ZULHEIMY MAAMOR

Sunday, 7 January 2024

Kedah Tua, Langkasuka & Ilmu Besi Melayu Dahulukala

Oleh Srikandi > 5 April 2022

Topik industri besi purba Melayu adalah topik yang penting, menarik dan sangat luas untuk dikembangkan kepada tema-tema lain. Topik Srivijaya sahaja sebagai sebuah empayar maritim orang Melayu merangkumi hampir seluruh Asia Tenggara dengan melibatkan semenanjung Melayu, Pulau Jawa, Pulau Sumatera dan Pulau Borneo dan kini warisannya dikongsi negara-negara moden yang berkaitan seperti Malaysia, Indonesia, Thailand sehingga ke Filipina (Laguna Copperplate dsb).
Topik industri besi Kedah Tua ini pula bakal dikongsi oleh Malaysia dan Thailand apabila pemetaan terbaru menunjukkan taburan kewujudan relau purba sampai ke Patani di mana laluan perdagangan wujud antara kawasan Kedah Tua (meliputi penempatan-penempatan purba termasuk tapak Sungai Batu) sehingga ke Patani dan masuk ke Teluk Siam. Ini membuka kepada topik lain iaitu rangkaian perdagangan kerajaan Langkasuka.
Warisan dan sejarah Melayu memperkayakan sejarah Asia Tenggara.
Kini bukti wujudnya industri seperti bangunan pentadbiran, jeti, tinggalan relau, kesan sisa pembakaran, sisa besi, bijih besi, pecahan tuyere, alat logam, alat batu dan kini... 'blueprint' rangkaian perdagangan industri besi Kedah Tua-Langkasuka telah dapat dipetakan menjadikan topik industri besi Melayu ini semakin hari semakin padu dan jelas.
Ke mana produk-produk besi itu dieksport? Bertuahnya, walaupun setakat ini belum ada lagi rekod ditemui dari sumber tempatan namun 'besi Kedah' ini nampaknya terkenal di dunia luar dan rujuksilang luar ini melengkapkan persoalan mengapa produk-produk industri besi Melayu mendapat permintaan tinggi di luar negara. Contohnya, catatan rekod pelayaran dan perdagangan awal terutama daripada puisi Pattinappalai (kurun kedua Sebelum masihi-kedua Masihi) yang merekodkan panggilan Kedah Tua dengan nama Kazhagam yang membawa maksud besi. Malah catatan epik tamil Parunkahtai (kurun 10 Masihi) mengesahkan berlakunya proses perdagangan besi daripada Kataram untuk dijadikan kereta kuda.
Al-Kindi dan al-Biruni dalam catatannya juga mengesahkan besi terbaik dunia pada kurun pertama Masihi berasal daripada tiga tempat iaitu Yamen, Hindi dan Kalah (Kedah Tua) yang mengukuhkan kualiti produk besi Kedah Tua. I Ching pula merekodkan dalam catatannya bahawa produk besi dari Che-cha (Kedah Tua) bersaiz tiga jari ditukarkan dengan lima biji kelapa di Kepulauan Nicobar. Malah panggilan Kataha kepada Kedah Tua yang merupakan bahasa perantaraan Asia Tenggara pada masa tersebut juga membawa maksud mangkuk besi juga bukti nyata kepentingan industri besi Kedah Tua ini kepada dunia.
Jika ada hikayat yang mengaku ilmu besi Melayu dahulukala (seperti kesaktian keris) adalah hebat dan mencapai tahap ajaib (sehingga dianggap dongeng), ini memang benar dalam rekod sejarah! Paling tua, paling awal dan paling hebat teknologinya di seluruh Asia Tenggara!
Dalam isu relau-relau purba dari Kedah sampai ke Patani itu, siapa yang cepat buat kerja dan mendapatkan pengiktirafan antarabangsa maka dialah yang akan menang dari segi pemasaran (marketing).
Thailand pasti akan berusaha gigih untuk mempromosi topik industri besi 'Thai' purba sepertimana sup Thai, sos Thai, nasi air ala Thai, mi celup ala Thai dan bla...bla...bla (sikit-sikit nak bubuh 'thai') di mana Thailand usaha pasarkan apa jua yang bubuh 'Thai' itu nampak sedap dan mendunia. Seperti yang Srikandi katakan, Thailand memang cekap dalam hal-hal promosi dan pemasaran.
Menariknya, menurut aktivis Tapak Arkeologi Sungai Batu, pihak Thailand memang nak cari bukti relau dan tuyere di Patani sampai dapat dan segera memartabatkannya ke peringkat antarabangsa. Mereka akan kaitkan penemuan itu dengan tamadun di Sungai Batu, dan jika mereka menemui bukti tertua mengatasi bukti di Sungai Batu, itu adalah durian runtuh bagi mereka dan bakal menenggelamkan Sungai Batu dan Kedah Tua itu sendiri dari segi industri besi purba.
Walau apa pun masa tetap berjalan. Kita nak tengok apa pihak berwajib dalam bidang sejarah nak buat dengan tapak arkeologi ni dan pada masa yang sama jika Thailand jumpa bukti relau dan tuyere di Patani, kita pun nak tengok bagaimana orang Malaysia dok nganga saja melihat usaha-usaha orang lain memajukan sejarah mereka.
~Srikandi
sejarah tidak pernah melupakanmu
*video ihsan aktivis Tapak Arkeologi Sungai Batu

Copy & Paste:
7 Januari 2024 > 26 Jamadilakhir 1445H: 7.59 pm

No comments:

Post a Comment