ZULHEIMY MAAMOR

Thursday, 3 July 2014

Berbuka Puasa Dengan Bak Kut Teh & Kaitannya Dengan Dakwah.

Firdaus W.H. Wong


Kebelakangan ini kecoh isu satu pasangan Cina yang telah memuatnaik gambar mereka menikmati hidangan Bak Kut Teh dan diletakkan logo tanda Halal JAKIM sambil mengucapkan selamat berbuka puasa kepada umat Islam di Malaysia. Ada yang meminta saya untuk mengulasnya tetapi saya bukanlah pakar perundangan. Malahan ada yang mengatakan saya berdiam diri apabila Cina Belum Islam (mereka tak gunakan perkataan ini tetapi mereka guna perkataan 'Cina kafir' tetapi bersuara apabila umat Islam menggunakan jenama Islam bagi melariskan produk jualan mereka seperti air anai-anai dan sebagainya. Ini dua isu berlainan dan saya tidak akan menulis mengenai isu air anai-anai kerana saya telah kongsikan di Facebook saya pada 16hb Julai yang lepas. Anda boleh baca di laman Facebook saya.



Berbalik kepada cerita Bak Kut Teh, perlu kita faham apa itu Bak Kut Teh kerana kadang-kala yang kita fobia atau alergik pada perkara yang salah. Dalam bahasa Cina ditulis 肉骨茶 atau terjemahannya bermaksud; Bak = Daging (ada yang mengkhususkan kepada daging babi tetapi ia juga membawa maksud yang umum), Kut = Tulang/Tulang Rusuk, Teh = Teh (kerana ianya direneh bersama herba dan rempah Cina maka secara harfiahnya adalah Teh Rusuk Daging. Jadi, Bak Kut Teh tidak semestinya merujuk kepada daging babi sahaja. 



 'Pengetua Sekolah Tahfiz Al-Mizan, Terengganu; Ustaz Razali Tahir menikmati Bak Kut Teh Vegetarian bersama dengan kami ketika Konvensyen Sunnah tahun lepas di Penang'

Saya secara peribadi juga kerap memasak Bak Kut Teh di rumah dan menikmati bersama keluarga saya serta rakan-rakan yang lain. 

 'Bak Kut Teh ayam yang dimasak oleh saya sendiri di rumah'

Islam tidak mengharamkan sesuatu berdasarkan nama atau gelaran bagi sesuatu benda mahupun makanan. Islam meraikan kepelbagaian budaya selagi tidak bercanggah dengan syariat (hukum hakam) Islam. Namun kadang kala sifir Muslim di Malaysia yang suka stereotype menjadikan Islam seolah-olah agama yang jumud dan sukar untuk diamalkan. Sebagai contoh, apabila ingin memesan mee segera/goreng di kedai mamak, pasti akan pesan; 'Mamak, Maggi goreng satu' sedangkan mee segera mempunyai pelbagai jenama seperti Mamee, Cintan & Indomie. Begitu juga apabila ingin memesan air cokelat pasti akan dipesannya;Milo sedangkan ada Vico & Ovaltine. Kalau lampin budak akan dipanggil Pampers sedangkan itu jenama lampin manakala kalau tuala wanita akan dipanggilnya Kotex. 

Pernah juga ada orang mengatakan haram untuk minum air Barbican kerana botolnya menyerupai botol bir dan dipanggil Bir sedangkan ianya halal. Kalau begitulah sifirnya, maka jikalau suatu hari pengilang bir menukar botol mereka kepada botol seperti air sirap & kordial nescaya tidak mustahil air sirap & juga kordial di pasaran akan diharamkannya juga. Namun pelik juga kalau begitu analoginya kerana bir juga dijual dalam bentuk tin jadi mengapa air tin tidak diharamkan dan juga Root Beer serta Ginger Beer?

 'Daging Salai ayam Halal kegemaran saya'

 'Luncheon Meat Ayam Halal'

'Muslimah menikmati makanan Cina Halal'

'Muslimah berniqab ini menikmati Dim Sum, sejenis makan istimewa masyarakat Cina'

Mari kita kembali kepada isu tersebut. Ramai antara kita yang terperangkap dengan helah mereka. Daripada 'stunt' mereka yang terdahulu di mana mereka memuatnaik gambar serta video seks mereka, kita dapati bahawa mereka ingin mencari publisiti murahan tetapi sayang seribu kali sayang, umat Islam selalu terperangkap dengan berkongsi gambar serta gambar mereka. Apa yang mereka lakukan adalah sesuatu yang melampau dan tidak menghormati sensitiviti umat Islam kerana ada yang berpendapat;'mana mungkin setelah lama tinggal di Malaysia mereka tak tahu sensitiviti masyarakat Islam yang tak makan daging babi?'

Ya saya setuju mana mungkin mereka tidak tahu tetapi saya juga ingin melontarkan soalan yang sama kepada umat Islam iaitu adakah kita juga mengetahui apakah sensitiviti masyarakat Belum Muslim sedangkan kita juga telah lama hidup bersama mereka? Sedarkah kita bahawa mereka yang menyembahDewi Kuan Yin tidak memakan daging lembu tetapi telah berapa lamakah kita menyakiti mereka dengan menjemput mereka ke majlis terbuka kita sambil menghidangkan daging lembu kepada mereka? Kita marah apabila mereka yang Belum Muslim tidak tahu sensitiviti umat Islam tetapi pernahkah kita sebagai umat Islam berusaha untuk mengenali mereka atau kita merasakan tidak perlu kerana kita adalah majoriti? Sebagaimana kata Stephen Covey; "SEEK FIRST TO UNDERSTAND, THEN TO BE UNDERSTOOD"

Adakah mereka melatah sebagaimana umat Islam melatah dengan protes? 

'Kuan Yin atau juga dikenali sebagai Avalokestara'

Saya bukannya menjustifikasi tindakan pasangan tersebut tetapi saya melihat dari perspektif bagaimanakah kita sebagai umat Islam, umat yang berdakwah untuk mengambil kesempatan dari isu kontroversi ini bagi menyampaikan Islam kepada rakan sekerja kita serta jiran kita yang Belum Muslim tentang Islam daripada kita melatah dengan ugutan dan sebagainya. Apabila kita mengugut maka seolah-oleh menjustifikasi salah faham yang telah wujud dalam minda mereka iaitu Islam agama keganasan sedangkan hakikatnya Islam adalah agama yang menganjurkan keamanan dan kedamaian. Allah SWT memerintahkan kita untuk bersikap lembut apabila berdakwah;


A159
Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.





Gunakan peluang yang terhidang ini untuk berdakwah kepada mereka yang Belum Muslim agar mesej Islam dapat disampaikan kepada mereka dengan lebih berkesan. Saya juga menyarankan agar sahabat semua untuk tidak mendedahkan nama ataupun share link/gambar mereka supaya mereka tidak mendapat publisti yang diharapkan dari perbuatan mereka. Cukuplah kita hanya menulis di status berbentuk umum/khusus tanpa. Semoga Allah SWT membantu. Tunjukkanlah kepada masyarakat Belum Muslim tentang hebatnya Islam dalam segala aspek kehidupan dengan memaafkan mereka dan juga orang lain serta mendoakan agar mereka dan kita dikurniakan taufiq & hidayah oleh Allah SWT.


Copied : 3.7.2014

No comments:

Post a Comment