1. Ulama dikenali dengan ilmunya dan keteguhan pendiriannya. Mereka terpelihara daripada terjebak ke dalam perkara-perkara yang syubahat. Ulama dikenali dengan jihad, dakwah, pengorbanan dari segi waktu, harta benda, nyawa dan kesungguhan mereka di jalan Allah.
2. Ulama dikenali dengan ibadah dan khusyuk mereka kepada Allah. Ulama dikenali dengan jauhnya mereka dari keburukan dunia dan pujuk rayunya. Ulama dikenali dengan pengakuan oleh umat Islam dan jumhurnya dari kalangan ahli hak.
3. Ulama adalah orang yang tidak menginginkan kedudukan, dan membenci segala bentuk pujian serta tidak menyombongkan diri atas seorang pun. Dia yang tidak hasad kepada seorang pun yang berada di atasnya dan tidak menghinakan orang yang ada di bawahnya dan tidak mengharapkan balasan dalam menyampaikan ilmu Allah.
4. Ulama yang tawaduk juga tidak mengaku mempunyai ilmu yang tinggi, tidak berbangga dengan ilmunya atas seorang pun, dan tidak mudah menghukumi orang yang jahil yang melanggar larangan Allah SWT, sebaliknya dengan lemah lembut menasihati mereka dengan cara yang penuh hikmah.
5. Ulama akan mengamalkan ilmu yang dimilikinya. Nabi SAW bersabda maksudnya : "Sesungguhnya orang alim itu adalah orang yang beramal dengan apa yang dia ketahui" (Hadis dalam Sunan ad-Darimi) Sayyidina Ali berkata : "Wahai orang yang mempunyai ilmu! beramallah kamu dengannya kerana sesungguhnya orang yang alim itu adalah orang yang beramal dengan ilmu yang dia ketahui serta selaras antara ilmunya dengan amalannya."
6. Ulama ini meneruskan tugas nabi iaitu mengajar, mendidik, membersihkan hati umat daripada syirik dan maksiat serta berdakwah dan memerintah mengikut perundangan Allah sebagaimana kita fahami daripada ayat 2 surah al-Jumaah .
Firman Allah SWT maksudnya : "Dialah (Allah) yang telah mengutuskan kepada kalangan orang-orang arab yang buta huruf seorang rasul dari bangsa mereka sendiri yang membacakan ayat-ayat Allah yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya. Dan membersihkan mereka daripada aqidah yang sesat serta mengajarkan mereka kitab Allah dan hikmat pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syariat. Dan sesungguhnya mereka sebelum kedatangan nabi Muhammad s.a.w adalah dalam kesesatan yang nyata" (Surah al-Jumaah ayat 2)
Hadis diriwayatkan oleh imam Bukhari dan Muslim dalam sahih daripada Abdullah bin Umar telah berkata : "Aku mendengar Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud : 'Sesungguhnya Allah tidak menarik ilmu dengan menariknya secara mengejut sebaliknya Allah akan menarik ilmu itu dengan mematikan para ulama sehingga tiba suatu masa yang tiada lagi ada ulama maka manusia akan memilih ketua-ketua mereka dari kalangan orang jahil lalu apabila mereka ditanya maka dikeluarkan fatwa yang sesat maka sesatlah mereka serta menyesatkan pula orang lain."
APAKAH ULAMA-ULAMA SEKARANG INI ADA CIRI-CIRI TERSEBUT DI ATAS?
https://www.facebook.com/ - Jamal Hj Abd Kadir
10.4.2013
No comments:
Post a Comment