ZULHEIMY MAAMOR

Wednesday, 18 November 2020

KITAB SUNAN IBNU MAJAH


SUMBER : JAKIM

Pengenalan

Sunan Ibn Mājah (سُنن ابن ماجه‎) ialah satu daripada himpunan kitab Hadis yang dikenali sebagai Al-Kutub al-Sittah (enam kitab utama Hadis). Himpunan Sunan ini karya Imam Ibnu Majah.

Kitab ini adalah salah satu kitab karya Imam Ibnu Majah terbesar yang masih beredar hingga sekarang. Dengan kitab inilah, nama Ibnu Majah menjadi terkenal.

Ia menyusun sunan ini menjadi beberapa kitab dan beberapa bab. Sunan ini terdiri dari 32 kitab dan 1,500 bab, sedangkan jumlah hadithnya sebanyak 4.000 buah hadith.

Susunan Kitab

Kitab sunan ini disusun menurut kaedah fiqh, yang ditulis secara baik dan indah. Ibnu Majah memulakan sunannya ini dengan sebuah bab tentang mengikuti sunnah Rasulullah s.a.w. Dalam bab ini beliau menghuraikan hadith-hadith yang menunjukkan kekuatan sunnah, kewajiban mengikuti dan mengamalkannya.

Kedudukan Sunan Ibn Majah Di Antara Kitab-Kitab Hadith

Sebahagian ulama tidak memasukkan Sunan Ibnu Majah ke dalam kelompok “Kitab Hadith Pokok” memandangkan darjat Sunan ini lebih rendah dari kitab-kitab hadith yang lima.

Sebahagian ulama yang lain menetapkan, bahawa kitab-kitab hadith yang pokok ada enam kitab (Al-Kutubus Sittah/Enam Kitab Hadith Pokok), iaitu:

  • Sahih al-Bukhari, karya Imam al-Bukhari.
  • Sahih Muslim, karya Imam Muslim.
  • Sunan Abu Dawud, karya Imam Abu Dawud.
  • Sunan Nasa’i, karya Imam Nasa’i.
  • Sunan Tirmizi, karya Imam Tirmidzi.
  • Sunan Ibnu Majah, karya Imam Ibnu Majah.

Ulama pertama yang berpendapat Sunan Ibnu Majah sebagai kitab keenam adalah al-Hafiz Abul-Fard Muhammad bin Tahir al-Maqdisi (wafat pada 507 H) dalam kitabnya Atraful Kutubus Sittah dan dalam risalahnya Syurutul ‘A’immatis Sittah.

Pendapat itu kemudian diikuti oleh al-Hafiz ‘Abdul Gani bin al-Wahid al-Maqdisi (wafat 600 H) dalam kitabnya Al-Ikmal fi Asma’ ar-Rijal. Selanjutnya pendapat mereka ini diikuti pula oleh sebahagian besar ulama yang kemudian.

Mereka mendahulukan Sunan Ibnu Majah dan memandangnya sebagai kitab keenam, tetapi tidak memasukkan kitab Al-Muwatta’ karya Imam Malik sebagai kitab keenam, padahal kitab ini lebih sahih daripada Sunan Ibn Majah, hal ini oleh kerana Sunan Ibn Majah banyak zawa’idnya (tambahannya) atas Kutubul Khamsah. Berbeda dengan Al-Muwatta’, yang hadith-hadith itu kecuali sedikit sekali, hampir seluruhnya telah termuat dalam Kutubul Khamsah.

Di antara para ulama ada yang menjadikan Al-Muwatta’ susunan Imam Malik ini sebagai salah satu Usul us-Sittah (Enam Kitab Pokok), bukan Sunan Ibn Majah. Ulama pertama yang berpendapat demikian adalah Abul Hasan Ahmad bin Razin al-Abdari as-Sarqisti (wafat sekitar tahun 535 H) dalam kitabnya At-Tajrid fil Jam’i Bainas-Sihah. Pendapat ini diikuti oleh Abus Sa’adat Majduddin Ibnul Asir al-Jazairi asy-Syafi’i (wafat 606 H). Demikian pula az-Zabidi asy-Syafi’i (wafat 944 H) dalam kitabnya Taysirul Wusul.

Nilai Hadith-Hadith Sunan Ibnu Majah

Sunan Ibnu Majah mengandungi hadith-hadith shahih, hasan, dan da’if (lemah), bahkan hadith-hadith munkar dan maudhu’ meskipun dalam jumlah sedikit.

Martabat Sunan Ibnu Majah ini berada di bawah martabat Kutubul Khamsah (Lima Kitab Pokok). Hal ini kerana kitab sunan ini yang paling banyaknya hadith-hadith da’if di dalamnya.

Oleh kerana itu tidak sayugianya kita menjadikan hadith-hadith yang dinilai lemah atau palsu dalam Sunan Ibn Majah ini sebagai dalil. Kecuali setelah mengkaji dan meneliti terlebih dahulu mengenai keadaan hadith-hadith tersebut. Bila ternyata hadith dimaksud itu sahih atau hasan, maka ia boleh dijadikan pegangan. Jika tidak demikian adanya, maka hadith tersebut tidak boleh dijadikan dalil.

Sulasiyyat Ibnu Majah

Ibnu Majah telah meriwayatkan beberapa buah hadith dengan sanad yang tinggi (sedikit sanadnya), sehingga di antara dia dengan Nabi s.a.w hanya terdapat tiga perawi. Hadith sebegini dikenal dengan sebutan Sulasiyyat.

Rujukan :

1- Manahij al-Muhaddithin- Terbitan : Jabatan Al-Quran dan Al-Hadith, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Cetakan Kedua, 2016. Muka surat 129-133.

Copy and paste: 18/11/2020 @ 2 Rabiulakhir 1442H: 11.47 am

No comments:

Post a Comment