasal dari Taiwan dalam gelombang penghijrahan yang berlaku tidak serentak sejak dari 2500 BC sehingga 500 AD. Hujah Peter Bellwood berkenaan teori ‘out of Taiwan’ ini adalah berdasarkan kepada data linguistik dan dilihat amat mirip dengan kerangka yang dihasilkan oleh Robert Blust’s iaitu ‘Model of History of the Austronesian Language family). Data arkeologi kemudiannya ditambah berdasarkan kepada jumpaan tembikar tanah yang dikaitkan dengan masyarakat Neolitik yang mengamalkan pertanian dan penternakan. Berdasarkan model Blust’s yang mencanangkan antara tahun 4500 SM hingga 4000 SM, perkembangan pesat teknologi pertanian di Yunan, China telah menyebabkan tekanan dan menyebabkan sesetengah penduduknya berhijrah ke Taiwan. Masyarakat yang berpindah ini dianggap telah mempunyai atau mengembangkan bahasa yang unik daripada kalangan mereka yang kita rujuk sebagai bahasa Proto-Austronesia. Dalam tahun 3000 BCE, kumpulan ini mula berubah kepada tiga atau empat sub. budaya yang berlainan dan antara 2500 hingga 1500BC, satu daripada kumpulan ini mula berhijrah ke selatan iaitu ke Filipina dan Indonesia, sehingga sampai sejauh Borneo dan Maluku sebelum 1500BCE, membentuk kumpulan budaya yang baru dan membangunkan bahasa yang unik.

Bermula 1500BC, sesetengah kumpulan ini mula berhijrah ke sebelah barat, sehingga sampai sejauh Kepulauan Madagascar kira-kira 1000 BCE. Ada kumpulan yang meneruskan penghijrahan ke sebelah timur sehingga sampai sejauh Pulau Easter menjelang pertengahan abad ke-13 menjadikan penutur Austronesia atau keluarga bahasa Austronesia merupakan keluarga bahasa yang tersebar paling luas di dunia pada waktu itu, iaitu dalam konteks perluasan geografi dari ‘tanah asal’ bahasa tersebut.

William Solheim, pula mengutarakan hipotesis (Island origin) yang juga dikenali sebagai Nusantao   Maritime   Trading   and   Communication   West   Africa   and  Madagascar   Network (MNTCN), menggunakan sepenuhnya data arkeologi dan bukannya data sejarah linguistik yang digunakan oleh Bellwood, secara tidak langsung memberi gambaran dan arah yang berbeza. Solheim mencadangkan jaringan kompleks yang dianggap lebih elegen iaitu pertukaran budaya serantau secara timbal-balik di Asia Pasifik ketika zaman Neolitik dari 8000 hingga 500BC, yang dipraktikkan oleh penutur Austronesia dan bukan Austronesian. Empat kawasan yang dicadangkan berdasarkan

kedudukan geografi iaitu; tengah, utara, timur dan barat. Kawasan tengah dibahagikan kepada dua fasa: ‘Early Central Lobe’ dan ‘Late Central Lobe’. Solheim berhujah bahawa asal-usul ‘NMTCN’ adalah di timur persisiran pantai Vietnam pada waktu ‘Early Central Lobe’ yang berlaku kira-kira 9000 BC (Solheim 2006).

Pada 5000 BC, beliau mencadangkan penghijrahan masyarakat berlaku ke bahagian utara ke kawasan diklasifikasikan sebagai Late Central Lobe’, melalui kepulauan Asia Tenggara termasuk Filipina, China Selatan dan Taiwan merupakan induk kepada keluarga bahasa Austronesia dan kumpulan Malayu-Polinesia. Ant. 4000-3000BC, migrasi masyarakat berlaku ke utara Luzon dan terus  ke  micronean  dan  membentuk  ‘Early  Eastern  Lobe’,  membangunkan  bahasa  Malayu- Polinesia. NMTCN ini meneruskan perluasan budaya melalui Semenanjung Tanah Melayu sebelum 2000BC,  kemudian  melalui  persisiran  pantai  Burma,  India,  Barat  Afrika  dan  akhirnya  ke Madagascar. Ada juga kumpulan yang bergerak ke Easter Island. Solheim juga mencadangkan bahawa budaya Pra-Austronesia bermula di Kepulauan Bismarck bersebelahan dengan New Guinea kira-kira 13,000 to 10,000 BP, dengan jaringan terbentuk dengan Indo-China dan Selatan China yang mana hubungan ini dimulakan oleh masyarakat Hoabinhian.

Sarjana tempatan iaitu Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman, yang juga seorang ahli arkeologi dan sejarawan telah lama mengutarakan bahawa kebudayaan Neolitik di Malaysia khasnya berevolusi secara setempat dan menyesuaikan diri mereka terhadap persekitaran yang berubah ketika Kala Pleistosen ke Kala Holesen. Peralatan alat batu masyarakat kebudayaan Hoabinhian misalnya diperoleh dari kawasan sekitar tanah rayau masyarakat yang mengamalkan kegiatan memburu dan mengumpul ini. Analisis litik yang dijalankan di tapak-tapak sekitar Semenanjung Tanah Melayu menunjukkan bahawa batuan yang digunakan sebagai artifak selalunya diperoleh dari sungai yang berdekatan dengan tapak yang digunakan oleh masyarakat prasejarah ini. Nik Hassan Shuhaimi sejak awal lagi menolak teori yang dikemukakan oleh Heine-Geldern dan Sieveking yang menyatakan bahawa penutur Austronesia ini bermigrasi dari Yunan atau selatan China ke Semenanjung  Tanah  Melayu  dan  seterusnya  ke  kepulauan  lain  di  Asia  Tenggara.  Perubahan daripada kebudayaan Hoabinhian ke Neolitik dan kemudian ke kebudayaan logam dan seterusnya terbentuk kerajaan awal didapati adalah hasil perdagangan setempat yang melibatkan masyarakat di kawasan pesisir melalui beberapa rangkaian jalan darat yang membawa kepada pertukaran idea dan barang (Nik Hassan Shuhaimi 1999). Perubahan daripada kebudayaan Neolitik kepada kebudayan gangsa dan besi disebabkan oleh kemunculan perdagangan maritim di Selat Melaka di antara pedagang tempatan dengan pedagang dari Asia Tenggara dan kemudiannya pedagang tempatan menghubungkan India, Arab dan China.

PERSPEKTIF KAJIAN GENETIK

Sarjana di School of Anthropology, Oxford University,  Prof. Dr. Stephen Oppenheimer yang mengkaji asal-usul dan pergerakan manusia dengan menggunakan pendekatan analisis genetik mempunyai pandangannya tersendiri iaitu penyebaran populasi manusia di Asia Tenggara berlaku lebih awal dan penyebaran itu berlaku di Tanah Sunda akibat daripada banjir besar. Dalam bukunya Eden in the East: The Drowned Continent of Southeast Asia, beliau mencadangkan bahawa migrasi datang dari rantau Asia Tenggara dan bukan dari Yunan, China. Beliau menganggap bahawa sesetengah  penduduk  berjaya  menyelamatkan  diri  (berkemungkinan  menggunakan  sampan) daripada tiga siri banjir besar yang berlaku ke kawasan yang tidak terjejas daripada banjir besar tersebut (Oppenheimer 1999).

Dengan menganalisis mitokandria DNA keturunan asal di Asia Tenggara dan Pasifik, beliau berhujah bahawa mudah mempunyai bukti untuk menyokong ‘Teori Banjir Besar’ kerana sebelum ini banyak mitos berkenaan banjir besar ini di Asia Tenggara berbanding rantau lain di dunia. Dengan menggunakan bukti yang dicatatkan dikutip daripada pelbagai pendekatan dan bersifat multi-disiplin, Oppenheimer menerangkan bagaimana sebuah benua yang besar dinamakan ‘Benua Sunda’ tenggelam akibat daripada banjir besar ini. Ini berlaku antara 15,000 hingga 7,000 tahun yang lalu berdasarkan berakhir Zaman Ais.

Pencairan ais kutub mula mula berlaku antara 19,000 – 20,000 tahun dahulu dan data geologi dan oseanografi menemui sekurang-kurangnya berlaku tiga tragedi banjir besar pada sekitar 14,000, 11,000 dan 8,000 tahun dahulu di benua Sunda dan di sebahagian benua lain.  Banjir tragedi besar yang terakhir telah menaikkan aras air laut sehingga 50 – 100 meter lebih tinggi dari aras asal. Kenaikan aras air laut telah menenggelamkan sebahagian besar permukaan pentas  Sunda yang rendah, melahirkan gugusan kepulauan Borneo, Jawa, Sumatera dan Semananjung Tanah Melayu sementara Sumatera merupakan yang terakhir terpisah dari Semenanjung Tanah Melayu (Pedro Soares et al. 2008).

Dengan yang demikian, reka bentuk geografi benua Sunda kini menjadi kepulauan Sunda dan Asia Tenggara dengan kawasan lilitan pesisir pantai bertambah hampir dua kali lebih panjang daripada sebelumnya (sepanjang pesisir pantai Burma, Siam, Funan (Kemboja), Champa, Semenanjung  Tanah  Melayu,  Sumatera,  Borneo  dan  Jawa).    Kemusnahan  sebahagian  besar penduduk dan tamadun 15,000 – 7,000 tahun yang lalu dan tragedi ini juga memaksa mereka yang terselamat mengharungi samudara berhijrah meneroka rantau sekeliling Asia Tenggara ke kawasan yang kurang terdedah kepada banjir dan membina kehidupan dan tamadun baru urutan daripada keadaan yang mereka telah lalui dari generasi ke generasi di benua Sunda (Till Hanebuth et al. 2000).

Petunjuk  genetik  membuktikan  bahawa manusia awal  menghuni  benua Sunda semenjak zaman lewat Pleistosen (63,000 tahun dahulu), dan tidak banyak mendapat aliran gen bahari dari daratan Asia.  Oppenheimer yakin, ‘Orang Asli’ yang kini bermukim di Semenanjung Tanah Melayu adalah sisa penduduk Orang Asli benua Sunda ketika keluarga lainnya berhijrah selepas banjir besar. Daripada struktur DNA yang terbina memperlihatkan penghijrahan susulan ke barat menjangkau India dan Mesopotamia ke Timur menerokai Kepulauan Pasifik, dan ke Utara melewati Taiwan dan Jepun terus menyeberangi Selat Bering titian jambatan penyambung Amerika barat utara dan Asia Timur utara untuk menghuni Amerika utara dan Amerika selatan (Oppenheimer 1999).

Walau bagaimanapun, untuk sampai ke Australia dan New Guinea dari tanah besar benua Sunda pada masa itu masih perlu menyeberangi beberapa pulau untuk menghampiri Australia, paling luas iaitu sekurang-kurangnya 50 batu lebar.  Kebanyakan pulau dapat dilihat dari satu sama lain,  tetapi  Australia  adalah  sentiasa  tidak  kelihatan  walaupun  dari  kepulauan  Indonesia  yang terdekat seperti Timor dan New Guinea.  Oleh itu, bagi orang Asli yang sampai ke Australia hampir pasti menggunakan perahu secara penghijrahan terancang atau dihanyutkan ombak. Bukti sejarah menunjukkan penerokaan di Australia ditarikhkan pada 40,000 – 25,000 tahun dahulu (Bellwood 1997).   
Pada pemikiran logik, penyebaran dari Wallacea ke Australia seharusnya berlaku dengan menggunakan perahu atau sampan pada 40,000 tahun dahulu. Tetapi tidak mustahil juga 40,000 tahun dahulu kemungkinan ada titian pulau untuk sampai ke Australia.

Menurut Solheim (2006), penghijrahan kuno ini berlaku pada zaman  ‘Neolitik’ merujuk kepada zaman penggunaan batu yang di sagat atau di asah melalui proses yang di panggil mengupas (flaking). Penggunaan batu berasah yang terawal dicatatkan oleh Solheim terdapat di Australia bertarikh 20,000 tahun S.M. dan beliau mengklasifikasikan peralatan ini dari zaman Hoabinhian. Wilhelm  Solheim,  seorang  pesara,  profesor  antropologi  daripada  Universiti  Hawaii,  percaya kronologi pembentukan kaum Proto-Austronesia bermula di Champa dan Semenanjung Malaysia.

Solheim mengistilah ‘Nusantao’ (Orang di Kepulauan Melayu Nusantara) dan mengklasifikasikan mereka sebagai keturunan moyang asli orang Asia Tenggara puluhan ribu tahun dahulu, dan generasi keturunan mereka, dengan budaya berorientasikan maritim dari permulaan budaya  mereka,  bermula  sekitar  5000  S.M.  atau  mungkin  lebih  awal.    Kebanyakan  Nusantao mungkin bercakap bahasa yang berkaitan atau pra-Austronesia (bermakna sebelum bahasa mereka mula menyeragam), dan bagi mereka yang tidak bertutur Austronesia mereka bukan keturunan ahli maratim dan bukan asli Austronesia.

Aslian kuno mula meninggalkan pesisiran pantai Champa dan Semenanjung dalam penyelerakan dan penaburan bahasa kaum Proto-Austronesia lebih kurang 9,000 dan 8,000 tahun dahulu.  Misalnya sejarah Champa, budaya pada zaman itu dikenali sebagai Hoabinhian terdapat penempatan  Hoa  Binh,  Tonkin.  Masyarakat  Champa  ini  menggunakan  ‘edge-ground  blades’ rujukan teknikal dari zaman Neolithik walaupun selalunya diklasifikasikan kegunaannya semasa zaman Mesolitik atau Zaman Paleolitik akhir (Solheim, 2006).

Hipotesis menunjukkan ada yang berhijrah ke selatan melalui Filipina dan menelusuri pantai timur Indonesia. Aslian Champa adalah yang terawal membangun dan mencipta asas tamadun dlaam banyak perkara, terutama dunia maratim, perlombongan, pembinaan bangunan besar tersergam  indah  dengan  teknologi  tinggi  dan  pertanian  sebagai  saraan  hidup  dengan  kedah perparitan yang paling teratur.   Pengalaman mereka mungkin diperkenalkan ke tempat baharu apabila berhijrah.  Antara laluan migrasi dari selatan ke utara ialah di suatu tempat di utara Filipina atau di pesisir pantai Champa.   Mengikut model ini, Proto-Austronesia ini berpecah kepada dua cabang dengan satu bergerak ke utara menuju Taiwan dan yang satu lagi bergerak ke selatan.

Penemuan Solheim ini, membuktikan masyarakat yang melukis geometri reka bentuk kapal pada timponim gendang gangsa Dong Son yang berpunca dari Red River Delta Tonkin sudah pasti masyarakat Champa.   Solheim berkata, sekitar 8,000 tahun dahulu terdapat bukti elemen budaya baru di Gua Spirit di pinggiran sempadan Burma-Siam dan beberapa penduduk pesisiran tiba-tiba muncul  sepanjang  tepian  pantai  Asia  Tenggara  (benua  Sunda).    Tamadun  ini  dikira  mungkin generasi Proto-Melayu-Polynesia.  Di selatan Filipina dan timur Indonesia, cabang Melayu-Polynesia mula  berpecah  dianggarkan  alaf  itu.    Solheim  mengubah  nama  bangsa  Austronesia  kepada Nusantao yang bermaksud ‘orang gugusan pulau’ (the people of the islands).

Menurut beliau, Kepulauan Pasifik melalui Papua New Guinea dipelopori dan diterokai oleh bangsa Melayu Polinesia dan bukan dari Taiwan seperti yang diwar-warkan oleh Bellwood. Gelombang penghijrahan besar-besaran terakhir ke kepulauan Pasifik berlaku dalam dekad yang baru ini, membawa kaum Maori ke New Zealand hanya 700 tahun dahulu.

Sementara Oppenheimer mentarikhkan sekitaran 8000-7000 tahun dahulu penyebaran Proto- Austronesia ini bergerak aktif di sekitar kawasan Asia Tenggara dan memungkinkan penyebaran jarak jauh perluasan hingga ke Mesopotamia dan Eropah. Terkini para saintis melalui penyelidikan arkeologi, linguistik dan kajian mtDNA telah menemui punca bangsa Melayu Polynesian telah menyebar ke kepulauan Pasifik. Tidak ditolak kemungkinan mereka ini menerokai lebih jauh dari India (Richard Cordaux et al. 2004, Oppenheimer, 1999).

Kedapatan dari penemuan terbaru dari penyelidikan mtDNA menyokong teori Oppenheimer yang dikemukakan pada tahun 1999. Kajian susulan tersebut dilakukan oleh Pedro Soares bersama kumpulan penyelidikannya secara tidak langsung telah menokong teori “Out of Sundaland) yang lebih kepada evolusi dan bukannya migrasi (Pedro Soares et al. 2008). Ini secara tidak langsung telah menterbalikkan kontroversi teori konvensional ‘Out of Taiwan atau Out of Yunnan dan Express Train’ yang mencadangkan bahawa penduduk di Asia Tenggara sekarang (meliputi Siam, Kamboja, Champa, Filipina, Malaysia, Brunei dan Indonesia) berpunca dari Taiwan 6,000 – 4,000 tahun dahulu (Bellwood, 1997, 2004; Blust, 1999). 
Sebahagian besar punca hipotesis ini adalah kerana pengaruh kajian linguistik, yang terlalu tertumpu pada hanya satu bahagian kaum, perhatian terikat pada Taiwan dan angka 6000 tahun, usia pentarikhan tamadun dan penyebaran manusia yang agak muda.  Hipotesis Bellwood 6,000 tahun yang lalu pada zaman Neolitik, berlaku penyebaran manusia dari China dan Taiwan ke Asia Tenggara diandaikan memperkenalkan tamadun antaranya pertanian yang didorong oleh petani menanam padi.   Teori ini telah dipertikaikan 15 tahun yang lalu oleh pakar genetik, Stephen Oppenheimer pada tahun 1999.   Beliau mencadangkan apa yang terjadi adalah sebaliknya, hujahannya menunjukkan bahawa pusat tamadun manusia moden awal pada zaman itu membangun di pentas benua Melayu Sunda (Asia Tenggara) pada zaman pra-sejarah lebih awal dari Timur Tengah, Taiwan dan China.

Pedro Soares et al. (2008), mengumumkan hasil kajiannya dalam jurnal Molecular Biology and Evolution edisi Mac dan Mei 2008 berjudul ‘Climate Change and Postglacial Human Dispersals in Southeast Asia’ dan ‘New DNA Evidence Overturns Population Migration Theory in Island Southeast Asia’. Mereka telah merangka kaedah yang lebih tepat mengenai penghijrahan manusia purba walaupun tanpa bukti sokongan arkeologi wujud.   
Kajian ini menunjukkan haplogroup E, satu komponen penting dalam kepelbagaian mtDNA di rantau ini, berkembang pesat ‘in-situ’ (tidak berganjak), semenjak 35,000 terakhir di benua Sunda dan secara dramatik pada awal Holosen menyebar ke seluruh pulau-pulau Asia Tenggara.   Pada zaman itu, benua Sunda belum terpisah kepada gugusan kepulauan Sunda atau Asia Tenggara seperti yang terdapat hari ini. Perubahan iklim dan pemanasan global di Zaman Ais mengakibatkan paras laut meningkat naik secara mendadak, bersamaan dengan tenggelamnya pelantar Sunda secara berperingkat. Garis DNA menunjukkan generasi di benua Sunda adalah lebih tua dari generasi yang terdapat di Asia utara.  Penyelidikan kaedah kajian genom mtDNA menunjukkan bahawa sebahagian besar daripada keturunan mengikut asal usul pentarikhan DNA mitokondria telah berkembang dalam benua SUNDA bagi tempoh yang agak lama, besar kemungkinan semenjak manusia moden awal mula bertapak dan berlabuh 50,000 – 60,000 tahun dahulu (Pedro 2008).

Penemuan  saintifik  menunjukkan  bahawa  penyebaran  manusia  awal  berlaku  dari  rantau benua Sunda ke utara Asia dan ke selatan Asia Tenggara, penghijrahan yang berpunca daripada tragedi  banjir  magnitud  besar.  Dikaji  secara  ilmiah  peradaban  50,000  tahun  sudah  pasti menyuburkan  penduduk  yang  ramai  di  benua  Sunda  menempuh  berbagai  perubahan  sebagai ‘Pengasas  Tamadun  Manusia’.    Kajian  daripada  pakar  pakar  genetik  telah  dapat  merekodkan kronologi penghijrahan penduduk di seluruh persejarahan awal manusia yang sentiasa berhadapan dengan banyak hipotesis dari berbagai sumber penulis sejarah.  Melalui bukti kajian DNA kini ia menjadi semakin jelas dan menunjukkan penyebaran penduduk ini tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan pertanian.

Untuk menguatkan teori baru ‘Out of Sundaland’ pakar-pakar genetik, membuat penemuan DNA menunjukkan (setelah Pentas Sunda ditenggelami), orang purba Asia Tenggara menyebar ke Taiwan 10,000 tahun dahulu.   Malah, DNA populasi di Polynesia boleh dikesan kembali kepada peneroka dari tanah besar Asia Tenggara yang telah menetap di pulau-pulau berhampiran New Guinea semenjak 6-8,000 tahun yang lalu, dan berhijrah ke kepulauan Pasifik 3,000 tahun dahulu (Pedro et al. 2011). Kajian ini menggunakan rembasan (swab) contoh dari 4,750 orang dari Asia Tenggara dan Polynesia Kepulauan Pasifik. Kaedah kajian dipertingkatkan dan diperhalusi supaya dapat mengecilkan jurang kesilapan.   Dengan ini dapat meyakinkan bahawa penduduk Polynesia sekurang-kurangnya mtDNA dari juraian ibu tiba di Bismarck Archipelago dan Papua New Guinea ribuan tahun dahulu sebelum penghijrahan daripada Taiwan berlaku.  Pedro Soares dan rakan-rakan penyelidik  yang  membahaskan,  bahawasanya  hubungan  linguistik  dan  warisan  budaya  jikalau adapun berasal dari Taiwan angka penghijrahannya terlalu kecil kerana tidak meninggalkan impak genetik yang luas dan berkesan kepada populasi pendudukan yang sedia ada (Pedro 2011).

Ringkasan dari penyelidikan dan kajian sebelum ini S. Oppenheimer dan M. Richards, membuktikan, keterangan terkumpul daripada beberapa penanda genetik mempamerkan keturunan Polinesia mempunyai keturunan yang lebih rapat dalam pulau tropika Asia Tenggara menghapuskan hipotesis lama yang dicadangkan.  Kedua-dua kajian menunjukkan bahawa Polynesia di Pasifik tidak berasal dari China atau Taiwan, tetapi di timur Indonesia, suatu tempat antara garis Wallace dan pulau  New  Guinea.    Satu  bukti  yang  kukuh  untuk  menyokong  teori  banjir  dan  ini  mungkin menjawab soalan mengapa Asia Tenggara sering dikaitkan dengan mitos banjir, lebih daripada mana-mana rantau lain di dunia (Oppenheimer & Richards 2001).

Berdasarkan kajian Bing Su et al. (1999), corak pecahan etnik berikutan perkembangan dan penghijrahan manusia moden awal ke Asia Timur (China) telah menunjukkan banyak bukti. Menggunakan penanda biallelic Y-kromosom, corak dan data yang diperoleh menunjukkan manusia purba Asia Timur (China) adalah dari satu subset haplotip dari selatan (southern haplotype), iaitu dari Asia Tenggara yang berpunca dari migrasi purba Afrika.  Penduduk di selatan menunjukkan lebih   polimorfik   (berbeza)   daripada   penduduk   utara.   Kajian   Hill,   Catherine   (2005)   pula menunjukkan bahawa penduduk kepulauan Asia Tenggara mengadungi tahap kepelbagaian genetic kuno,  termasuk  beberapa  Haplogroup  novel  (baru).    Perbezaan  ketara  juga  didapati  antara penduduk timur dan barat rantaunya menunjukkan bahawa pendudukan di Asia Tenggara telah tertubuh  cukup  lama  menjadikannya  rantau  yangkhusus.    Kebanyakan  “Haplogroup’  di  Asia Tenggara ditarikhkan  kepada zaman  Pleistosen  atau Holosen  awal  yang  menunjukkan  bahawa mereka adalah penduduk asli awal yang berasal dari kawasan moyang mereka (benua Sunda).

Berlainan dari kesimpulan analisis campuran, Li Hui et al. (2008) menunjukkan bahawa populasi Asia Tenggara terutama Indonesia tidak dipengaruhi oleh Cina Hans secara genetik tetapi oleh genetik Cina Diac dari selatan China. Ini bukan kajian mtDNA dari keturunan Ibu tetapi dari Y kromosom bapa.  Ia adalah satu-satunya kajian genetik Y kromosom yang agak mengelirukan di mana Cina Diac disebut sebagai penyumbang terbesar semendaan yang dibawa dari tanah besar China ke kepulauan Asia Tenggara terutama Jawa.   Jika dikaji secara rambang ini tidak mungkin berlaku kerana ia agak janggal di mana kromosom Y Diac datang terus menerus dari China ke Jawa dan tidak kepulauan Asia Tenggara.  Secara logik dan secara saintifik juga seperti apa yang terjadi pada teori ‘Out of Taiwan’ boleh berlaku pada teori Y kromosom Daic ‘Out of China’.  Kerana ia tidak mustahil dan boleh juga dikatakan Y kromosom Diac sebenarnya berpunca tunasnya di Jawa dan menyebar ke utara dan ke selatan Pasifik.

Pada kajian yang lain (bertentangan dari kedapatan Li Hui 2008), dalam persampelan sistematik dan pemeriksaan genetik khusus Y kromosom 2332 lelaki dari pelbagai penduduk haplogroup Asia Timur (China), menunjukkan bahawa haplotip ini adalah lebih polimorfik dalam Asia Tenggara daripada yang terdapat di Utara Asia Tenggara.  Ini mencadangkan bahawa mutasi berasal dari selatan.  Menurut data Y-STR, dianggarkan bahawa migrasi awal dari Asia Tenggara ke utara Asia Timur berlkau 25 000 – 30 000 tahun yang lalu (Shi et al. 2005). Satu lagi contoh yang dapat menyokong teori Y kromosom Jawa di bawa ke utara Champa bersandarkan sejarah 3,000 tahun dahulu di Red River Delta Tonkin adalah pelabuhan utama kawasan yang padat dengan Aslian Champa. Ia kerap dikunjungi utusan perdagangan yang datang dari Jawa dan Rome semenjak sebelum Masihi sebelum pencerobohan Dai Viet ke atas Champa hingga ke zaman Srivijaya abad ke 10  Masihi. Besar  kemungkinan  pedagang  ini menetap dan  membuat  perkampungan  di  daerah Jawana di Tonkin, disebut sebagai nama yang diberi pedagang ‘Jawa’, atau kaum Funan Kemboja (moyang Jawa) juga antara yang terawal meneroka daerah utara Tonkin (Angela Schootenhmmer & Roderick Ptak, 2006).

Kajian yang dilakukan oleh Catherine Hill bersama rakan penyelidik daripada pelbagai bidang menunjukkan bahawa penghijrahan terbesar bukan bermula dari Taiwan tapi sebenarnya dari benua Sunda ke Taiwan, China dan ke rangkaian kepulauan Pasifik terjadi lebih awal daripada jangkaan, iaitu besar kemungkinan 10,000 – 14,000 tahun yang lampau. Dari perspektif ahli arkeologi dan linguistik, penghijrahan sebelum ini hanya berbentuk hipotesis tapi berjaya membuktikan sebaliknya dari  perspektif  mtDNA.    Corak  ini  jelas  menunjukkan  bahawa  penempatan  manusia  moden pertama ke Asia Timur (China) datangnya daripada tanah besar Asia Tenggara semasa Zaman Ais. Ini serentak dengan ketiadaan fosil mansuai moden awal ditemui di Asia Timur (China) yang berusia 50,000 – 100,000 tahun (Hill et al. 2007). Usia tarikh ini adalah penanda genetik yang diaplikasikan terhadap manusia moden awal yang berhijrah ke timur dari Afrika.  Fosil yang melebihi usia ini di rangkumkan sebagai hominid beruk dan bukan homo sapien sapien atau manusia moden awal. Penghijrahan besar kemudiannya didapati meluas ke utara Asia (China) dan Siberia.   (Wu and Poirier 1995; Elter 1996).

Penduduk  Asia  Tenggara  dikaji  mempunyai  tahap  genetik  kepelbagaian,  menunjukkan bahawa mereka telah mengekalkan penduduk asas yang agak besar dari masa ke masa dan tidak menjalani hanyutan genetik yang besar, bermaksud tiada percambahan atau rencaman dari luar. Aslian Melayu di Semenanjung Malaysia ditarikhkan berusai antara 48,000 – 63,000 tahun dan mempunyai asal usul mereka di dalam Semenanjung (Zafarina 2004).   Perkiraan yang logik ialah kumpulan Orang Asli yang membangun dan berpecah kepada beberapa kaum komposit aslian yang mengembang, lama kelamaan menguasai dan berinteraksi sesama mereka (suku kaum dari etnik moyang yang sama) menjadikan peningkatan Aslian Melayu kepada jumlah yang lebih besar dan lebih membangun dan pelbagai.

Cuaca dan iklim dunia berubah setiap beberapa ribu tahun, dan semenjak 60 – 20 ribu tahun yang lalu, dunia berada dalam zaman Ais dan selepas iaitu kecairan besar mula merubah muka dunia.  Berdasarkan semua perkiraan kecairan berlaku secara pantas. Malah kecairan ais merupakan peristiwa bencana yang hampir menghapuskan manusia dari muka bumi. Terdapat kira-kira 500 mitos banjir dari seluruh dunia yang merujuk kepada peristiwa ini.  Tamadun purba seperti banjir Nabi Nuh, banjir mendadak menenggelamkan Atlantis Benua Sunda sejarah mitos Aslian Dayak dan suku kaum di Semenanjung Malaysia, menceritakan tragedi yang sama.   

Di Australia pula terdapat satu legenda Aslian, meriwayatkan banjir besar Dreamtime, menunggang banjir woramba, atau bahtera Gumana.  Dari epik di Chian pula, mitos klasik yang dipanggil Hihking tentang cerita ‘keluarga Fuhi’ mengisahkan banjir besar yang sama.   

Hikayat banjir besar di Sunda dibawa ke Babilon dalam epik Gilgamesh, dan beberapa mitos tragedi banjir di Wales, Rusia dan India.  Aslian Mexico Toltec mempunyai kisah lagenda banjir memusnahkan ciptaan asal berlaku selama 1716 tahun, dan hanya satu keluarga terselamat.  Mitos banjir di Hawai Scandinavia, Peru, dan Polinesia semua mempunyai versi mereka tersendiri mencerminkan tragedi banjir pada peringkat magnitud besar pada zaman itu.

Tidak dapat dibayangkan kecanggihan Pentas Sunda ketika itu, tiada jawapan kepada soalan ini kerana banjir ketinggian 60 meter dan dua belas ribu monsun telah menutupi dan melapik lapisan  keladak,  menimbus tamadun dan  artifak  budaya dan  apa-apa yang  mungkin  berada di permukaan  dasar  laut  yang  wujud  pada  zaman  itu.    Oppenheimer  menggariskan  bagaimana kenaikan paras laut dalam tiga gelombang tragedi banjir mega menyebabkan pentas benua Sunda tenggelam.   Bencana ini melahirkan Selat Melaka, Laut Jawa dan Laut Champa dan beribu-ribu pulau-pulau yang membentuk pesisiran pantai Siam, Kemboja, Champa, Semenanjung Tanah Melayu, Borneo, Sumatera, Jawa dan Filipina hari ini.

POLEMIK MIGRASI PENUTUR AUSTRONESIA

Dalam hujah yang membincangkan teori migrasi Austronesia di Asia Tenggara, didapati Bellwood, Solheim  dan  Oppenheimer  menggunakan  pendekatan  yang  berbeza  sesuai  dengan  kepakaran bidang masing-masing. Bellwood pada asasnya telah menggunakan kerangka yang dihasilkan oleh Robert Blast’s iaitu model Pensejarahan Keluarga Bahasa Austronesia dan disesuaikan dengan data arkeologi yang berkait rapat dengan masyarakat petani di Asia Tenggara hingga ke selatan China. Bellwood percaya bahawa penutur proto-Austronesia ini berasal dari Taiwan dan mula berhijrah atau menyebar ke selatan kira-kira 5000-6000 tahun yang lalu dan kawasan pertama yang mereka terokai  ialah  Filipina.  Pentarikhan  yang  digunakan  oleh  Bellwood  ini  diperoleh  daripada penyelidikan  arkeologi  di  tapak-tapak  yang  dipercayai  diduduki  oleh  masyarakat  petani  dan penternak serta jumpaan tembikar tanah yang dijadikan sebagai petunjuk (Bellwood 1997, 2004).

Solheim pula menggunakan sepenuhnya data arkeologi dan membahagikan Asia Tenggara kepada beberapa kawasan  berdasarkan kepada masyarakat Neolitik di Asia Tenggara dan juga masyarakat  Hoabinhian  sejak  8000-500BC.  Dari  segi  bahasa,  Solheim  membincangkan  dalam konteks yang lebih luas iaitu data linguistik bukan dikutip daripada penutur Austronesia sahaja tetapi juga penutur bahasa bukan Austronesia seperti Austro-asiatic. Beliau juga menyatakan berlaku migrasi yang bersifat timbal-balik di Asia Tenggara tetapi Bellwood lebih kepada pergerakan searah dari Taiwan ke kawasan lain tanpa menyatakan sebab pergerakan itu berlaku. Penyebaran yang berlaku searah ini dikenali sebagai “The express train” di mana penyebaran yang amat pesat berlaku di bahagain timur Indonesia dari Filipina dan bergerak terus ke kawasan Pasifik. Solheim pula menganggap pergerakan manusia itu disebabkan oleh kejadian banjir besar yang berlaku antara tahun 18,000 hingga 7000 tahun yang lalu. Beliau menganggap bahawa induk penutur Austronesia ini adalah di selatan Vietnam atau kawasan pesisir Vietnam yang mana kawasan ini secara arkeologinya mempunyai data prasejarah dan protosejarah yang banyak dan salah satunya ialah kebudayaan Dong Son. Kawasan ini telah diduduki oleh penutur proto-Austronesia sejak 9000 BC (Solheim 2006).

Oppenheimer yang menggunakan pendekatan genetik mengemukakan teori yang hampir sama dengan Solheim yang menyatakan tenggelamnya Benua Sunda menyebabkan berlakunya penghijrahan manusia. Pendekatan yang digunakan oleh Oppenheimer merupakan pendekatan saintifik dalam bidang genetic manusia. Beliau tidak menggunakan pentarikhan yang telah diperoleh hasil daripada ekskavasi arkeologi di Asia Tenggara. Dengan menganalisis mitokondria DNA beberapa sampel orang asal di Asia Tenggara dan juga kepulauan Pasifik, Oppenheimer telah mencadangkan “Out of Sundaland Theory” yang menghujahkan bahawa masyarakat asal penutur Austronesia ini adalah di benua Sunda dan kemudiannya menyebarkan ke kawasan lain. Oppenheimer juga berpendapat bahawa budaya Benua Sunda menyebar sehingga ke benua India dan Mesopotamia dan budaya ini menjadi tunjang kepada perkembangan budaya yang inovatif di kawasan tersebut sehingga mencapai tahap ketamadunan yang tinggi kira-kira 5000 tahun yang lalu. Beliau juga mencadangkan bahawa Bahasa Austronesia berevolusi dari benua Sunda sendiri dan bukannya hasil migrasi dari Yunnan, China ataupun Taiwan (Oppenheimer 1999)

Amat ketara dalam hujah para sarjana pelbagai bidang ini mengaitkan penutur Austronesia dengan persekitaran maritim dan kebolehan mereka dalam ilmu pelayaran dan teknologi pembuatan kapal. Ini membolehkan hubungan intra-budaya dan animilasi dan akulturasi berlaku dalam tempoh tersebut. Ketika Neolitik, Asia Tenggara mengalami satu keadaan yang mana penyebaran bahasa terutamanya kelurga bahasa Austronesia menyebar secara meluas berbanding bahasa lain di dunia ketika itu sehingga sampai ke kepulauan Pasifik dan Madagascar.  Juga amat ketara, jika kronologi data arkeologi digunakan, Taiwan merupakan kawasan induk penyebaran penutur Austronesia ke bahagian lain di Asia Tenggara. Walau bagaimanapun, kebanyakan data arkeologi berkenaan masyarakat pesisir atau Neolitik ini telah pun ditenggelami oleh air laut kesan daripada pencairan ais yang berlaku pada akhir pleistosen lagi. Maka pendekatan Oppenheimer yang menyatakan bahawa penutur Austronesia berinduk di Benua Sunda merupakan data yang secara tidak langsung menyokong pendapat ahli arkeologi di Malaysia yang berpegang kepada teori evolusi budaya dan pemikiran berbanding teori migrasi dari Yunnan ataupun Taiwan yang banyak dikemukakan oleh ahli linguistik dan arkeologi barat.

KESIMPULAN

Kesimpulan dari pembentangan sandaran bukti dan fakta di atas, menunjukkan penyebaran ‘Out of Sundaland’ nyata menolak hipotesis ‘Out of Taiwan dan Out of China’ walaupun kemungkinan terdapat model ‘dua lapis’ laluan Australo-Melanesia peneroka penghijrahan kecil 50,000 tahun lalu diikuti dengan ‘Mongoloid’ Austronesians 4,000 tahun yang lalu yang dicadangkan setengah sejarawan dan pakar   genetik.   Keturunan   Aslian   peneroka   terawal   melalui   evolusi   tamadunnya   sendiri, mengembang dan bertahan, seperti dalam versi yang lebih terkini, jelas tidak dapat menggambarkan bagaimana rumitnya sejarah demografi di rantau ini. Analisis rangka manusia, corak pengebumian dan  kajian  mtDNA  di  rantau  ini  jelas  menekankan  kepelbagaian  setempat  dan  serantau  dan bukannya peralihan mendadak.  Natijahnya, penduduk peribumi di rantau Asia Tenggara sebahagian besar dan majoritinya adalah dari evolusi manusia moden awal (Orang Asli) yang pertama berlabuh menjadikan mereka bangsa Melayu teras di benua Sunda.  Jikalau terdapat ada semendaan dengan entiti susulan yang lain, ianya dianggap adunan sampingan kepada bangsa teras yang telah tersedia wujud.

RUJUKAN

Adelaar, K.2004. Where does Malay come from? Twenty years of discussions about homeland, migrations and classificatioms. Im Bijdragen tot de Taal, Land-en Volkenkunde 160 no. 1: 1-
30.
Angela Schottenhammer and Roderich Ptak. 2006. East Asian maritime history: The preceotion of maritime space in traditional Chinese sources. Wiesbaden: Otto Harrassowitz. East Asia Economic and Socio-cultural Studies.

Bellwod, Peter S. 1997. Prehistory of the Indo-Malaysia Archipelago. Hawai’i: University of Hawai’I Press

Bellwood, P. 1984-1985. A hypothesis for Austronesian Origins. Asian Perspectives, 26(1): 107-117. 

Bellwod, Peter S. 2004. The origins and dispersals of agriculture communities in Southeast Asia. In Bellwood P. & Glover, I. (eds). Southeast Asia: From Prehistory to history. London, New York: RoutledgeCurzon.

Bellwood, P. & Sanchez-Mazas, A. 2005. Human migrations in Continental East Asia and Taiwan: Genetic, Linguistic and Archacologied evidence. Current Anthropology 46 (3): 480-484.

Bing Su et al. 1999. Y-Chromosome evidence for a Northward migration of moden humans in Eastern Asia during the last Ice Age. The American Journal of Human Genetics 65(6): 1718-1724

Blust, R. 1976. Austronesia culture history: some linguistic inferences and their relations to the archaeology record. World Archaeology 8 (1): 19-43.

Blust, R.A. 1984-1985. The Austronesian homeland: A linguistic perspective. Asian Perspective 26:45-67.

Boas, Franz. 1966. Introduction to the Handbook of American Indian Languages. Lincoln: University of Nebraska Press.  

Etler, D.A. 1996. The fossil evidence for human evolution in Asia. Annu Rev Anthropol 25: 275-301

Fox, James J. 2004. Current developments in comparative Austronesian studies. Paper presented for International Symposium Austronesia III, Pasca Sarjana Linguistik dan Kajian Budaya, Universitas Udayana, Benpasar, Bali.

Heine-Geldern, Robert von. 1945. Prehistoric research in the Netherland Indies. In Honig, P & Verdoon F. (eds). Science and Scientists in the Netherland Indies. New York: Board for the Netherland Indies, Surinam and Curacao.

Hill,  Catherine  E.  2005.  Mitochondria DNA  variation  in  Island  Southeast  Asia.  PhD  Thesis, University of Huddersfield

Hill, Catherine et al. 2006. A mitokondrial statigraphy for Island Southeast Asia. American Journal of Human Genetics. 80: 29-43

Hui Li et al. 2008. Paternal genetic affinity between Western Austronesians and diacpopulation. BMC Evolutionary Biology 8: 146

Oppenheimer, Stephen. 1999. Eden in the East: Drowned Continent of Southeast Asia. London: Weidenfield and Nicolson.

Oppenheimer, S.J & Richards, M. 2001. Polynesia origins: Slow boat to Melanesia? Nature 410: 166-167

Peiros, Ilia. 1998. Comparative linguistic in Southeast Asia. Pacific Linguistics Series C, No. 142. Canberra: Australia National University.

Pedro Suares, Jean Alain Trejaut, Jun-Hun Loo, Catherine Hill, Maru Mormina, Chien-Liang Lee, Yao-Mingchen,  Georgi  Hudjashov,  Peter  Forster,  Vincent  Macaulay,  David  Bullbeck, Stephen Oppenheimer, Marie Lin and Martin B. Richards 2008. Climate change and postglacial human dispersals in Southeast Asia. Mol Biol Evol 25(6): 1209-1218

Sapir, Edward. 1949. Language: An introduction to the study of speech. New York: Harcourt.

Sapir, Edward. 1963. Time perspectives in original American Culture: A study in method. In David G. Mandelbaum (eds). Selected writings of Edward Sapir in language, culture and personality, p.p. 389-467. Berkeley, CA: University of California Press.
Shi, H., Dong Y., Wen B., Xiao C.J., Underhill P.A., Shen P., Chakraborty R., Jin L., Su B., 2005. Y-Chromosome evidence of Southern Origin of the East Asian specific Haplogroup O3-M122. Am. J. Hum. Gent 77 (3): 408-419

Solheim II, W.G.1959. Sa-Hunyh related in Southest Asia. Asian Perspectives, 3: 177-88

Solheim II, W.G. 1964a. Further relationships of the Sa-Huynh-Kalanay pottery tradition. Asian Perspectives, 8: 196-210.

Solheim II, W.G.1964b. Pottery and Malayo-Polinesians. Current Anthropology 5(5): 360, 376-84, 400-3.

Solheim, Wilhelm G. 2000. Archaeology and culture in Southeast Asia: unraveling the Nusantao. (Revised Edition), Diliman, Quezon City: University of the Philipines Press.

Solheim, Wilhelm G. II. 2006. Archeology and culture in Southeast Asia: Unravelling the Nusantau. Quezon City: The University of the Philippines Press.

Till Hanebuth, Karl stattegger and Pieter M. Grootes. 2000. Rapid flooding of Sunda Shelf: A Late- Glacial Sea-Level record. Science 288(5468): 1033-1035
Pedro Suares, Teresa Rito, Jean Trejaut, Maru Mormina, Catherine Hill, Emma Tinkler-Hundal, Michelle Braid, Douglas J. Clarke, Jun-Hun Loo, Neol Thomson, Tim Denham, Mark Donnohue, Vincent Macaulay, Marie Lin, Stephen Oppenheimer, and Martin B. Richards 2011. Ancient voyaging and Polynesian origins. American Journal of Human Genetics 88(2): 239-247.

Wu X.Z. Poirier F.E. 1995. Human evolution in China. Oxford: Oxford University Press

Zafarina Zainuddin. 2004. The analysis of human mitochondrial DNA in Peninsular Malaysia. Phd Thesis, University of Glasgow.


Zuliskandar Ramli (Ph.D) Timbalan Pengarah/Prof. Madya
Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA),
Universiti Kebangsaan Malaysia,
43600 Bangi, Selangor
Email: ziskandar2109@gmail.com

Zaharah Sulaiman
Ikatan Arkeologi Malaysia
d/a: Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia,
43600 Bangi, Selangor

Copy and paste :
5 Januari 2022 > 3 Jamadilakhir 1443H: 9.53 pm

No comments:

Post a Comment