ZULHEIMY MAAMOR

Saturday, 23 November 2024

KISAH NABI SULAIMAN MENGISLAMKAN KERAJAAN ANGKOR

Posted by: Ibrahim Bakar Langkawi
FB KEDAH HISTORICAL SITES
1. Dalam sebuah kitab terjemahan Arab ke Melayu tentang kisah para Nabi, yang kami sering diperdengarkan dalam pengajian kampung dalam tahun 1960-an, ada disebut tentang kisah Nabi Sulaiman dan tenteranya mengislamkan kerajaan Angkor.
2. Penulis kitab asalnya, bukanlah calang-calang orang, iaitu Imam Ibnu Katsir, iaitu seorang ahli tafsir dan sejarahwan Islam terkenal. Kitab sejarah yang ditulisnya ialah ‘Qisas al-Anbia’ yang sangat terkenal. Kitab ini diterbitkan berulang kali dan diterjemahkan ke pelbagai bahasa.. Imam Ibnu Katsir hidup dalam abad ke-14 Masihi, yakni dilahirkan dalam tahun 701 Hijrah, bersamaan kira-kira 1300 Masihi, manakala beliau wafat dalam tahun 774 Hijrah, bersamaan 27 Februari 1373 Masihi. Nama dan gelaran lengkap beliau ialah Imam Abul Fida’ Ismail bin Omar bin Katsir al-Dimasyqi.
3. Terjemahan kitab ini ke Bahasa Melayu dilakukan oleh Al-Alim Al-Fadhil Al-Haji Azhari Al-Khalidi. Kitab terjemahan itu diterbitkan dan diedarkan / dijual oleh Maktabah wa Matbaah Darul Maarif, Pulau Pinang. Asalnya dicetak di Matbaah Isa Albani Al-Halabi bi Masir. Tidak dinyatakan tarikh terjemahan dan terbitannya.
4. Kisahnya, Nabi Sulaiman telah mengetahui tentang wujudnya sebuah pulau, di mana di dalamnya terdapat sebuah kerajaan yang hebat dinamakan Kerajaan Angkor.
5. Menurut kisah itu, dalam negeri Angkor itu terdapat sebuah dewala (?diwal, yakni dinding atau tembok keliling kota), yang dibina daripada batu har ‘yang dipeliharakan’ (yakni diukir dan dihias) (Ibnu Katsir, terjemahan Qisas Al-Anbia: 307). Pada dewala itu terdapat 2000 penjuru, dengan beribu-ribu bagai (jenis) ukirannya.
6. Di dalam dewala itu terdiri sebuah mahligai dengan beberapa tingkapnya. Pada setiap tingkap itu terdapat tangganya, pagaranya (pagar) dan bunyinya. Apabila dimasuki ke dalam kawasan itu, didapati terlalu ramai ‘makhluk’ (manusia).
7. Negeri (pusat pemerintahan) itu panjangnya 7 persangga (1 persangga = 6 km; Kamus Dewan: 954), lebarnya 50 persangga.
8. Di tengah-tengah ‘negeri’(kota) itulah terdapat sebuah mahligai yang amat besar dan tinggi. Mahligai itu mempuyai sangga (column / tiang) daripada mar-mar, 100 kaz tinggi dewalanya.
9. Di halaman mahligai itu terdapat suatu padang luas. Di tengah-tengah padang itu terdapat sebuah menara, manakala di kemuncak menara itu terdapat seekor burung, namanya ‘Iqab (geruda?), diperbuat daripada emas merah. Di dalam perut burung itu dibuat langit-langit.
10. Di pintu masuk mahligai itu terdapat 2 patung harimau yang sangat besar, dibuat daripada tembaga Semberani dan timah putih. Antara dua patung harimau itu terdapat pula dua patung berupa manusia, 30 kaz tingginya.
11. Di dalam mahligai itu terdapat 4 buah bilik, sangganya (tiang) daripada mar-mar. Di dalam bilik-bilik itu terdapat ramai hamba sahaya perempuan, yang rupanya cantik-cantik belaka, setiap orang memegang sebiji buah delima.
12. Semua dayang-dayang itu memakai mahkota dan ‘qamar’. Di situ ada sebuah singgahsana daripada zamrud, yang warnanya hijau bercahaya, diikatnya dengan emas diunus.
13. Di situ juga terdapat seorang tua yang sedang duduk, matanya sebelah buta, dan bongkok belakangnya. Di hadapannya terdapat seorang wanita remaja, yang cantik rupawan, tiada bandingannya pada masa itu. Wajahnya sentiasa tersenyum, dengan amat sukacita duduk di hadapan orang tua itu. Seketika, lalu kanak-kanak itu bangkit turun daripada takhtanya. Maka keluarlah 4 ribu orang daripada segala bilik, mendekati kanak-kanak perempuan itu. Maka 4 ribu hamba sahaya itu duduk berkeliling mengadapnya.
14. Menara dan burung ‘Iqab adalah lambang negeri itu. Apabila 12 ribu hayam (ayam) berkokok maka bangunlah rakyat untuk beribadat, datang menyembah hayam itu, dari pagi hingga petang. Adapun patung berupa harimau dan rupa manusia itu adalah lambang kehakiman negeri itu. Rupa manusia itu mewakili pihak yang bertugas menjatuhkan hukuman, manakala harimau mewakili pihak yang menjalankan hukuman.
15. Jika burung ‘Iqab itu berkokok tanda ada seteru raja dari jauh. Jika ‘Iqab emas itu berkokok, maka semua ayam jantan akan berkokok, maka terdirilah ‘tunggul’ (bendera), maka segala alat bunyian akan berbunyi sendirinya, maka ‘tabal’ (sejenis gong) pun berbunyi juga. Maka segala rakyat akan mengambil senjata dan baju zirah (?besi), bersedia untuk berperang.
16. Nama Raja negeri itu ialah Raja Angkor. Bagindalah ayahanda kepada kanak-kanak perempuan, yang sentiasa berwajah riang itu. Nabi Sulaiman mendapat maklumat bahawa Negeri Angkor itu adalah negeri yang tidak menjalankan syariat Allah. Maka Nabi Sulaiman mengambil keputusan untuk menyerang dan menakluki negeri Raja Angkor itu, sebagai suatu kewajipan (fardhu) mengIslamkan kerajaan tersebut.
17. Seterusnya Nabi Sulaiman bersama Asif anak Barkhia pun mengatur tenteranya. Maka berlakulah peperangan yang hebat antara kedua pihak.
18. Nabi Sulaiman memerintahkan angin/taufan menyerang Raja Angkor itu, serta patung Harimau dan patung Rupa Manusia itu pun roboh. Maka ketika itulah Raja Angkor dibunuh. Kemudian kepalanya dibawa orang ke hadapan Nabi Sulaiman (Qisas Al-Anbia terjemahan: 308).
19. Kemudian, Nabi Sulaiman menitahkan supaya segala binaan sembahan Raja Angkor itu dimusnahkan dan dibuang ke laut. Berikutnya Nabi Sulaiman memerintahkan supaya puteri Raja Angkor itu ditawan dan dibawa ke hadapannya. Maka dilakukan oleh tenteranya. Kemudian puteri Raja Angkor itu diIslamkan, serta mengucap syahadah.
20. Setelah beberapa ketika, apabila hilang kesedihan puteri Angkor itu kerana kemangkatan ayahandanya, maka Nabi Sulaiman pun menjadikannya isteri.
21. Pada suatu hari datang Iblis berupa seorang perempuan tua, menghasut tuan Puteri supaya membuat patung ayahandanya, bagi tujuan memuliakannya, seperti masa baginda masih hidup. Maka dibuatlah patung / gambar ayahnya, tanpa pengetahuan Nabi Sulaiman. Maka sehari-hari tuan Puteri menyembah gambar ayahnya itu. Setelah itu, Jibril memberitahu Nabi Sulaiman akan keadaan isterinya yang telah menyembah berhala di dalam rumahnya. Maka Nabi Sulaiman menitahkan supaya patung itu dimusnahkan, agar semua mereka kembali menyembah Allah yang esa.
22. Berikutnya Nabi Sulaiman menitahkan supaya dibina semula sebuah mahligai baru untuk isterinya itu setara dengan apa yang pernah dibuat oleh ayahandanya Raja Angkor dahulu (Qisas Al-Anbia terjemahan: 310).
23. Sejak itu Negeri Angkor tetap sebagai sebuah negeri Islam, di bawah pemerintahan puteri Raja Angkor, isteri Raja / Nabi Sulaiman.
24. Diceritakan juga, Nabi Sulaiman mempunyai 300 isteri wanita merdeka, 700 gundik daripada hamba sahaya. Namun, Nabi Sulaiman tidak dikurniakan anak, melainkan hanya seorang anak angkat.
25. Artikel pendek ini hanya mengutarakan secebis kisah tentang wujudnya sebuah kerajaan bernama ‘ANGKOR’ dalam zaman Nabi Sulaiman. Persoalan benar atau tidak kisah ini, barangkali amat bergantung pada masa dan penelitian akan datang.
26. Berkaitan itu, menurut Isaac Asimov, Nabi Sulaiman memerintah di Palestine sekitar antara tahun 962-922 SM (Asimov, 1991: 46). Ada pendapat lain mengatakan Nabi Sulaiman telah wafat dalam tahun 937 SM (Jawad, 1976, Jilid I: 640).
27. Seperti yang diketahui umum, serta ahli-ahli sejarah mainstream, Kerajaan Angkor adalah sebuah kerajaan yang wujud di tapak negara Kampuchea sekarang. Kerajaan ini dikatakan telah wujud sejak 802 Masihi, terus gemilang hingga 1432 Masihi (Hall DGE, 1987, Terjemahan DBP: 1126).
28. Kalau begitu, di manakah hendak kita letakkan kisah Kerajaan ANGKOR dalam zaman Nabi Sulaiman (ca. 930 SM) yang tersebut tadi, di atas ‘timeline’ sejarah mainstream?. Bagi menjawab persoalan ini, barangkali dapat kita sebut kerajaan itu sebagai Kerajaan ANGKOR AWAL. Berikutnya, melalui cross-checking yang dilakukan, kami tidak menemui negeri taklukan Nabi Sulaiman yang namanya ‘Angkor’ di sekitar Timur Tengah atau Asia Barat. Negeri yang namanya demikian hanya wujud di Alam Melayu.
29. Namun, sudah tentu kita perlu pada kajian arkeologi untuk membuktikan wujudnya zaman yang dikatakan zaman ‘Angkor awal’ itu. Di manakah letak pusat kerajaan ‘Angkor awal’ itu? Masyarakat dunia belum mengetahuinya. Sedangkan kewujudannya telah pun disebut oleh sejarahwan abad ke-13 Masihi, iaitu Ibnu Katsir. Berkaitan ini, kalaulah anda adalah seorang arkeologis, sudah tentu anda tidak sanggup menafikan kisah ini terlebih dahulu sebagai mustahil, sebelum melalui proses penelitian arkeologi. Maka, kita balik kepada kata-kata ‘belum mengetahui tidak bererti tidak ada’.
30. Ada kebarangkalian, 'Angkor Awal' itu mendahului kerajaan Funan, yang pernah berkuasa di Laut China Selatan hingga ke Segenting Tanah Melayu, termasuk kerajaan Kedah tua.

Copy and paste:
23.11.2024 : 6.20 p.m

No comments:

Post a Comment