ZULHEIMY MAAMOR

Friday, 12 February 2021

Kisah Pilu Chen Gexin Dalam Lagu Gong Xi Gong Xi


SUMBER: FB SRIKANDI

Sejak kecil Srikandi sering terfikir, mengapa lagu Tahun Baru Cina yang selalu dimainkan itu (Gong Xi Gong Xi) memiliki melodi mendayu-dayu, kedengaran sedih dan menyayatkan hati?
Sehinggakan masa kecil dulu pernah menganggap lagu ini tentang anak-anak yang jauh di mata, tak dapat balik beraya di kampung; salah satu tema juga dalam lagu-lagu raya. Macam lagu Allahyarham Sudirman "Dari Jauh Ku Pohon Maaf", ia memang bawa mood sedih dengan melodi mendayu-dayu.
Lagu ini sebenarnya dicipta bersempena meraikan berakhirnya Perang China-Jepun Kedua (1937–1945) yang menandakan juga berakhirnya penjajahan Jepun ke atas China.
Ini ada digambarkan dalam rangkap pertama liriknya:
Di mana-mana saja di jalan-jalan
Di mulut setiap orang
Adalah ucapan tahniah
Tahniah, tahniah kepada kamu
Tahniah, tahniah kepada kamu
Penjajahan Jepun ke atas China menyaksikan pelbagai kekejaman dan kesengsaraan telah melanda penduduk China. Salah satu peristiwa yang terkenal adalah Pembunuhan Beramai-ramai Nanjing atau Nanjing Massacre (dikenali juga sebagai The Rape of Nanking) yang mana askar Jepun telah membunuh sehingga 300,000 orang dan memperkosa kira-kira 20,000 wanita tidak kira umur; dari kanak-kanak sehingga ke orang tua.
Ini digambarkan dalam lirik:
Melewati banyak kesulitan
Melewati banyak kekasaran
Berapa banyak hati anak yang berharap
Mengharap khabar musim bunga
Selamat tahun baharu
Pencipta lagu ini bernama Chen Gexin (1914-1961) turut menerima nasib malang ketika penjajahan Jepun - dipenjarakan selama 3 bulan kerana mencipta lagu-lagu berunsurkan patriotik. Salah satunya ialah karya tahun 1939, “Through This Cold Winter". Dikhabarkan, sebagaimana nasib tahanan-tahanan yang lain, Chen juga telah didera oleh pihak Jepun selama dipenjarakan.
Namun, sebenarnya lagu ini lebih menyayatkan hati jika kita melihat kehidupan Chen selepas itu.
Tidak lama selepas Jepun menyerah kalah pada tahun 1945, Chen dan isterinya, Jin Jiaoli telah berhijrah ke Hong Kong. Setelah beberapa lama menetap di sana, beliau kembali ke tanah besar China apabila dimaklumkan bahawa di tanah besar adalah 'China Baharu' dan Chen diyakinkan mampu membina kehidupan baharu di Shanghai dengan selamat.
Apabila Chen sekeluarga kembali ke Shanghai, nampaknya masalah baru tiba untuknya. Pihak Komunis China yang sedang memerintah nampaknya sedang mengawal segala aspek kehidupan rakyat China, termasuk alat muzik, lagu, persembahan dan kegiatan seni. Pihak Komunis menyedari kehadiran Chen, dan sentiasa mengawasinya. Sementara itu Chen sentiasa menunjukkan bahawa dirinya tetap setia kepada 'revolusi' (revolusi Komunis). Untuk itu, beliau selamat buat sementara waktu sehingga tiba tahun 1956.
Inilah sejarah yang jarang diceritakan dalam mana-mana kisah hidup Chen Gexin.
Pada tahun 1956, Pengerusi Mao Zedong telah melancarkan "Kempen Seratus Bunga" di mana orang ramai didorong untuk berbicara secara terbuka mengenai Parti Komunis. Ini adalah gerakan umpan-balik yang diikuti oleh "Kempen Anti-Fahaman Kanan" yang berusaha membersihkan masyarakat dari mana-mana latarbelakang, yang dilihat tidak menyokong parti Komunis. Chen akhirnya disyaki kerana lagu-lagunya dianggap memiliki ideologi tersembunyi (padahal lagu-lagunya tentang patriotik ditulis ketika melawan Jepun).
Chen dengan segera dilabel berfahaman "kanan". Pada bulan Ogos 1957, beliau ditangkap dan dikirim ke Ladang Baimaoling - sebuah kem konsentrasi yang berjarak lebih dari 100 batu dari Shanghai di wilayah Anhui. Beliau dipenjarakan di sana.
Melewati banyak kesulitan
Melewati banyak kekasaran
Berapa banyak hati anak yang berharap
Mengharap khabar musim bunga
Selamat tahun baharu
Selepas menjalani pelbagai penderaan dan tekanan, pada 25 Januari 1961 Chen Gexin - pencipta lagu Gong Xi Gong Xi ini akhirnya menghembuskan nafas yang terakhir akibat kebuluran dan penyakit yang dideritainya semasa ditahan ketika era Great Chinese Famine.
Bila mengingat-ngingatkan sejarah pencipta lagu Tahun Baru China ini, boleh membuatkan mata bergenang ditambah pula alunan melodi yang mendayu-dayu, seakan-akan menceritakan seluruh kehidupan Chen Gexin.
Salji yang menimbun telah mencair
Bunga pohon plum pun bermekaran
Malam-malam yang panjang telah berlalu
Kedengaran kokokan ayam
Tahniah, tahniah, tahniah kepada kamu
Tahniah, tahniah, tahniah kepada kamu
~Srikandi
happy CNY
Raja Burma Terakhir: https://bit.ly/3p4zWTR

Copy and paste: 12 February 2021 (Chinese New Year) @ 30 Jamadilakhir 1442H: 7.36 am

No comments:

Post a Comment