ZULHEIMY MAAMOR

Thursday, 8 July 2021

MENGUKUR SISTEM DAYA TAHAN KITA?

OLEH: DR. ZUBAIDI HJ AHMAD

Ramai bertanya saya, apa tanda sistem daya tahan kita berada di peringkat yang paling rendah? Saya menjawab apabila kita sudah mula sakit, tidak bertenaga dan tidak bermaya.
Namun sebelum kita sakit, kita telah mengalami tanda-tanda awal seperti demam, sering bersin dan batuk, sistem penghadaman yang tidak menentu, kulit kerap gatal, sering pening dan sakit kepala.
Tetapi itu semua adalah tanda yang tidak spesifik. Yang lebih tepat apabila kita melakukan pemeriksaan darah.
Tetapi pemeriksaan ini kebanyakannya tidak dilakukan sebagai pemeriksaan kesihatan yang asas. Mungkin disebabkan harga yang agak mahal. Pemeriksaan boleh dilakukan di klinik swasta atau di makmal swasta terdekat.
Antara petunjuk yang saya cadangkan adalah:
1. Bilangan Sel Darah Yang Lengkap (Complete Blood Count).
Pemeriksaan ini biasa dilakukan sebagai pemeriksaan asas. Dari pemeriksaan ini kita akan melihat pada di peringkat awal pembentukan sel-sel yang berkait rapat dengan sistem daya tahan.
Pemeriksaan ini memeriksa jumlah sel darah merah, sel darah putih, platelet, hemoglobin. Paling penting ia memeriksa jenis-jenis sel darah putih seperti neutrophils, lymphocytes, basophils yang sangat penting dalam sistem daya tahan.
Sebagai contoh, apabila kita demam dan mendapat jangkitan bakteria atau virus bilangan sel darah putih akan meningkat untuk melawan kuman tersebut. Bayangkan apabila sel darah putih tidak mampu ditingkatkan ketika kita diserang virus atau bakteria? Kita akan jatuh sakit.
2. Penunjuk Metabolik dan Keradangan.
Penunjuk ini sangat penting dalam kita buat pemeriksaan kesihatan bagi menentukan tubuh kita dalam keadaan yang sihat. Ini kerana masalah kesihatan metabolik seperti hipertensi, diabetes dan tahap kolestrol yang tinggi, berkait rapat dengan tahap daya tahan seseorang. Masalah metabolik ini yang akan menyebabkan masalah jantung, hati dan otak.
Sebab itu cadangkan pemeriksaan seperti ukur lilit pinggang, tekanan darah, tahap gula dan tahap kolestrol. Selain itu petunjuk bagi keradangan seperti *C-reactive protein* sangat penting untuk menentukan tahap keradangan seseorang.
3. Tahap vitamin D.
Vitamin D atau lebih tepat, 25-​hydroxyvitamin D adalah vitamin dan hormon yang bertanggungjawab kepada sistem daya tahan kita.
Dikatakan sebahagian besar di kalangan kita yang tidak mempunyai tahap D yang mencukupi kerana kita tidak mendapat sumber vitamin D yang cukup dari makanan atau pendedahan pada cahaya matahari. Contoh bagi yang bekerja 12 jam dari 7 pagi hingga 6 petang dan sentiasa berada di dalam bangunan, tidak mendapat sinaran cahaya matahari, menyebabkan tahap Vitamin D yang rendah.
4. Tahap Vitamin C.
Pemeriksaan tahap ascorbic acid adalah satu ujian yang jarang dilakukan tetapi penting bagi menentukan tahap daya tahan kita. Tahap vitamin C dalam tubuh boleh naik dan turun dengan cepat. Contoh pengambilan vitamin C melalui suplemen akan meningkatkan tahap vitamin C dalam tubuh. Ia akan menurun dengan cepat sebab ia digunakan dengan banyak untuk menggalakkan penghasilan sel darah putih bagi melawan jangkitan kuman, sama ada bakteria atau virus.
5. Tahap Zinc.
Tahap zink dalam tubuh juga menentukan tahap sistem daya tahan tubuh. Ia sangat penting dalam pembentukan sel darah putih terutamanya neutrophil, macrophages, dan natural killer cells. Ia juga penting untuk pembentukan satu lagi pertahanan tubuh yang dinamakan *adaptive immune* iaitu B-cells dan T-cells. Oleh itu pastikan kita mendapat makanan yang mempunyai sumber mineral Zink atau mendapat suplemen zink di farmasi. Bincang dengan ahli farmasi tentang keperluan zink dalam tubuh kita.
Secara kesimpulannya, jika kita tertanya-tanya apakah kita mempunyai tahap ketahanan tubuh yang kuat, kita boleh melakukan pemeriksaan ini. Namun ia adalah sebahagian petunjuk sahaja. Ia harus dipadankan dengan petunjuk yang lain. Untuk ini berbincang dengan doktor yang berpengalaman.
Semoga bermanfaat.
Rujukan:
1. Anitra C. Carr1,Silvia Maggini. Vitamin C and Immune Function. Nutrients. 2017 Nov; 9(11): 1211.
2. Cynthia Aranow. Vitamin D and the immune system. J Investig Med. 2011 Aug.
3. Inga Wessels, Martina Maywald, and Lothar Rink. Zinc as a Gatekeeper of Immune Function. Nutrients. 2017 Dec; 9(12): 1286.

C&P: 8 JULAI 2021 / 27 ZULKAEDAH 1442H: 7.22 PM

No comments:

Post a Comment