ZULHEIMY MAAMOR

Thursday, 30 April 2026

ANCAMAN "BUCCANEER" DI BESUT PADA ABAD KE 18-19M


Oleh: Dr. Zulkifli bin Abdullah
Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Terengganu (PSMCT)

Sejarah ancaman lanun di Terengganu ada terakam dalam anekdot atau sumber lisan tempatan seperti kisah pembukaan Kampung Rusila di daerah Marang serta daerah Besut. Ia juga terakam dalam “Kisah Pelayaran Abdullah ke Kelantan”.
Asal usulnya berjalan seiring dengan kepesatan perdagangan maritim di Alam Melayu sejak dahulu. Pada abad ke-18M hingga 19M, komoditi tempatan seperti lada hitam dan timah di samping cengkih, buah pala, emas, gamat, sarang burung, gaharu, sagu, kapas dan lain-lain mendapat permintaan yang sangat tinggi daripada para pedagang asing. Terdapat juga komoditi mewah dari China iaitu teh, sutera dan porselin yang menjadi trend gaya hidup bangsa Eropah yang menjadi rebutan.
Perlumbaan untuk menguasai perdagangan menyaksikan pertembungan antara dua kuasa Barat iaitu "Dutch East India Company (VOC)" dengan "British East India Company (EIC)" dan dengan kuasa-kuasa tempatan terutamanya kerajaan Johor-Riau. Situasi ini secara tidak langsung melahirkan "buccaneers" atau "privateers" di perairan Selat Melaka, Laut China Selatan dan Laut Sulu. Mereka bukanlah lanun-lanun atau pirates dalam erti kata yang sebenar namun mereka ialah lanun yang berkhidmat untuk raja atau didalangi pihak-pihak tertentu. Bahkan pekerjaan mereka dianggap tidak melanggar undang-undang dan mulia. Menurut L.A. Mills,
"Malay piracy – to use a well-known but somewhat misleading term – was in 1825 a wide-spread and very honourable calling. It was the profession not merely of outlaws, but of merchants, noblemen, and even Sultans. (Mills: 255)"
Sebagai tindak balas, kapal-kapal VOC diserang menggunakan khidmat para "buccaneers". Misalnya, Brunei yang terjejas teruk akibat dasar monopoli VOC menjadikan pelabuhannya sebagai “pasar gelap” barangan yang dirampas daripada kapal-kapal VOC oleh puak Dayak Laut dan Ilanun. Pada tahun 1690, Panglima Kulup (dianggap lanun oleh VOC) memimpin orang Melayu Perak menyerang dan menghalau keluar VOC dari kota kubu mereka di Pulau Pangkor. Kota kubu itu digunakan VOC untuk mengawal monopoli bijih timah, suatu komoditi terpenting pada zaman itu. Di Selangor, pada tahun 1830, EIC di Pulau Pinang memberi amaran kepada Sultan Muhammad (1826-1857) tentang kejadian rompakan di perairan Selangor.
Istilah "buccaneer" atau "privateer" menjadi popular apabila Ratu Inggeris, Elizabeth I (1558-1603) memerintahkan tentera laut Inggeris menentang dominasi Sepanyol di laut dengan cara melanun "treasure fleet" Sepanyol dan pelabuhan-pelabuhannya. Mereka aktif mengancam perdagangan maritim di Hindia Barat (Laut Caribbean) sehingga terkenal dengan jolokan "Pirates of the Caribbean". Antara tahun 1577 hingga 1580, "Admiral Sir Francis Drake" dari tentera laut Inggeris menyamar sebagai lanun telah menyerang pelabuhan Valparaiso dan Santiogo serta menenggelamkan banyak kapal Sepanyol. Selain Francis Drake, nama-nama seperti Sir Walter Raleigh (1552-1618) dan Sir Henry Morgan (1635-1688) adalah "buccaneer" yang berkhidmat dengan kerajaan Inggeris untuk menentang Sepanyol.
Di Alam Melayu, Inggeris menggunakan taktik yang sama dalam usaha menentang dominasi VOC dengan membekalkan senjata kepada "buccaneers" yang berkhidmat di bawah raja-raja tempatan. EIC bertindak demikian kerana sejak Perang Inggeris-Belanda pada 1780 mereka terpaksa meninggalkan pelabuhan Melaka.
Kemuncak era lanun di perairan Tanah Melayu (1800-1837) menyaksikan kemunculan lanun Orang Laut dari Johor selatan, lanun Sikarna dari Riau-Lingga, lanun Ilanun dari Mindanao dan lanun Balanini dari Sulu. Menurut L.A. Mills,
"Pirates settlements were also scattered all along the Sumatran coast as far as Achin, and in every state of the Peninsula from Terengganu on the East to Kedah on the West (Mills: 261)"
Pada 7 Januari hingga Jun 1784, Yamtuan Muda Johor-Riau-Lingga IV Raja Haji (1727-1784) mengepung kota Melaka yang digunakan VOC untuk mengawal jalur perdagangan maritim di Selat Melaka. Percubaan tersebut gagal bila Raja Haji syahid sewaktu kepungan berlangsung. Sebagai hukuman,VOC menyerang Pulau Penyengat dan meletakkannya di bawah Residen David Rudhe’. Pada Mei 1787, Sultan Mahmud Riayat Shah (1770-1811) bangkit memberontak dengan menyerang kapal-kapal VOC di sekitar perairan Riau. Dalam Tuhfat al-Nafis tercatat, EIC turut terlibat dengan membekalkan meriam, senapang, ubat bedil dan peluru kepada baginda.
Taktik ini berjaya melemahkan kekuatan VOC sehingga Sultan Mahmud digelar sebagai “Raja Lanun”. Pada 10-13 Mei 1787, armada Sultan Mahmud dan sekutunya Raja Tempasuk, ketua lanun puak Ilanun dari Sabah dengan 40 hingga 55 kapal dengan 2,000 orang tiba untuk membantu Sultan Mahmud. Kekuatan itu ditambah kemudiannya apabila meningkat kepada 90 buah kapal perang dengan 7,000 orang semuanya berjaya menewaskan armada Belanda sepenuhnya. Bagi mengelakkan tindak balas Belanda, Sultan Mahmud dan orang-orang Riau telah berpindah ke Lingga dan sebahagian yang lain berpindah ke Pahang dan Terengganu.
Batin Mina dari Riau dan pengikut-pengikutnya antara yang berpindah ke Terengganu. Tindakan Batin Mina menentang VOC menyebabkan mereka dianggap sebagai lanun. VOC bertindak menyerang kubu-kubu Batin Mina dan orang-orangnya. Beliau yang menjadi orang buruan VOC terpaksa berpindah jauh ke Pulau Perhentian dengan menumpang beberapa buah kapal dagang China. Peristiwa Batin Mina membuka Pulau Perhentian berlaku pada penghujung abad ke-18. Kedatangan mereka tercatat dalam “Sejarah Pulau Perhentian Besut”. Menurut pengarangnya Yusoff Kasim,
Batin Mina adalah orang pertama menduduki dan mentadbir Pulau Perhentian. Pada zamannya teraju pentadbirannya terletak di Teluk Dalam iaitu Pulau Perhentian Besar. Pentadbirannya dibantu oleh seorang panglima yang dikenali sebagai Panglima Dayak
Ternyata lanun-lanun itu bukanlah penduduk Melayu tempatan sebaliknya terdiri daripada orang-orang dari luar Besut termasuk Orang Laut dari Johor, puak Sikarna dari Riau, puak Ilanun dari Sabah dan Dayak Laut dari Sarawak.
Di Pulau Perhentian, Batin Mina dan orang-orangnya hidup dengan bertani dan menangkap ikan. Oleh sebab keperluan harian mereka tidak mencukupi, mereka terpaksa meminta keperluan hidup daripada kapal-kapal dagang yang singgah di pulau itu. Pemberian itu sebagai jaminan keselamatan kepada kapal-kapal yang berlabuh. Kapal yang enggan memenuhi permintaannya disekat dari belayar. Mereka dipaksa membayar cukai kepada Batin Mina sebelum diizinkan meneruskan pelayaran. Selepas kematian Batin Mina, pengikut-pengikutnya berpindah ke Kuala Besut.
Aktiviti melanun di Besut dijalankan di sekitar perairan antara Pulau Perhentian dan Pulau Rhu. Manakala sarang lanun pula terletak di Kuala Besut dan Bukit Keluang. Nama-nama seperti Paglima Ebeh, Panglima Garang dan Raja Sanyanya sangat zalim dan ditakuti oleh penduduk Besut. Mereka menyerang kapal-kapal perdagangan yang melalui perairan Laut China Selatan. Tempat ini menjadi pilihan kerana ia merupakan laluan kapal-kapal dagang yang berulang alik dari China ke Asia Tenggara seperti Singapura, Jawa dan beberapa negeri di Tanah Melayu. Pulau Perhentian pula ialah tempat persinggahan, terutama kapal-kapal garam yang belayar dari Singgora ke Terengganu serta kapal-kapal China yang berdagang di Alam Melayu.
Selain itu, Pulau Perhentian menjadi tempat persinggahan kapal-kapal yang berlindung sementara dari angin kencang dan ombak besar. Kapal-kapal yang menggunakan laluan itu menjadi sasaran lanun yang bersembunyi di Pulau Rhu. Mereka menyerang hendap kapal-kapal yang belayar di perairan antara Pulau Perhentian dan Pulau Rhu. Harta rampasan dibawa dan disembunyikan di gua-gua yang banyak terdapat di Bukit Keluang. Seiring dengan peredaran zaman kebanyakan gua-gua itu telah hilang akibat hakisan. Kini hanya tiggal tujuh buah gua sahaja yang diketahui masih wujud seperti Gua Pinggan Mangkuk, Gua Kelawar, Gua Kucing, Gua Siti Zubaidah, Gua Jejawi dan lain-lain yang menjadi sasaran pencari harta karun (Mohd Hafizuddin).
Aktiviti melanun di Besut turut disorot oleh seorang penulis Barat, A.E. Coope. Menurut beliau,
“ ... they were Sea Dayaks from Borneo and had a ‘nest’ in the estuary of the Besut River in Trengganu near the Kelantan border. The Sea Dayaks, and indeed all the non-Malay pirates operating in the area, would be reasonably conversant with Malay.”
Pada tahun 1810 Che Latif membuka petempatan yang dikenali sebagai Kota Pelembang (Besut), beliau terpaksa menghadapi ancaman lanun yang telah lama bertapak kawasan sekitar Kota Palembang. Serangan lanun menyebabkan aktiviti perdagangan di Kota Palembang terancam. Dengan itu, beliau terpaksa meminta bantuan daripada istana Terengganu. Pada tahun 1815, Tengku Kadir diutus sebagai Raja Kota Palembang. Kehadiran Tengku Kadir bersama pasukannya menyebabkan lanun terpaksa berundur ke Pulau Perhentian.
Setelah itu, Tengku Kadir membina petempatan baharu yang dikenali sebagai Kampung Raja yang terletak bersebelahan dengan Kota Palembang sebagai tempat tinggal baginda dan para pengikutnya. Bagi menghalang serangan lanun, baginda memerintahkan benteng-benteng batu dibina di sepanjang tebing sungai Besut berhadapan dengan Kampung Raja dan Kota Palembang. Kesan peninggalan benteng itu paling akhir dapat dilihat pada tahun 1965.
Menjelang abad ke-19, era keemasan aktiviti melanun mulai beransur pudar. Peranan sebagai buccaneers mulai berubah, dari menentang penjajah Barat kepada mencari kekayaan peribadi. Berikutan itu, usaha-usaha pemerintah tempatan membenteras aktiviti melanun mula dijalankan. Tambahan pula sejak Perjanjian Inggeris-Belanda 1824, khidmat para buccaneers tidak diperlukan lagi, EIC yang telah bertapak di Negeri-Negeri Selat, turut menyertai usaha membenteras lanun.
Pada tahun 1837, British menghantar sebuah kapal berkuasa wap “Diana” untuk tujuan tersebut. Kejayaan Kapal “Diana” menyerang perahu-perahu lanun yang sedang merompak sebuah tongkang China berhampiran perairan Terengganu berjaya menakutkan mereka. Sejak itu lebih banyak perahu lanun berjaya dimusnahkan. Aktiviti melanun lahir dari konflik yang diwujudkan oleh Barat, mereka dianggap lanun oleh Barat, sebaliknya dari perspektif tempatan mereka merupakan pahlawan yang berjasa menentang penjajahan Barat. Sebahagian daripada mereka yang diburu VOC menemui “rumah baharu” di Besut dan telah menjadi sebahagian daripada sejarah tempatan yang telah dilupakan.
Rujukan :-
  1. Abdul Malik, 2017, Sultan Mahmud Riayat Syah Pahlawan Besar Gerilya Laut, Depok: Komodo Books.
  2. Buyong Adil, 1981, Sejarah Selangor, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
  3. Coope A.E., 1967, The Voyage of Abdullah, Kuala Lumpur: The Lotus Library, Oxford University Press.
  4. Emmott C., 1965, British History, London: The Grolier Society.
  5. Witt D. D., 2007, History of the Dutch in Malaysia, Petaling Jaya: Nutmeg Publishing.
  6. Hooker V.M., 1991, Tuhfat al-Nafis Sejarah Melayu Islam, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
  7. Mills L.A., 1961, British Malaya 1824-67, Puchong Jaya: MBRAS
  8. Nik Ahmad Tajuddin, 1975, Sejarah Kota Palembang Besut, Esei Karangan Sejarah untuk pertandingan anjuran Persatuan Sejarah Malaysia (Pemenang Kedua Peringkat Kebangsaan).
  9. Ryan N.J., 1974, The Making of Modern Malaysia and Singapore, Kuala Lumpur: Oxford University Press.
  10. Temu bual dengan Mohd Hafizuddin bin Amlin, 43 tahun, Beliau berpengalaman meneroka gua-gua di Bukit Keluang.
  11. Yusoff bin Kasim, Sejarah Pulau Perhentian Besut, (tidak diterbitkan)
  12. Yusoff Kasim, 2018, Penempatan Kampung Palembang, dlm. Orang Terengganu: Asal Usul, Arus Hidup dan Arah Tuju, Kuala Terengganu: Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu.
(Penulis merupakan Ahli Jawatankuasa Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Terengganu)

C&P
30 April 2026: 12.50 p.m

No comments:

Post a Comment