Sebuah terowong dipercayai berusia ratusan tahun yang jaraknya dari Bukit Nanas hingga ke Sungai Klang telah ditemui. Terowong itu telah ditemui oleh seorang kontraktor yang diupah oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur enam bulan lalu untuk membaikpulih cerun yang runtuh. Dikhabarkan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur ingin menjadikan tempat tersebut sebagai satu lagi pusat pelancongan.
Dipercayai terowong tersebut adalah sebahagian daripada jaringan terowong yang hilang ditelan masa dan pembangunan di kawasan berkenaan. Kaum Mendahiling atau lebih biasa disebut Mandailing menggunakan terowong sempit itu sebagai laluan rahsia ketika berlangsungnya Perang Saudara Selangor pada 1868 hingga 1871.
Masyarakat Mandailing mendiami bukit yang dahulunya dikenali sebagai Bukit Gombak pada pertengahan kurun ke-19. Dahulu di sinilah letaknya Bagas Godang (Rumah Besar) dan juga kubu pertahanan Raja Asal, pemimpin perang kaum tersebut.
Raja Asal dan orang-orangnya menanam pokok nanas di sekeliling kubu pertahanan tersebut. Tujuannya supaya pokok nanas menjadi penghalang kepada musuh kaum Mandailing yang berkaki ayam. Terowong itu pula digunakan sebagai tempat menyimpan senjata, makanan dan juga harta benda, selain menjadi pos strategik apabila kaum Mandailing melancarkan serangan mengejut dan juga sebagai laluan menyelamatkan diri.
Kelmarin, sekumpulan anak-anak Mandailing yang diterajui oleh Affifuddin Hassan dan adiknya, Abdullah telah menjelajah ke tempat bersejarah ini. Turut menyertai ialah petugas dari TV 9 Media Prima. Tujuan utama ialah untuk melihat dengan mata kepala sendiri tempat di mana nenek moyang mereka berjuang menentang British dan tali barut mereka, Tengku Kudin yang telah memperalatkan kesultanan Selangor ketika itu untuk kepentingan politik.
LATAR BELAKANG PEPERANGAN:
Pada 25 Ogos 1857, pemerintah Selangor, Sultan Abdul Samad telah mengeluarkan suatu surat kuasa yang baginda berikan kepada menantunya, Tengku Kudin. Surat itu berbunyi: " Beta Sultan Abdul Samad. Yang diPertuan Negeri Selangor memberitahu kepada Tengku Sutan, Raja Layang, Tengku Raja, Raja Muhammad Yusuf, Raja Perempuan, Raja Budul, Sutan Maharaja Lela, Sutan Jenaga, Sutan Besar, Menteri Gedong, To' Maharaja, To' Setia, To' Maharaja Sudali, Haji Muhammad Saleh. Imam Perang Periok, Imam Perang Malim , bahawa kita telah mengurniakan surat ini kepada anak kita Tengku Kudin serta di cap dengan mohor kita ini dan dia telah menyanggup mengalahkan orang Mendahiling dan orang-orang yang menyebelah kepada orang-orang Mendahiling itu.
1 MAC 1873: Akibat dikepung hampir 4 bulan oleh 4,300 tentera bersekutu British, Cina, Bugis, Kedah, Melayu Batu Bara dan Rembau, para pejuang Mandailing telah kehabisan bekalan makanan. Saluran air di Bukit Nanas juga diletupkan oleh tentera bersekutu. Hampir setiap hari kubu kaum Mandailing itu dibedil menyebabkan ramai pejuang Mandailing dan orang-orang awam yang terdiri daripada orang-orang tua, kaum wanita dan kanak-kanak yang sedang kebuluran mati bergelimpangan di merata-rata. Wan Putih, isteri Raja Asal, sedih melihat keadaan itu.
Raja Asal bersama sekutunya, Sutan Puasa, juga kaum Cina yang dipimpin oleh Chong-Chong menyokong Raja Mahadi, seorang kerabat diraja Selangor. Pada akhir 1871, Sultan Puasa mengumpulkan orangnya di Tanjung Dua Belas, Kuala Langat dan bersatu dengan pasukan orang Mandailing dari Hulu Slim, Perak yang dipimpin oleh Raja Berumun atau dikenali juga Datuk Imam Perang Jabarungun.
Mereka berkumpul untuk menyerang Kuala Lumpur yang dikuasai oleh Kapitan Yap Ah Loy yang disokong oleh Tengku Kudin dan Sultan Abdul Samad. Namun, sebelum pasukan Sutan Puasa dan Raja Berumun sempat menyerang Kuala Lumpur, mereka diserang dahulu oleh pasukan Yap Ah Loy seramai 200 orang dan dibantu oleh orang Melayu daripada pasukan Kapitan Syers yang berjumlah kira-kira 100 orang. Sutan Puasa melepaskan diri ke Klang dan menubuhkan satu lagi pasukan.
Namun Sutan Puasa telah ditangkap oleh pasukan Inggeris yang dipimpin oleh Residen Davidson, Residen British di Selangor dan dipenjarakan di Selangor. Kubu Raja Asal di Bukit Nanas ditembusi oleh pasukan bersekutu Yap Ah Loy, Tengku Kudin dan Inggeris. Raja Asal berundur ke Hulu Slim, Perak, tetapi isterinya, Wan Putih, adik kepada Bendahara Tun Mutahir Pahang, menyerah diri. Beliau kemudiannya dibebaskan. Raja Asal yang telah uzur kemudiannya berpindah ke Changkat Piatu di Kinta, Perak. Pada masa Inggeris sedang mencari Datuk Maharaja Lela dan Datuk Sagor yang terlibat dalam pembunuhan J.W.W. Birch pada 1875, Inggeris di Perak meminta Raja Asal menolong mereka. Meskipun Raja Asal gagal dalam usahanya, Inggeris Perak melantik anak angkat yang juga anak saudaranya bernama Raja Bilah, menjadi Penghulu Mukim Belanja yang berpusat di Pekan Papan pada 1882-1909.Pada 1877, Raja Asal meninggal dunia dan dimakamkan di atas sebuah bukit di Changkat Piatu dekat Batu Gajah.
Syed Mashur , seorang lagi sekutu Raja Asal yang berkubu di Hulu Kelang juga dikalahkan oleh tentera bersekutu Inggeris. Syed Mashur lari ke Perak dan menolong tentera Inggeris mencari Datuk Mahareja Lela.Syed Mashur kemudiannya dilantik oleh kerajaan Selangor yang dikuasai oleh Inggeris menjadi Penghulu di Daerah Kerling. Sultan Puasa pula, selepas dibebaskan dari penjara Kelang menetap di Sungai Mulia, Gombak. Di situ, beliau memiliki sebuah rumah dan sebuah tasik kecil yang dikenali Tobek Sutan Puasa. Tasik itu terletak di belakang Masjid Sungai Mulia. Tobek Sutan Puasa masih wujud hingga ke hari ini.
Copy and paste: FB Kebangkitan Bani Jawi (Nusantara)
10 Julai 2018 : 10.48 pm
Terima kasih berkongsi maklumat sejarah ni..sayangnya buku teks sejarah sekolah tidak menceritakan secara terperinci mengenai peristiwa perang membabitkan yap ah loi...dan x mustahil sampai hari ini masih ada org melayu yg percaya yap ah loi yg membuka kuala lumpur..
ReplyDeletesama sama... begitulah yang saya pelajari dari buku teks sekolah dulu.... Tidak pernah tertulis nama-nama tokoh-tokoh sejarah yang turut menyumbang kepada pembangunan KL...
ReplyDeleteSalam memang betul ade tertulis disebelah pintu gua tersebut dan saya dah pergi kesana raja tersebut dikenali sebagai raja sulong klu x slh saya
ReplyDelete