ZULHEIMY MAAMOR

Sunday, 7 July 2013

TAZKIRAH 17 RAMADAN 1433H

TAZKIRAH 17 RAMADAN 1433H


Tazkirah Ramadan – 17 Ramadan 1433H
Tempat: Surau At Taqwa, AU 5D Lembah Keramat KL
Penceramah: Tuan Haji Saari Sungib – ADUN Hulu Kelang


Intisari Tazkirah:
Tuan Haji Saari mengajak Para Jemaah agar memperbanyakkan amalan-amalan pada 10 hari terakhir bulan Ramadan. Seperti yang kita ketahu di 10 terakhir ramadhan Rasulullah SAW meningkatkan amalan dengan berjaga malam, beriktikaf dan Baginda juga tidak lupa mengejutkan semua ahli keluarganya untuk bersama beribadah dengannya.

Contoh yang ditinggalkan kepada kita oleh baginda SAW wajar dijadikan pedoman di dalam mengisi hari-hari terakhir Ramadan ini. Sepatutnya waktu ini tidak dihabiskan dengan menonton televisyen atau mengunjungi pusat-pusat membeli belah. Kerana inilah fenomena yang sering kita lihat.


Marilah sama-sama kita mempertingkatkan lagi amal ibadah menjelang penghujung ramadhan ini kerana di dalamnya ada satu malam yang sangat istimewa iaitu malam lailatul qadar dan ianya menjadi rebutan para hamba-hamba Allah yang beriman dan bertaqwa.
Amalan beriktikaf juga wajar diteruskan di penghujung Ramadan ini iaitu dengan memperbanyakkan duduk di masjid untuk beribadat kepada Allah.

Kata Imam Az-Zuhri: Maksudnya: “Suatu yang pelik bagi kaum muslimin mereka meninggalkan amalan iktikaf sedangkan Nabi SAW tidak pernah meninggalkannya semenjak baginda tiba di Madinah (hijrah) hingga ia meninggal dunia”.
---------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Allah berfirman yang bermaksud: “Kecelakaan besarlah bagi tiap-tiap pencaci dan pengkeji.” (Al-Humazah: 1)
Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik. Bukanlah tergolong daripada orang mukmin yang suka mencela, mengutuk dan mengeji. Dan bukan pula mereka yang berlidah kotor.” (An-Nahl: 25)

Dalam ayat ini, Allah s.w.t mengutuk perbuatan jahat iaitu menyebarkan fitnah, bercakap ataupun mengisyaratkan perkara yang jahat sama ada terhadap seorang lelaki atau perempuan dengan kata-kata ataupun secara isyarat, atau perangai, atau secara mengajuk-ajuk, ataupun sindiran atau caci maki.

Dalam Islam, kata-kata kotor, makian serta ucapan menghina merupakan satu perkara yang sangat tercela dan dilarang. Sesungguhnya segala sumber perkataan kotor atau nista itu timbul daripada watak yang rendah dan jiwa yang hina. Seseorang Muslim itu perlu memelihara lisan atau lidahnya daripada mencaci maki, walaupun dengan alasan yang kuat. Lebih utama memadamkan api kemarahan itu agar tidak terjadi permusuhan yang mengheret kepada perbuatan dosa.
  


Diriwayatkan dari Saidatina Aisyah r.a. yang menceritakan;
“Aku bertanya Rasulullah s.a.w.; ‘Ya Rasulullah, jika aku menemui lailatul-Qadar (malam al-Qadar) apakah doa paling baik untuk aku ucapkan?’ Jawab Rasulullah; ‘Kamu bacalah doa (yg bermaksud); “Ya Allah, ya Tuhanku! Sesungguhnya Engkau adalah Tuhan yang maha pemaaf. Engkau suka memaafkan (dosa hamba-hamba-Mu). Maka maafkanlah daku (yakni ampunkanlah dosa-dosaku).”

[Riwayat Imam at-Tirmizi]



Zulheimy Maamor
Lembah Keramat, KL
7.7.2013:  12.41am

No comments:

Post a Comment