ZULHEIMY MAAMOR

Friday, 22 November 2024

ADA TEROWONG RAHSIA BAWAH MENARA KUALA LUMPUR

Dari FB The Patriots Studios

Oleh: Azizul Farhan
Di bawah kaki Menara Kuala Lumpur, sebuah rahsia sejarah terungkap apabila pada tahun 2013, satu penemuan mengejutkan berlaku.
Semasa kerja-kerja membaik pulih cerun runtuh di Bukit Nanas, seorang kontraktor telah menemui pintu masuk ke sebuah terowong rahsia yang dipercayai berusia lebih 150 tahun!
Terowong sepanjang 10 meter itu membawa kita kembali ke abad ke-19, ketika Kuala Lumpur masih dikelilingi hutan tebal dan menjadi saksi Perang Saudara Selangor.
Menariknya, terowong ini dipercayai sebahagian daripada jaringan laluan bawah tanah yang digunakan oleh masyarakat Mandailing untuk bertahan dan menyerang semasa peperangan tersebut.
[Bukit Gombak, Kubu Pertahanan Kaum Mandailing]
Sebelum dikenali sebagai Bukit Nanas, kawasan ini digelar Bukit Gombak.
Pada pertengahan abad ke-19, ia menjadi tempat tinggal masyarakat Mandailing yang diketuai Raja Asal.
Mereka membina sebuah kubu pertahanan yang dipanggil Bagas Godang atau Rumah Besar di puncak bukit itu.
Sebagai taktik perang, Raja Asal memerintahkan orang-orangnya menanam pokok nanas di sekeliling bukit.
Duri tajam pada daun nanas itu berfungsi sebagai penghalang semula jadi terhadap musuh yang berkaki ayam, malah dipercayai mampu "menawarkan" ilmu kebal musuh. Satu strategi yang bijak dan unik!
Namun, yang paling menarik ialah terowong rahsia yang mereka bina. Ia digunakan sebagai tempat menyimpan senjata, makanan, dan harta benda.
Pada masa yang sama, ia berfungsi sebagai laluan keluar-masuk strategik ke Sungai Klang dan lombong bijih timah berdekatan serta menjadi tempat untuk melancarkan serangan mengejut.
[Sejarah Perang Saudara Selangor / Perang Klang (1867–1874)]
Penemuan terowong ini menghidupkan kembali cerita peperangan yang berlaku di Bukit Gombak, salah satu lokasi penting dalam Perang Saudara Selangor.
Perang ini tercetus apabila Raja Mahadi, pewaris Klang, merasa terhina selepas Raja Abdullah yang berasal dari Riau dilantik oleh Sultan Selangor untuk mentadbir Klang.
Keadaan semakin parah apabila Raja Abdullah memajak Klang kepada pedagang luar menyebabkan Raja Mahadi memulakan pemberontakan.
Bukit Gombak menjadi kubu pertahanan utama Raja Mahadi dengan bantuan masyarakat Mandailing.
Di bawah pimpinan Raja Asal dan Sutan Naposo (juga dikenali sebagai Sutan Puasa), masyarakat Mandailing bertempur dengan sengit.
Walau bagaimanapun, pertempuran ini menyaksikan penglibatan Tengku Kudin, menantu Sultan Selangor yang mendapat bantuan tentera dari Kedah dan Pahang termasuk pahlawan terkenal, Tok Gajah dan Datuk Bahaman.
Dengan kekuatan gabungan itu, kubu Bukit Gombak akhirnya tumbang.
[Terowong, Bukti Sejarah yang Hilang Ditelan Masa]
Apa yang menjadikan terowong ini begitu istimewa ialah ia dibina dengan tangan kosong menggunakan alat-alat tajam dan tanpa bantuan teknologi moden.
Ia membuktikan kehebatan masyarakat dahulu dalam mencipta strategi bertahan di tengah-tengah konflik berdarah.
Lebih menarik, cerita tentang terowong ini telah lama menjadi buah mulut masyarakat setempat.
Penemuan pada tahun 2013 ini akhirnya mengesahkan kewujudan terowong tersebut, sekaligus mengukuhkan kisah lisan tentang perang di Bukit Nanas.
Ada yang percaya bahawa jaringan terowong ini lebih besar dan hanya sebahagian kecil daripadanya telah ditemui.
[Menara Kuala Lumpur: Penjaga Rahsia Lama]
Hari ini, Menara Kuala Lumpur berdiri megah di atas Bukit Nanas sebagai simbol kemodenan negara.
Namun, di bawah kaki menara ini tersembunyi sejarah yang jarang diketahui.
Penemuan terowong ini membuka mata kita tentang bagaimana Bukit Nanas menjadi saksi bisu kepada pertempuran sengit dan strategi perang yang bijak suatu ketika dahulu.
Jadi, lain kali kalau anda melawat Menara Kuala Lumpur, cuba bayangkan. Di bawah tapak kaki anda, pernah ada laluan rahsia yang digunakan oleh para pahlawan untuk bertahan, melawan dan melarikan diri.
Siapa tahu, mungkin ada lagi rahsia yang menanti untuk ditemui di bawah bandaraya Kuala Lumpur!
___
Pesta Buku Antarabangsa Selangor bakal menjelang tiba tidak lama lagi!
Jangan lupa untuk singgah di reruai The Patriots yang bertempat di N28 dan P37 bagi menikmati diskaun sebanyak 20% untuk setiap pembelian buku buku kami!


No comments:

Post a Comment