ZULHEIMY MAAMOR

Thursday, 30 April 2026

250 Orang India Berpindah Ke Israel Lepas Claim Mereka Keturunan Yahudi Yang Hilang?


Oleh : Azizul Farhan
The Patriots: 29 April 2026
Haih, diorang ni macam-macam lah. Ni mesti ada mimpi pelik-pelik ni.
Lebih 250 orang India mendarat di Lapangan Terbang Ben Gurion, Tel Aviv yang dikatakan dari komuniti Bnei Menashe, sebuah komuniti dari timur laut India yang mendakwa mereka adalah keturunan salah satu “suku Yahudi yang hilang” sejak zaman Bible.
Pelik kan?
Orang India dari Manipur dan Mizoram tiba-tiba berpindah ke Israel kerana percaya nenek moyang mereka berasal daripada Bani Israel yang hilang lebih 2,700 tahun lalu. Tapi inilah yang sedang berlaku sekarang. Menurut laporan, sekitar 250 anggota komuniti Bnei Menashe mendarat di Tel Aviv baru-baru ini di bawah program kerajaan Israel untuk membawa masuk komuniti tersebut secara berperingkat. Mereka ini dikatakan kumpulan pertama yang tiba sejak kerajaan Israel membuat keputusan pada November lalu untuk membiayai perpindahan ribuan anggota Bnei Menashe dari India ke Israel.
Persoalannya, siapa sebenarnya Bnei Menashe ini? Betul ke mereka keturunan Yahudi purba? Atau ini cuma mitos dongeng sahaja?
Dalam tradisi Yahudi, ada kisah tentang “Ten Lost Tribes of Israel” atau sepuluh suku Israel yang hilang. Sekitar abad ke-8 sebelum Masihi, kerajaan Assyria menakluk Kerajaan Israel Utara. Ramai penduduknya dibuang negeri, dipindahkan dan lama-kelamaan hilang daripada catatan sejarah. Antara suku yang sering disebut dalam kisah ini ialah Reuben, Simeon, Dan, Naphtali, Gad, Asher, Issachar, Zebulun, Ephraim dan Manasseh. Bnei Menashe pula bermaksud “anak-anak Menashe” atau “anak-anak Manasseh”. Komuniti ini percaya mereka berasal daripada suku Manasseh, salah satu suku yang dikatakan hilang selepas penaklukan Assyria sekitar 722 sebelum Masihi.
Menurut kisah lisan mereka, nenek moyang mereka dikatakan mengembara jauh dari tanah Israel ke arah timur. Dari kawasan Parsi, Afghanistan, Tibet dan China, sebelum akhirnya sampai ke kawasan yang hari ini dikenali sebagai Manipur dan Mizoram di timur laut India. Mereka mendakwa dalam perjalanan panjang itu, mereka masih mengekalkan beberapa amalan yang dianggap mirip tradisi Yahudi seperti berkhatan, amalan korban dan beberapa adat tertentu dalam kehidupan masyarakat
Cuma di sinilah ceritanya jadi menarik. Sebab selama berabad-abad, komuniti ini langsung tak dikenali sebagai Yahudi. Mereka adalah sebahagian daripada masyarakat Kuki, Mizo dan Chin yang tinggal di kawasan pergunungan timur laut India berhampiran sempadan Myanmar dan Bangladesh. Dari segi bahasa dan budaya, mereka lebih dekat dengan masyarakat Tibeto-Burman berbanding masyarakat Yahudi Timur Tengah. Pada abad ke-19 pula, ramai daripada mereka memeluk agama Kristian selepas kedatangan mubaligh Barat ke kawasan tersebut.
Titik penting dalam kebangkitan identiti ini berlaku pada abad ke-20. Pada tahun 1951, seorang bomoh Mizo bernama Challianthanga atau Mela Chala dikatakan mengalami mimpi bahawa masyarakat Mizo, Kuki dan Chin adalah keturunan suku Israel purba.
Dari situlah perlahan-lahan muncul gerakan yang melihat masyarakat sebagai waris kepada satu sejarah Yahudi yang hilang. Gerakan ini semakin berkembang pada sekitar 1970-an dan 1980-an apabila mereka pula menghubungi komuniti Yahudi di India dan Israel.
Hah, aku dah kata dah. Memang mimpi pelik-pelik lah ni.
Kemudian muncul nama Rabbi Eliyahu Avichail, tokoh Israel yang terlibat dalam usaha mencari komuniti-komuniti yang dianggap keturunan “lost tribes”. Beliau melihat kaitan antara nama Menashe dalam Bible dengan beberapa nama nenek moyang atau tokoh dalam tradisi lisan masyarakat Kuki dan Mizo seperti Manmasi atau Manasia. Dari situlah istilah Bnei Menashe menjadi semakin popular. Pada awalnya, Israel tidak terus menerima mereka sebagai Yahudi. Malah, proses membawa mereka ke Israel berlaku secara kecil-kecilan, kadang-kadang dengan visa pelancong, kemudian mereka belajar agama Yahudi Ortodoks dan melalui proses penukaran agama.
Pada tahun 2005, Ketua Rabbi Israel dilaporkan mengiktiraf Bnei Menashe sebagai “lost seed of Israel”, tetapi isu ini tetap tidak semudah yang disangka. Ramai anggota Bnei Menashe masih perlu melalui proses penukaran agama secara rasmi sebelum diterima sepenuhnya sebagai Yahudi menurut undang-undang agama. Sebab itu, dalam laporan terbaru pun disebut bahawa mereka yang baru tiba di Israel masih perlu menjalani proses tukar agama untuk menjadi warganegara Israel.
Kajian genetik yang pernah dibuat terhadap komuniti ini tidak memberikan bukti yang benar-benar muktamad. Ada kajian yang menunjukkan beberapa petunjuk tertentu, tetapi ada juga kajian lain yang menolak kesimpulan itu sebagai tidak cukup kuat. Indian Express melaporkan bahawa ujian genetik yang dikaitkan dengan isu ini pernah dianggap tidak konklusif dan saintis di Technion-Israel Institute of Technology juga menjalankan ujian yang hasilnya tetap tidak memberi jawapan mutlak.
Jadi, adakah mereka benar-benar keturunan Manasseh?
Entahlah, mereka percaya begitu, sebahagian institusi agama Israel menerima naratif itu dalam kerangka tertentu, tetapi dari sudut sejarah akademik dan bukti genetik, dakwaan itu masih diperdebatkan.
Namun, dikatakan Bnei Menashe ni sudah puluhan tahun mengamalkan cara kehidupan Yahudi moden. Mereka belajar Ibrani atau Hebrew, mengamalkan adat Yahudi, menghantar anak-anak mereka untuk belajar agama dan sebahagian daripada mereka sudah lama berhijrah ke Israel sejak 1990-an. Menurut organisasi Shavei Israel, kira-kira 4,000 anggota Bnei Menashe telah berhijrah ke Israel sejak dekad 1990-an, manakala ribuan lagi masih berada di India.
Kumpulan terbaru yang tiba di Israel ini pula merupakan sebahagian daripada operasi kerajaan Israel. Menteri Imigresen Israel, Ofir Sofer menyifatkan ketibaan mereka sebagai “detik bersejarah”. Perancangan Israel adalah membawa masuk lebih ramai anggota Bnei Menashe secara berperingkat dengan laporan menyebut sasaran sekitar 1,200 orang setahun. Times of India pula melaporkan bahawa Israel meluluskan rancangan menyerap hampir 6,000 anggota komuniti Bnei Menashe dari Mizoram dan Manipur secara berperingkat menjelang 2030.
Kenapa sekarang?
Salah satu sebabnya ialah keadaan di Manipur. Negeri itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini bergolak akibat ketegangan antara komuniti Meitei yang majoritinya Hindu dan komuniti Kuki yang majoritinya Kristian. Konflik ini telah menyebabkan ratusan orang terbunuh dan ramai penduduk terpaksa berpindah keluar.
Tapi perpindahan ke Israel juga bukan bermaksud hidup terus jadi mudah. Ada juga laporan bahawa anggota Bnei Menashe yang sudah lama berada di Israel pernah berdepan isu diskriminasi kerana rupa fizikal dan latar etnik mereka berbeza daripada gambaran umum orang Yahudi Israel yang biasa dilihat.
Namun, bagi kerajaan Israel pula, kedatangan Bnei Menashe membawa makna politik dan demografi. Dalam negara yang menjadikan konsep “aliyah” iaitu kepulangan orang Yahudi ke tanah Israel sebagai salah satu teras pembinaan negara, komuniti seperti Bnei Menashe dilihat sebagai “saudara jauh” yang akhirnya pulang selepas beribu tahun terpisah.
___
Betul ke Melayu pun dikira salah satu suku Yahudi yang hilang?
Jangan nak membongak, sini takde Yahudi. Harga Yahudi ada lah!
Tapi kalau korang betul-betul berminat nak mendalami sejarah bangsa Yahudi yang sangat panjang sekitar 2,000 tahun ini, boleh dapatkan buku KITAB TAMADUN YAHUDI dengan segera!
Dapatkan dengan diskaun di webstore kami:
Atau seperti biasa melalui Shopee:

C&P
30 April 2026: 11.51 a.m


No comments:

Post a Comment