ZULHEIMY MAAMOR

Friday, 8 May 2020

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-200: QUNUT WITIR DI BULAN RAMADHAN

Sumber : Pejabat Mufti WP

Soalan: Apakah dalil disunatkan membaca qunut di dalam witir pada 15 akhir Ramadhan?
Jawapan :
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Berdasarkan soalan di atas, terdapat hadith sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Hasan bin Ali RA di dalam Jami’ al-Tirmizi dan juga di dalam Sunan Abi Daud:
 عَلَّمَنِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَلِمَاتٍ أَقُولُهُنَّ فِي الوِتْرِ: اللَّهُمَّ اهْدِنِي فِيمَنْ هَدَيْتَ... 
Maksudnya: Rasulullah SAW telah mengajarku beberapa perkataan untuk aku sebut di dalam witir: “Ya Allah Ya Tuhan kami! Kurniakanlah kepadaku petunjuk di kalangan mereka yang mendapat petunjuk-Mu…”. [Riwayat al-Tirmizi (464)]
Di dalam mazhab al-Syafie, disunatkan kepada imam atau orang yang solat bersendirian untuk membaca doa qunut pada rakaat terakhir solat sunat Witir dan ia dibaca pada 15 malam terakhir bulan Ramadhan[Lihat: al-Muktamad, 1/309]
 Doa Qunut
Ini adalah bacaan bagi doa Qunut sebagaimana yang terdapat di dalam Sunan Abi Daud:
 اللَّهُمَّ اهْدِنِي فِيمَنْ هَدَيْتَ، وَعَافِنِي فِيمَنْ عَافَيْتَ، وَتَوَلَّنِي فِيمَنْ تَوَلَّيْتَ، وَبَارِكْ لِي فِيمَا أَعْطَيْتَ، وَقِنِي شَرَّ مَا قَضَيْتَ، إِنَّكَ تَقْضِي وَلَا يُقْضَى عَلَيْكَ، وَإِنَّهُ لَا يَذِلُّ مَنْ وَالَيْتَ، وَلَا يَعِزُّ مَنْ عَادَيْتَ، تَبَارَكْتَ رَبَّنَا وَتَعَالَيْتَ
Maksudnya: “Ya Allah Ya Tuhan kami! Kurniakanlah kepadaku petunjuk di kalangan mereka yang mendapat petunjuk-Mu, sihatkan diriku di kalangan mereka yang Engkau berikan kesihatan. Tolonglah daku di kalangan mereka yang mendapat pertolongan-Mu. Berkatilah nikmat yang engkau kurniakan kepadaku. Peliharalah diriku daripada segala keburukan yang Engkau tentukan. Sesungguhnya Engkaulah penentu dan tiada sesiapa yang berkuasa ke atas-Mu. Sesungguhnya tidak akan hina orang yang Engkau muliakan dan tidak akan mulia orang yang Engkau musuhi. Wahai Tuhan kami, Engkaulah yang Maha Suci lagi yang Maha Tinggi”.
 Tambahan pula, disunatkan juga membaca selawat kepada Nabi SAW selepas daripada membaca doa di atas sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi RA di dalam al-Azkar. Selain itu, disunatkan kepada orang yang bersolat bersendirian atau imam jika mereka ingin memanjangkan bacaan doa qunut dengan membaca doa qunut Umar bin al-Khattab RA yang panjang dan kami nyatakan sebahagiannya dan doa ini juga terdapat di dalam kitab al-Azkar oleh Imam al-Nawawi RA:
 اللَّهُمَّ إنَّا نَسْتَعِينُكَ وَنَسْتَغْفِرُكَ وَلاَ نَكْفُرُكَ، وَنُؤْمِنُ بِكَ وَنَخْلَعُ مَنْ يَفْجُرُكَ، اللَّهُمَّ إيَّاكَ نَعْبُد، ولَكَ نُصَلِّي وَنَسْجُد...
Maksudnya: “Ya Allah Ya Tuhan kami, kami memohon pertolongan kepada-MU, kami memohon ampun kepada-Mu dan kami tidak mengkufuri-Mu, kami beriman dengan-Mu dan kami membenci sesiapa yang menderhakai-Mu. Ya Allah Ya Tuhan kami, hanya kepada-Mu kami sembah dan hanya untuk-Mu kami bersolat dan bersujud…”.
 Penutup
Kesimpulannya, kami menutup perbahasan ini dengan sebahagian kata-kata imam al-Nawawi RA bahawa jika seseorang itu berdoa dengan apa-apa doa samada dengan satu ayat atau beberapa ayat daripada al-Qur’an yang merangkupi erti doa maka dia telah berqunut. Akan tetapi, yang lebih afdhal adalah membaca doa berdasarkan apa yang terdapat dan diajar di dalam sunnah Nabi SAW. Ini kerana, seseorang imam itu perlulah melihat makmumnya terlebih dahulu sebelum memanjangkan bacaan doa agar tidak memudharatkan orang yang berimamkannya. Akhirnya, semoga Allah SWT menerima semua amalan kita di dalam bulan yang mulia ini serta memasukkan kita ke dalam syurga-Nya. Amin.
 Wallahua’lam
Copy and paste: 8 May 2020 / 15 Ramadan 1441H: 11.37 am

No comments:

Post a Comment