ZULHEIMY MAAMOR

Thursday, 10 December 2020

ISLAM, PERADABAN & KETAMADUNAN MELAYU TRADISIONAL

Oleh Tun Suzana Tun HJ Othman
Dari FB Neo-Melayu

Perkara ini dapat dilihat daripada pemerhatian terhadap perubahan-perubahan struktur-struktur kehidupan mereka dari aspek-aspek berikut;
Sistem Pemerintahan dan Pentadbiran:

Kemunculan Islam telah berjaya mengubah sistem politik Hindu-Buddha yang berpusat, berpaksi dan berorientasikan raja-raja Brahmani kepada pusat dan paksi syariat, yang mana raja dilihat sebagai pengganti Rasulullah SAW dalam menjalankan urusan pemerintahan umat Islam. Ianya merujuk kepada prinsip bahawa punca kepada segala-galanya adalah daripada Allah semata-mata, dan akhir kepada segala-galanya adalah berpulang kepada Allah jua. Dan raja-raja sebagai ulil amri atau pemerintah umat Islam dilihat sebagai wakil yang menerima mandat Allah untuk melaksanakan amanah menjaga hal-ehwal umat Islam sebagai khalifah bumi.
Kepercayaan Hindu-Buddha yang meletakkan rakyat kepada taraf hamba yang perlu taat dan berkhidmat kepada raja-raja secara membuta tuli tanpa ada timbal balas telah digantikan dengan konsep Islam iaitu ‘Adalah wajib hukumnya taat setia kepada ulil amri selagi mereka tidak menyuruh berbuat maksiat” (tanggungjawab rakyat) dan ditimbal balas dengan ‘ setiap ‘kamu adalah pemerintah, setiap pemerintah bertanggungjawab terhadap orang bawahannya’ (tanggungjawab raja).
Dalam lain perkataan, berbeza dengan sistem feudal dan corak pemerintahan monarki-monarki bukan Islam seperti monarki Kristian, Hindu, China dan sebagainya, konsep pemerintahan ulil amri menekankan perihal tanggungjawab dua hala, dimana raja dan rakyat ada hak dan tanggungjawab masing-masing yang wajib ditunaikan. Raja berkhidmat sebagai tonggak bangsa dan agama yang bakal dipersoalkan amanah tersebut di hadapan mahkamah Allah SWT pada Hari Pengadilan kelak, sedangkan rakyat diwajibkan taat kepada raja selagi tidak dipaksa mengerjakan maksiat. Oleh itu sistem pemerintahan raja-raja Islam sebenarnya mendaulatkan rakyat sebagaimana ia mendaulatkan raja-raja sebagai ketua umat Islam.
Dari aspek pentadbiran negeri dalam kesultanan-kesultanan Melayu yang muncul melata bak cendawan lepas hari hujan, iaitu selepas penganutan agama Islam secara besar-besaran, Raja dibantu oleh Dato’ Bendahara yang tanggungjawabnya adalah sebagai Menteri Tafwidz dalam sistem Islam, iaitu sebagai ‘sekutu raja’ dalam urusan pemerintahan. Penelitian kepada tanggungjawab Menteri Tafwidz dapat menyimpulkan bahawa tugas Bendahara memenuhi semua ciri untuk melayakkannya mendapat status sebagai seorang Menteri Tafwidz mengikut ajaran Islam (lihat mukasurat sebelah). Cuma diperkembangkan peranan Bendahara sebagai penjaga Adat Raja-raja Melayu yang memagar salah satu dari dua sendi kekuatan Bangsa Melayu iaitu ADAT dan SYARIAT.
Sebagai Menteri Tunggal Penuh yang merupakan suatu konsep Islam, dalam tanggungjawabnya mengatur urusan pentadbiran negeri, Bendahara diperbantu oleh empat menteri kanan iaitu Penghulu Bendahari, Temenggong, Laksamana dan Syahbandar. Keempat-empat menteri kanan ini mempunyai kelayakan dan ciri-ciri sebagai Menteri-menteri Tanfiz dalam Islam.
Mufti negeri pula diberi tanggungjawab dalam urusan pelaksanaan usaha dakwah dan tabligh dengan memperbanyakkan sekolah-sekolah agama (sistem pondok), memastikan pengagihan zakat yang sempurna, menjaga wakaf-wakaf dan rumah-rumah anak yatim, memastikan kebajikan tok-tok imam, tok-tok bilal, tok-tok siak serta memberi tauliah kepada mereka atas nama Sultan sebagai ketua agama atau ulil amri. Dato’ Syeikh Mufti juga memastikan nama Sultan didoakan dalam khutbah-khutbah Jumaat, mengumumkan ketibaan bulan Ramadhan dan Syawal, memastikan batasan-batasan syariat dijaga dengan melaksanakan hukum syariat.
Dato’ Syeikh Mufti juga melantik kadi-kadi daerah bagi menjaga hal-ehwal agama di daerah masing-masing. Kadi daerah bertindak sebagai wali Hakim di bawah amanah Sultan dimana seperti ditetapkan oleh syarak bahawa Sultan itu menjadi wali nikah jika tiada walinya. Dato Mufti juga bertanggungjawab menyemarakkan dakwah Islam dengan menghantar tok-tok guru ke tempat-tempat yang memerlukan usaha dakwah dan tabligh, disamping memperbanyakkan majlis-majlis ilmu dengan mengambil alim-ulamak dari dalam dan luar negeri mengikut keperluan.
Dato’ Syeikh Mufti juga perlu memastikan rakyat jelata fasih dalam Bahasa Jawi, ilmu Fardhu ‘Ain serta khatam Quran. Beliau juga bertanggungjawab memberitahu Sultan samada suatu peperangan itu berstatus jihad ataupun tidak dan Sultan akan mengishtiharkannya jika sabit. Orang-orang Kaya (atau pembesar negeri) memegang jajahan masing-masing dengan menganggap diri mereka serta jajahan mereka di bawah takluk dan payung Sultan. Atas amanah Sultan inilah mereka dapat kuasa penuh dengan dibantu oleh kadi-kadi dalam jajahan mereka. Tugas-tugas kadi di sini adalah seperti Dato’ Syeikh Mufti dan tauliah mereka dari Sultan bukan dari Orang Kaya. Orang-orang Kaya ini dibantu oleh tok-tok penghulu dalam kawasan-kawasan kampung bagi melicinkan lagi tugas pentadbiran hal ehwal umat Islam. Susunan pemerintahan ini amat mudah kerana orang-orang kampung hanya perlu mengadu kepada tok penghulu, yang mana jikalau tok penghulu tidak dapat menyelesaikannya barulah dibawa masalah tersebut kepada Orang Kaya, begitulah seterusnya.
Sistem Perundangan:
Semenjak zaman jahiliyyah primitif manusia telah melalui proses evolusi yang panjang dalam perkembangan hidup dan sosio-kebudayaan mereka. Perkara ini merangkumi persoalan adat yang mengatur kehidupan masyarakat serta menjadi panduan hidup kerana belum ada struktur dan organisasi masyarakat yang tersusun, apatah lagi pada zaman itu sosio-politik masyarakat belum bersifat kompleks.
Kedatangan Islam di Alam Nusantara telah memperkenalkan sistem kehidupan yang lengkap, kemas, tersusun, bersifat syumul, iaitu menyeluruh termasuk hal-hal zahir dan batin.
Kesultanan Melayu Melaka sebagai antara empayar kerajaan Islam yang awal di rantau ini telah menjadikan Islam sebagai dasar pemerintahan negeri, menggubal RISALAT HUKUM KANUN MELAKA, ditulis atas titah Sultan Muzaffar Shah (1446-1456), membuat beberapa penyesuaian darihal amalan-amalan adat dan undang-undang warisan leluhur penduduk Melaka dengan undang-undang Islam supaya kedua-duanya tidak bertembung dan bercanggah.Fasal 41 dalam Risalat Hukum Kanun Melaka ada menyebut bahawa selagi ada kemungkinan undang-undang syariat diamalkan, maka undang-undang lain hendaklah dikemudiankan.
Fasal 33 dalam UNDANG-UNDANG MINANGKABAU pula menegaskan bahawa antara undang-undang yang diiktiraf ialah undang-undang Allah di dalam Al-Quran dan Al-Hadith, Adat Raja, Hukum Akal dan Hukum Pemerintah. Hukum Akal pula perlu dibataskan pada tafsiran Islam, iaitu perkara yang wajib, mustahil dan jaiz (harus).
Fasal 8 dalam UNDANG-UNDANG ADAT SUNGAI UJONG, disebut bahawa ‘adat boleh bersetuju dengan hukum syariat’, sementara dalam Fasal 66 pula diperuntukan bahawa undang-undang Islam tetap dikuatkuasakan sedangkan adat boleh diamalkan selama mana ia tidak bertentangan dengan perundangan Islam. Dalam fasal yang sama juga diterangkan bahawa ‘ adat hendaklah berasaskan kepada undang-undang tempatan yang pula berasaskan kepada Al-Quran’.
Hukum Kanun Pahang, Undang-undang Sembilan Puluh Sembilan (Perak), Kanun Kelantan dan Kanun Brunei adalah antara undang-undang Melayu yang dikodifikasikan, meletakkan undang-undang syariat sebagai panduan utama selain udang-undang adat.
Ringkasnya, semenjak zaman Kesultanan Melayu Melaka, undang-undang adat telah mengalami proses penyesuaian dengan undang-undang Islam, iaitu dengan menghormati, menjunjung dan memberi laluan kepada perundangan Islam serta menjadikannya salah satu sumber utama kepada sistem perundangan tempatan. Pakar perundangan Melayu awal telah mengkelaskan keutamaan pemakaian sumber perundangan mengikut turutan berikut;
i. Undang-undang Syariat
ii. Hukum Akal
iii. Undang-undang Adat
Walaupun kadangkala kedua-dua undang-undang adat dan syariat terpaksa diamalkan secara berasingan di tempat-tempat tertentu jika sekiranya salah satu tidak mahu tunduk di bawah yang lain, bagaimanapun dengan bimbingan alim-ulama telah menambahkan kesedaran masyarakat Melayu peringkat demi peringkat, natijahnya undang-undang syariat telah banyak menyumbang dalam menyuci, mentulen serta meletakkan ruh Islam dalam undang-undang adat.
Pemantapan sistem perundangan masyarakat Melayu dari masa ke semasa telah membawa kepada struktur yang semakin kemas dan tersusun serta bersifat Islamik sejurus sebelum kemunculan penjajah British. Pada masa itu, semua kes yang diputuskan oleh Mahkamah Jenayah adalah berpandukan undang-undang Islam dan adat pribumi.Kes-kes yang berhubung dengan harta, keluarga dan jenayah keagamaan pula dibicarakan di Mahkamah Syariah.
Kesimpulannya, HUKUM SYARIAT DAN ADAT menjadi undang-undang teratas dan tertinggi dalam masyarakat Melayu Islam tradisi. Walaupun secara praktis peraturan-peraturan yang mengutamakan undang-undang syariat tidak dipatuhi sepenuhnya, bagaimanapun dengan memberikan legitimasi, menerima serta menggariskan undang-undang syariat sebagai yang paling tinggi, teraula dan utama dalam dasar dan infrastruktur pemerintahan kesultanan-kesultanan Melayu tradisi, ianya dilihat sebagai suatu idealisme luhur yang mahu dilaksanakan secara berperingkat.
Bandingkan hal ini dengan dasar pemerintahan British dan sistem sekular yang secara terang-terangan meletakkan perundangan barat (Mahkamah Sivil) paling teratas daripada perundangan-perundangan lain, termasuk undang-undang syariat sehingga pada hari ini, undang-undang syariat jatuh kepada martabat tidak lebih dari soal-soal ‘Kelahiran, Perkahwinan dan Kematian’ semata-mata!
Ilmu dan Pendidikan:
Zaman pra-Islam menyaksikan sistem pendidikan yang wujud di Alam Nusantara sebagai tertumpu hanya di kalangan golongan bangsawan sedangkan rakyat jelata menerima pendidikan asas yang diperturunkan dari generasi ke generasi semenjak turun temurun, atau ilmu yang diwariskan dari nenek moyang. Bagaimanapun kedatangan Islam telah merombak sistem pendidikan cara ini yang mana pihak istana kini menjadi pemangkin yang bertanggungjawab menyalurkan budaya ilmu dan intelektual Islam kepada masyarakat melalui penyebaran ulama-ulama yang bertugas atas nama Sultan.
Atas kewajiban setiap umat Islam untuk menunaikan tanggungjawab sebagai hamba Allah yang taat, maka dalam masyarakat Melayu lahirlah sistem pendidikan asas atau Fardhu ‘Ain seperti pengetahuan tentang Rukun Iman dan Rukun Islam serta ilmu pembacaan Al-Quran. Sistem pendidikan asas ini sering diadakan di rumah tok-tok guru dalam kawasan kampung.
Pengajian Islam yang lebih mendalam pula dibuat secara tidak formal di surau-surau atau masjid-masjid oleh tok-tok guru yang mengajar secara sukarela, datang silih berganti mengikut kesediaan masing-masing. Di sini kitab-kitab yang disebut sebagai kitab-kitab Jawi atau kitab-kitab kuning menjadi rujukan utama yang mana pengajiannya merangkumi ilmu iktiqad yang termasuk ilmu usuluddin, ilmu feqah dan ilmu tasawuff.
Pengajian Islam peringkat tertinggi pula ialah sistem pendidikan madrasah yang diasaskan oleh Nizamul Muluk, seorang wazir kerajaan Saljuk di Baghdad (1055-1194). Sistem pengajian ini dikenali dengan sistem pondok di Tanah Melayu atau pesantren di Tanah Jawa. Antara bidang pengkajian Islam yang diajar ialah ilmu feqah, usuluddin, tasawuff, tafsir, hadith, nahu, mantik, balaghah, ilmu falak dan sebagainya.
Misalannya dalam zaman pemerintahan Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam di Acheh (1607-1636), sistem pengajian pondok yang lebih maju, teratur dan sistematik telah diperkenalkan, dikenali sebagai Rangkang atau Dayah. Ianya meliputi pengajian bidang agama dan kehidupan seperti Dar al-Tafsir (jurusan ilmu tafsir), Dar al-Tarikh (jurusan sejarah), Dar al-Ahkam (jurusan Fekah), Dar al-Kalam (jurusan ilmu kalam), Dar al-Falsafah (jurusan ilmu falsafah), Dar al-Tib (jurusan ilmu matematik), Dar al-Siasah (jurusan ilmu politik), Dar al-Harb (jurusan ilmu peperangan), Dar Khazanah Bait al-Mal (jurusan ilmu kewangan negara) dan banyak lagi.
Sesetengah pelajar agama yang telah mencapai tahap pembelajaran yang tinggi serta mencapai umur matang digalakkan pula untuk melanjutkan pengajian mereka di Tanah Suci Mekah. Resam ini telah mewujudkan penempatan orang-orang Melayu yang ramai di sana, khususnya mereka yang datang dari sebelah utara Tanah Melayu seperti Kedah, Kelantan (termasuk dari kesultanan Pattani), dan Terengganu. Sehingga hari ini ianya melahirkan ramai dari keturunan alim-ulamak Melayu yang menetap di Mekah, menjadi warga negara Arab Saudi, berkahwin serta bercampur baur dengan penduduk asal tetapi tidak memutuskan hubungan dengan tempat asal mereka di Tanah Melayu.
Pemesatan nilai-nilai ilmu, pendidikan serta pengamalan masyarakat Melayu yang tinggi kepada ajaran-ajaran Islam telah digambarkan dengan baik oleh seorang ahli akademik Malaysia yang tersohor, iaitu Professor Syed Naquib al-Attas. Beliau mencatatkan bahawa pada abad ke 16 dan 17 Masihi telah menyaksikan penulisan falsafah, sastera, metafizik dan teologi rasional yang tidak terdapat tolok bandingannya di mana-mana dan pada zaman apapun di Asia Tenggara. Zaman tersebut merupakan era yang mana masyarakat Melayu Nusantara melalui suatu revolusi perdalaman dan intensifikasi Islam pada jiwa mereka, merombak pandangan hidup dan dasar kebudayaannya daripada nilai estetika kepada dasar saintifik. Ianya telah mewujudkan budaya ilmu dan intelektualisme Islam yang tinggi serta menular ke serata ceruk rantau kesultanan-kesultanan Melayu. Sistem pendidikan Islam sebegini telah melahirkan ramai tokoh alim ulama tersohor dan terunggul seperti Syeikh Daud Fatoni dan keturunannya, Syeikh Abdul Rasyid, Syeikh Abdul Samad al-Falembani, Tok Kenali, Tokku Paloh, Abdul Rauf as-Singkili dan ramai lagi.
Pemesatan serta pengamalan intensif masyarakat Melayu tradisi dalam bidang Agama Islam telah disimpulkan penuh makna oleh seorang Residen British yang membuat kunjungan ke Terengganu pada akhir abad ke 19 Masihi, yang mana beliau mencatatkan bahawa negeri tersebut : “…penuh dengan alim ulama dan segala teriak tangis tenggelam dalam bunyi orang bersembahyang dan berzikir.”
Kebudayaan dan Kesusasteraan:
Perkembangan serta pemesatan Tamadun Islam di rantau Nusantara telah meletakkan para sultan dan alim-ulamak sebagai regu yang ampuh dalam usaha dakwah serta pendidikan ilmu dan nilai-nilai Islam, dibuat melalui perantaraan bahasa Melayu dan tulisan Jawi yang dipinjam dari huruf-huruf tulisan Arab. Bahasa Melayu Jawi menjadi asas penyebaran sistem pendidikan tradisi di Alam Melayu khususnya semenjak abad ke 16 dan 17 Masihi dalam bidang-bidang seperti penulisan kesusasteraan, ilmu teologi, falsafah dan tasawuff.
Peradaban dan peradatan bangsa Melayu juga banyak diceduk daripada nilai-nilai Islam misalnya amalan muafakat, gotong royong, timbang rasa, budi, santun, akhlak baik, tolong menolong, menunaikan hak orang, bersyukur, redho, dan banyak lagi. Semua ini menjadi falsafah serta amalan masyarakat Melayu tradisi. Begitu kuatnya pegangan masyarakat Melayu pada nilai-nilai Islam sehingga agama menjadi suatu ‘adat yang diadatkan’ (adatunnah), yang mana orang yang melampaui batasan agama dikecam sebagai orang yang ‘melanggar adat’.
Misalannya, dua konsep yang sinonim dengan budaya bangsa Melayu yang berakar umbi daripada nilai Islam ialah konsep ‘BUDI’ dan ‘RENDAH DIRI’. Konsep ‘budi’ yang banyak digunakan dalam peribahasa Melayu memberikan beberapa makna. Antaranya intelektualisme. Umpama istilah ‘akal budi’ iaitu minda yang sihat dan ‘common sense’, adab baik seperti sikap berterima kasih dalam pantun ‘pisang emas bawa belayar, masak sebiji di atas peti, hutang emas boleh dibayar, hutang budi dibawa mati’. Begitu juga peribahasa ‘orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa’.Lain makna ialah dari aspek moral iaitu ‘budi pekerti’ , ‘budi-bahasa’ dan ‘budiman’ iaitu seseorang yang mempunyai akhlak sufi pada dirinya.
Konsep ‘rendah diri’, juga terbit dari nilai Islam khususnya bidang tasawuff. Satu peribahasa Melayu berbunyi ‘bawa resmi padi, makin berisi makin tunduk’.
Kesusasteraan awal Melayu pasca Islam berkisar tentang kisah Nabi-nabi Allah khususnya Nabi Muhammad SAW, para sahabat dan keturunan atau ahlul bait baginda. Watak-watak dalam kisah-kisah para Nabi menjadi watak-watak ideal dan amat digemari. Sastera-sastera Melayu yang lainnya seperti syair, prosa, puisi dan sebagainya pada awalnya bercorak keislaman dan digubah dengan matlamat menyampaikan sejarah, ajaran, amalan dan konsep-konsep Islam kepada masyarakat Melayu. Bagaimanapun ia melalui proses perubahan, terutamanya selepas kedatangan penjajah British dan pengenalan sistem pendidikan sekular, iaitu dengan memasukkan unsur-unsur yang lain daripada tajuk keislaman.
Begitu juga dengan aspek seni suara dan seni muzik. Marhaban, qasidah, nasyid, nazam, hadrah, dabus dan sebagainya adalah amalan masyarakat Melayu tradisi yang mengandungi unsur-unsur zikir, sirah Nabi-nabi khususnya Nabi Muhammad SAW, para sahabat dan ahlul-bait baginda serta ajaran-ajaran Islam. Hiburan-hiburan yang berjiwa keislaman ini sering dipersembahkan dalam upacara perkahwinan, berkhatan, Maulidur rasul serta hari-hari kebesaran Islam yang lainnya. Ianya diubah suai daripada unsur-unsur ke’araban’ kepada cita rasa penduduk tempatan.
Di bawah ini diperturunkan satu nazam Melayu lama yang merujuk kepada pengaruh Islam yang kental;
Mula pertama Nabi Allah Adam,
Nenek manusia kafir dan Islam.
Mula asalnya di Islam,
Ditempa Jibrail tanah segenggam.
Tuk Adam jadikan seorang diri,
Berlatih syurga sehari-hari.
Dilihatnya burung dua sejoli,
Ingik Tuk nak beristeri.
Dicerita Tuk Adam Allah ketahui,
Dijadikan Hawa di rusuk kiri.
Allah menagihkan Jibrail saksi,
Diberi hantaran belanja selawat atas Nabi.
Tuk Adam dinikahkan dalam syurga,
Laki dan isteri bersuka ria.
Datang iblis buat celaka,
Jadi Tuk Adam kedatangan derhaka.
Adam dan Hawa berolehi anak,
Laki-laki perempuan hingganya banyak.
Bercucu bercicit semakin biak,
Hingga dunia penuhnya sesak.
Anak Tuk Adam banyak tertipu,
Mengikutkan syaitan hawa dan nafsu.
Susah Tok Adam di dalam kubur,
Kepada Tuhan berdoa mengadu.
Ya Tuk Adam Siti Tuk Hawa,
Mandi di Juddah berkoca-koca.
Panjang kuburnya lapan puluh hasta,
Menganjung ke laut entah berapa.
Banyak hari perkara hari,
Tidak sama hari Jumaat.
Banyak Nabi perkara Nabi,
Tidak sama Nabi Muhammad (SAW).
Kesimpulannya pengaruh Islam adalah amat besar, kental dan berakar umbi dalam semangat, kejiwaaan serta jatidiri Bangsa Melayu yang dimenifestasikan dalam kerangka pemerintahan, struktur-struktur pentadbiran serta institusi-institusi kebudayaan dan kesusasteraan masyarakat Melayu tradisional. Dan dalam hal ini, Institusi Raja-Raja Melayu dan Institusi Ulamak tradisi terbukti merupakan dua institusi Melayu yang paling lama, paling berharga dan paling penting bukan sahaja dalam merangka dasar pemerintahan kerajaan dan hala tuju masyarakat yang berjiwa keislaman, malahan sama-sama menjadi regu ampuh dalam memastikan kepentingan serta kebajikan umat Islam sentiasa terpelihara dan terlindung.

Copy and paste: 10/12/2020 : 25 Rabiulakhir 1442H: 8.52pm

No comments:

Post a Comment