ZULHEIMY MAAMOR

Sunday, 24 November 2024

BATU CAVES SEBENARNYA KAPAL SI TANGGANG

SUMBER: FB KISAH SEJARAH MELAYU
Posted by: Sarah Zakariya > 23.11.2024

Oleh: Azizul Farhan
Kalau sebut je Batu Caves, mesti ramai terus terbayangkan patung emas Lord Murugan, tangga warna-warni, dan suasana meriah semasa Thaipusam.
Tapi, pernah tak terlintas di fikiran, “Eh, Batu Caves ni sebenarnya apa sejarah dia?”
Lagi menarik, pernah dengar tak kisah bahawa Batu Caves pernah dikaitkan dengan Si Tanggang, si anak derhaka yang disumpah jadi batu?

Kisah Si Tanggang: Batu Caves Kapal Yang Disumpah?

Cerita Si Tanggang bukanlah sekadar kisah dongeng biasa. Ia diklasifikasikan sebagai legenda pendosa iaitu cerita rakyat yang mengisahkan hukuman ke atas kesalahan seseorang.
Selain itu, cerita ini juga boleh diletakkan di bawah legenda asal usul nama tempat, iaitu Batu Caves (dahulunya dikenali sebagai Batu Keb) yang dipercayai tempat sumpahan Si Tanggang berlaku.
Menurut kepercayaan masyarakat setempat, Batu Caves ialah kapal Si Tanggang yang disumpah. Tambahan pula, terdapat beberapa kampung berhampiran seperti Kampung Nakhoda, Kampung Laksamana dan Kampung Temenggung yang dikatakan dinamakan sempena anak-anak kapal Si Tanggang. Bahkan nama kawasan Selayang juga dipercayai berasal dari nama ikan selayang yang kononnya pernah ditangkap oleh Si Tanggang dan anak kapalnya!

Gua Gelap: Darah Si Tanggang?

Di Batu Caves, terdapat sebuah gua yang dikenali sebagai Gua Gelap, di mana batuan berwarna merah seakan darah mengalir di celah-celah batu dan lantai gua.
Penduduk tempatan dahulu percaya bahawa itu ialah darah beku Si Tanggang akibat sumpahan ibunya. Malah, pelancong yang melawat gua ini sering kali teragak-agak untuk menyentuh air atau batu di situ, seolah-olah mereka takut terkena sumpahan yang sama.
Namun, menurut pakar geologi, fenomena ini sebenarnya disebabkan oleh tindak balas kimia. Ketua Kumpulan Teras Warisan Geologi Malaysia, Profesor Mohd. Shafeea Leman menjelaskan bahawa air di gua itu mengandungi besi oksida yang menyebabkan batuan berwarna oren.
Apabila terdedah kepada oksigen, ia berubah menjadi merah. Jadi, ia bukanlah darah Si Tanggang tetapi sekadar proses semula jadi!

Persamaan Kisah Si Tanggang di Nusantara

Kisah Si Tanggang bukan hanya wujud di Malaysia. Di Pantai Air Manis, Padang, Sumatera, terdapat batu berbentuk manusia yang dipercayai sebagai Si Tanggang bersama serpihan kapalnya.
Begitu juga di Brunei, terdapat lokasi yang dikaitkan dengan sumpahan Si Tanggang. Menurut Profesor Datuk Dr. Ramlah Adam, penemuan ini menunjukkan legenda Si Tanggang mungkin ada asas kebenarannya, memandangkan ia berkaitan dengan tamadun dan perdagangan di Nusantara.
Namun, beliau juga berpendapat bahawa cerita ini telah berkembang melalui lisan dan ditambah elemen magis untuk menjadikannya lebih menarik.
Persamaan kisah ini di tiga negara juga menimbulkan persoalan: “Bagaimana satu kejadian boleh berlaku di tiga lokasi yang berbeza?”

Dari Legenda ke Tapak Suci Hindu

Batu Caves bukan sekadar tapak legenda. Sejarahnya juga penuh warna-warni.Sebelum ia menjadi kuil Hindu, gua ini digunakan oleh Orang Asli suku Temuan sebagai tempat berteduh dan kemudian oleh peneroka Cina pada era penjajahan British untuk mengumpulkan guano (tahi kelawar) sebagai baja pertanian.
Pada 1890-an, seorang pemimpin masyarakat India tempatan, K. Thamboosamy Pillai melihat pintu masuk gua yang menyerupai Vel, lembing suci Lord Murugan.
Beliau mengambil keputusan untuk menjadikan Batu Caves sebagai pusat pemujaan kepada dewa tersebut. Bermula dari situ, Batu Caves berubah menjadi tempat ibadat utama Hindu dan simbol keagungan Thaipusam.

Antara Mitos dan Realiti

Batu Caves ialah gabungan sejarah, mitos dan kepercayaan. Sama ada benar atau tidak ia adalah kapal Si Tanggang yang disumpah, legenda ini telah menjadikan Batu Caves lebih menarik dan misteri. Setiap batu, gua, dan aliran air di sini seolah-olah menyimpan cerita yang belum habis diceritakan.
Jadi, lain kali bila anda panjat 272 anak tangga ke Batu Caves, bayangkan anda sedang menaiki tangga kapal Si Tanggang.
Adakah ia kapal sumpahan atau sekadar gua semula jadi? Jawapannya terletak pada bagaimana kita menghargai sejarah dan warisan ini.
Batu Caves bukan hanya sekadar gua. Ia adalah tempat di mana mitos dan realiti bersatu.

Kredit kepada Azizul Farhan
The Patriots Studios
Copy and paste:
24.11.2024: 11.31 a.m








All reactions:4343

No comments:

Post a Comment