ZULHEIMY MAAMOR

Thursday, 3 December 2020

Khuṭbah Jumaat ʿAbbāsīyah dalam Catatan Dinasti Táng

Sumber: FB Legasi Zheng He

Dalam segala pemerhatian Du Huan 杜环 terhadap kehidupan rakyat di bawah pemerintahan Khilāfah ʿAbbāsīyah, sempat juga beliau mencatatkan secebis isi khutbah Jumaat dalam kitabnya Jingxing Ji 经行记.
Walaupun tidak disebut nama khatib mahupun masjidnya, namun semakan bersilang rujuk (𝘤𝘳𝘰𝘴𝘴 𝘤𝘩𝘦𝘤𝘬) dengan sumber sejarah ʿAbbāsīyah lain membawa kita kepada ʾAmīrul-Muʾminīn Khalīfah ʿAbbāsīyah pertama yakni Abu al-‘Abbās ‘Abdu'llāh ibn Muhammad as-Saffāḥ (أبو العباس عبد الله السفّاح) yang menyampaikan khutbah tersebut di Masjid al-Kūfah al-Muʿaẓẓam (مَسْجِد ٱلْكُوفَة ٱلْمُعَظَّم).
Du Huan ditahan oleh tentera ʿAbbāsīyah sekitar September 751M, bersamaan dengan bulan 7 tahun ke-10 era Tianbao 天宝 (zaman pemerintahan Maharaja Xuanzong 玄宗). Pada tahun itu juga, Khilāfah ʿAbbāsīyah masih baru dalam pemerintahannya di bawah pimpinan Khalīfah As-Saffāḥ (25 Jan 750 – 10 Jun 754) yang berpusat di Kūfah, selatan Iraq. Du Huan dibebaskan pada tahun 762M dengan menumpang kapal dagang ke Guangzhou. Tahun itu juga, pusat pentadbiran ʿAbbāsīyah baru sahaja berpindah ke Baghdad di bawah pemerintahan Khalīfah kedua iaitu Abū Ja'far ʿAbdullāh ibn Muḥammad al-Manṣūr (أبو جعفر عبدالله بن محمد المنصور) (10 Jun 754 – 6 Okt 775).
Khalīfah As-Saffāḥ bukan sahaja pernah mengangkat sumpah jawatan di Masjid Kūfah ini, bahkan memberikan khutbah Jumaat di situ.¹ Maka yang demikianlah, kami berpendapat Du Huan memetik khutbah daripadanya. Demikian pemerhatiannya:²
“又有礼堂,容数万人。每七日,王出礼拜,登高座为众说法,曰:”
Terjermahan: Selain itu, terdapat sebuah dewan sembahyang (masjid) yang mampu menampung puluhan ribu orang. Pada setiap minggu, raja akan bersembahyang [di situ]. Setelah naik ke kerusi tinggi (mimbar), baginda bertitah kepada hadirin dengan berucap:
“人生甚难,天道不易。奸非劫窃,细行谩言,安己危人,欺贫虐贱,有一于此,罪莫大焉。凡有征战,为敌所戮,必得生天,杀其敌人,获福无量。”
Terjermahan: "Kehidupan ini serba mencabar, dan jalan [ke] Tuhan tidak mudah.
Tidak kira berzina, merompak, mencuri, bersikap cuai, berbohong walau dalam hal remeh, mempertahankan diri namun mencederakan pihak lain, menindas fakir miskin ataupun menghina hamba -sekalipun anda hanya melakukan salah satu sahaja daripadanya- sesungguhnya dosanya cukup besar.
Barang siapa yang terlibat dalam peperangan dan terbunuh oleh musuh, anda layak memperolehi Syurga. Sekiranya anda berjaya membunuh walau seorang musuh, anda akan memperolehi pahala yang tiada hadnya."
Beginilah sebahagian daripada pemerhatian Du Huan terhadap kehidupan sosial Daulah ʿAbbāsīyah. Berkemungkinan teks khutbah Jumaat ini nampak pendek kerana ia diriwayatkan melalui ingatan. Ia juga nampak tegas terutamanya pada ayat terakhir mungkin kerana zaman tersebut masih dalam keadaan peperangan.
Sama ada Du Huan turut menguasai Bahasa Arab lalu dapat memahami khutbah tersebut, ataupun wardennya yang menerangkan isi khutbah kepadanya, hanya Allāh ﷻ Maha Mengetahui. Apa yang lebih menanjubkan adalah kita yang hidup dalam zaman moden ini dapat mengetahui salah sebuah khutbah Jumaat kuno yang diriwayatkan oleh tahanan perang dari bumi asing.
Inshā'Allāh, dalam siaran akan datang, kami akan kongsikan terjermahan keseluruhan catatan Du Huan terhadap kehidupan sosial zaman ʿAbbāsīyah.
سلام جمعة / جمعة مباركة / 主麻愉快
🌟
.
𝙇𝙄𝙆𝙀 & 𝙎𝙃𝘼𝙍𝙀
𝑳𝒆𝒈𝒂𝒔𝒊 𝒁𝒉𝒆𝒏𝒈 𝑯𝒆 ~ 鄭和之遺 ~ لڬسي چيڠ هو
ᴡᴡᴡ.ғᴀᴄᴇʙᴏᴏᴋ.ᴄᴏᴍ/ʟᴇɢᴀsɪᴢʜᴇɴɢʜᴇ
.
[Lampiran]
• Kredit mukasurat manuskrip Tong Dian yang menyatakan khutbah Jumaat As-Saffah:
• Kredit gambar Masjid Kūfah dalam siaran ini kepada laman sesawang rasmi Masjed Alkufa:
• Tulisan Jawi dalam gambar ini menggunakan khat Kufi, sejenis khat yang berasal dari Kūfah. Ayatnya berbunyi:
خطبة جمعة
عباسية
دالم چاتتن
دينستي تڠ

[Rujukan]
(1) Park, H. (2012). Mapping the Chinese and Islamic Worlds: Cross-Cultural Exchange in Pre-Modern Asia. Cambridge: Cambridge University Press. doi:10.1017/CBO9781139088329, hlm 27
(2) Tong Dian, jilid 193
通典,卷193
Copy and paste:
3/12/2020 @ 17 Rabiulakhir 1442H : 6.20 pm

No comments:

Post a Comment