ZULHEIMY MAAMOR

Wednesday, 10 March 2021

Sungai Batu dan sejarah Kedah Tua? Apa kaitannya?


Sejak tahun 2008, negara kita telah digemparkan dengan penemuan kompleks arkeologi Sungai Batu yang mengandungi berpuluh-puluh (mungkin juga beratus) tapak monumen yang diperbuat daripada bata, dan juga tapak-tapak peleburan besi.
Bagi tapak-tapak monumen tersebut, ekskavasi dan rekonstruksi menunjukkan bahawa runtuhan-runtuhan tersebut menyerupai struktur jeti, tapak ritual dan tapak penempatan. Daripada segi pentarikhan pula, kajian saintifik menunjukkan bahawa tapak Sungai Batu adalah jauh lebih awal dari tapak-tapak lain yang diketahui wujud di Lembah Bujang. Kajian menunjukkan bahawa industri besi, serta kegiatan perdagangan di kawasan Sungai Batu telah bermula sejak kurun ke-2 Masihi lagi (pentarikhan terkini menunjukkan kurun ke-6 Sebelum Masihi, perkara ini dalam peringkat kajian).
Tetapi, tahukan kita dimanakah kedudukan kompleks arkeologi Sungai Batu dalam konteks sejarah dan arkeologi Kedah Tua? Tentang definisi Kedah Tua dan Lembah Bujang, telahpun saya bincangkan dalam post saya sebelum ini (Lihat "First of all, what is Bujang Valley? and what is Old Kedah?")
Pertama sekali, untuk kita memahami kedudukan Kompleks Sungai Batu dalam konteks Kedah Tua, perlu kita fahami pola taburan tapak-tapak arkeologi di Lembah Bujang. Diketahui bahawa wujud pelbagai bentuk penemuan, seperti Seramik, Monumen, Arca, Prasasti, Manik, Ketulan Besi dan sebagainya. Penemuan-penemuan tersebut sama ada boleh dikaitkan dengan keberadaan masyarakat awal di kawasan tersebut.
Walaupun Lembah Bujang merangkumi kawasan yang agak luas, diperhatikan bahawa lokasi-lokasi penemuan kesemua artifak-artifak dan monumen-monumen tersebut tidak tertabur secara sekata. Tetapi, mereka wujud dalam bentuk kluster-kluster, atau poket-poket yang tertumpu di kawasan tertentu di Lembah Bujang. Kawasan-kawasan tersebut terdiri daripada lokasi lokasi strategik yang sesuai untuk perkembangan penempatan awal seperti pinggir sungai atau pesisiran pantai purba Kedah Tua (bentuk geomorfologi Kedah Tua kini dan dahulu jauh berbeza, akan dibincangkan dalam post yang akan datang).
Setiap satu kluster tersebut selalunya mengandungi lebih daripada 10-20 tapak, kluster tersebut dinamakan sebagai kompleks arkeologi. Jadi, contoh kluster-kluster tersebut termasuklah Kompleks arkeologi Kampung Pengkalan Bujang, Kampung Sungai Mas, Kampung Simpor Tambang, Kampung Sireh, dan Tapak Sungai Batu merupakan SALAH SATU daripada kluster-kluster tersebut.
Setiap satu kluster tersebut memiliki pentarikhannya yang tersendiri, dan mewakili satu penempatan purba berbeza yang dapat dikaitkan dengan pelabuhan Kedah Tua. Berdasarkan kajian terkini, didapati bahawa pada satu-satu masa di waktu lampau, wujud lebih dari satu penempatan yang berfungsi sebagai tempat berlakunya transaksi perdagangan.
Oleh yang demikian, Kompleks Arkeologi Sungai Batu merupakan salah satu daripada beberapa penempatan awal yang wujud secara serentak di Kedah Tua. Keistimewaan Sungai Batu adalah dari segi kewujudan tapak peleburan besi dan tarikhnya yang amat awal. Wujudnya mineral besi kemungkinan telah menjadi faktor pencetus kepada kedatangan para pedagang asing.
Jika pentarikhan yang dibuat adalah tepat, kemungkinan besar, tapak Sungai Batu merupakan penempatan pertama sebelum berkembangnya penempatan-penempatan lain di Kedah Tua. Walau bagaimanapun, masih banyak kajian yang perlu dilakukan berkenaan dinamika sosial Kedah Tua.
Tim penyelidikan kami kini sedang menulis sebuah buku mengenai evolusi sosial masyarakat Kedah Tua, tafsiran struktur politiknya, dan persoalan mengenai budaya lokal. Diharap akan terbit dalam tahun depan.
Diharap agar lebih banyak penemuan baru bakal dibuat di Lembah Bujang,, data-data baru mungkin dapat dijadikan asas kepada tafsiran baru kami mengenai masa lampau Kedah Tua.
(Perkara ini telah dibincangkan dengan lanjut dalam
Nasha Rodziadi Khaw
(2011), Pensejarahan Kedah Tua: Satu Analisis Sosioekonomi, Tesis Sarjana, Pulau Pinang:
Universiti Sains Malaysia
)

C&P: 10 MARCH 2021 @ 26 REJAB 1442H: 4.44 PM


No comments:

Post a Comment