ZULHEIMY MAAMOR

Wednesday, 10 March 2021

PERDAGANGAN DUNIA MELAYU-CHINA: KAJIAN KES UNTUK KERAJAAN AWAL DI KELANTAN

Nasha Rodziadi Khaw
Nazarudin Zainun
Tarmiji Masron
Zulkifli Jaafar
PENDAHULUAN
Hubungan dagang antara Dunia Melayu dan China yang telah berlangsung sekian lama telah menjadi asas kepada terjalinnya hubungan politik. Wujud banyak rekod mengenai hubungan antara kerajaan-kerajaan awal di Semenanjung Tanah Melayu dengan China. Salah satu kerajaan yang menjalinkan hubungan dengan China merupakan kerajaan Ch’ih-Tu, iaitu salah sebuah kerajaan terawal yang berkembang di Kelantan. Ia merupakan antara kerajaan terawal yang dikatakan wujud di negeri Kelantan. Walau bagaimanapun, wujud banyak pandangan mengenai lokasi sebenar di mana terletaknya kerajaan Ch’ih-Tu ini. Antara lokasi-lokasi yang dicadangkan oleh para Sarjana ialah di Muara Sungai Chao Phraya, utara Segenting Kra, Phattalung, Patani, Lembah Bujang, Sumatra, Singgora dan Sungai Johor. Kebanyakan pendapat tersebut didasarkan kepada laporan topografi China dan jarang berasaskan kepada data-data arkeologi. Lokasi yang diberi oleh sarjana-sarjana tersebut adalah sukar untuk dibuktikan dan tidak selari dengan gambaran yang diberi dalam penulisan China. Lokasi di kesemua tempat tersebut adalah bertentangan sama sekali dengan laporan pelayaran Duta Dinasti Sui ke Ch’ih-Tu yang meletakkan Kerajaan Ch’ih-Tu di pesisir Laut China Selatan.
Seorang sarjana yang banyak mengkaji tentang zaman ini ialah Paul Wheatley. Beliau mencadangkan kerajaan Ch’ih-Tu terletak di kawasan pedalaman Kelantan. Tesis beliau didasarkan kepada gambaran yang diberi di dalam penulisan Sui Shu dari segi cuaca, bentuk muka bumi, kedudukan relatifnya dari kerajaan lain yang telah ditentukan lokasinya, dan jaraknya dari laut. Kawasan yang memenuhi ciri-ciri yang digambarkan oleh sumber China tersebut dianggap sebagai lokasi kepada kerajaan Ch’ih-Tu. Dalam hal ini hampir kesemua ciri tersebut dapat dikaitkan dengan kawasan Hulu Kelantan. Kawasan tersebut dapat dihubungkan dengan Hulu Pahang yang kaya dengan emas. Atas faktor ini besar kemungkinan turut mempengaruhi perkembangan kerajaan tersebut. Ini disokong pula dengan kewujudan kawasan tanah landai yang terletak di antara Banjaran Pantai Timur dan Banjaran Titiwangsa yang membolehkan petempatan di kawasan tersebut berevolusi menjadi sebuah entiti politik. Kerajaan Ch’ih-T’u telah menjalinkan hubungan diplomatik dan perdagangan dengan Dinasti Sui. Hal ini menunjukkan bahawa kawasan pedalaman Kelatan turut memiliki kepentingan dalam jaringan perdagangan yang cuba dikuasai oleh Dinasti Sui pada ketika itu. Makalah ini cuba untuk membincangkan hubungan politik dan perdagangan yang wujud antara Dinasti Sui dan Dunia Melayu, dengan tumpuan diberikan kepada kerajaan Ch’ih-Tu.
LATAR BELAKANG KERAJAAN CHIH TU
Bukti-bukti yang memberi gambaran mengenai Kerajaan Ch’ih-Tu terdiri daripada bukti penulisan dan juga bukti arkeologi. Sumber penulisan yang wujud terdiri daripada sumber-sumber China dari zaman Dinasti Sui dan Dinasti Tang. Maklumat tentang kerajaan Ch’ih-Tu di dalam Kisah Dinasti Tang besar kemungkinan diambil dari penulisan Dinasti Sui. Hal ini kerana Kerajaan Ch’ih-Tu dipercayai lenyap sebelum kebangkitan Dinasti Tang. Gambaran yang paling lengkap tentang kerajaan Ch’ih-Tu wujud di dalam laporan Duta Maharaja Sui ke Ch’ih-Tu pada awal kurun ketujuh Masihi. Laporan tersebut muncul buat kali pertama di dalam penulisan Chih Tu Kuo Chi. Walau bagaimanapun, penulisan Chih Tu Kao Chi tidak lagi wujud di dalam keadaan yang asli. Maklumat-maklumat yang dicatat oleh duta tersebut terpelihara di dalam beberapa sumber penulisan yang lain. Sumber-sumber tersebut ialah Sui Shu, Pei Shih, Tai Ping Yu Lan, Wen Hsien Tung Kao, Tung Tien dan Tai Ping Huan Yu Chi.
Sumber-sumber tersebut memberi gambaran lengkap tentang keadaan adat istiadat masyarakat tempatan seperti adat kematian, perkahwinan dan protokol yang diamalkan di istana. Gambaran yang diberi adalah jelas didasarkan kepada pemerhatian mereka dan seringkali bersifat amat teliti. Di samping itu, komoditi tempatan yang wujud turut dicatat di dalam sumber-sumber tersebut. Hal ini kerana hubungan antara China dan negara-negara Lautan Selatan adalah berasaskan kepada perdagangan. Oleh yang demikian, barang-barang dagangan yang menjadi tujuan utama kedatangan orang-orang China sudah semestinya diberi perhatian. Bentuk-bentuk ufti yang dihantar oleh negara kota tersebut serta hadiah yang diterima oleh mereka dari Maharaja China turut direkodkan. Maklumat sedemikian adalah amat penting untuk mengesahkan wujudnya tributary relationship antara negara kota tersebut dengan China. Di dalam makalah ini, sumber utama yang juga merupakan sumber pertama yang digunakan adalah penulisan Sui Shu.
Penentuan lokasi sebenar kerajaan ini berdasarkan bukti penemuan arkeologi yang dapat dikaitkan dengan kewujudan kerajaan Ch’ih-Tu sehingga kini sebenarnya adalah sangat terhad. Antara tinggalan arkeologi yang dapat dikaitkan dengan kewujudan kerajaan Ch’ih-Tu melibatkan jumpaan di Hulu Sungai Kelantan dan jumpaan prasasti [batu bersurat] di Sungai Mas, Kedah. Antara barangan yang ditemui ialah Votive Tablets [Kepingan tanah liat yang dicapkan dengan imej dewa dewi]. Sehingga kini antara penemuan terpenting yang dapat dikaitkan dengan Kerajaan Ch’ih-Tu adalah Votive Tablets yang dijumpai di Hulu Sungai Kelantan. Di samping itu, prasasti di Sungai Mas yang menyebut tentang Raktamrttika [Bahasa Sanskrit], yang bermaksud Tanah Merah turut menyumbang dalam kajian sejarah lampau kerajaan Ch’ih-Tu. Sementara jumpaan arkeologi di Hulu Kelantan sehingga kini masih belum dapat diguna untuk mengesahkan gambaran seperti yang diberi oleh sumber China. Keadaan ini sedikit sebanyak menyukarkan ahli sejarah untuk merekonstruksi sejarah kerajaan tersebut. Walau bagaimanapun, penemuan-penemuan arkeologi tersebut sekurang-kurangnya dapat digunakan untuk mengukuhkan andaian tentang lokasi sebenar petempatan purba yang dapat dikaitkan dengan kerajaan Ch’ih-Tu.

HUBUNGAN CHIH TU DENGAN DINASTI SUI
Dinasti Sui diasaskan pada tahun 580 Masihi (M) oleh Maharaja Wen Ti. Dinasti tersebut yang cuma wujud dalam jangka masa yang agak singkat, iaitu lebih kurang 38 tahun mewakili suatu zaman transisi di dalam sejarah China. Walau bagaimanapun, dalam masa yang agak pendek bagi sebuah dinasti, berlaku perkembangan ekonomi dan politik yang agak pesat. Hal ini terutamanya semasa awal zaman pemerintahan Maharaja Yang Ti. Semasa pemerintahan baginda, terusan-terusan dibina untuk memperbaiki sistem perhubungan yang secara langsung membawa kepada kepesatan pembangunan ekonomi. Kerajaan Ch’ih-Tu telah mula menjalinkan hubungan diplomatik dengan Dinasti Sui sejak zaman pemerintahan Yang Ti lagi. Pembentukan hubungan diplomatik antara Ch’ih-Tu dan China berlaku serentak dengan kemerosotan kuasa Talasokrasi Funan pada kurun ke-6 Masihi. Pada masa yang sama, diperhatikan negara-negara kota yang pernah berada di bawah dominasi kerajaan Funan yang wujud sezaman dengan Ch’ih-Tu mula menghantar ufti ke China. Kerajaan Ch’ih-Tu telah menghantar ufti sebanyak tiga kali ke China, iaitu pada tahun 608, 609 dan 610 Masihi.
Bagi kerajaan Ch’ih-Tu pula, berdasarkan kepada penulisan Sui Shu, diperhatikan telah wujud suatu bentuk keutamaan yang diberikan kepada Ch’ih-Tu oleh pemerintah kerajaan China dalam menjalinkan perhubungan dengannya. Hal ini jelas tepancar daripada jumlah ufti yang dihantar sebanyak tiga kali berturut-turut serta gambaran yang diberi di dalam Sui Shu tentang rombongan kerajaan China yang pergi ke kerajaan ini. Kekerapan pemberian ufti dan kunjungan para pegawai kerajaan dari dinasti ini ke kerajaan Ch’ih-Tu jelas memperlihatkan wujudnya kepentingan kerajaan Sui terhadap kerajaan Ch’ih-Tu ketika itu. Keutamaan yang sama diberi di dalam catatan Sui Shu terhadap kerajaan Champa dan Pra Angkor. Melihat kepada perhatian sebegini maka bolehlah ditafsirkan kerajaan Ch’ih-Tu mempunyai nilai yang tersendiri kepada dinasti yang menguasai China ketika itu. Kerajaan Sui telah mewujudkan hubungan, kemungkinan besar dari segi perdagangan dengan negara-negara kota yang telah sedia wujud di Nusantara ketika itu. Antara negara-negara kota yang tercatat dan diketahui oleh Kerajaan Sui adalah Ch’ih-Tu, Po Lo La, Po Lo So, Ho Lo Tan, Chin Li Pi Shih, Tan Tan dan Pan Pan.
Kerajaan Sui telah menerima ufti dari Ch’ih-tu pada 608, 609, dan 610. Walau bagaimanapun, diperhatikan bahawa hubungan ufti antara kerajaan Sui dan Ch’ih-Tu sebenarnya dimulakan oleh kerajaan Sui itu sendiri. Hal ini bebeza jika dibandingkan dengan kerajaan-kerajaan lain yang menjalinkan hubungan ufti dengan China. Gambaran mengenai istimewanya perhubungan ini ialah selain kerajaan Ch’ih-Tu dan kerajaan Funan, masih belum ditemui rekod yang menunjukkan wujudnya utusan dari China ke negara Lautan Selatan pada masa itu. Dinasti yang menghantar utusan ke Funan adalah Dinasti Wu dan ke Ch’ih-Tu Dinasti Sui. Persamaan antara dinasti tersebut adalah kedua-duanya merupakan dinasti lemah dan memerlukan sumber ekonomi tambahan, iaitu melalui perdagangan, untuk memperkayakan perbendaharaan negara. Di dalam penulisan Sui Shu, dinyatakan bahawa Maharaja Yang Ti telah memerintahkan pegawai-pegawainya untuk menjalinkan hubungan diplomatik dengan negara-negara Lautan Selatan. Akhirnya, Pegawai Tadbir Tanah Tentera dan Pegawai Pentadbir Sumber Alam telah meminta Maharaja Yang Ti untuk menghantar duta ke Ch’ih-Tu. Maharaja telah memperkenankan permintaan tersebut dan menghantar pelbagai jenis hadiah kepada Raja Ch’ih-Tu. Utusan Maharaja Sui diketuai oleh Chang Chün dan bertolak ke sana pada sekitar tahun 607 M.
Utusan Sui tersebut telah disambut dengan amat meriah. Di dalam majlis sambutan utusan Sui, seorang golongan Brahman telah mengaku pertuanan kerajaan Sui terhadap Ch’ih-Tu. Kerajaan Ch’ih-Tu telah diberi perhatian yang lebih oleh Dinasti Sui berbanding dengan kerajaan Tan Tan dan Pan Pan yang turut menghantar ufti. Hal ini akan dibahas dengan lebih lanjut di dalam bahagian analisis di bawah. Di dalam perjalanan pulang ke negeri China, utusan tersebut telah membawa bersama-sama mereka Putera Raja Ch’ih-Tu untuk mempersembahkan ufti kepada Maharaja Sui. Kemudian, dua ufti telah dihantar oleh Ch’ih-Tu ke China selama dua tahun berturut-turut. Selepas tahun 610 M, tiada lagi ufti dihantar dari Ch’ih-Tu. Enam tahun selepas itu, iaitu pada 616 M, dua ufti pula dihantar dari Tan Tan dan Pan Pan. Bentuk ufti yang dihantar oleh kedua-dua negara kota tersebut terdiri daripada sumber bumi tempatan. Sumber bumi tersebut terdiri daripada emas. Kayu cendana, kayu sapan dan pinang.
Berdasarkan catatan China bukan semua nama kerajaan di atas menghantar ufti kepada Maharaja Sui. Hanya sebahagian sahaja yang berbuat demikian. Catatan nama-nama kerajaan ini oleh dinasti tersebut menunjukkan bahawa kerajaan Sui mula menaruh minat kepada perdagangan dengan kerajaan-kerajaan di sebelah Lautan Selatan. Lautan Selatan adalah istilah yang digunakan oleh kerajaan China yang merujuk kepada kawasan nusantara atau Asia Tenggara yang kita kenali sekarang. Perubahan pandangan dan sikap para pemerintah Dinasti Sui ini besar kemungkinan dipengaruhi oleh berlakunya perubahan pola kependudukan yang sekali gus telah membawa kepada perubahan keadaan sosioekonomi di China. Perubahan tersebut berlaku apabila kegiatan pertanian di sekitar Chang An misalnya terencat akibat kekurangan tenaga kerja di sekitar kawasan tersebut. Di samping itu, kewujudan minat Maharaja Yang Ti terhadap perhubungan dengan Lautan Selatan kemungkinan juga berkaitan dengan dasar Dinasti Sui sendiri yang cuba untuk memperluaskan hegemoni kerajaan Sui. Ini dapat dilihat dari cubaan Raja Wen Ti dan Yang Ti untuk melakukan pasifikasi ke atas Champa, Dai-Viet, Liu-Chiu, Jepun, T’u –Yü-hun, T’u-chüeh dan Koguryo.
Perkembangan ini sudah semestinya melibatkan perbelanjaan yang besar. Hal ini mungkin menyebabkan Maharaja Yang Ti, iaitu pengganti kepada Maharaja Wen Ti menggunakan perdagangan sebagai kegiatan alternatif untuk menambahkan perbendaharaan negara. Dalam usaha menguasai perdagangan di Lautan Selatan, hubungan ufti dengan negara-negara kota di sana dilihat sebagai sangat perlu. Ini kerana kerajaan-kerajaan tersebut berpotensi menjadi pembekal komoditi-komoditi perdagangan. Hal ini dibuktikan dengan kewujudan tiga negara kota yang menghantar ufti ke China dari tahun 608 hingga 616 iaitu Tan Tan, Pan Pan dan Ch’ih-Tu. Selain daripada negara-negara kota di Semenanjung Tanah Melayu, kerajaan Sui turut menerima ufti dari kerajaan Champa di bawah pemerintahan Raja Sambhuvarman dan kerajaan Pra Angkor di bawah pemerintahan Raja Isanavarman. Walau bagaimanapun, hubungan diplomatik dan ekonomi yang erat antara kerajaan Champa dan Pra Angkor dengan China bukanlah suatu perkara yang asing. Hal ini kerana kerajaan di Indochina, terutamanya di Champa dianggap sebagai El Dorado, atau bumi emas yang dapat menjana kekayaan kepada kerajaan China.
Keadaan dan sifat ini adalah berbeza jika dilihat dalam konteks hubungan antara China dengan kerajaan-kerajaan kecil di Semenanjung Tanah Melayu. Kerajaan-kerajaan pesisir pantai dan sungai yang wujud di Semenanjung Tanah adalah kecil, terpisah dan tidak berpusat. Ini menyebabkan mereka jarang dapat wujud sebagai sebuah kuasa ekonomi yang kuat melainkan salah satunya menjadi satu kuasa dominan yang dapat melakukan pasifikasi ke atas negara-negara kota yang lain. Kepentingan ekonomi yang kurang ketara kepada kerajaan China, atau kerajaan Sui secara khususnya, jelas dilambangkan daripada kurangnya perhatian diberikan di dalam catatan-catatan mereka. Walau bagaimanapun, jika dibandingkan dengan kerajaan-kerajaan yang lain keadaan kerajaan Ch’ih-Tu adalah berbeza. Dalam masa yang sama wujud dua negara kota lain di Semenanjung Tanah Melayu yang juga menghantar utusan ke China, iaitu Tan Tan dan Pan Pan pada tahun 616 M. Namun demikian sumbangan negara-negara kota tersebut kepada kegiatan ekonomi perdagangan kerajaan Sui sudah tidak bermakna lagi. Hal ini kerana pada tahun 615 M, kerajaan Sui telah berada di ambang kejatuhan akibat pencerobohan puak-puak Turki dan terus lenyap dengan pengasasan Dinasti Tang. Di samping itu, di dalam catatan Sui Shu, didapati tiada maklumat yang lengkap tentang kedua-dua kerajaan tersebut berbanding Ch’ih-Tu. Keadaan ini dapat ditafsirkan sebagai cerminan hubungan mereka dengan China yang kurang erat berbanding kerajaan Ch’ih-Tu.
ANALISIS
Rekod tertulis yang wujud tentang kerajaan Ch’ih-Tu cuma melibatkan zaman peralihan selepas kemerosotan Funan dan sebelum kebangkitan Srivijaya. Dapat diandaikan di sini bahawa kerajaan Ch’ih-Tu hanya wujud sebagai sebuah entiti politik yang bebas dalam jangka masa tersebut sahaja. Selepas kebangkitan Srivijaya, proses pasifikasi serta dasar perdagangan yang diamalkan oleh empayar maritim tersebut mungkin telah melenyapkan terus kepentingan ekonomi Ch’ih-Tu. Hal ini kerana lokasi Ch’ih-Tu yang terletak di pedalaman serta sukar dihubungkan dengan Selat Melaka menyebabkannya menjadi tidak sesuai untuk mengawal laluan perdagangan di Selat Melaka. Oleh yang demikian, kewujudan kerajaan Ch’ih-Tu dalam suatu jangka masa yang singkat [kurun ke-6 hingga awal kurun ke-7] mungkin dapat menerangkan punca ketiadaan sumber-sumber penulisan asing lain selain China yang mengupas tentang kerajaan tersebut. Hal ini menyebabkan timbulnya masalah untuk menentukan perkembangan seterusnya kerajaan ini, sama ada ia diserapkan ke dalam kerajaan yang lain atau petempatannya terus lenyap. Ketiadaan sumber catatan dari negara lain seperti catatan dari India dan Arab juga tidak memungkinkan sebarang perbandingan dibuat. Sehingga kini berdasarkan bukti-bukti baik arkeologi mahupun catatan China tidak dapat digunakan untuk menjelaskan hal tersebut. Penemuan-penemuan arkeologi melalui kegiatan carigali berikutnya diharapkan dapat digunakan untuk menerangkan sisi gelap kerajaan ini.
Di dalam sumber-sumber China tidak dinyatakan zaman pengasasan Kerajaan Ch’ih-Tu. Adalah dipercayai kemungkinan kerajaan Ch’ih-Tu wujud sezaman dengan perkembangan pelabuhan Oc-Eo di Indochina pada sekitar kurun ke-2 Masihi lagi. Ch’ih-Tu diketahui merupakan sebahagian daripada Empayar Funan yang berpusat di Vyadapura, Indochina. Hal ini sebenarnya tidaklah menghairankan kerana berdasarkan kepada lokasi kerajaan Ch’ih-Tu yang terletak di Pantai Timur. Bersama-sama dengan kerajaan-kerajaan yang berkembang sezaman dengannya seperti Langkasuka, Tan Tan, Pan Pan, Tun Sun dan Chiu Chih yang terletak di pesisir Laut China Selatan dan Teluk Siam, maka kerajaan Ch’ih-Tu juga berkemungkinan besar berfungsi sebagai feeder port kepada pelabuhan Oc-Eo. Dari segi ekonomi, berdasarkan kepada lokasinya yang terletak di pedalaman, dan di tengah-tengah rangkaian laluan Trans Semenanjung, Ch’ih-Tu kemungkinan berfungsi sebagai pusat pengumpulan komoditi pertanian untuk tujuan perdagangan yang terdiri daripada hasil-hasil hutan. Semasa di bawah hegemoni kerajaan Funan, Ch’ih-Tu mungkin berfungsi sebagai pembekal komoditi kepada kerajaan Funan. Antara komoditi pertanian yang diamalkan di dalam kerajaan Ch’ih-Tu termasuklah padi dan kekacang.
Walau bagaimanapun, jika dikaji bentuk muka bumi Hulu Kelantan yang bergunung-ganang dengan keluasan tanah lanar yang terhad, kemungkinan bentuk pertanian yang wujud hanya cukup untuk kegiatan sara diri sahaja. Sumber bumi kerajaan Ch’ih-Tu mungkin termasuk hasil hutan dan emas. Hal ini kerana dari segi lokasi kawasan Kelantan dapat dihubungkan dengan Hulu Pahang yang kaya dengan emas. Pendapat dan rumusan mengenai emas ini mungkin akan tinggal sebagai andaian semata-mata jika tiada bukti kukuh ditemui bagi menyokong pendapat ini. Andaian dari segi ekonomi ini didasarkan kepada kedekatan lokasi secara geografi semata-mata. Kerajaan Ch’ih-Tu dipercayai telah mempunyai sistem pentadbiran yang kompleks, dengan wujudnya jawatan-jawatan tertentu di dalam pentadbiran. Contohnya jawatan Sa-To-Chia-Lo [Sadhukara], To-Na-Ta-Cha [Dhanada], dan Chia-Li-Mi-Chia [Karmika] terlibat di dalam bahagian pentadbiran. Manakala jawatan Chü-Lo-Mu-Ti [Kulapati] pula terlibat dalam bahagian kehakiman. Di samping itu, dinyatakan juga bahawa setiap kota di dalam kerajaan Ch’ih-Tu mempunyai pentadbir-pentadbir yang memegang jawatan Na-Ya-Chia [Nayaka] dan Po-Ti [Pati]. Kewujudan pengkhususan jawatan di dalam pentadbiran kerajaan Ch’ih-Tu menunjukkan bahawa entiti politik tersebut didirikan di atas substruktur ekonomi yang kukuh.
Di samping itu, kewujudan pentadbir-pentadbir wilayah seperti Nayaka dan Pati menunjukkan bahawa kerajaan Ch’ih-Tu bukan hanya sebuah negara kota, tetapi merangkumi sebuah wilayah dengan beberapa buah petempatan yang berasingan. Ini dibuktikan di dalam catatan Sui Shu yang menyatakan bahawa ‘setiap kota’ ditadbir oleh seorang Nayaka dan beberapa Pa Ti. Frasa ini sudah tentu menjurus kepada hipotesis bahawa Ch’ih-Tu terdiri daripada beberapa petempatan yang berada di bawah satu pentadbiran.
Diperlihatkan juga wujudnya pengaruh Khmer di dalam nama-nama jawatan tersebut, seperti Dhanada dan Nayaka, yang masing-masing ditemui di dalam prasasti di Oc-Eo dan di Lopburi. Hal ini menunjukkan penguasaan Funan terhadap Ch’ih-Tu bukan sahaja wujud dari segi nominal, tetapi wujud penerapan sistem pentadbiran dan sosioekonomi Funan terhadap Ch’ih-Tu. Status Ch’ih-Tu sebagai sebahagian jajahan Funan kemungkinan bermula pada sekitar awal kurun ketiga masihi, pada zaman pemerintahan Fan Shih Man apabila empayar Funan dikatakan meliputi kawasan hingga ke lembah Menang Chao Phraya dan Semenanjung Tanah Melayu.
Hubungan antara Ch’ih-Tu dan Funan perlu difahami dari konteks pembentukan sebuah empayar maritim. Kerajaan Maritim Funan terdiri daripada beberapa pelabuhan pesisir pantai yang disatukan di bawah satu sistem pentadbiran. Walaupun pada masa itu, kemungkinan besar Ch’ih-Tu telahpun bebas dari penguasaan empayar maritim pada kurun ke-6 Masihi, tetapi kemungkinan besar dasar dan bentuk pentadbiran yang pernah diamalkan oleh Funan diteruskan oleh pemerintah tempatan.
Di samping itu, wujud pengaruh golongan Brahman yang amat kuat di dalam Kerajaan Ch’ih-Tu. Walaupun jelas agama rasmi Ch’ih-Tu adalah agama Buddha, namun dinyatakan juga golongan Brahman amat dihormati di sana. Disebut di dalam catatan tersebut bahawa telah wujud beberapa ratus orang Brahman di dalam istana raja Ch’ih-Tu ketika itu. Berkemungkinan besar juga jawatan-jawatan penting di dalam kerajaan dipegang oleh golongan ini. Amalan yang sama juga wujud di dalam kerajaan Funan-ChenLa-Angkor. Kewujudan golongan Brahman di dalam kerajaan Ch’ih-Tu menggambarkan wujudnya pengamalan konsep Devaraja di dalam kerajaan tersebut.
Pemilihan Ch’ih-Tu sebagai destinasi lawatan Utusan Sui memperlihatkan kepentingan kerajaan itu sebagai sebuah pelabuhan yang mampu berfungsi sebagai pelabuhan pembekal komoditi-komoditi perdagangan. Kemungkinan selepas kejatuhan Funan, pedagang-pedagang dari Kerajaan Sui memilih Ch’ih-Tu sebagai ganti kepada pelabuhan Oc-Eo. Perkara yang sama mungkin berlaku apabila Maharaja Dinasti Wu menghantar utusan ke Funan pada kurun ketiga masihi. Kekayaan Ch’ih-Tu seperti mana yang digambarkan di dalam penulisan Sui Shu kemungkinan menjadi faktor penarik kepada kerajaan Sui untuk menjalinkan hubungan ufti dengan Ch’ih-Tu.
Walau bagaimanapun, utusan dari Ch’ih-Tu terhenti pada tahun 610 M. Seperti yang telah dibincangkan, kewujudan hubungan ufti antara China dan Lautan Selatan dimangkin oleh faktor ekonomi. Kemungkinan besar Kerajaan Sui mempunyai niat untuk menjadikan Ch’ih-Tu sebagai sebuah pelabuhan entrepôt yang dapat memonopoli perdagangan di Nusantara bagi pihaknya. Walau bagaimanapun, perhubungan ufti yang membolehkan cita-cita kerajaan Sui tercapai terhenti pada tahun 610. Selepas itu, kerajaan Ch’ih-Tu terus lenyap dari sebarang rekod China, mahupun rekod tempatan.
Hal ini berkait rapat dengan perubahan keadaan politik dan ekonomi Kerajaan Sui pada masa tersebut. Pengamatan terhadap persekitaran politik dan sosioekonomi kerajaan Sui antara tahun 604 hingga 609 masihi menunjukkan wujudnya dasar-dasar baru yang lebih agresif diamalkan oleh Yang Ti. Maharaja Yang Ti cuba untuk mengukuhkan kedudukan empayar yang diwarisinya dengan menambah kekayaan perbendaharaan negara, dan memperluaskan kuasanya. Hal ini sudah semestinya memerlukan baginda untuk membentuk hubungan dengan negara-negara Lautan Selatan sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Dinasti Wu pada kurun ketiga masihi.
Walau bagaimanapun, keadaan berubah selepas tahun 610 masihi. Pada tahun 610, Maharaja Yang Ti telah memperkemaskan sistem cukai, mempergiatkan lagi pembinaan sistem perhubungan antara Sungai Yang Tze dan Teluk Hang Chou, dan mempergiatkan kempen ketenteraan terhadap Koguryo. Perubahan-perubahan tersebut kemungkinan telah mengalihkan perhatian Maharaja Sui daripada hal ehwal luar China kepada hal ehwal dalaman. Pengabaian Kerajaan Sui telah melenyapkan terus kepentingan ekonomi Ch’ih-Tu yang kemungkinan besar didokong oleh pemerintah kerajaan Sui.
Pada masa yang sama, diperhatikan berlakunya perkembangan pelabuhan-pelabuhan di pesisir Selat Melaka yang kemungkinan menjadi pesaing hebat kepada perdagangan Ch’ih-Tu yang terletak di luar laluan Selat Melaka. Selepas tahun 610 masihi, kemungkinan pedagang-pedagang dari Dinasti Sui terus berdagang dengan pelabuhan-pelabuhan di pesisir Selat Melaka dan mengabaikan pelabuhan Ch’ih Tu yang terletak di pedalaman.
Pada tahun 616 masihi pula, penghantaran ufti oleh Tan Tan dan Pan Pan kepada Kerajaan Sui mungkin merupakan suatu percubaan kerajaan-kerajaan tersebut untuk mendapat monopoli perdagangan dengan China. Walau bagaimanapun, cubaan tersebut tidak berhasil apabila Dinasti Sui runtuh pada tahun 618 masihi.
KESIMPULAN
Pada peringkat awal, di mana dinasti yang memerintah China ketika itu Ch’ih-Tu mempunyai nilai yang tersendiri terutamanya dari sudut sosioekonomi. Sebab itulah dari segi timbunan sumber dan catatan mengenainya lebih banyak berbanding dengan kerajaan-kerajaan lain yang sezaman dengannya di Semenanjung Tanah Melayu. Jumlah sumber yang terhad menyukarkan gambaran lengkap mengenai kerajaan ini dapat dibuat.
Dari segi lokasi didapati para pengkaji zaman ini masih belum mencapai titik temu, tetapi berdasarkan hujah-hujah dan bukti-bukti yang ada besar kemungkinan Kelantan atau lebih tepat lagi di kawasan Hulu Kelantan yakni Tanah Merah adalah lokasi sebenar kerajaan ini.
Dari segi hubungan didapati antara China dan Ch’ih-Tu ada hubungan istimewa yang didominasi oleh kepentingan ekonomi China. Keadaan ini sekali gus memberikan kelebihan kepada Ch’ih-Tu untuk berdiri sendiri selepas bebas daripada cengkaman kekuasaan Funan. Jadi perhubungan ini merupakan perhubungan timbal balas dua hala yang saling menguntungkan dari segi politik dan sosioekonomi.
Jangka masa perhubungan ini yang sangat singkat [tiga tahun] menguatkan lagi hujah bahawa hubungan ini adalah berteraskan kepada kepentingan ekonomi China semata-mata. Hal ini kerana pada tahun 610 masihi China kemungkinan telah mendapat satu sumber ekonomi yang lain dan Ch’ih-Tu mula ditinggalkan.

C&P: 10/3/2021 @ 26 REJAB 1442H: 4.49 PM

No comments:

Post a Comment