ZULHEIMY MAAMOR

Sunday, 30 December 2012

ADAB MENYAMBUT TAHUN BARU


Masa berlalu dengan begitu pantas. Hari berganti hari, bulan berganti bulan dan tahun berganti tahun. Sama ada sedar atau pun tidak, kini kita sudah pun hampir melangkah ke tahun baharu 2010 dan dua minggu sebelum menyambut tahun baharu masihi, umat Islam di seluruh dunia menyambut tahun baharu hijrah 1431. Tahun baharu disambut dengan begitu meriah disusuli dengan ’azam’ baru yang dibuat sempena dengan kedatangan tahun baharu ini. Namun, apabila sambutan tahun baharu dicemari dengan perbuatan yang tidak beradab, maka segala keazaman yang dibuat tidak memberikan sebarang makna dan nilai. Hal ini kerana azam yang baik mestilah dimulakan dengan perilaku dan adab yang baik dalam kehidupan.

Ketika sambutan tahun baharu hijrah, terdapat segelintir masyarakat yang sering mempertikaikan upacara sambutan yang dibuat dengan doa awal tahun dan doa akhir tahun. Mereka menyifatkan sambutan tersebut adalah sesuatu yang bid’ah dan bercanggah dengan sunnah nabi. Akan tetapi, mereka tidak pula menyatakan bid’ah terhadap sambutan tahun baharu masihi yang dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti yang meruntun nafsu seperti perhimpunan besar-besaran muda-mudi dan remaja belia, kemudian diikuti dengan persembahan konsert dan percikan bunga api yang amat mempesonakan.

Tambah ‘menyeronokkan’ lagi ialah perhimpunan itu melibatkan percampuran antara lelaki dan perempuan serta pengkid dan pondan tanpa garis pemisahan! Konsert hiburan yang melibatkan percampuran serta pergaulan bebas merupakan acara ‘wajib’ dalam sambutan tahun baharu masihi. Seolahnya, tidak akan wujud tahun baharu sekiranya tidak disambut dengan hiburan dan konsert yang berteraskan budaya hedonisme barat ini.

Manakala amalan yang biasa dilakukan sempena menyambut kedatangan awal muharram sempena tahun baharu hijrah ialah bacaan doa akhir tahun dan doa awal tahun. Walaupun terdapat perbincangan dan kekhilafan tentang bacaan doa ini, namun selagi ia merupakan doa yang tidak bercanggah dengan al-Quran dan al-Sunnah, maka ianya adalah sesuatu yang baik untuk umat Islam. Hal ini adalah kerana doa merupakan sesuatu yang sepatutnya dijadikan amalan harian sama ada pada awal tahun, pertengahan tahun, hujung tahun atau pada bila-bila masa sahaja.Sabda nabi saw bermaksud : ‘Doa adalah senjata bagi orang yang beriman’. Dalam hadis lain disebut bahawa ‘doa adalah asas kepada ibadat’. Cuma, sekiranya doa tersebut tidak diambil daripada doa yang ma’thur daripada al-Quran dan sunnah, maka janganlah menyandarkan amalan tersebut kepada Rasulullah saw. Tambahan daripada itu, sambutan tahun baharu hijrah juga disulami dengan pelbagai program yang bermanfaat seperti forum, ceramah agama, qiamullail dan sebagainya. Sambutan tahun baharu seumpama ini yang diisi dengan program-program yang bermanfaat merupakan sesuatui yang wajar dikekalkan dan diperkemaskan lagi dari semasa ke semasa.

Namun, persoalannya, apakah sambutan tahun baharu hijrah sahaja perlu disambut dengan penuh beradab dan sopan… dan bagaimana pula dengan sambutan tahun baharu masihi ? Sesuatu yang amat mendukacitakan yang berlaku ialah apabila tibanya sambutan tahun baharu masihi, ia dicemari dengan sambutan bercirikan maksiat yang bukan sahaja bercanggah dengan ajaran Islam, tetapi tidak menepati adab-adab dan nilai-nilai masyarakat Melayu yang terkenal dengan akhlak dan budi pekerti yang baik.

Kebiasaannya, sambutan tahun baru Masihi disambut dengan begitu meriah, percikan bunga api yang berwarna- warni dan gegak gempita dengan pelbagai program yang diadakan sempena ‘countdown tahun baharu’. Konsert hiburan diadakan di pelbagai tempat di seluruh Negara. Stesen-stesen televisyen pun tidak melepaskan peluang menyemarakkan semangat ‘Satu Malaysia’ untuk sama-sama menyambut kedatangan tahun baru masihi itu dengan memeriahkan suasana sambutan tahun baharu dengan pelbagai program seperti tayangan filem-filem kesukaan ramai termasuk filem ‘box-office’ untuk santapan mata penonton dan sebagainya.

Masyarakat Malaysia kini seolahnya tidak akan dapat menyambut tahun baru sekiranya tidak ada konsert dan hiburan!Masyarakat Malaysia yang bertunjangkan kepada masyarakat Melayu Islam sudah semakin hilang identiti dan jati diri. Segala apa yang datang dari barat dianggap sesuatu yang baik, lalu dilaksanakan dengan penuh bangga. Budaya ‘hedonisme’ disanjung dengan begitu tinggi. Segala adab dan kesopanan dalam masyarakat makin dilupa dan dipinggirkan. Baharu sahaja sambutan tahun baharu hijrah disambut dengan dengan doa dan ingatan untuk bertakwa kepada Allah, namun sesuatu yang amat malang sekali berlaku adalah apabila datangnya sambutan tahun baharu masihi dua minggu selepas daripada itu, masyarakat kita kembali melakukan maksiat tanpa perasaan malu dan segan silu kepada Allah.

Justeru, sekiranya perkara seumpama ini terus berlaku, apakah mungkin masyarakat dan negara akan memperoleh rahmat dan berkat daripada Allah SWT ?. Sekiranya sambutan tahun baharu terus menerus disambut dengan mengetepikan persoalan adab dan tata-susila, apakah kita akan memperoleh sebuah negara yang baik yang memperoleh keampunan Allah ? Firman Allah dalam surah al-A’raf ayat 96 bermaksud : ‘Dan (Tuhan berfirman lagi): sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan’.

Sehubungan dengan itu, semua pihak sama ada ibu bapa, masyarakat, media massa dan kerajaan bertanggungjawab untuk berusaha mengembalikan ‘adab’ dalam sambutan tahun baharu agar tidak dicemari dengan perbuatan maksiat yang merugikan serta yang menghilangkan keberkatan. Ibu bapa hendaklah mengawasi anak-anak mereka daripada terjebak dalam aktiviti yang sia-sia serta yang melalaikan. Pastikanlah anak-anak tidak berpeleseran dan berkeliaran di waktu larut malam yang ianya sudah tentu akan mengundang situasi yang amat membimbangkan.

Media massa pula wajar memperhebatkan promosi terhadap sambutan tahun baharu yang bercirikan nilai-nilai Islam dan nilai-nilai murni dengan diperbanyakkan filem, drama, diskusi, dan sebagainya yang bermanfaat ke arah melaksanakan kewajipan agama, serta memperkukuhkan jati diri bangsa dan Negara. Sebagaimana yang dimaklumi bahawa peranan media massa dan elektronik dalam hal ini sangat besar bahkan ia boleh merubah minda masyarakat serta mendidik mereka ke arah yang lebih berakhlak dan bersopan dalam apa jua sambutan yang diraikan.

Begitu juga peranan pihak pemerintah dan kerajaan amat diharapkan dalam usaha membentuk jati diri bangsa ‘Satu Malaysia’ ke arah yang lebih beretika dan bermaruah. Kuasa dan amanah kepimpinan yang dipertanggung jawabkan kepada pemerintah hendaklah digunakan dengan sebaiknya ke arah mengembalikan adab dan nilai-nilai murni dalam masyarakat. Oleh yang demikian, sambutan tahun baharu hendaklah diisi dengan sesuatu yang penuh dengan adab dan beretika agar masyarakat Malaysia menjadi masyarakat yang hebat, bermaruah serta mempunyai jati diri yang unggul dan sejati.


Majalah Milenia Muslim Januari 2012



No comments:

Post a Comment