ZULHEIMY MAAMOR

Tuesday, 31 August 2021

Sastera Peniup Semangat Jihad Melaka terhadap Portugis.

Posted by Mohd Halmi Kg Gajah > FB Paduka Nenda Puteri Hang Li Po

N.A Halim menceritakan di dalam Majalah Mastika terbitan Jun 1989. Sewaktu beliau berada di dalam gerabak keretapi ( perjalanan ke Cardova, Sepanyol). Telah ditakdirkan beliau duduk bersebelahan dengan seorang keturunan Portugis. Mereka berkenalan, dan orang Portugis tersebut memperkenalkan dirinya adalah ahli sejarah dan mengajar di sebuah sekolah di Setubal kira-kira 40km dari Bandar Lisbon. Mereka berbual dengan rancak, secara kebetulan N.A Halim juga adalah pengkaji sejarah.
Beliau pun memperkenalkan dirinya berasal dari Malaysia, tetapi rakan Portugis itu kelihatan kebingungan. Dengan spontan N. A Halim menyebut perkataan 'Melaka', tiba-tiba wajah rakan Portugis tersebut berseri-seri mendengar perkataan 'Melaka'
"Orang Melaka sangat berani," katanya dengan ceria dan menyambung "Melaka mempunyai pemerintahan yang kuat. Paling sukar dijajah oleh Portugis,"katanya lagi. " Orang Melaka membuat penentangan yang cukup sengit ketika Albuqarque menyerang dan menakluki Melaka pada tahun 1511, Raja Melaka walaupun telah kalah, tetap melancarkan serangan ke atas Portugis di Melaka." Akhirnya guru tersebut berkata," Rakyat Portugis secara umumnya menganggap orang Melaka sebagai bangsa yang berani." N.A Halim begitu bangga dengan kenyataan terus terang itu.
Melalui kenyataan ini kita coretkan serba ringkas perjuangan Sultan Mahmud setelah kalah di Melaka. Baginda berundur ke Bertam(masih di Melaka) bersama Raja Ahmad dan Raja Muzaffar yang ketika itu berumur 6@7 tahun. Sultan Mahmud mahu melancarkan serangan tetapi diserang oleh Portugis terlebih dahulu.
Kemudian Baginda berpindah ke Pagoh yang berdekatan Muar, tetapi sekali lagi diserang oleh tentera Portugis. Kemudian berundur ke Pahang melalui jalan penarekan. Setelah itu berlayar ke Bintan, Riau. Dari Bintan beberapa serangan dilancarkan. Akhirnya Baginda berundur ke Kampar apabila Bintan ditawan Portugis.
Portugis di Melaka terpaksa menghadapi penentangan di darat dan di laut oleh Sultan Mahmud. Bekalan makanan disekat oleh Laksamana Hang Nadim dan rakan-rakannya, malah Melaka hampir kebuluran akibat sekatan dan rampasan kapal oleh Laksamana Hang Nadim. Oleh sebab itu Portugis sentiasa mahu menghapuskan 'pengkalan' Sultan Mahmud.
Setelah Sultan Mahmud mangkat, perjuangan menentang Portugis tetap diteruskan oleh anaknya, Sultan Alauddin Riayat Shah ll yang mendirikan kerajaan Johor pada 1551. Telah tercatit ketika angkatan perang Johor dan Perak serta Pahang juga Jepara (Jawa) telah mengepung Melaka, seramai 800 pasukan gabungan ini telah syahid daripada 5000 orang tentera.Tiba-tiba datang khabar angin bahawa angkatan Portugis yang lebih besar akan menyerang Perak dan Pahang. Mendengar khabar ini pasukan Perak dan Pahang tergesa-gesa pulang ke negeri masing- masing.(Sebenarnya ini ialah startegi Portugis untuk melepaskan kepungan). Jika ditakdirkan pasukan ini tidak pulang nescaya Portugis akan hancur di Melaka.
Penentangan berterusan rakyat Melaka terhadap Portugis dikaitkan dengan kobaran semangat yang ditiupkan melalui sastera lisan yang disampaikan dari satu generasi ke satu generasi. Di Kampar (Indonesia) menurut Bapak Tenas Affendy terdapat "Kayat Marhum Kampar"(Hikayat, Sultan Mamud) Kisah Cik Puan Seri Kampar (Kisah Tun Fatimah). Antara contoh Kisah Cik Puan Seri Kampar yang dituturkan oleh pencerita,
"Walaupun hamba seorang perempuan, tetapi bukanlah tempat hamba di dapur sebab di dalam berperang kaum perempuan pun mengangkat pedang dan keris. Barangsiapa di antara rakyat Melaka dan Kampar merasa dirinya Melayu, marilah bersama baginda merempuh musuh supaya tidak dicerca anak cucu kita di kemudian hari, barangsiapa merasa dirinya orang Melayu marilah kita balaskan sakit hati keluarga kita yang tewas.
Marilah kita berbulat hati menghadapi orang-orang kafir durjana itu. Barangsiapa merasa kaumnya dinjak Peringgi, yang merasa anak lelakinya diperhina orang, marilah bersama-sama menuntut bela untuk menghapus arang di kening."
Sumber:
1. Bapak Tenas Affendy, Sultan Mahmud Al Marhum Kampar Dalam Mitos Rakyat Pelalawan,
2. A.Halim Nasir Sejarah Perak, Siri Pertama,
3. N.A Halim Perjalanan ke Cardoba, Mastika Jun 1989.

Copy and paste: 31 August 2021 / 22 Muharram 1443H: 10.37 am


No comments:

Post a Comment