ZULHEIMY MAAMOR

Monday, 16 August 2021

Siri Bercakap Dengan Jin setanding Harry Potter


OLEH: M ZAKI ARIF > SINAR HARIAN

SIRI Bercakap Dengan Jin (SBDJ) karya Tamar Jalis mengikut kluster sastera global menyebut sebagai horror literature atau novel seram.

Justeru dalam buku Horror Fiction in the 20th Century: Exploring Literature’s Most Chilling Genre karya Jess Nevins (2020: 213) mengangkat Conversations with the Jinn atau SBDJ sebagai novel seram kurun ke-20 di dunia yang pernah mencipta fenomena pada era emasnya sebaris dengan novel-novel seram dari negara Asia seperti Jepun, China dan Filipina.

Jess Nevins mengakui SBDJ sebuah karya tersohor dan siri terpanjang dalam sejarah novel Melayu malah dunia. SBDJ mengukir sejarah bersiaran dalam majalah Variasari secara berterusan selama 23 tahun lapan bulan (April 1981-Januari 2005) sebanyak 284 siri. Sejumlah 221 siri diterbitkan dalam 16 buku saku.

Menurut Tamar Jalis, buku itu banyak kali ulang cetak dan terjual melebihi sejuta naskhah, manakala pada tahun 2011 diterbitkan semula dalam bentuk novel tetapi meliputi 73 siri sahaja. Tamar Jalis ialah nama pena Mohamad Radzi Mahmud atau dikenali juga dalam sejarah penulisan cerpen tanah air sebagai Ahmad Mahmud kelahiran Beruas, Perak. Di samping nama pena Tamar Jalis dan Ahmad Mahmud, Mohamad Radzi juga menggunakan nama-nama samaran yang lain; Ramdhan A.M dan Atma A.M dalam penulisan novel remaja.

SBDJ terjenama dan dipersepsikan sebagai kisah hantu, jin dan makhluk halus yang melingkari kehidupan orang Melayu pada era pascakolonialisme tetapi secara instrinsik manipulatif ia memaparkan nilai positifisme seperti mengetengahkan unsur-unsur psikologi, falsafah, petua, perubatan tradisional, mistik, keagamaan, seni persilatan, kebatinan, sejarah tempatan, geografi, pemburuan, pengembaraan di Tanah Melayu dan Sumatera serta kepakaran orang Melayu menguasai makhluk halus.

Karya kembara

Karya ini digarap bercirikan novel dengan pendekatan penulisan memoir menerusi sudut pandangan 'orang pertama’ iaitu Tamar bersama 'Datuk’ (Long Mat Piah @ Kulup Mohamad Diah) yang diletakkan sebagai protagonis dan digerakkan oleh 410 orang watak sampingan. Protagonis digambarkan seorang supernatural memiliki ilmu batin berprestasi tinggi sehingga mampu menundukkan jin atau iblis.

Boleh menyelam berjam-jam di sungai, mampu mengesan/membaca (ilmu firasat atau kasyaf) perkara ghaib, pendekar yang berkemahiran bersilat, boleh terbang dan melompat setinggi rumah, dapat berhubung dengan kawan menerusi angin (seolah-olah menggunakan telefon bimbit), kebal, menguasai binatang buas (harimau dan buaya) dan kenderaannya, harimau.

Pengembaraan merupakan tema yang mendominasi SBDJ. Pengembaraan 'Datuk’ dan Tamar merangkumi empat fasa iaitu Beruas dan sekitar meliputi 15 lokasi terangkum dalam 143 siri; Semenanjung Malaysia (41 lokasi), Sumatera 13 lokasi dalam 136 siri manakala Betawi atau Jakarta sebanyak tujuh siri.

Plot SBDJ lurus dan tidak menggugah minda pembaca. Namun begitu disulami dan digabung-jalin dengan unsur-unsur novel seperti naratif mendatar, ketegangan (suspens), puncak (klimaks), dialog, teknik imbas kembali, latar tempat, latar waktu dan masa, serta kendur (peleraian) yang membentuk sesuatu cerita atau siri itu menjadi menarik dan tidak membosankan kerana pengarang bijak memasukkan perasaan pembaca ke dalam ceritanya, seolah-olah si pembaca turut sama berada di dalam cerita itu.

Kepincangan sosial yang melanda segelintir masyarakat Melayu ketika itu digambarkan oleh Tamar Jalis bukan hanya berlaku di Tanah Melayu tetapi juga di Sumatera.

Khurafat

Akibat kurang mendalami ajaran Islam, mereka terpesong daripada landasan ajaran agama yang sebenar lalu kehidupan mereka bergelumang dengan amalan khurafat seperti pukau, santau, susuk, sihir, saka, membela toyol, harimau jadi-jadian serta berkawan dengan jin, hantu dan syaitan.

'Datuk’ dicipta khas oleh Tamar Jalis sebagai hero menghapuskan segala gejala antisosial itu supaya masyarakat Melayu kembali ke landasan ajaran Islam yang sebenarnya.

Mesej utama SBDJ adalah membaiki sistem sosial dan segelintir masyarakat Melayu 1960-an serta menanamkan keyakinan jitu terhadap Islam sebagai ad-Din iaitu cara hidup bagi seseorang Muslim itu.

Tema dan persoalan SBDJ dipaparkan sama ada secara eksplisit atau implisit dalam kebanyakan siri.

Pembanterasan atau menghapuskan amalan khurafat dan ilmu hitam menjadi kegiatan utama pengembaraan 'Datuk’ dan Tamar serta menyarankan petua, persilatan dan perubatan tradisional Melayu harus dipelihara.

Tamar Jalis pakar menceritakan sesuatu dengan terperinci. Dia mengolah sesuatu cerita itu dengan bahasa Melayu baku yang mudah difahami dan memikat serta mampu melukiskan setiap apa yang dilihat, apa yang didengar dan apa yang dirasanya dalam penulisan.

Kekuatan inilah yang menyebabkan SBDJ menjadi tarikan pembaca meskipun terhenti siarannya di Variasari, ia masih diminati ramai dan mempunyai 'peminat’ tersendiri sehingga sekarang telah wujud Facebook dan blog yang menggunakan nama Tamar Jalis dengan kendalian peminatnya.

Penulisan SBDJ tidak sekadar sebuah cerita tetapi sesuatu kisah itu diolah dengan memasukkan unsur instrinsik dalam penulisan novel di samping mengetengahkan unsur ekstrinsik seperti sejarah, situasi, lokasi, nilai-nilai moral, sosial dan budaya.

Namun begitu, keindahan ini tenggelam kerana khalayak menjenamakan SBDJ sebagai kisah tahyul, seram mahupun cerita jin dan hantu kerana terpengaruh dengan tajuk siri, reka bentuk kulit buku dan ilustrasi yang mengiringi cerita.

SBDJ sebenarnya sebuah karya kreatif tersohor yang luar biasa. Mampu menyaingi Harry Potter oleh JK Rowling seandainya dialihbahasakan ke bahasa dunia. Ia bukan cerita seram yang bersandarkan kisah jin atau bunian semata-mata tetapi jika dihayati kesemua siri, berapa peratuskah alam bunian, jin, hantu dan jembalang yang dipaparkan?

Justeru SBDJ wajar dinobatkan sebagai karya kembara sastera atau travellog literature berbanding novel seram atau horror literature.

*M Zaki Arif ialah nama pena Dr Zabidin Haji Ismail. Beliau ialah penulis, penyunting, penerbit dan Presiden Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk)

C&P: 16/8/2021 / 8 MUHARRAM 1443H: 9.21 PM


No comments:

Post a Comment