ZULHEIMY MAAMOR

Friday, 8 May 2020

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE 495 : KEMUNCULAN BINTANG THURAYYA TANDA HILANGNYA WABAK?


Soalan :
Assalamualaikum ustaz. Saya ada terdengar dalam satu video tentang seorang penceramah yang menyebut tentang hadis Nabi SAW yang disebut di dalam Musnad Ahmad bahawa Nabi SAW bersabda jika munculnya satu bintang maka bala akan hilang. Dalam bahasa arabnya  إذا طلع النجم رفعت العاهة. Bintang itu disebut sebagai bintang Thurayya yang mana ianya akan muncul pada permulaan musim panas. Adakah ada disebutkan hadis tersebut dan apakah benar apa yang disebutkan?. Mohon pencerahan ustaz.
Jawapan :
Waalaikumussalam WBT. Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
Di antara sifat seorang Muslim adalah sentiasa berhati-hati ketika menukilkan apa-apa ucapan khususnya apabila ianya terkait dengan Nabi SAW. Perkara ini adalah manifestasi daripada firman Allah SWT di dalam Al-Quran. Firman Allah :
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِن جَآءَكُمْ فَاسِقٌۢ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوٓا۟ أَن تُصِيبُوا۟ قَوْمًۢا بِجَهَـٰلَةٍ فَتُصْبِحُوا۟ عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَـٰدِمِينَ
Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”
(Surah Al-Hujurat : 6)
Selain daripada memastikan apa yang disandarkan kepada Nabi adalah benar, seorang muslim juga dituntut untuk berusaha memahaminya. Bukan hanya semata-mata menukilkan hadis tanpa memahaminya. Sheikh Mustafa Bin Ahmad Al-Zarqa menyebut bahawa untuk memahami satu-satu hadis Nabi SAW maka seseorang itu memerlukan tiga alat utama iaitu :
  • Bahasa arab
  • Akal
  • Memahami fiqh dengan baik. (Rujuk Al-‘Aql Wa Al-Fiqh Fi Fahmi Al-Hadith, hlm 8).
Kembali kepada persoalan yang dikemukakan, hadis tersebut dinukilkan di dalam beberapa kitab hadis yang muktabar. Di antaranya Musnad Imam Ahmad. Kata Imam Ahmad :
حَدَّثَنَا أَبُو سَعِيدٍ حَدَّثَنَا وُهَيْبٌ حَدَّثَنَا عِسْلُ بْنُ سُفْيَانَ عَنْ عَطَاءٍ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا طَلَعَ النَّجْمُ ذَا صَبَاحٍ رُفِعَتْ الْعَاهَةُ
Maksudnya : “Abu Sa’id menceritakan kepada kami. Wuhaib menceritakan kepada kami. ‘Islu Bin Sufian menceritakan kepada kami daripada ‘Atha’ daripada Abu Hurairah. Beliau berkata : Rasulullah SAW bersabda : Jika muncul bintang pada waktu pagi maka akan terangkatnya penyakit.”
Riwayat Imam Ahmad (8495)
Wuhaib Bin Khalid Bin ‘Ajlan ada seorang perawi yang thiqah. Abdurrahman Bin Mahdi menyebut bahawa beliau adalah seorang yang pakar tentang hadis dan rijalnya. Abu Hatim Al-Razi menyebut tiada yang lebih pakar tentang hadis daripada Syu’bah melainkan Wuhaib. (Rujuk Siyar ‘Alam Al-Nubala, 8/224).
‘Islu Bin Sufian merupakan perawi yang lemah di sisi Imam Ahmad. Ibnu Adiyy menukilkan pandangan Abdullah Bin Ahmad tentang ‘Islu. Kata beliau :
حدثنا ابن حماد حدثنا عبد الله قال سمعت أبي يقول عن عسل بن سفيان ليس هو عندي بقوي الحديث
Maksudnya : “ Ibnu Hammad menceritakan kepada kam. Abdullah menceritakan kepada kami. Beliau berkata : Aku mendengar ayahku berkata tentang ‘Islu Bin Sufian : Beliau (iaitu ‘Islu) padaku adalah seorang yang tidak kuat hafalan hadisnya.” (Rujuk Al-Kamil Fi Al-Dhu’afa, 7/91).Adapun begitu hadis-hadis beliau boleh diriwayatkan.
Atha’ Bin Abu rabah merupakan seorang tabi’in yang thiqah. Beliau banyak meriwayatkan  hadis daripada sahabat Nabi SAW khususnya Abu Hurairah. Imam Al-Zahabi menyebut bahawa beliau meriwayatkan hadis daripada 200 orang para Sahabat. Beliau adalah seorang yang thiqah dan pakar. (Rujuk Siyar ‘Alam Al-Nubala, 5/79).
Secara ringkasnya, sanad hadis yang dinukilkan oleh Imam Ahmad adalah sanad yang hasan kerana di dalam sanad tersebut terdapat seorang perawi yang lemah iaitu ‘Islu Bin Sufian. Sheikh Syu’aib Al-Arnaut menghukum hadis tersebut sebagai hadis hasan.[1]
Hadis ini juga dinukilkan oleh Imam Al-Tahawi di dalam Syarh Musykil Al-Athar.Beliau meletakkan hadis ini di bawah bab menjelaskan hadis Nabi SAW tentang munculnya bintang yang mana kemunculannya itu menghilangkan kesusahan ( باب بيان مشكل ما روي عن رسول الله صلى الله عليه وسلم في طلوع النجم الذي ترتفع بطلوعه العاهة أو تخف أي النجوم هو) no 1895. Beliau berkata :
حدثنا أَحْمَدُ بن دَاوُد قال ثنا إسْمَاعِيلُ بن سَالِمٍ قال ثنا محمد بن الْحَسَنِ قال أخبرنا أبو حَنِيفَةَ قال حدثنا عَطَاءُ بن أبي رَبَاحٍ عن أبي هُرَيْرَةَ رضي الله عنه قال قال رسول اللَّهِ صلى الله عليه وسلم إذَا طَلَعَ النَّجْمُ رُفِعَتْ الْعَاهَةُ عن أَهْلِ كل بَلَدٍ
Maksudnya : “Ahmad bin Daud menceritakan kepada kami. Beliau berkata : Ismail Bin Salim  menceritakan kepada kami beliau berkata : Muhammad Bin Hasan menceritakan kepada kami. Beliau berkata : Abu Hanifah mengkhabarkan kepada kami. Beliau berkata : Atha’ Bin Abi Rabah menceritakan kepada kami daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda : Jika muncul bintang maka terangkatlah penyakit daripada penduduk setiap negeri.”
Di dalam riwayat Imam Ahmad dan Abu Jaafar Al-Tahawi tidak dinyatakan apakah nama bintang tersebut. Ia dijelaskan oleh para ulama melalui pengamatan mereka terhadap riwayat-riwayat yang berkaitan.
Ibnu Hajar Al-Asqalani  menjelaskan nama bintang tersebut. Beliau menyatakan:
والنجم هو الثريا، وطلوعها صباحا يقع في أول فصل الصيف وذلك عند اشتداد الحر في بلاد الحجاز وابتداء نضج الثمار
“Bintang tersebut adalah bintang thurayya (Pleiades). Ia muncul pada waktu pagi pada awal permulaan musim panas ketika cuaca yang tersangat panas di negeri Hijaz.” (Rujuk Fath Al-Bari Syarh Sahih Al-Bukhari, 8/32).
Ringkasnya, dari sudut riwayat, hadis tersebut adalah hadis yang sabit kepada Nabi SAW.
Tinggal lagi bagaimana kita hendak memahami hadis tersebut dari sudut dirayah. Pada asasnya, terbitnya atau munculnya bintang di dalam hadis tersebut sama sekali tidak berkait dengan terangkatnya wabak. العاهة yang disebutkan bukanlah merujuk kepada wabak pandemik seperti ta’un dan lain-lain. Akan tetapi ia merujuk kepada penyakit yang ada pada tanaman-tanaman sehingga merosakkan hasilnya. Perkara ini dapat kita fahami melalui perincian yang disebutkan di dalam riwayat yang lain. Di antaranya yang diriwayatkan juga oleh Imam Ahmad di dalam Musnadnya. Uthman Bin Abdullah Bin Suraqah pernah bertanya kepada Ibnu Umar. Beliau berkata :
وَسَأَلْتُ ابْنَ عُمَرَ عَنْ بَيْعِ الثِّمَارِ فَقَالَ نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ بَيْعِ الثِّمَارِ حَتَّى تَذْهَبَ الْعَاهَةُ قُلْتُ أَبَا عَبْدِ الرَّحْمَنِ وَمَا تَذْهَبُ الْعَاهَةُ مَا الْعَاهَةُ قَالَ طُلُوعُ الثُّرَيَّا
Maksudnya : “Aku bertanya kepada Ibnu Umar tentang jual beli tanaman. Beliau berkata bahawa Nabi SAW melarang daripada berjual beli tanaman sehingga hilangnya penyakit. Aku berkata : Wahai Abu Abdurrahman apakah yang menyebabkan hilangnya penyakit. Ibnu Umar berkata : Munculnya bintang Thurayya.
Riwayat Imam Ahmad (5012) di dalam Al-Musnad.
Di dalam riwayat Al-Muwatta’ melalui riwayat Muhammad Hassan juga menukilkan perincian berkenaan hadis tersebut. Kata Muhammad Bin Hassan :
أخبرنا مالك أخبرنا أبو الزناد  عن خارجة بن زيد بن ثابت عن زيد بن ثابت : أنه كان لا يبيع ثماره حتى يطلع الثريا يعني بيع  النخل
Maksudnya : “Malik mengkhabarkan kepada kami, Abu Al-Zinad (Abdullah Bin Zakwan) mengkhabarkan kepada kami daripada Kharijah Bin Zaid Bin Thabit daripada Zaid Bin Thabit bahawa beliau tidak akan berjual beli tanaman sehingga muncul bintang Thurayya. Yang dimaksudkan adalah berjual beli tamar.”
Rujuk Al-Muwatta (750)
Abu Al-Walid Sulaiman Bin Khalaf Al-Baji Al-Andalusi menyebut bahawa kemunculan bintang Thurayya adalah satu tanda  di mana pada kebiasaannya pohon-pohon tamar di Hijaz akan masak dan jauh daripada penyakit. Pada ketika itu dibenarkan untuk berjual beli tamar kerana pada waktu tersebut hilangnya penyakit pada hasil tanaman. (Rujuk Al-Muntaqa’ Syarh Al-Muwatta , 3/374).
Maka dapat difahami daripada perbuatan Zaid Bin Thabit dan jawapan Ibnu Umar bahawa sebelum munculnya bintang thurayya, hasil-hasil tanaman rosak disebabkan adanya penyakit dan sebagainya. Kemunculan bintang tersebut adalah satu tanda di mana pada kebiasaannya ia akan muncul pada permulaan musim panas dan kebiasaannya pada ketika itu,tanaman-tanaman akan elok dan jauh dari penyakit.
Bahkan Imam Al-Tahawi turut menjelaskan perkara ini bahawa ianya tiada kena mengena dengan wabak seperti taun atau yang serupa dengan membawa riwayat yang memuatkan jawapan Ibnu Umar sepertimana riwayat Imam Ahmad. Beliau menyebut :
وَعَقَلْنَا بِهِ أَيْضًا أَنَّ الْمَقْصُودَ بِرَفْعِ الْعَاهَةِ عنه هو ثِمَارُ النَّخْلِ
Maksudnya : “ Dan dapat kita fahami bahawa yang dimaksudkan dengan diangkat penyakit adalah hilangnya penyakit yang ada pada hasil dan buah pohon tamar.”
Beliau menyebut lagi :
فَعَقَلْنَا بِذَلِكَ أَنَّهُ على طُلُوعِهَا صَبَاحًا طُلُوعًا يَكُونُ الْفَجْرُ بِهِ
Maksudnya : “ Maka dapat kita fahami bahawa ia muncul pada waktu pagi adalah ketika waktu permulaan fajar.” (Rujuk Syarh Musykil Al-Athar, 6/56-57).
Imam Al-Bukhari meletakkan hadis ini secara muallaq[2] dalam kitab Al-Buyu’ di dalam bab jual beli hasil tanaman sebelum masak elok (باب بيع الثمارقبل أن يبدو صلاحها) nombor 2193. Beliau turut menukilkan di dalam bab tersebut riwayat daripada Kharijah Bin Zaid Bin Thabit daripada Zaid Bin Thabit dengan sedikit tambahan :
فيَتَبَيَّن الأَصفَر من الأَحمَرِ
Maksudnya : “ Sehingga jelas warna kuning daripada warna merah.”
Jika dilihat hadis-hadis selepas itu seakan-akan menjelaskan hadis tentang terbitnya bintang Thurayya. Di antaranya hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah Bin Umar:
أن رسول الله صلى الله عليه وسلم نَهَى عَن بَيعِ الثِّمَارِ حَتَّى يَبْدُو صَلَاحُهَا نَهى البائعَ وَالُمُبتَاعَ
Maksudnya : “Rasulullah SAW melarang dari berjual beli hasil tanaman tamar sehingga betul-betul masak. Baginda melarang penjual dan pembeli.”
Riwayat Al-Bukhari (2194)
Seolah-olah hadis yang diletakkan ini menjelaskan hadis muallaq yang dibawa oleh beliau pada permulaan bab tentang kemunculan bintang Thurayya. Dan sememangnya bintang Thurayya ini menjadi tanda tanaman-tanaman akan masak dan jauh dari penyakit sehingga merosakkannya.
Al-hafiz Ibnu Hajar Al-Asqalani menjelaskan :
وطلوعها صباحا يقع في أول فصل الصيف وذلك عند اشتداد الحر في بلاد الحجاز وابتداء نضج الثمار؛ فالمعتبر في الحقيقة النضج وطلوع النجم علامة له
Maksudnya : “Dan kemunculan bintang tersebut (iaitu bintang Thurayya atau Pleiades) pada permulaan pagi yang mana ianya berlaku pada permulaan musim panas dan ketika itu cuaca tersangat panas di negeri Hijaz. Kemunculan bintang itu juga akan permulaan buah-buah akan masak. Maka ibrah pada hakikat hadis tersebut adalah pada masaknya buah dan kemunculan bintang tersebut adalah tanda bagi perkara tersebut.” (Rujuk Fath Al-Bari Syarh Sahih Al-Bukhari, 4/395).
Al-Zarqani menyebut bahawa Nabi SAW melarang daripada berjual beli hasil tamar sehingga hilangnya penyakit iaitu setelah munculnya bintang Thurayya yang menjadi tanda tamar-tamar akan masak. (Rujuk Syarh Al-Zarqani ‘Ala Al-Muwatta’, 3/337)
Kesimpulannyahadis tersebut adalah hadis yang sabit kepada Nabi SAW. Berdasarkan apa yang telah kami bentangkan dan sebutkan melalui riwayat-riwayat dan penjelasan para ulama, maka dapat kita fahami bahawa konteks hadis tersebut adalah berbeza seperti mana yang disebutkan oleh penceramah tersebut. العاهة  di dalam hadis tersebut bermaksud penyakit yang terkena pada tanaman sehingga merosakkan hasilnya. Konteks yang cuba disampaikan oleh Nabi SAW di dalam hadis tersebut adalah dengan kemunculan bintang Thurayya maka penyakit-penyakit yang ada pada tanaman seperti tamar akan hilang dan kesan dari itu menyebabkan menghasilkan buah yang baik. Ianya tidak ada kena mengena dengan wabak atau virus yang sedang menyerang manusia.
Semoga Allah memberikan kita kefahaman. Wallahu’alam
[1] Ahmad Bin Hanbal,Musnad Ahmad, Tahkik Sheikh Syu’aib Al-Arnaut, cetakan Muassasah Al-Risalah (1997-1418 H), 14/192
[2] Iaitu hadis yang dibuang sanadnya daripada mula sampai akhir. Di dalam Sahih Al-Bukhari terdapat 341 hadis muallaq di mana Imam Al-Bukhari tidak meletakkan hadis tersebut bersama sanad seperti kebiasaan. Ianya dilakukan kerana beberapa tujuan dia antara ia tidak memenuhi syarat beliau namun beliau ingin beristidlal menggunakan hadis tersebut. (Rujuk Al-Wadhih Fi Manahij Al-Muhaddithin, hlm 127)
Copy and paste: 8 May 2020 / 15 Ramadan 1441H :11.43 am

No comments:

Post a Comment