ZULHEIMY MAAMOR

Friday, 7 May 2021

Pemahaman Tentang Jin Dan Syaitan

SUMBER: GERAKAN PENA MALAYSIA

OLEH: USTAZ ABU HUMAYD SUFRI MAHMUD

Apabila bercakap mengenai syaitan, maka apakah yang terlintas di fikiran kita? Kebiasannya orang akan membayangkan makhluk ghaib yang menyeramkan dan suka mengganggu manusia. Hakikatnya, syaitan boleh jadi daripada kalangan jin dan juga manusia. Firman Allah Ta'ala yang mafhumnya:

Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh dari Syaitan-syaitan manusia dan jin... 
(Surah al-An’am, 6:112)

Allah 'azza wa jalla menyebutkan di dalam kitabNya bahawa syaitan dan kuncu-kuncunya adalah musuh yang nyata bagi umat manusia semuanya. Antara ayat-ayat lain yang menjadi dalil bahawa syaitan adalah musuh manusia yang nyata adalah seperti berikut:

Bukankah Aku telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah Syaitan? Sesungguhnya ia musuh yang nyata terhadap kamu! 

(Surah Ya Sin, 36:60)

Dan janganlah Syaitan menghalang kamu (daripada menurut jalan yang benar); sesungguhnya Syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu.

 (Surah al-Zukhruf, 43:62)

Nama syaitan itu berasal daripada perkataan Arab "shatana" yang membawa maksud menjauhkan. Disebut "Ash-Shatin" yang bermaksud yang jauh daripada kebenaran. Maka dari segi bahasanya, syaitan ialah makhluk yang menjauhkan manusia daripada kebenaran.

Definisi jin:

Dari segi bahasa ia berasal daripada perkataan janna yajinnu jinnan, yang bererti yang “tersembunyi, terhalang, dan tertutup”.

Definisi syaitan:
Dari segi bahasa, shatana, yang bermaksud yang menjauhkan sesuatu daripada sesuatu. Dikatakan syaitan, kerana ia menjauhkan manusia daripada kebenaran. Syaitan boleh jadi daripada kalangan jin, manusia, dan haiwan, hatta tumbuhan sekalipun.

Maka bukan semua syaitan adalah jin, dan bukan semua jin adalah syaitan.
JIN (syaitan) mempunyai dua tanduk dan sayap:

عَنِ ابْنِ عُمَرَ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: "لَا تَحَرَّوْا بِصَلَاتِكُمْ طُلُوعَ الشَّمْسِ، وَلَا غُرُوبَهَا، فَإِنَّهَا تَطْلُعُ بِقَرْنَيْ الشَّيْطَان"

Daripada Ibn Umar, katanya Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam bersabda,
“Janganlah kamu solat ketika terbit matahari dan bukan ketika terbenamnya ia, kerana sesungguhnya ia terbit di antara dua tanduk syaitan."
[HR Muslim, No. 828]

Antara sifat-sifat jin:

[ Tidak dapat dilihat dengan mata kasar ]

Hai anak Adam, janganlah sekali-kali kamu dapat ditipu oleh syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapamu dari surga, ia menanggalkan dari keduanya pakaiannya untuk memperlihatkan kepada keduanya auratnya. Sesungguhnya ia dan pengikut-pengikutnya melihat kamu dan suatu tempat yang kamu tidak bisa melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan syaitan-syaitan itu pemimpin-pemimpim bagi orang-orang yang tidak beriman.
[Surah Al-A’raf, 7: 27]

Jin takut dan lari daripada sebahagian hamba Allah yang beriman dan bertakwa

Apabila seseorang betul-betul memegang ajaran agamanya dengan benar serta menancapkan keimanannya dengan teguh, maka syaitan pun akan takut dan lari. Hal ini misalnya terdapat pada diri Umar bin Al-Khattab r.a. riwayat Al-Imam At-Tirmidzi rahimahullah di mana Rasulullah sallallahu 'alayhi wa sallam bersabda kepada Umar:

"Sesungguhnya syaitan sangat takut kepadamu wahai Umar"
(HR. Tirmidzi).

Bukan hanya kepada Umar, akan tetapi syaitan (jin kafir) juga akan takut oleh orang-orang beriman yang betul-betul dengan keimanannya. Dalam al-Bidayah wan Nihayah, Ibnu Kathir pernah mengutip sebuah hadith berikut ini:

“Sesungguhnya orang mukmin akan dapat mengendalikan (mengalahkan) syaitannya sebagaimana salah seorang dari kalian yang dapat mengendalikan untanya ketika musafir"
(HR. Ahmad)

C&P : 7/5/2021 @ 25 RAMADAN 1442H: 2.18 PM


No comments:

Post a Comment