ZULHEIMY MAAMOR

Saturday, 13 June 2015

Al-Quran jadi panduan

(Artikel ini disiarkan di Harian Metro)

SALAM Ramadan buat semua pembaca sekalian. Doa saya semoga kita semua sentiasa di bawah naungan rahmat Allah SWT. Saya suka berkongsi sedikit pengalaman saya sepanjang aktiviti bulan puasa, tahun ini. Pada minggu pertama Ramadan, ramai mengundang saya ke program anjuran mereka.


Apabila masuk minggu kedua, semakin banyak jemputan bertindih-tindih sehingga saya tidak mampu memenuhinya. Undangan semakin meningkat, khususnya pada 17 Ramadan.
Secara terbuka, saya memohon maaf kerana tidak dapat memenuhi semua undangan itu. Sebagai manusia biasa, pastinya aktiviti dan pergerakan saya terbatas kerana faktor jarak dan masa.


Namun, kenapa pula 17 Ramadan menjadi tarikh kesukaan mereka mengadakan program atau acara? Ini kerana pada tarikh itu berlakunya peristiwa besar iaitu peristiwa Nuzul Quran (penurunan al-Quran).


Nuzul Quran adalah peristiwa turunnya ayat al-Quran pertama kepada Nabi Muhammad SAW sewaktu baginda beribadat di Gua Hirak.
Ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan Malaikat Jibril ialah lima ayat pertama Surah al-Alaq.


Bermula daripada saat itu, al-Quran diturunkan secara beransur-ansur mengikut peristiwa tertentu kepada Nabi Muhammad sepanjang tempoh 23 tahun (yakni 13 tahun di Makkah dan 10 tahun di Madinah) sehingga lengkap kandungannya seperti kita lihat hari ini.
Saya tidak ingin berbicara sejarah penurunan al-Quran kerana saban tahun kita mendengarnya dalam ceramah Nuzul Quran, bahkan pasti ada menghafal sejarahnya.


Saya suka memberi fokus perbincangan mengenai kecintaan kita terhadap al-Quran dan kepentingannya dalam kehidupan seharian.


Kisah penurunan al-Quran termaktub jelas melalui firman Allah dalam Surah al-Baqarah, ayat 185 yang bermaksud: “Bulan Ramadan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang batil).


Menurut keterangan Imam al-Qurtubi, ayat ini menjelaskan Allah menurunkan al-Quran untuk menjadi panduan kepada manusia; menjelaskan kepada mereka yang halal dan haram, menggariskan hukum-hakam serta membezakan antara yang hak dan yang batil.


Secara ringkasnya, al-Quran menerangkan mengenai peraturan atau perkara wajib serta haram dilakukan manusia.


Analogi paling mudah yang boleh kita gambarkan ialah mana-mana teknologi ciptaan manusia lazimnya disertai ‘manual book’ sebagai panduan operasi.


Kalau kita lihat periuk nasi elektrik yang tidak mempunyai jenama pun ada mengandungi satu atau dua muka surat panduan cara operasi, apatah lagi teknologi lebih canggih seperti robot dan komputer.


Semua langkah keselamatan ‘do’s and don’ts’ dan sistem operasi termaktub terperinci dalam manual.


Begitu juga dengan kemalangan di tempat kerja selalunya berlaku kerana kecuaian sendiri yang tidak mengikut prosedur manual operasi.


Allah menciptakan alam maya ini dengan kekuasaan- Nya daripada tiada kepada ada dan memilih daripada kalangan manusia sebagai khalifah atau pemimpin muka bumi.


Jadi, masakan Allah Yang Maha Mengetahui ‘terlupa’ meletakkan ‘buku manual’ sebagai panduan kepada kita.


Tanpa buku manual itu, bagaimana kita dapat mengetahui spesifikasi kerja atau portfolio kita sebagai khalifah yang dilantik Allah.


Semestinya ada satu panduan atau biasa di tempat kerja kita namakan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dapat menjamin satu kehidupan harmoni dan adil bagi manusia di dunia. Satu panduan kehidupan yang dapat membezakan manusia dan haiwan.


Panduan mengenai aturan hubungan kehidupan antara kita sesama manusia dan juga hubungan kita dengan pencipta-Nya.


Justeru, Allah menurunkan al-Quran sebagai ‘panduan cara hidup’ manusia di dunia.


Tidak cukup sekadar itu, bahkan Allah mengutus Nabi daripada kalangan manusia untuk memberi ‘demo’ atau menerangkan panduan itu secara jelas kepada kita.


Al-Quran mukjizat tertinggi dan teristimewa (sama ada di segi bahasa mahupun isinya) yang hanya dikurniakan Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW.


Di segi sejarah, terbukti tiada siapa pun, sama ada di kalangan manusia atau jin, mampu mencipta ayat menyerupai al-Quran.


Semua pakar bahasa dan sasterawan Arab ketika itu dicabar melakukannya tetapi gagal, seperti firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 23 bermaksud: “dan jika kamu ragu-ragu dengan apa yang Kami turunkan kepada hamba Kami, bawalah satu surah seumpamanya, ajaklah saksi-saksi (penolong) kamu, selain Allah, sekiranya kamu (di kalangan) orang yang benar.” Kemudian Allah menegaskan hal ini dalam surah al-Isra, ayat 88 yang bermaksud: “Katakanlah wahai Muhammad, sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding al-Quran, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan sebanding dengannya walaupun mereka saling bantu-membantu.” Jika kita tinjau al-Quran daripada isi kandungan pula, kita akan temui berita dan peristiwa akan datang di mana hal itu di luar kemampuan manusia mengetahuinya.


Amat menyedihkan apabila kita teruja dengan uar- uar ramalan ‘Les Propheties’ (The Prophecies) Nostradamus tetapi lupa merujuk kebenaran janji Allah dalam al-Quran.


Kita dihambat rasa bersalah kerana tidak mengikuti SOP di tempat kerja tetapi berani buat muka tidak bersalah apabila melanggar perintah Allah dalam al-Quran.


Al-Quran yang diturunkan lebih 1,400 tahun lalu adalah mukjizat paling besar dan kewujudannya kekal hingga hari kiamat kerana terpelihara Allah SWT sebagaimana dinyatakan dalam surah Al-Hijr, ayat 9 bermaksud: “Sesungguhnya Kami-lah yang menurunkan al-Quran, dan sesungguhnya Kami benar-benar akan menjaganya.” Ayat yang terkandung tidak akan berubah walaupun satu huruf sejak penurunannya sehinggalah hari kiamat.


Namun, maksud dan pengertiannya tetap boleh diguna pakai manusia tanpa mengira masa, zaman dan keadaan.


Justeru, fakta ilmiah yang terkandung dalam al-Quran yang dulu mungkin tidak diketahui dapat dijelaskan dengan tepat melalui kajian sains dan dibuktikan kebenarannya.


Saya pernah bertanya mentor saya, kenapa orang kini tidak ‘gilakan’ al-Quran. Dengan bersahaja dia menjawab: “Dapatkah kamu menikmati keindahan pantai yang cantik jika kamu hanya singgah sebentar dan memandangnya sepintas lalu? “Pastinya kamu rasa biasa saja dan tidak dapat membezakan keindahan pantai cantik itu dengan pantai lain.


“Namun jika kamu datang dengan niat menikmati keindahannya, kemudian duduk berehat beberapa ketika menghadap laut biru saujana mata memandang, berjalan menyusuri gigi pantai berpasir putih lembut bagaikan baldu, seterusnya meneroka laut yang penuh dengan warna-warni batu karang, sudah tentu kamu seronok dan tergila-gila untuk datang kembali.” Al-Quran bukan setakat dibaca tetapi dikehendaki menghayati maksudnya, meneroka kandungannya dan mengamalkan ajarannya. Ketika itu, baru roh al-Quran akan ‘hidup’ dan memberi manfaat kepada kita.


Dalam keberkatan Ramadan, mari kita sama-sama menggiatkan usaha mengenal dan menghayati kandungan al-Quran. Semoga sama-sama mendapat rahmat Allah di dunia dan akhirat kelak.

Harian Metro
Copied from Internet: 20 August 2011


No comments:

Post a Comment