ZULHEIMY MAAMOR

Friday, 27 November 2020

UMAT ISLAM JANGAN MALAS MEMBACA

Oleh : Saufy Jauhary

Ketika zaman di mana ilmu pengetahuan berada dalam genggaman umat islam, betapa zaman tersebut ilmu menjadi budaya. Betapa banyak perpustakaan yang wujud pada zaman dahulu seperti zaman Bani Abbassiyah dan Bani Umayyah di cordova dan berapa banyak kitab-kitab yang dihasilkan (dengan tulisan tangan tanpa cetakan) oleh ilmuan-ilmuan Islam.

Dikatakan oleh ahli sejarah bahawa perpustakaan Darul Hikmah yang terletak di Kaherah sahaja mengandungi 2 JUTA buah buku, manakala di perpustakaan Tripoli di Syria yang telah dibakar oleh tentera salib yang pertama mengandungi 3 JUTA buah buku, di antaranya terdapat 50,000 naskhah al-Quran dan tafsirnya. Manakala perpustakaan di Cordova pada abad ke-10 mempunyai lebih 600,000 buah buku. Perpustakaan Al-Hakim di Andalusia pula memiliki pelbagai buku dalam 40 bilik di mana setiap bilik tersebut terdapat 18,000 buah buku.

Begitulah hebat orang Islam di zaman dahulu memartabatkan ilmu. Mereka mampu menghasilkan buku-buku yang banyak kerana hasil kajian mereka juga banyak. Kita anggap ianya satu keajaiban kerana buku-buku yang dihasilkan hanya dengan tulisan tangan.

Kita hari ini dikurniakan kemudahan untuk menulis dan mencetak dengan mudah. Tidak perlu bersusah payah menulis dengan menggunakan pen, cukup menggunakan komputer riba yang bebas dibawa ke mana-mana. Hal itupun masih gagal untuk menandingi kemampuan orang terdahulu dalam menghasilkan karya ilmiah. Bukan sahaja tidak mahu menulis, malah kita malas membaca. Apabila membeli buku kita agak berkira-kira tentang harganya. Jika membeli buku ilmiah, yang dipilihnya hanya buku-buku yang nipis. Buku yang agak tebal dibeli hanyalah buku novel. Itupun novel percintaan yang manfaatnya hanya sedikit.

Malah kemunculan facebook menyebabkan orang lebih rajin membaca status facebook daripada bahan-bahan ilmiah. Itupun jika statusnya pendek dan tidak panjang. Jika panjang maka akan diabaikan atau cukup sekadar menekan LIKE.

Kita mencela orang terdahulu kerana di zaman mereka muncul fahaman yang menyeleweng dan menyesatkan. Tetapi kita terlupa bahawa mereka itu menjadi sesat kerana disesatkan oleh ilmu mereka. Mereka tenggelam dalam lautan ilmu kerana banyak membuat kajian dan pembacaan. Manakala kita di zaman ini menjadi sesat bukan kerana banyak membaca, Tetapi akibat kejahilan sendiri yang datang dari sikap malas membaca.

Bila agaknya kita mahu kembali kepada zaman kegemilangan ilmu?

[Legasi Pemikir - LEKIR]

Copy and paste:

27.11.2020 @ 11 Rabiulakhir 1442H: 3.06 pm

No comments:

Post a Comment