ZULHEIMY MAAMOR

Tuesday, 21 July 2020

THEODORE DE BRY - MELAYU PATTANI

Kredit : Mohd Radzi Zakaria- FB Kebangkitan Bani Jawi (Nusantara)
Koleksi ukiran pengembara terkenal Jerman, Theodore de Bry of Frankfurt membolehkan penulis menggambarkan rupa bentuk orang Melayu Patani 400 tahun dahulu.
De Bry menghasilkan karya seninya di atas kepingan tembaga ketika beliau mengembara ke merata dunia termasuk Patani pada abad ke -16.
Kehidupan orang Melayu Patani terkandung dalam koleksi Petits Voyages (Perjalanan Kecil).
Dalam salah satu ukirannya De Bry menggambarkan ketibaan Belanda ke Patani (gambar 1) untuk membeli lada hitam dan lain-lain rempah daripada Raja Patani. De Bry tidak menyebut nama raja Patani berkenaan, tetapi ukiran lain menggambarkan raja itu merupakan perempuan. Raja Patani mengutuskan penasihatnya yang dikenali sebagai 'sabander' (syahbandar) untuk menyambut kedatangan orang Belanda dan mereka dibawa dengan dua ekor gajah ke tengah kota Patani.
Rombongan Raja Patani yang menyambut kedatangan orang Belanda itu berpakaian jubah dan berserban, tetapi mereka berkaki ayam.
Dalam ukiran bertajuk Elephant Hunting In Patani, De Bry menggambarkan macam mana orang Patani menangkap gajah di hutan (lihat gambar 2).
Para penangkap gajah pula ada yang memakai jubah dan serban, ada yang memakai seluar tanpa baju tapi berserban dan ada yang memakai kain tutup kemaluan, punggung dan separuh peha.
Dalam ukiran bertajuk A Procession of the Queen of Patani pula De Bry menggambarkan seorang raja perempuan mengadakan perjalanan dengan orang kenamaan, bala tentera dan hambanya (gambar 3). Raja perempuan kelihatan berpakaian kemas. Manakala orang kenamaan, bala tentera dan hamba baginda ada yang memakai jubah dan serban dan ada yang memakai seluar dan baju serta bertopi besi.
Dalam ukiran terakhir De Bry di bawah tajuk Teh Penalty of Adultery in Patani menggambarkan (gambar 4) orang Melayu Patani lebih 400 tahun lalu telah melaksanakan sistem perkahwinan secara sungguh-sungguh dan penzinaan dianggap haram yang dikenakan hukuman bunuh terhadap pelakunya oleh keluarga mereka.
Sumber rujukan: Orang Melayu Patani 400 Tahun Lalu Menurut Theodore De Bry, Oleh Astora Jabat, Slot Umum, Muka Surat 16, Majalah Al Islam, Disember 2004/Syawal 1425, Terbitan Utasan Karya Sdn. Bhd (anak syarikat Kumpulan Utusan).
####
Sedikit ulasan peribadi saya; berkenaan serban boleh jadi ia sebenarnya adalah semutar. Manakala kain tutup kemaluan, punggung dan separuh paha adalah kain sarung yang digenggam pada bahagian tengah dibentuk memanjang kemudian diselit di celah kelangkang dan disangkut pula di bahagian tengah belakang pinggang seakan menyerupai seluar pendek atau cawat.

Copy and paste : 21 Julai 2020 : 30 Zulkaedah 1441H : 8.30 pm

No comments:

Post a Comment