ZULHEIMY MAAMOR

Thursday, 10 December 2020

MELAYU DAHULU, KINI DAN AKHIRUL ZAMAN

Oleh: Tun Suzana Tun Hj Othman
Dari FB Neo-Melayu

Kemunculan zuriyyah atau ahlul-bait Rasulullah SAW di Alam Melayu merupakan suatu rahmat Allah SWT. Sejarah perkembangan Islam di rantau ini jelas menunjukkan ramai dari kalangan mereka telah diangkat menjadi sultan, para pembesar dan alim-ulama yang unggul dan tersohor seawal abad ke 9 Masihi lagi. Apa yang paling menakjubkan, sampai saat ini kebanyakan cucu-cicit mereka masih lagi berperanan penting dalam mewarnai lanskap sosio-politik-ekonomi rantau ini, menjadi ‘men of substance’, dan berdaya maju dalam apa jua bidang yang diceburi mereka. Ini jelas membuktikan kebenaran pepatah orang lama-lama kita; ‘kalau asal benih (baka) yang baik, jatuh ke laut menjadi pulau.”
Sesungguhnya bukanlah suatu kebetulan bahawa Allah SWT tetap memelihara sebahagian daripada monarki atau raja-raja Islam sejak zaman-berzaman walaupun pernah cuba dihapuskan dengan segenap kekuatan dan keupayaan musuh-musuh Islam. Dan bukanlah suatu kebetulan pula bahawa kebanyakan daripada monarki Islam ini, baik dari bumi maghrib (barat), mahupun di bumi masyriq (timur) masih bertitisan Sayyidina Hassan atau Sayyidina Hussein ibni Sayyidatina Fatimah binti Rasulullah SAW itu.
Adakah suatu kebetulan juga bahawa kebanyakan monarki dunia telah terhapus sama sekali, sedangkan monarki-monarki Melayu masih tetap hidup, walaupun dengan segala bekas parut dan calarnya, malahan sebagai negara yang kecil, nisbah raja/penduduk di negara bertuah ini adalah yang paling tinggi di dunia? Adakah suatu kebetulan bahawa saki-baki monarki dari golongan bukan Islam di dunia kebanyakannya adalah pancaran Nabi Daud AS (Raja-Raja Eropah-Bangsa Yahudi dari titisan Nabi Ishak) sedangkan saki baki monarki Islam yang masih wujud pada hari ini pula adalah dari pancaran Rasulullah SAW- titisan Nabi Ismail (di jazirah Arab dan Alam Nusantara)?
Adakah suatu kebetulan juga bahawa Alam Melayu masih pekat dengan warisan dinasti ahlul-bait Rasulullah SAW, baik yang masih memegang teraju kepimpinan bangsa mahupun yang telah bercampur-baur di kalangan rakyat jelata?
Seharusnya jangan kita perlekehkan peranan yang dibawa oleh kebanyakan khalifah dan raja-raja Islam di dunia ini dalam sejarah perkembangan, penegakan dan pembelaan daulah dan syiar Islam, yang bertitisan ahlul-bait mahupun dari raja-rajanya yang asal, termasuklah kesultanan-kesultanan Alam Melayu yang telah berdiri megah selama berkurun-kurun lamanya sebagai pemerintah-pemerintah umat Islam yang berdaulat !!
Hakikatnya sejarah Bangsa Melayu dengan akar umbinya yang panjang jelas merujuk kepada Institusi Beraja sebagai corak pemerintahan yang amat sebati, kental dan serasi kepada masyarakat tradisi Nusantara. Raja dan kerajaan dianggap suatu konsep yang sinonim, di mana ada raja, di situ letaknya negeri. Raja dan kerajaan adalah segala-galanya dalam kehidupan masyarakat Nusantara, lebar luasnya kerajaan Baginda tidak menjadi soal.
Ungkapan lama menyebut : ‘Rakyat adalah mengikuti agama rajanya’ , maka benarlah kenyataan ini, kerana kebanyakan raja-raja dahulu kala samada merupakan mubaligh-mubaligh sufi, sebahagiannya bertitisan ahlul-bait Rasulullah SAW belaka, yang tersohor dan teraula, dan ada pula raja-raja yang dibawa kepada Islam lalu menjadi da’iee nombor satu kerana dengan anutan Islamnya, maka berbondong-bondong rakyat jelata menganut Islam sama sebagai mentaati titah raja. Itulah hakikat sejarah perkembangan dan penyebaran Islam di rantau ini sehingga menerbitkan daulah-daulah Islamiyyah, iaitu kesultanan-kesultanan seNusantara yang beridentiti unik mengikut ukuran fitrah dan kejiwaan bangsa Melayu.
Sejarah bangsa kita yang berumur lebih 600 tahun telah menuding kepada Institusi Raja-raja Melayu sebagai wadah yang bertanggungjawab melahirkan identiti, jatidiri dan tamadun Melayu-Islam yang murni. Institusi Raja-raja Melayu telah menabur jasa sebagai punca pengislaman Bangsa Melayu secara besar-besaran, menjadi punca terdidiknya Bangsa Melayu kepada ilmu-ilmu agama yang luhur, adat dan budaya yang halus dan tinggi, serta meletakkan hukum ADAT (Adat yang bersendikan syarak) dan SYARIAT sebagai dasar pemerintahan negeri.
Bagi menghayati dan menghargai ketokohan sebagai pemimpin-pemimpin ummah yang dibawa dengan cemerlangnya oleh kebanyakan kesultanan-kesultanan Alam Nusantara lama yang masih terpahat dalam sejarah keagungan Islam di rantau ini, moleklah jika kita dapat menukilkan beberapa sejarah mereka yang dapat diambil serba sedikit dari sebuah buku yang teramat bernilai karangan Auni Abdullah, iaitu ‘Islam dalam sejarah politik dan pemerintahan Alam Melayu’.
Kesultanan Melaka telah melahirkan beberapa tokoh terunggul yang berjasa dalam mengembang, menegak, memperkukuh dan mempertahankan syiar Islam selain meluaskan daulah Islam di zaman keagungannya. Antaranya, Sultan Muzaffar Shah (1446-1456M) bertanggungjawab meletakkan asas ke arah pengluasan jajahan takluk Melaka dan seterusnya mempengaruhi raja-raja Pahang, Kampar dan Inderagiri untuk memeluk Islam. Sultan Mansur Syah (1456-1477M) giat mengirimkan pendakwah di kawasan yang belum lagi menerima Islam di alam Melayu. Sultan Alauddin Riayat Shah (1477-1488M) berinisiatif menegakkan hukum Islam, atau had dalam pemerintahannya untuk menyekat kegiatan jenayah. Baginda sanggup keluar di malam hari untuk menghapuskan kegiatan mencuri yang berleluasa pada masa itu dan mengenakan hukuman potong tangan bagi pencuri yang sabit kesalahannya. Sultan Ahmad, putera Sultan Mahmud Shah (1488-1511M) pula gigih berjuang dengan hulubalangnya melawan Portugis sehingga mengalami kecederaan.
Kesultanan Brunei telah melahirkan beberapa sultan yang mempunyai ketokohan cemerlang. Antaranya, Syarif Ali (1425-1433M), Sultan Brunei yang ketiga merupakan seorang ahlul-bait yang pernah menjadi raja Mekah. Beberapa ahli sejarah Brunei telah merakamkan, “Maka Syarif Ali inilah mendirikan agama Islam dan mengeraskan syariat Nabi kita Muhammad SAW di dalam Brunei, dan membina masjid-masjid.”. Selain memerintah, Syarif Ali sendiri mengimami sembahyang fardhu, sembahyang Jumaat dan menjadi khatib membaca khutbah pada hari Jumaat, ‘Aidul Fitri dan ‘Aidul Adha. Ketokohan Baginda telah menyebabkannya menjadi kesayangan rakyat jelata dan mendapat gelaran ‘Sultan Barakat’.
Usaha perkembangan Islam diteruskan oleh cucunya Sultan Bolkiah (1485-1524M) yang mana dengan kegigihan Baginda, daulahnya terus meluas ke seluruh Pulau Borneo, kepulauan Sulu di Selatan Filipina hingga ke Manila di utara Filipina. Pada zamannya Brunei dikatakan dapat mengisi kekosongan selepas Melaka jatuh ke tangan Portugis. Sultan Brunei yang ketujuh, iaitu Saiful Rijal (1575-1600M) termasyur kerana semangat jihad Islaminya menentang ancaman dari penjajah Kristian Sepanyol. Walaupun mendapat tentangan yang sengit dari Sepanyol selama bertahun-tahun lamanya, namun kecekalan Baginda telah menyumbang jasa dalam menyelamatkan Brunei dan Selatan Filipina dari menjadi kawasan Kristian sebagaimana yang berlaku di Filipina Utara sehinggalah ke hari ini.
Dari kesultanan Acheh pula, Sultan Ali Mughayat Shah (1507-1530M) berjaya menyatukan negara-negara kecil di sekitarannya sehingga menjadi sebuah daulah Islamiyyah yang besar dan kukuh. Baginda juga menerajui jihad mempertahankan Acheh dari serangan Portugis dalam tahun 1519 dan 1521M selain memberi perlindungan kepada para pedagang Islam dari Melaka yang lari dari serangan Portugis. Sultan Alauddin Riayat Shah (1537-1568M) berminat mempereratkan hubungan dengan kerajaan Othmaniyyah . Baginda menggalakkan kegiatan penyuburan kesusasteraan dan peradaban Islam dan berusaha menterjemah kitab-kitab Arab ke bahasa Jawi.
Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam (1606-1636M) diakui sebagai pemerintah Islam yang terunggul dalam sejarah kesultanan Acheh sehingga Acheh mencapai puncak kegemilangan sebagai empayar Islam yang digeruni oleh penjajah Belanda. Baginda juga menggalakkan penyuburan intelek dan kesusasteraan Islam sehingga lahir ramai tokoh-tokoh agama di zamannya.
Di Tanah Jawa pula, Syarif Hidayatullah atau lebih dikenali sebagai Sunan Gunung Jati dari kalangan ahlul-bait Wali Songo yang terkenal, bertanggungjawab mengasas kesultanan Banten dan Cirebon. Baginda telah dapat menumpaskan kerajaan Hindu di Banten dan Sunda Kelapa. Kemudiannya, Baginda membuka pusat pengajian agama di Cirebon dan aktif mengabdikan diri di pusat ini sehingga wafatnya dalam tahun 1570M. Sultan Agung (1613-1646M) masyur atas keunggulannya sebagai penakluk terunggul semenjak zaman Majapahit. Baginda menjadi penguasa di Jawa Tengah dan Jawa Timur.
Sultan Mahmud Badruddin (1803-1821M) pula mahir dalam strategi peperangan sehingga membuntukan penjajah Belanda dan kemudiannya Britain. Baginda juga kuat beribadat dan gemar berbincang dengan para alim ulama tentang persoalan-persoalan agama selain berbakat dalam mengarang kitab. Raja Haji dari kesultanan Riau (1778-1784M) gigih berjuang dalam melumpuhkan dominasi Belanda yang telah bermaharajalela di alam Melayu sehingga akhirnya terkorban dalam tahun 1784M dan menerima gelaran ‘Marhum syahid fi sabilillah’.
Apa yang dicoretkan di atas hanyalah sekelumit dari sejarah sebenar peranan yang dimainkan dengan penuh tanggungjawab dan cemerlang oleh kebanyakan raja-raja tradisional di Alam Nusantara ini, yang begitu menjiwai amanah yang dipertanggungjawabkan atas pundak mereka sebagai wakil Allah, zilullah fil ardh, atas umat Islam yang berdaulat. Sesungguhnya, kecemerlangan pemerintahan kebanyakan raja-raja di Alam Nusantara tetap telah dapat dinikmati oleh umat Islam secara bersambung-sambung sehinggalah dengan taqdir Allah SWT, mereka rebah satu demi satu di tangan kuasa-kuasa barat, sebagaimana yang berlaku pada banyak dinasti-dinasti Islam lainnya semenjak lebih satu abad yang lalu.
Namun begitu, saki baki kesultanan raja-raja di rantau ini, khususnya di Semenanjung Tanah Melayu, di bumi ‘masyriq’ ini, yang telah dipilih oleh Allah SWT menerajui pemerintahan umat Islam sejak beratus-ratus tahun sehinggalah kehari ini, walaupun sedikit sebanyak berparut dan bercalar kesan daripada berbagai peristiwa suka-duka pemerintahan nenek-moyang baginda sekelian di zaman-zaman silam, namun masih tetap ditakdirkan untuk terus kekal pada takhta dan kedudukan mereka.
Buat masa ini Raja-raja Melayu masih tetap berdiri megah, belum tersungkur sebagai tonggak kekuatan, serta pelindung identiti bangsa dan agama umat Melayu, walaupun kejatuhan mereka sentiasa diimpi, dicita-cita, dan diikhtiarkan sedaya upayanya oleh musuh-musuh bangsa dan agama.
Meninjau kepada asakan-asakan daripada segelintir orang-orang yang buta sejarah, yang sudah tidak nampak akan kepentingan Institusi Raja-raja Melayu dalam politi dunia moden masa kini, apakah institusi yang pernah sakaral ini mampu bertahan, masih boleh dibawa ke masa hadapan, atau bakal menjadi ‘lapuk dek zaman, lekang dek hujan’??
INSYAALLAH TIDAK, INSTITUSI RAJA-RAJA MELAYU AKAN TETAP RELEVAN DAN BERTAHAN ATAS SATU SEBAB YANG MUDAH, KERANA IA BAKAL MENUNGGANG TAKDIR ALLAH YANG BAIK !! AMEEN…
Di sebalik tanda-tanda kegawatan bangsa ini, aku tetap yakin dan menaruh harapan pada masa hadapan orang-orang Melayu. Aku benar-benar mengharapkan kemunculan takdir yang baik bukan sahaja bagi bangsaku, tetapi bagi umat Islam sejagat. Kerana makar dan kezaliman Yahudi wa Nasara telah tersebar luas di muka bumi Allah ini dengan membawa bersamanya berbagai bentuk kezaliman, penindasan dan bala bencana yang cukup memudaratkan makhluk bumi dan alam, dan hanya menunggu masa sahaja untuk pintasan takdir Allah bagi menghentikan semua kejahatan dan kebatilan ini.
Dan setelah itu Allah SWT berjanji untuk merata-luaskan elemen-elemen kebaikan dan kesejahteraan di seluruh bumi ini dengan melantik tokoh-tokoh umara dan ulama yang bercirikan taqwa dan bercita sempurna pada jalan Islam sebagai pentadbir, penjaga, pelindung serta pentarbiyah bagi semua. Itu janji Allah, dan sebagaimana harapan ramai umat Islam yang lain, aku yakin pada janjiNya, walaupun aku tidak pasti bilakah takdir yang baik itu akan menjelmakan bentuknya.
Namun sudah tentu tidak selama mana lagi, kerana jikalau ditunggu lama-lama, nescaya keseimbangan dunia dan alam menjadi bercelaru, bukan sahaja umat Islam merasa bahang kemudaratannya, malahan orang-orang kafir juga tidak lagi dapat menumpang percikan rahmat dan barakah yang diperolehi olah golongan mukmin pada tempat-tempat yang dikongsi hidup. Hidup-hidupan di darat dan lautan, tumbuh-tumbuhan dan alam juga boleh ‘merajuk’ dan menjadi tidak keruan, kerana haiwan, tumbuh-tumbuhan dan alam juga berzikir, memuji dan mengagungkan kebesaran Illahi.
Dunia yang penuh dengan manusia-manusia yang bersifat cita bencana terutama dari kalangan pemimpin-pemimpinnya, serta ketandusan manusia-manusia beriman dan beramal soleh adalah dunia yang amat merbahaya untuk menjadi tempat tinggal, kerana pada tempat-tempat seperti inilah bala Allah menanti-nanti dan bersiap sedia untuk melepaskan bahananya. Dan dunia yang tiada seorang pun golongan beriman padanya untuk mengagungkan, berzikir dan menyembah Allah Ta’ala adalah dunia yang celaka, hanya menunggu saat-saat untuk dihancurkan, yakni dengan kedatangan Hari Kiamat.
Oleh itu tidak selama-lamanya yang zalim akan bermaharajalela. Tidak selamanya politik sekular yang membuang unsur-unsur ketuhanan dan kerohaniyyan dalam kehidupan manusia, serta ekonomi kapitalis bercirikan ribawi dokongan murabin-murabin Yahudi dapat bertahan. Sistem-sistem yang terang-terang batil lagikan terbukti memudaratkan manusia sejagat ini akan luput ditelan zaman, kerana Allah telah janjikan zaman kebaikan dan sistem-sistem ini langsung tidak ada bahagiannya pada zaman itu.
Maka takdir yang baik perlu memperlihatkan keindahan dan keredupan bentuk wajahnya secepat mungkin, yang bakal ditunggangi elemen-elemen kepimpinan yang spiritual. Kemuncaknya sudah tentu pada zaman Imam Mahdi al-Muntazar serta Nabi Isa AS yang bertindan-tindih itu. Itu iktiqad Ahlus Sunnah Wal Jamaah, dan sebagai pengikut Ahlus-Sunnah, sekali-kali aku tidak meragui kebenaran janji tersebut. Namun masa itu bersifat relatif, bukan? Sepuluh, dua puluh, tiga puluh tahun lagi? Wallahu’alam.
Apa yang pasti, kemunculan takdir yang baik itu akan ditunggangi juga oleh elemen-elemen berikut:
Umara hakikat
Ulama hakikat
Ahlul-Bait Rasulullah SAW
Tasawuf dan Sufiisme (rohaniyyat)
Kewalian dan Kekeramatan
Aku cukup teruja dengan elemen-elemen di atas kerana ianya mencetuskan keyakinanku yang tidak berbelah bahagi bukan sahaja tentang survivalisme umat Melayu, tetapi juga potensi bangsa ini untuk berperanan dalam pentas politik dunia di masa-masa akan datang, walaupun mungkin akan terpaksa melalui proses ‘pentarbiyahan dan penyucian’ terlebih dahulu. Kerana umat Melayu ditegakkan atas teras spiritualisme keturunan Rasulullah SAW sejak beratus-ratus tahun dahulu, terutamanya spiritualisme umara/raja-raja (kesultanan ahlul-bait seNusantara) dan alim-ulama sufi ahlul-bait yang mengalir lalu membentuk salah satu ‘kod baka’ bagi bangsa ini, menjadi teras induk dan jatidirinya, menaikkan ‘saham’ atau martabatnya.
Teras-teras spiritualisme Melayu terutamanya pada golongan yang berbaka umara dan ulama ahlul-bait Baginda ini tetap bertahan selama berkurun lamanya dalam penaungan Institusi Raja-raja Melayu tradisional, terserlah wujud memperlihatkan tiang seri kekuatannya di zaman-zaman awal tertegaknya gagasan MELAYU ISLAM BERAJA, tidak pudar dengan berlalunya masa, namun kemudiannya tersembunyi di celah-celah kod genetik bangsa ini semenjak ditekan-tekan dan dikawal dengan elemen-elemen sekular dan pembaratan bawaan penjajah British dahulu.
Dan kepimpinan ahlul-bait Rasulullah SAW atas umat Akhir Zaman di masa-masa yang akan datang telahpun difirasatkan melalui sumber-sumber naqal. Bermakna takdir yang baik akan ditunggangi oleh kepimpinan ahlul-bait dari kalangan umara dan ulama, dan golongan ini pula pernah bercampur baur, melahirkan, memegang serta menyumbang kepada aspek-aspek bangsa Melayu semenjak awal perkembangan Islam di Nusantara dan masih kekal dengan berbagai potensi yang belum diupayakan lagi sehingga hari ini. Dan demi masa, umat Melayu akan mendapatkan kembali percikan potensi golongan ini. Ameen, insyaAllah.
Walaupun buat masa ini persaudaraan bangsa ini nampak berpecah-belah dan berpuak-puak dengan pertarungan-pertarungan sengit di antara satu kelompok dengan kelompok yang lain di atas perbezaan ideologi-ideologi politik dan sosio-budaya (yang malangnya diambil kesempatan oleh musuh-musuh dalam selimut terutamanya dari golongan bukan Islam), namun jikalau takdir yang baik melahirkan golongan tokoh-tokoh kepimpinan cita sempurna yang hakikat, terutamanya dari baka dan persekitaran (nature and nurture) yang baik, dan bukannya dari kepimpinan batil ahli-ahli maksiat, fasiq, populis dan pengamal cita bencana, nescaya kepimpinan cita sempurna ini akan menarik lebih ramai lagi ahli-ahli masyarakat yang berciri sepertinya juga untuk tampil ke saf hadapan memimpin, mentadir dan mengurus bangsa.
Kepimpinan cita sempurna ini akan merangka semula aspak-aspek dan struktur-struktur pentadbiran masyarakat dan negara (social and political reengineering) berdasarkan falsafah holistik dan kerohaniyyan, pertanggungjawapan, kemurnian, keharmonian, kesejahteraan, kesatuan serta nilai-nilai peradaban tinggi dan kental. Sehingga dalam pengembalaan tokoh-tokoh kepimpinan cita sempurna ini terjanalah semula generasi demi generasi bangsa yang bertamadun madani dengan ahli-ahli masyarakat dari berbagai lapisan yang berkualiti tinggi zahir dan batin.
Mengingatkanku pada sejarah Rasulullah SAW, yang mana Baginda dan para sahabatnya telah melaksanakan agenda penstrukturan semula masyarakat jahiliyyah (social and political reengineering) berteraskan falsafah TAUHID, bersifat holistik dan kerohaniyyan, sehingga dalam masa yang singkat terjanalah generasi-generasi umat Islam yang madani, iaitu yang BERIMAN, BERILMU, BERAMAL dan BERTAQWA pada zahir dan batinnya.
Kerana waktu itu Allah SWT telah menakdirkan zaman yang baik lagikan barakah dengan kelahiran dan kepimpinan tokoh-tokoh cita paling sempurna di bawah pengembalaan kekasihNya Rasulullah SAW dan para ahlul-bait serta sahabat Baginda yang mulia lagi diredhai sekelian, sebagai menggantikan kehidupan masyarakat jahiliyyah yang bercita bencana pada zaman-zaman sebelumnya.
Mengapa tidak kita jadikan sejarah Rasulullah SAW dalam tanggungjawab melaksanakan agenda penstrukturan semula masyarakat jahiliyyah sebagai teladan? Apatah lagi sudah banyak kali kita dengar desas- desus daripada golongan ulama, ahli-ahli fikir dan ahli-ahli akademik yang mengumpamakan masyarakat kita hari ini sebagaimana masyarakat jahiliyyah? Mungkin andaian yang agak simplistik, namun tidak pula lari jauh dari kenyataan….
Terbayang-bayang di benakku tentang elemen-elemen berikut yang merupakan tiang seri-tiang seri kepada bangsa Melayu untuk berkurun lamanya;
Umara hakikat/Institusi Raja-raja Melayu
Ulama hakikat
Ahlul-Bait Rasulullah SAW
Tasawuf dan Sufiisme (rohaniyyat)
Kewalian dan Kekeramatan
Kini aku tahu bahawa misiku sekarang adalah untuk menjejak dan belajar sesuatu tentang dinamisme TIANG SERI-TIANG SERI BANGSAKU ….. untuk itu aku harus turun padang…..kerana aku perlu kembalikan MELAYU PADA KEMELAYUANNYA..aamiin

Copy and paste: 10/12/2020 : 25 Rabiulakhir 1442H: 8.59 pm

No comments:

Post a Comment