ZULHEIMY MAAMOR

Tuesday, 31 August 2021

Faktor-Faktor Tarik-Tolak Kemunculan Ahlul-Bait ‘Gelombang Pertama’ Di Alam Nusantara

Oleh : Tun Suzana Tun Hj Othman > FB Paduka Nenda Puteri Hang Li Po

Di sini moleklah kita huraikan beberapa fakta penting yang mendorong kepada faktor kemunculan ahlul-bait Gelombang Pertama di Alam Nusantara.
PERTAMA;
Kisah pengisbatan Raja Pasai dan pengislaman Raja Melaka melalui perintah Rasulullah ﷺ dan menyusul perkembangan Islam yang pesat di Alam Nusantara di bawah pernaungan kedua-dua kesultanan ini.
Walaupun terdapat banyak bukti sejarah mengenai tanda kemunculan Islam di Alam Nusantara seawal abad ke 9M lagi, bagaimanapun para sarjana dan ahli sejarah dari timur dan barat telah bersepakat bahawa pengaruh Islam pada masa itu adalah agak terbatas dan penyebarannya lebih dalam bentuk ‘runcit-runcit’. Bagaimanapun, pengisbatan Raja Pasai yang dibuat atas perintah Syarif Mekah yang pada waktu itu merupakan pusat kerohanian ummah sejagat bukan sahaja telah membuka mata para pendakwah dan alim ulama kepada rantau ini, malahan langkah Raja-raja Pasai dalam memberikan pernaungan, perlindungan serta kemuliaan yang tinggi kepada mereka, serta mengambil langkah memesatkan Pasai sebagai pusat pendidikan dan penyebaran Islam telah diterima sebagai suatu isyarat ‘jemputan’ kepada alim ulama dan para dai’ee secara besar-besaran, khususnya yang bermazhab Syafiee.
Selepas menyumbangkan jasa dalam membina tapak Islam yang kukuh di rantau ini dalam tempuh hampir seabad, keruntuhan kesultanan Pasai akibat diserang oleh dua kuasa besar iaitu Siam dan Majapahit secara tidak langsung telah mengketengahkan kesultanan Melaka sebagai penyambung obor-obor penyebaran Islam. Dan Melaka tidak mengecewakan. Semenjak Sultan Muhammad Syah menerima Islam di tangan Sayyid Abdul Aziz dari bumi Hijaz, dengan perintah Rasulullah ﷺ sendiri (melalui mimpi), Baginda dan Raja-Raja Melaka yang berikutnya menjadikan Islam teras pemerintahan negeri. Walaupun tidak dapat mengambil tempat Pasai sebagai pusat ilmu, namun dari aspek penyebaran serta pembentukan ketamadunan Melayu Islam Beraja dengan mengambil Islam sebagai nadi kepada gagasan tersebut (konsep Melayu itu Islam), Melaka jauh mengatasi Pasai.
Sebagai keturunan daripada junjungan mulia Rasulullah ﷺ, faktor pengisbatan Raja Pasai dan pengislaman Raja Melaka yang istimewa serta ‘semangat besar’ yang ditonjolkan oleh raja-raja daripada kedua-dua kesultanan tersebut selepas itu dalam memesatkan ajaran dan perkembangan Islam merupakan suatu daya tarikan yang tinggi kepada mereka. Apatah lagi, kemuliaan dan penghormatan yang diberikan jauh lebih baik berbanding dengan layanan yang diterima oleh ahlu-bait Rasulullah ﷺ di tempat-tempat lain seperti yang kerapkali terjadi dalam sejarah.
KEDUA;
Keadaan politik Alam Melayu yang ‘redup’ untuk menyambut kedatangan ahlul-bait Rasulullah ﷺ Gelombang Pertama secara besar-besaran.
Satu fakta sejarah yang amat menarik untuk dikemukakan ialah berkaitan dengan sumbangan negara China kepada keselamatan daulah-daulah Islamiyyah yang tertegak satu demi satu di rantau ini bermula sekitar pertengahan abad ke 13M. Pada masa itu, dua kuasa Hindu-Buddha yang besar iaitu kerajaan Siam dan Majapahit sentiasa bersaing dalam mencari peluang untuk mentancapkan otoritas mereka dalam mana-mana negeri yang boleh ditundukkan. Apatah lagi Agama Islam dianggap sebagai saingan ketat kepada ajaran Hindu-Buddha yang telah memonopoli rantau Asia Tenggara buat sekian lamanya. Bagaimanapun, semenjak kematian Patih Gaja Mada dalam tahun 1364M yang bertanggungjawab meluaskan empayar Majapahit, kekuatan kerajaan tersebut mulai merosot. Yang tinggal hanya ancaman penaklukan dari Maharaja Siam.
Dalam masa pemerintahan Dinasti Ming (1368-1628M), orang-orang Islam di negeri China mendapat keistimewaan dan taraf yang sama dengan orang-orang lain. Maharaja-maharaja dinasti itu mengambil banyak orang-orang Islam khususnya dalam bidang pentadbiran dan pendidikan. Dinasti Ming amat menyenangi ajaran Islam hinggakan salah seorang dari pemerintahnya pernah membina sebuah masjid di Nanking dan membuat ukiran puisi pada masjid tersebut yang mencatatkan tentang ajaran Islam.
Dasar pemerintahan China pada waktu itu yang tidak mahu mentancapkan otoritasnya tetapi lebih mementingkan kestabilan jaluran perdagangan serta hubungan persahabatan yang baik dengan negeri-negeri di bahagian selatannya telah digunakan sebaik mungkin oleh Raja-raja Melaka untuk menghentikan ancaman dari kerajaan Siam dengan meminta perlindungan dari China. Kemuncak daripada jalinan hubungan yang erat ini ialah peristiwa perkahwinan Sultan Mansur Syah dengan puteri China yang bernama Hang Li Po.
Suatu perkara yang perlu diketengahkan berkaitan dengan sumbangan China kepada kestabilan politik di Alam Melayu pada abad ke 15M yang memesatkan perkembangan Islam serta meluaskan empayar Melaka ialah peranan yang dimainkan oleh seorang laksamana China yang terkenal iaitu Zheng He atau Cheng Ho (1371-1435).
Sebagai Duta Persahabatan Maharaja Ming, Laksamana Cheng Ho yang beragama Islam telah membuat sejumlah tujuh ekspedisi pelayaran yang besar ke negeri-negeri seperti Melaka, Champa, Jawa, Samudera, Palembang, Lamri, Aru, Pahang, Borneo dan sebagainya. Kisah-kisah pelayaran Cheng Ho amat menakjubkan, apatah lagi pada masa itu para pelaut Eropah seperti Christopher Columbus dan Vasco Da Gama masih pada tahap ‘membaca peta’ lagi.
Bagaimanapun apa yang lebih menarik ialah kebolehan Cheng Ho berurusan dengan baik dengan Raja-Raja Melayu serta kebijaksanaannya menghantar isyarat yang keras kepada Siam dan saki baki kerajaan Hindu di Jawa supaya jangan lagi mengancam negeri-negeri Melayu Islam itu. Seperti kata Prof Kong Yuanzhi, ekspedisi Cheng Ho yang ‘dibungkus’ dengan misi diplomatik, sesungguhnya tiada lain melainkan sebuah show of force.
Atas inisiatif Cheng Ho, Raja Melaka sendiri datang menghadap Maharaja China, kemudian kembali dengan membawa beberapa ahli pertukangan Islam yang menolong membina masjid-masjid di Melaka. Dengan pertolongan Cheng Ho juga, Maharaja China menjadi penaung negeri Melaka, maka secara tidak langsung menjadi penaung juga kepada kepesatan perkembangan Islam yang berjalan seiring dengan perluasan empayar Melaka.
Apa yang kita perlu tahu mengenai identiti sebenar Laksamana Cheng Ho ialah wujudnya pendapat bahawa beliau berasal dari zuriat Rasulullah ﷺ sendiri. Menurut Prof Kong Yuan Zhi , sumber-sumber sejarah telah mengaitkan Laksamana Cheng Ho dengan keturunan daripada ahlul-bait Rasulullah ﷺ. Salasilahnya dicatatkan seperti berikut:
Ma-He/Cheng Ho ibni Mi-Li-Jin/Ma Haji ibni Mi-Di-Na/Haji ibni Bai-Yan ibni Na-Su-La-Ding ibni Sai-Dian-Chi/Sayyid Ajall/Sayyidina Syamsuddin ibni Ma-Ha-Mu-Ke-Ma-Nai-Ding ibni Ka-Ma-Ding-Yu-Su-Pu ibni Su-Sha-Lu-Gu-Chong Yue/Su-Zu-Sha ibni Sai-Yan-Su-Lai-Chong-Na ibni Sou-Fei-Er/Sayyidina Syafiee ibni An-Du-Er-Yi ibni Zhe-Ma-Nai-Ding ibni Cha-Fa-Er ibni Wu-Ma-Er ibni Wu-Ma-Nai Ding ibni Gu-Bu-Ding ibni Ha-San ibni Yi-Si-Ma-Xin ibni Mu-Ba-Er-Sha ibni Lu-Er-Ding ibni Ya-Xin ibni Mu-Lu-Ye-Mi ibni She-Li-Ma ibni Li Sha Shi (Kaisar kerajaan Mi-Si-Le) ibni E-Ha-Mo-De ibni Ye-Ha-Ya ibni E-Le-Hou-Sai-Ni ibni Xie-Xin ibni Yi-Si-Ma-Ai-Le ibni Yi-Bu-Lai-Xi-Mo ibni Hou Sai-Ni ibni (Sayyidatina) Fatimah binti Rasulullah ﷺ.
(Tidak diketahui samada salasilah ini telah disahkan oleh ahli nasab)
Nenek moyangnya yang bernama Sayyidina Syamsuddin (Sai-Dian Chi) merupakan putera kepada Sultan Bukhara yang mengalami kekalahan di tangan tentera Ghenghiz Khan yang hebat itu. Sayyid Syamsuddin kemudiannya menjadi tawanan di Peking, namun berkat keperibadiannya yang tinggi, kealimannya serta kewibawaan kepimpinannya beliau bukan sahaja diangkat sebagai Penolong Menteri di daerah Yunan , tetapi juga telah berjaya menarik beribu-ribu penduduk tempatan untuk menganut agama Islam. Sebagaimana Sayyid Syamsuddin yang amat disenangi oleh para pengikutnya, cucunya Cheng Ho juga amat disayangi dan dikagumi, sehinggakan orang bukan Islam pun membina kuil atas namanya di beberapa tempat seperti di Melaka, Pulau Pinang, Terengganu, Sarawak dan Singapura.
Tidak dapat dinafikan lagi bahawa faktor keselamatan memainkan peranan yang amat penting untuk perkembangan Islam dan ekonomi di rantau ini, oleh itu secara langsung atau tidak langsung, secara disengajakan atau tidak disengajakan, Laksamana Cheng Ho, seorang ahlul-bait Rasulullah ﷺ bukan sahaja telah membantu kesultanan Melayu Melaka dalam memeriahkan pusat dagangannya, malahan memberi sumbangan juga dalam memelihara keamanan di Alam Melayu yang dapat memesatkan penyebaran Islam. Ini diakui sendiri oleh Professor Hamka seperti kenyataannya dalam majalah Star Weekly, Jakarta bertarikh 18 Mac 1961 bahawa ‘nama Muslim dari Tiongkok (China) yang erat sangkut pautnya dengan kemajuan Islam di Indonesia dan Tanah Melayu ialah Laksamana Cheng Ho.”
Berkemungkinan faktor identiti dan jasa Laksamana Cheng Ho yang besar, kisah-kisah armada dan pelayarannya yang menakjubkan serta kebolehannya sebagai utusan Maharaja China yang berwibawa mampu mencetuskan inspirasi, semangat dan kebanggaan kepada kaum Sayyid pada masa itu. Ianya mungkin menjadi satu lagi daya tarikan serta pendorong bagi para mubaligh dan alim-ulama ahlul-bait Rasulullah ﷺ pada zamannya untuk beramai-ramai menyertai Gelombang Pertama mencurahkan khidmat mereka atas jalan agama di bumi Nusantara yang ‘redup’ ini.
Sesungguhnya jasa Laksamana Cheng Ho yang sebenar dalam membantu mengkondisi rantau Nusantara menjadi tempat yang aman dan selamat untuk perkembangan Islam yang rancak telah tersembunyi dalam riwayat-riwayat kehebatan armadanya yang ‘gajah-gajah’ belaka itu . Jikalau salasilahnya daripada sumber-sumber sejarah adalah benar dan tepat dari perspektif Ilmu Nasab, mudah-mudahan Laksamana Cheng Ho juga kini dapat dikenang semula sebagai seorang ahlul-bait Rasulullah ﷺ yang tersenarai dalam golongan yang menyambung kerja nenek moyang ahlul-bait dari kalangan ulama, mubaligh dan pemimpin umat Islam. Sepertimana ramai golongan ahlul-bait awallun, Cheng Ho juga umpama sebutir berlian yang menyinarkan cahaya gemerlapan di tengah-tengah padang pasir yang saujana meluas.
KETIGA;
Tiada perlakuan kejam atas ahlul-bait sebagaimana yang dirasai kaum kerabat mereka dalam dinasti Umaiyyah dan Abbasiyyah (penerimaan yang baik oleh masyarakat pribumi Nusantara)
Latar belakang politik yang bergejolak di bumi Arab juga memainkan peranan besar dalam sejarah kedatangan ahlul-bait ke bumi Nusantara. Berbeza dengan Alam Melayu yang masih agak mentah dalam mainan politik dunia serta baru mahu mengenali kaum Arab dari golongan mubaligh, situasi politik dan keadaan masyarakat di Jazirah Arab, Afrika dan Timur Tengah penuh dengan siasah politik. Kaum-kaum di dunia sebelah sini mempunyai darah panas, dan persengketaan dan pergolakan politik menjadi seperti mainan hidup mereka. Ditambah pula dengan penglibatan kaum Nasara dan Yahudi yang sentiasa mencari peluang mencerobohi empayar Islam, sejak zaman berzaman, masyarakat di dunia sebelah sana sentiasa terdedah kepada berbagai persengketaan, peperangan dan percaturan politik.
Secara peribadinya pula ahlul-bait sentiasa menjadi sasaran kedengkian dari ramai pihak. Antaranya, kaum-kaum yang memusuhi dan mencemburui mereka semenjak zaman Rasulullah ﷺ di atas status istimewa yang dimiliki kerana merasakan mereka ini saingan kuat dalam jawatan sebagai penguasa- penguasa kota suci Mekah dan Madinah.
Perhatikan sabdaan Rasulullah ﷺ ini :
“Kami ahlul-bait telah Allah SWT pilih untuk kami akhirat lebih dari dunia. Kaum kerabatku akan menerima bencana dan penyingkiran sepeninggalanku kelak sehingga datangnya suatu kaum dari sebelah timur yang membawa bersama mereka panji-panji hitam. Mereka meminta kebaikan tetapi tidak diberikannya. Maka mereka pun berjuang dan memperolehi kemenangan, lalu diberikanlah apa yang mereka minta itu, tetapi mereka tidak menerimanya, hingga mereka menyerahkannya kepada seorang lelaki dari kerabatku yang memenuhi bumi dengan keadilan sebagaimana bumi dipenuhi dengan kedurjanaan. Siapa diantara kamu yang sempat menemuinya maka datangilah mereka walaupun merangkak diatas salji. Sesungguhnya dia adalah Imam Mahdi.”
“Dari Al-Hassan, bahawasanya Nabi pernah mengatakan tentang bala bencana yang akan menimpa keluarganya sampai Allah mengutus panji-panji hitam dari timur. Siapa yang menolongnya Allah akan menolongnya dan siapa yang menghinanya, Allah akan menghinanya, hinggalah mereka itu mendatangi seorang lelaki yang namanya seperti namaku. Mereka pun melantiknya memimpin mereka, maka Allah pun membantu dan menolongnya.”
Dalam hal ini, sejarah pemerintahan khalifah-khalifah Daulah Umayyah dan Abbassiyyah membuktikan bahawa kebanyakan daripada mereka merasa terancam oleh golongan ahlul-bait Rasulullah ﷺ kerana beranggapan mereka saingan kuat pada jawatan kepimpinan ummah. Natijahnya kebanyakan khalifah-khalifah Daulah Umayyah dan Abbassiyyah sentiasa mencari peluang menghambat, mengusir, menindas dan melakukan berbagai bentuk kekejaman kepada keturunan Sayyidina ‘Ali dan Sayyidatina Fatimah kerana merasakan tidak selamat pada jawatan pemerintah selagi kaum kerabat ahlul-bait ada di kalangan mereka, apatah lagi para ahlul-bait sentiasa mendapat ihsan dan simpati dari kebanyakan umat Islam sebagai titisan Rasulullah ﷺ.
Berlebih lagi, ahlul-bait sentiasa menyerlahkan ketrampilan diri sebagai tokoh-tokoh yang unggul dalam bidang-bidang yang diceburi seperti kependitaan, ulama, pahlawan, karyawan dan sebagainya, maka berlebih lagilah wujud kecemburuan dan kedengkian pada golongan mereka yang mudah menambat hati umat Islam.
Kaum Khawarij yang diasaskan pada zaman Sayyidina ‘Ali juga merupakan satu lagi kelompok musuh yang nyata bagi ahlul-bait kerana di atas pegangan radikal mereka telah mengisytihar perang keatas cucu-cicit Nabi yang mereka anggap sebagai telah sesat. Kerabat ahlul-bait juga terdedah kepada bahaya kaum Syiah pelampau yang telah menyimpang jauh dari ajaran, pegangan dan prinsip asal para penyokong Khalifah ‘Ali.
Begitulah latar belakang siasah bumi Arab yang memberi kesan secara langsung kepada ahlul-bait awallun dan para pengikut mereka. Dengan diwarnai oleh senario politik yang bergejolak ini, maka sesetengah ahlul-bait yang pekat darah kepahlawanan dan kepimpinan menyahut cabaran untuk berhadapan dengan musuh-musuh politik mereka. Sebahagian ahlul-bait yang lebih pekat darah kewalian dan kependitaan berpuashati dengan mendambakan diri dalam kerja-kerja ibadah, menceduk telaga-telaga ilmu agama yang tidak pernah kontang serta memenafaatkan ilmu bagi diri dan ummat. Sebahagian ahlul-bait lagi yang pekat dengan darah ke dai’eeannya terus sahaja menyibukkan diri bermusafir ke merata alam menyebarkan dakwah ilal-‘Lah dengan luhur dan gigih.
Sesungguhnya telah ditakdirkan Allah SWT jua bahawa kebanyakan mubaligh ahlul-bait yang berhijrah ke bumi Nusantara mempunyai darah kependitaan dan sifat kedai’eean yang tinggi. Hanya apabila dilantik sebagai raja yang memerintah ataupun terdedah kepada ancaman musuh dan keperluan berperang atas nama jihad, maka mereka baru menunjukkan bakat semulajadi sebagai pemimpin masyarakat dan bakat kepahlawaan perkasa yang selama ini sebenarnya terpendam dalam darah daging mereka, sedia menanti untuk diupayakan bila-bila sahaja perlu.
Berbeza dengan latar belakang sosio-politik Arab yang menindas keturunan Rasulullah ﷺ secara bersambung-sambung, layanan baik, penghormatan serta kemuliaan yang mereka terima daripada penguasa-penguasa tempatan di rantau Nusantara ini merupakan sesuatu yang amat menyejukkan hati mereka. Berita baik ini sudah tentu tersebar luas di kalangan mereka, apatah lagi dengan khabar bahawa pemerintah Pasai dan Melaka mendapat Islam atas perintah Rasulullah ﷺ sendiri.
Jikalau di bumi Arab mereka dianggap sebagai ancaman kepada para penguasa atas kedudukan mereka yang dimulia dan diutamakan dalam ajaran Islam sendiri, tetapi di bumi Nusantara mereka bukan sahaja tidak dianggap sebagai ancaman atau saingan, malahan para penguasa serta pembesar masyarakat tempatan amat berbesar hati jikalau mubaligh dan ulama ahlul-bait yang datang dapat menerima pelawaan mereka untuk bersemenda (menjalinkan hubungan perkahwinan dengan puteri-puteri pemerintah), menjadi penasihat pemerintah atau dilantik sebagai pemerintah sendiri.
Ringkasnya, perbezaan ketara diantara benua Arab dan Alam Nusantara dari aspek layanan yang diberikan kepada ahlul-bait Rasulullah ﷺ menjadi satu lagi faktor tarik-tolak yang menyebabkan kemunculan ahlul-bait Gelombang Pertama secara besar-besaran di kawasan Alam Melayu ini.
KEEMPAT;
Kedudukan Syarif-Syarif Mekah
Sebagai zuriat Rasulullah ﷺ yang bertanggungjawab menjaga dua Haramain suci, iaitu kota Mekah dan Madinah, Syarif-syarif Mekah bukan sahaja diberikan taraf ‘autonomi’ oleh mana-mana dinasti (selepas tamatnya Dinasti Umaiyyah dan Abbassiyyah) yang mengambil tanggungjawab sebagai pusat khilafah, malahan dinasti-dinasti ini merasakan perlu mencurahkan khidmat dan ‘menaungi’ Syarif-syarif Mekah sebagai satu amanah agama yang perlu dipikul. Contohnya dinasti-dinasti Fatimiyyah, Ayyubiyyah dan empayar Othmaniyyah yang memerintah hampir enam kurun lamanya itu semuanya mempunyai hubungan yang istimewa dengan Syarif-syarif Mekah.
Syarif-syarif Mekah bukan sahaja dianggap sebagai pusat kerohanian ummah sedunia, malahan mereka juga mempunyai hak tersendiri untuk memberi ijazat atau ‘menobat’ pemerintah-pemerintah umat Islam. Ini bermakna Syarif-syarif Mekah tidak memerlukan pengiktirafan dari pusat khilafah untuk menobatkan seseorang pemerintah, mana-mana daulah yang mendapat nobat daripada Syarif-syarif Mekah akan terus diakui oleh khalifah ummah.
Upacara ‘penobatan’ atau perlantikan seseorang pemerintah umat Islam adalah merupakan sebahagian daripada tuntutan syariat yang dapat memastikan wujudnya kesinambungan kepada rantaian ikatan kerohanian pemerintahan umat Islam yang bermula dari zaman Rasulullah ﷺ itu. Raja-raja Islam zaman dahulu kala menerima nobat mereka secara langsung samada dari pemerintah terdahulu yang berantai sehingga kepada pemerintah pertama yang mengambil nobat dari pusat Khilafah, Syarif-syarif Mekah ataupun kesultanan-kesultanan besar yang telah terlebih dahulu mendapat nobat daripada Mekah atau Khalifah.
Sebagai tanda penobatan sesebuah Daulah Islamiyyah itu, lazimnya pusat khilafah atau Syarif-syarif Mekah akan mengirim alat-alat kebesaran kepada kesultanan tersebut (sebagaimana yang dibuat oleh Syarif Mekah pada kesultanan Pasai). Penobatan seseorang raja oleh Khalifah atau Syarif Mekah bukan sahaja sebagai tanda taat setia sesebuah daulah Islam itu kepada khalifah sebagai tonggak kepimpinan ummah sedunia, malahan ianya dapat mewujudkan suatu rangkaian ikatan kerohanian dengan Syarif-syarif Mekah yang berantai sehingga zaman Rasulullah ﷺ. Ikatan yang ampuh ini menjadi lambang kedaulatan, kesatuan dan kekuatan ummah yang sukar diganggu gugat oleh musuh-musuh agama selama mana pemerintah-pemerintah ini tidak mengkhianati sumpah yang dilafazkan semasa mereka ditabalkan.
Ini dapat menjelaskan mengapa penobatan Raja Pasai yang pertama serta pengislaman Raja Melaka dengan titah Syarif Mekah merupakan peristiwa-peristiwa penting dan amat bersejarah sebagai titik tolak bermulanya Alam Nusantara sebagai pusat perkembangan dan tamadun Islam yang pesat. Dengan pertabalan mereka, Raja-raja Islam ini bukan sahaja mendapat pengiktirafan sebagai zilul ‘Lah fil ard, ukhuwwah yang terjalin dengan pusat khilafah sebagai penaung kepada Syarif-syarif Mekah langsung dapat dimenafaatkan melalui hubungan dagangan, perutusan-perutusan diplomatik, penghantaran alim-ulama dari pusat ilmu Islam seperti di Mekah dan Madinah untuk tujuan penyebaran dan pendidikan Islam, serta bantuan ketenteraan jika perlu. Hubungan diplomatik yang terjalin diantara Alam Melayu dan Syarif-syarif Mekah inilah yang menjadi satu lagi faktor penting kedatangan ahlul-bait Rasulullah ﷺ Gelombang Pertama di rantau ini.
KELIMA;
Kedudukan Mazhab Syafiee di Alam Melayu
Imam Syafiee dilahirkan dalam tahun 764M di Gazza, Palestin. Ketika umurnya 48 tahun, beliau menjadi Mujtahid Mutlak di Baghdad dan menyusun kitab Risalah dalam usul Feqah yang diberi nama Al-Hujjah, iaitu yang disebut sebagai Mazhab Qadim bagi Imam Syafiee itu. Apabila Imam Syafiee berpindah ke Mesir, beliau mendalami serta memperluaskan ilmunya dan mengarang kitab-kitab, antara yang terkenal ialah Al Umm . Semua kitab yang dikarangnya di Mesir merupakan akhir pendapatnya dalam Feqah Islam dan inilah yang disebut sebagai Mazhab Jadid (Mazhab Baru).
Imam Syafiee merupakan keturunan dari kerabat Rasulullah ﷺ yang diketahui amat mencintai, setia dan memuliakan ahlul-bait Baginda. Dikatakan semasa menjadi pegawai pemerintah dalam daerah Najran di negeri Syam (Syria), Imam Syafiee rajin mengunjungi majlis-majlis yang diselenggerakan oleh kaum Thalabiyyin (kerabat Rasulullah ﷺ). Dalam majlis-majils tersebut, beliau lebih suka berdiam diri sedangkan Imam Syafiee di kala itu telah pun diketahui sebagai seorang yang terpelajar. Apabila ditanya mengenai sikapnya, ia hanya menjawab: “Aku tidak mahu berbicara dalam majlis yang mereka hadiri, sebab mereka lebih berhak atas kepimpinan dan keutamaan.”
Imam Syafiee juga pernah ditanya mengenai sikapnya terhadap ahlul-bait Rasulullahﷺ yang dijawabnya: “Jika saya wajib mencintai kaum kerabat dan kaum keluargaku-jika mereka itu orang-orang yang bertaqwa-apakah bukan bahagian dari agama jika saya mencintai kerabat Rasulullah ﷺ jika mereka itu orang-orang yang bertaqwa?
Beliau juga pernah menulis mengenai ahlul-bait dalam salah satu bait syairnya:
“Jika kecintaan kepada Aal (Ahlul-Bait) Muhammad dituduh Syiah Rafidhi maka saksikanlah hai manusia dan jin bahawa aku adalah Rafidhi.”.
Dalam syair yang lain, Imam Syafiee pernah menulis :“Hai Ahli-Bait Rasulullah (ﷺ), mencintai kalian kewajipan dari Allah diturunkan dalam Al-Quran, cukuplah bukti betapa tinggi mertabat kalian tiada solat tanpa salawat bagi kalian.”
Begitu besar kecintaan dan kemuliaan yang diberikan oleh Imam Syafiee kepada ahlul-bait Nabi ﷺ, sehingga dalam masa pemerintahan Khalifah Harun Al-Rasyid, nyaris kepalanya dipenggal kerana difitnah bersepakat dengan kaum Thalabiyyin untuk menggulingkan khalifah dan menaikkan ahlul-bait sebagai Amirul Mukminin.
Di Mesir, Imam Syafiee diketahui seringkali menghadiri majlis-majlis ilmu yang diselenggarakan oleh Sayyidatina Nafisah, seorang ahlul-bait Rasulullah ﷺ yang terkenal atas kealiman dan kekeramatannya. Imam Syafiee berpeluang mendengar banyak Hadeeth Rasulullah ﷺ daripada Sayyidatina Nafisah yang tidak pernah didengarinya sebelum itu. Dalam kesempatan yang ada, beliau akan mengutarakan ijtihad-ijtihad yang dilakukannya kepada Sayyidatina Nafisah. Begitu tinggi kemuliaan dan kepercayaannya pada Sayyidatina Nafisah sehinggakan setiap kali apabila Imam Syafiee sakit, beliau akan menghantar orang berjumpa Sayyidatina Nafisah meminta dido’akan kesembuhannya seperti yang telah diutarakan pada bahagian awal buku ini.
Kesimpulannya, sikap yang ditonjolkan oleh Imam Syafiee semasa hayatnya ke atas ahlul-bait Rasulullah ﷺ dalam masa khalifah-khalifah Abbasiyyah menunjukkan permusuhan yang nyata kepada golongan mereka merupakan sesuatu yang amat dihargai oleh para ahlul-bait. Kebetulan ketokohan Imam Syafiee berkembang sebagai mutjahid terulung dan membuat Mazhab Jadidnya semasa beliau berada di Mesir yang diketahui sebagai kerajaan yang amat bersimpati dan melindungi ahlul-bait Rasulullah ﷺ dari kekejaman penguasa Dinasti Abbasiyyah . Kebetulan pula ahlul-bait Rasulullah ﷺ memilih Mazhab Syafiee sebagai mazhab rasmi mereka .
Dalam konteks perkembangan Mazhab Syafiee di Alam Melayu, mengikut perjalanan mazhab tersebut semenjak abad ke 9 Masihi, ianya telah berkembang pesat di Mesir, Iraq, Parsi, Khurasan, Asia Tengah, Telur Parsi, Hadhramaut dan Malabar . Mubaligh-mubaligh Arab, Parsi, India dan Hadhramaut adalah pengikut Mazhab Syafiee dan bertanggungjawab mengembangkan mazhab tersebut ke Alam Melayu secara langsung daripada negeri masing-masing atau datang melalui negeri-negeri lain.
Contohnya, selama 700 tahun Farsi berada di bawah naungan Mazhab Syafiee, ianya mempengaruhi perkembangan Mazhab Syafiee di Alam Melayu, secara langsung dari Parsi atau dari Parsi melalui India dan China. Demikian juga Mazhab Syafiee berkembang di Yaman, Hijaz dan di kawasan Teluk Parsi, mubaligh-mubaligh dari negeri-negeri tersebut juga datang mengembangkan Islam di Alam Melayu. Para ulama Syafiee yang kebanyakan ulama tasawuff yang berdakwah di kepulauan Melayu terkenal dengan sifat berlemah lembut serta berbudi bahasa. Ini menyebabkan Islam mudah tersebar luas di kalangan masyarakat tempatan sehingga menjadikan Mazhab Imam Syafiee ini sebagai yang mula-mula berkembang dengan pesatnya di rantau ini.
Ringkasnya, kemajuan Mazhab Syafiee dalam kesultanan Pasai untuk tempuh hampir seabad lamanya telah menjadi daya penarik bagi kedatangan ulama-ulama Islam dari negeri lain, terutamanya yang bermazhab Syafiee pula sehingga Pasai menjadi pusat ilmu dan intelektual Islam di Alam Nusantara, khususnya dalam perkembangan Mazhab Syafiee.
Oleh itu dalam konteks kehadiran ahlul-bait Gelombang Pertama di Alam Melayu, faktor pendirian Imam Syafiee terhadap golongan ahlul-bait, perkembangan mazhab tersebut dalam kesultanan Pasai dan kemudiannya Melaka, serta faktor para mubaligh dan alim-ulama ahlul-bait Rasulullah ﷺ sendiri yang sememangnya bermazhab Syafiee, menjadikan Alam Nusantara pilihan utama bagi kedatangan mereka secara beramai-ramai.
Wallahu 'alam bissawab
C&P: 31 AUGUST 2021 / 22 MUHARRAM 1443H: 10.23 AM

No comments:

Post a Comment