ZULHEIMY MAAMOR

Friday, 7 May 2021

Syaitan dibelenggu dalam bulan Ramadhan? Tapi Kenapa Masih Ada Kes Kerasukan?

OLEH : USTAZ ABU HUMAYD SUFRI MAHMUD

Ini adalah persoalan yang sedang dan sentiasa berlegar di media sosial terutamanya dalam bulan Ramadhan. Saya ingin memberikan sedikit ulasan tentang hal ini.

1. Harus difahami perkaitan antara "jin" dan "syaitan" - apakah persamaan dan perbezaan antara kedua-duanya? Ini juga soalan yang sering ditanya oleh orang ramai. Dan jawapan yang saya berikan adalah berdasarkan nas dan bahasa. Dari segi nas, Iblis disebutkan oleh Allah sebagai salah satu di kalangan jin. Rujuk Surah Al-Kahfi (18:50). Dan sebagaimana saudara-saudara jinnya yang lain, dia juga berasal daripada api (Surah Al-A'raf ayat 12 dan Surah Sad ayat 76). Maka Iblis adalah daripada "spesis" jin. Namanya Iblis, dan dia adalah ketua atau penghulu segala "syaitan".

Maka apa pula syaitan?

2. Syaitan pula adalah perkataan Arab yang berasal daripada kalimah "shatana" yang bermaksud menjauhkan antara satu benda dengan benda yang lain. Dan orang Arab menggelarkan segala sesuatu yang jahat dengan nama syaitan. Oleh sebab Al-Qur'an diturunkan dalam bahasa Arab, maka sudah tentulah ia diturunkan dalam lisan (bahasa) Arab. 
Dalam Surah Al-Baqarah ayat 14 kita akan jumpa kalimah "shayatinihim" yang bermaksud syaitan-syaitan mereka iaitu merujuk kepada golongan manusia yang menjadi sekutu bagi orang-orang munafik.

Allah Ta'ala menyebutkan kalimah "syaitan" ini sebanyak 63 kali dan dalam bentuk jamaknya (plural) "shayatin" sebanyak 17 kali. Dan bukan semuanya merujuk kepada syaitan di kalangan jin sahaja tetapi juga syaitan di kalangan manusia.

Bahkan dalam Surah Al-An'am ayat 112 kita lihat Allah menyebut secara jelas perkataan "syaitan-syaitan di kalangan manusia dan jin" (شياطين الإنس والجن).

3. Maka apa pula jin? Seperti dah disebutkan sebelum ini, jin adalah "spesis" yakni makhluk Allah yang dicipta daripada api, iaitu moyangnya daripada api. Sebagaimana manusia berasal daripada Nabi Adam 'alaihissalam yang dicipta daripada tanah. Hal ini disebutkan dalam banyak nas antaranya dalam satu hadis riwayat Imam Muslim dengan sanadnya daripada 'Aishah radhiyallahu 'anha;

خلقت الملائكة من نور وخلق الجان من مارج من نار وخلق آدم مما وصف لكم

"Malaikat dijadikan daripada cahaya, "Jann" pula diciptakan daripada nyalaan api, dan Adam diciptakan daripada apa yang telah disifatkan kepada kamu (dari tanah)".

Dalam poin kedua dia atas sudah saya jelaskan bahawa Iblis berasal daripada keturunan Jann ini. Walaupun Sheikhul Islam berpandangan bahawa Iblis adalah asal usul jin dan semua jin berasal daripada dia. Pandangan ini berasaskan ayat ke-50 Surah Al-Kahfi juga di mana Allah menyebutkan tentang zuriat keturunan Iblis (syaitan) yang menjadi ikutan manusia Tetapi saya mempunyai pandangan lain, berdasarkan tafsiran para ulama lain.

Misalnya Ibn Kathir dalam tafsirnya menyebutkan tentang kedudukan Iblis sebelum dia menderhaka kepada Tuhannya. Dia diutuskan oleh Allah bersama-sama tentera malaikat untuk mengusir makhluk (jin) yang mula-mula mendiami bumi berdasarkan athar daripada Ibn 'Abbas radhiyallahu 'anhuma. Sila rujuk tafsir Ibn Kathir pada ayat ke-34 Surah Al-Baqarah.

Ini bermaksud Iblis mengusir jin yang ada di muka bumi sebelum kekufurannya pada Allah. Ini bermakna sudah ada jin di bumi sebelum Iblis diutuskan bersama tentera malaikat.

4. Maka saya berpandangan bahawa bukan semua jin adalah zuriat Iblis. Ada jin yang merupakan keturunan penghuni bumi zaman purba dan ada jin daripada zuriat Iblis.

Dalam tafsir Surah Al-Jinn juga dijelaskan dalam beberapa riwayat bahawa sekumpulan jin yang diutus oleh Iblis untuk meninjau apa yang dilakukan oleh Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam di Makkah adalah dari kalangan jin Nasibin dari Yaman. Walaupun mereka utusan Iblis, akhirnya mereka memeluk Islam setelah mendengar bacaan Al-Qur'an. Ini sekali lagi menunjukkan bahawa bukan semua jin adalah syaitan dan pengikut Iblis.

Maka kesimpulannya:
  • Jin adalah spesis.
  • Syaitan adalah sifat atau gelaran
  • Iblis adalah nama khas bagi satu jin yang spesifik dan ketua para syaitan termasuklah syaitan manusia.

5. Berbalik pada persoalan pertama tadi.
Jika dalam bulan Ramadhan syaitan diikat maka kenapa masih ada jin berkeliaran? Bahkan hadis Abu Hurayrah menangkap "jelmaan" syaitan berlaku dalam bulan Ramadhan!

Hadis itu sahih. Iaitu daripada riwayat Al-Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurayrah radhiyallahu 'anhu bahawa Rasulullah sallallahu 'alayhi wa sallam bersabda:

إذا جاء رمضان فتحت أبواب الجنة وغلقت أبواب النار وسلسلت الشياطين
"Apabila datangnya Ramadhan, maka dibukakan pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka, dan diikat para syaitan".

Sebenarnya hadis ini tak boleh difahami secara literal. Kerana para ulama berbeza pendapat tentang makna sebenar "diikat atau dibelenggu para syaitan" ini. Saya ringkaskan beberapa pendapat-pendapat tersebut:

A) Ibn Hajar menjelaskan ia bermaksud syaitan sukar untuk mengganggu orang Islam kerana ia sibuk dengan puasanya, ibadahnya, bacaan Qur'an dan sebagainya, tidak seperti dalam bulan-bulan selain Ramadhan.

B) Ibn Shihab menjelaskan ia bermaksud para syaitan menjadi "lemah" dalam usahanya menggoda dan mengganggu manusia.

C) Ada ulama yang mengatakan sememangnya secara fizikal mereka dibelenggu kerana kehadiran para malaikat yang datang ke bumi pada bulan Ramadhan.

D) Sheikh Al-'Uthaymin pula mengatakan hal ini ada beberapa riwayat menyebutkan yang dibelenggu ialah para syaitan yang jahat sahaja. Dan hal ini kata beliau adalah perkara ghaib yang tidak sepatutnya kita berlebih-lebihan dalam memberi pendapat tentangnya.

Dan Sheikh menyebutkan bahawa Abdullah anak Imam Ahmad pernah bertanya soalan yang serupa kepada ayahnya. "Sesungguhnya ada orang kena rasuk dalam bulan Ramadhan". Jawab Imam Ahmad, "inilah yang berlaku, dan kita tidak bercakap tentangnya".

Allahu a'lam

Maka tidak perlulah diperdebatkan panjang lebar tentang hal ini. Yang sepatutnya kita fokuskan ialah bertaqwa kepada Allah dan menghindari diri daripada terjebak dengan godaan syaitan, sama ada di dalam mahupun di luar Ramadhan.

C&P: 7/5/2021 @ 25 RAMADAN 1442H: 2.27 PM


No comments:

Post a Comment